Wednesday, October 26, 2016

Alam Turut Menangis Di Senjakala

Assalamualaikum wbt

Pernah tak Allah gerakkan hati kita untuk pergi ke suatu tempat atau untuk berjumpa dengan seseorang yang kita kenal, secara tiba-tiba? 

Desakan hati yang sangat kuat sehingga kita tertanya-tanya mengapa ye.. Dan tatkala kita berjumpa seseorang itu, bertanya khabar dan berbual seketika, hati kita berkata-kata, 

"Oh patutlah Allah gerakkan hati ini untuk berjumpa si polan ini, pada hari ini juga. Rupanya ada hikmah disebaliknya..."


Semalam, ketika di pejabat, seharian hati Patung Beruang ini kuat sangat mendesak untuk singgah di Giant yang berdekatan rumah, semata-mata untuk beli supplement dari penjual yang biasa. Memang kebetulan supplement itu telah habis pada malam sebelumnya, namun tidaklah terlalu mendesak sehingga tidak boleh terputus bekalan langsung. 

Maka, ketika perjalanan pulang ke rumah, Patung Beruang pun singgahlah di Giant. Dari jauh terpandang seorang wanita yang Patung Beruang panggil kakak, sedang menunggu di ruang niaganya seperti biasa. 

Bila kakak terpandang saja Patung Beruang, dia terus tersenyum. Patung Beruang hampir dan kami bersalam serta bertanya khabar berita. 

Patung Beruang maklumkan yang 2 minggu lepas Patung Beruang singgah dikedainya untuk beli barang, namun orang lain yang jaga. 

Kakak terus membuka cerita. Rupanya hari ini adalah hari pertama dia kembali menjaga perniagaannya ini. Sudah sebulan dia berulang-alik dari Seri Kembangan ke hospital di negeri sebelah selatan bagi melawat abangnya yang sakit. Disepanjang ketiadaannya, perniagaannya dijaga oleh anak menantunya atau pembantunya. 

Kakak bercerita panjang lebar keadaan abangnya yang koma di ICU. Tidak sedarkan diri, hanya mampu bernafas melalui peralatan sokongan dan menunggu masa untuk pergi dengan aman. 

Ahli keluarga terdekat sentiasa ada disisi. Dan jika ada ahli keluarga yang menyetuh atau berinteraksi dengan si pesakit, hanya air mata sahaja yang kelihatan gugur dari mata si pesakit. Itu sahajalah tindak balas yang mampu diberikan oleh si pesakit. 

Patung Beruang hanya diam dan tekun mendengar cerita kakak. Ya, raut wajahnya nampak penat dan sedih. Apatah lagi itu adalah satu-satunya abang yang dia ada. 

Tiba-tiba kakak berkata yang doctor ada pesan supaya jangan dibebankan emosi si pesakit. Ini kerana apabila si pesakit sedih atau emosinya terganggu, tekanan darahnya akan semakin menurun dan ia adalah keadaan yang berbahaya buat si pesakit. Maka, jika ada ahli keluarga yang hendak membacakan surah Yasin, doctor menyarankan agar dibaca jauh sedikit dari pesakit. Kerana tidak mahu si pesakit rasa sedih memandangkan Yasin sinonim dengan situasi seseorang yang sedang nazak dan ada kematian. 

Bila mendengar cerita kakak, Patung Beruang teringat kisah Bisikan Kata-Kata Syurga yang dipetik dari buku Cerita Dari Syurga. Ia adalah kisah perbualan Adam dan ayahnya di hospital. Oleh kerana ayah hanya memejamkan mata dan tidak berinteraksi dengan sesiapa pun, maka Adam hanya duduk disisi dan membacakan Al-Quran bersama dengan terjemahannya buat ayah. Namun, cara pembacaan Adam agak berbeza. Jika berjumpa dengan kisah dan keindahan di Syurga, Adam akan membaca ayat Al-Quran tersebut berserta terjemahannya dengan jelas. Namun, tatkala berjumpa dengan ayat berkenaan neraka, Adam hanya membacakan ayat Al-Quran sahaja tanpa terjemahannya. Kerana Adam ingin ayah membayangkan perkara yang indah-indah sahaja. Moga tatkala ayah membuka mata, Syurga berada dihadapannya. Dan itulah yang dilakukan oleh Adam sehinggalah akhirnya ayah pergi mengadap Ilahi dengan tenang. 

Lantas Patung Beruang berkongsi kisah Adam dan ayahnya pada kakak. Dan mencadangkan agar kakak dan ahli keluarganya juga melakukan perkara yang sama. Kita tidak tahu apa yang ditanggung dan dirasa oleh si pesakit  pada masa ini. Maka, diharapnya dengan ayat-ayat Al-Quran yang menenangkan, yang memperihalkan keindahan alam yang kekal, dapatlah kiranya meringankan serba sedikit beban si pesakit.

Sebelum beredar, kakak sempat mengucapkan terima kasih kerana Patung Beruang sudi meluangkan masa bertanya khabarnya dan mendengar luahannya. Ya, tiada apa yang Patung Beruang mampu lakukan kecuali menjadi pendengar yang baik dan mengucapkan kata-kata yang baik. Dia hanya seorang peniaga dan Patung Beruang adalah salah seorang dari ratusan dan mungkin ribuan pelanggannya. 

Keluar sahaja dari Giant untuk menuju ke kereta, azan Maghrib pun berkumandang. Dan hujan renyai-renyai membasahi jalan. Alam juga turut menangis seolah mengerti beban jiwa manusia diatas muka bumi ini. 






Sebenarnya Patung Beruang berhasrat untuk berkongsi kisah ini malam semalam. Malangnya, rasa lelah sangat. Sehingga Patung Beruang tertidur ketika membaca buku. Jadi malam ini lah baru Patung Beruang berkesempatan untuk menulis. 

Malam ini malam terakhir Patung Beruang dirumah. Esok lepas kerja, Patung Beruang akan travel dan I'll have a longggggg weekend this week. Tak sabar rasanya hati ini.

Dalam beberapa hari ini emosi Patung Beruang bercampur-aduk. Kisah kakak adalah satu dari beberapa kisah sedih yang Patung Beruang temui. Itulah hakikat kehidupan. Tidak semuanya indah belaka dan tidak semuanya pahit belaka. 

Buat kakak dan keluarga, semoga terus tabah dan sabar menghadapi ujian Allah. Yakinlah, apa pun yang berlaku, itulah yang terbaik kerana Allah tidak pernah salah mengatur kehidupan hamba-Nya. 

Selamat malam....

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...