Tajuk: Cerita Dari Syurga
Penulis:
1. Zamri Mohamad
2. Yusry Yusopp
3. Haeqal Zulqarnain
Menariknya Buku Ini:
Ok, buku ini masih panas ye hehe.. Ini adalah buku terkini yang Patung Beruang selesaikan pembacaan. Patung Beruang mula menatap naskah ini, Jumaat malam sebelum tidur. Dan akhirnya semalam tengahari, before Zuhur, selesailah menatap setiap kisah dalam naskah ini.
Cerita Dari Syurga menghimpunkan 30 buah cerita yang sangat sedap dan menyentuh perasaan.
Penulis membuka naskah ini dengan Teh Pengaruh, Semakin Diteguk Semakin Diingati, mengisahkan seorang wanita yang bertandang kerumah jirannya. Kedatangannya disambut mesra oleh tuan rumah, dan tuan rumah hanya menghidangkan segelas air suam. Walaupun pelik namun, wanita ini tetap meneguk air suam tersebut setelah dipelawa bersungguh-sungguh oleh tuan rumah. Kemudian, tuan rumah bertanya jika beliau menghendaki teh. Wanita ini mengangguk. Maka, tuan rumah menyediakan secawan teh tanpa gula buat wanita ini. Setelah diteguk, tuan rumah bertanya lagi, mahu gula kah? Dan wanita ini membalas cukup dengan sesudu sahaja. Teh bergula itu dihirup dengan nikmat oleh wanita itu. Dan tuan rumah pula berkata lagi, jika mahu enak, campurkan sedikit susu cair. Lantas disuakan susu cair kepada tetamu ini. Nampak pelik namun tuan rumah ini adalah seorang yang bijaksana. Beliau bijak menerangkan soal kehidupan kepada tetamunya itu hanya dengan segelas air suam, yang kemudiannya menjadi segelas teh, teh bergula dan akhirnya teh susu.
Anak-anak yang membesar di rumah anak yatim biasanya sangat akrab antara satu sama lain. Itulah keluarga besar mereka. Namun, disebalik keakraban itu, pasti ada seorang yang ditugaskan untuk mengawal dan menegur tingkah laku adik-adik yang kecil. Tuk!Tuk! Abang Bisu Bercakap membawa kita kepada seorang anak yatim yang sangat meminati dunia fotografi. Dan beliau juga sangat akrab dengan Abang Bisu, anak kepada Ummi, pemilik rumah anak yatim. Abang Bisu menjaga anak yatim ini seperti seorang abang yang menjaga adik dengan penuh kasih sayang namun masih lagi tegas demi memastikan adik ini menjadi orang yang berguna dikemudian hari. Jika ada yang tidak kena, Abang Bisu pasti akan menulis nota teguran dan menyelitkan nota tersebut didalam kocek baju si adik ini. Jika adik terlihat bersedih atau kurang bersemangat, Abang Bisu sentiasa memujuk dan memberi galakan lewat tulisan-tulisan di poster atau nota yang dititipkan. Kegembiraan Abang Bisu memuncak apabila adik yang dikasihi berjaya menjejakkan kaki ke universiti. Walau tidak mampu berkata-kata, namun air muka dan tingkah laku Abang Bisu mencerminkan perasaan dan isi hatinya. Dan Abang Bisu masih kekal di rumah anak yatim itu, sehingga dewasa, menggantikan Ummi setelah dipanggil pulang Ilahi. Jadilah Abang Bisu, abang yang tegas tetapi penyayang untuk semua adik-adik disana.
Bisikan Kata-Kata Syurga membawa kita mengenali Adam, yang menemani ayah di hospital. Ayah tidak mampu bergerak dan berkata-kata, hanya terbaring menutup mata. Bagi mengisi masa, Adam membacakan Al-Quran bersama terjemahannya di sisi ayah. Adam melakukannya supaya dirinya yang berasa jahil dan ayah yang diam itu sama-sama faham isi kandungan kitab suci ini. Apabila membaca teks Al-Quran yang bercerita tentang syurga, Adam bacakan dengan jelas bersama terjemahan. Jika teks Al-Quran yang bercerita perihal azab dan api neraka, Adam hanya membaca teks Al-Quran tanpa terjemahannya. Adam akan terus melompat ke teks seterusnya. Sehari demi sehari Adam disitu, rutin yang sama disisi ayah. Dan akhirnya sampailah masa ayah dipanggil pulang oleh Ilahi. Perbualan Adam dan ayah adalah perbualan syurga dan neraka. Perbualan harapan diterjemah kata oleh Adam, supaya pejam mata ayah, nampaklah syurga.
Karya Cerita Dari Syurga ini sangat menyentuh perasaan Patung Beruang. Hampir semua cerita didalam ini sedap-sedap belaka. Pelbagai tema yang diutarakan namun motifnya hanya satu, bagaimana kita hendak diingati setelah kita tiada. Ada hubungan ibu ayah dan anak, hubungan majikan dan pekerja, hubungan suami dan isteri, hubungan jiran tetangga, hubungan guru dan murid, serta hubungan sesama ahli masyarakat. Ada yang diingati kerana kata-katanya, ada yang kerana tingkah-lakunya, tunjuk ajarnya, nasihat dan tindakan spontan.
Malah ada beberapa cerita yang berjaya mengalirkan air mata Patung Beruang seperti Bisikan Kata-Kata Syurga, Ayah Kami Harimau Jadian, Hidup Dalam Kedewasaan Cinta, Lihatlah Syurga di Jendelamu, Jiran Selang 40 Pintu, Tudung Merah Jambu.
Dan yang paling Patung Beruang terkesan adalah gaya bahasa didalam naskah ini sangat cantik. Pemilihan perkataan dan susunan ayat sangat indah. Bacaan santai namun melekat kuat di hati. Naskah yang sangat sesuai untuk dihadiahkan kepada ahli keluarga atau sahabat handai.
No comments:
Post a Comment