Wednesday, October 12, 2016

Book Review: Politik Kandang

Tajuk: Politik Kandang (The Animal Farm)

Penulis: George Orwell

Menariknya Buku Ini:

The Animal Farm adalah buku yang diterbitkan di England pada tahun 1945. Penulis asal adalah George Orwell. Kini buku ini diterjemahkan ke Bahasa Malaysia oleh Al-Mustaqeem Mahmod Radhi dan diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia.

Politik Kandang ini membawa pembaca kepada haiwan-haiwan yang menghuni di Ladang Manor, kepunyaan Tuan Jones. 

Ladang Manor dihuni oleh Tuan Jones dan isterinya, Pn Jones. Haiwan-haiwan yang ada pula terdiri daripada babi, kuda pedati, anjing, biri-biri, sapi, kambing, keldai, itik, kucing dan banyak lagi. 

Haiwan-haiwan ini merancang untuk melancarkan pemberontakkan dan mengusir semua manusia keluar dari Ladang Manor. Matlamat mereka hanya satu iaitu mereka ingin menguasai Ladang Manor, berusaha untuk mencari makanan mereka sendiri tanpa perlu berkongsi hasil dengan manusia. 

Dan akhirnya, pemberontakan mereka berjaya. Semua manusia berjaya diusir keluar dari Ladang Manor. Dan Ladang Manor juga telah ditukarkan namanya kepada Ladang Binatang. 

Haiwan-haiwan semua bersepakat untuk melantik Snowball, seekor babi sebagai ketua mereka. Perkara pertama yang Snowball lakukan setelah menjadi ketua Ladang Binatang adalah dengan memperkenalkan Rukun Tujuh kepada semua penghuni Ladang. Rukun Tujuh tersebut adalah:
  1. Apa saja makhluk yang berjalan dengan dua kaki adalah musuh.
  2. Apa saja makhluk yang berjalan dengan empat kaki, atau mempunyai sayap, adalah kawan.
  3. Binatang sama sekali tidak boleh memakai baju.
  4. Binatang sama sekali tidak boleh tidur di atas katil.
  5. Binatang sama sekali tidak boleh minum arak. 
  6. Binatang sama sekali tidak boleh membunuh binatang lain.
  7. Semua binatang adalah setara.
Maka, bermula pada hari tu, kesemua haiwan tersebut berusaha keras untuk mencari rezeki dengan hasil pertanian Ladang tersebut. Dan mereka berusaha untuk memberi makanan/hasil pertanian sama rata kepada semua haiwan didalam Ladang. 

Namun, keamanan dan kedamaian Ladang Binatang tidak bertahan lama. Sedikit demi sedikit haiwan-haiwan tersebut menyedari bahawa ada sesetengah makanan mewah seperti susu mula hilang atau ditarik secara perlahan-lahan dari dinikmati oleh semua haiwan. 

Dan sedikit demi sedikit, mereka menyedari wujudnya kelompok haiwan elit yang dianggotai oleh semua babi-babi didalam Ladang tersebut. Babi-babi ini dikecualikan dari pekerjaan Ladang dengan alasan tugas mereka adalah memerah otak, mencari jalan bagi memajukan dan memakmurkan Ladang. Oleh itu, mereka perlu tinggal didalam rumah Tuan Jones, dan bukannya di kandang seperti haiwan-haiwan lain. Malah anak-anak mereka juga dihantar ke sekolah untuk menimba ilmu bagi memastikan kelangsungan kuasa babi di Ladang Binatang. 

Tanpa diduga, perlantikan Snowball sebagai ketua Ladang Haiwan rupanya tidak disenangi oleh Napolean, seekor babi yang lain. Dalam diam, Napolean telah mengumpul bala tenteranya sendiri iaitu anjing-anjing yang dipelihara sejak dari kecil lagi. Anjing-anjing ini bertugas sebagai pengawal peribadi Napolean. 

Dan bila tiba masa yang sesuai, Napolean melakukan rampasan kuasa dari Snowball dengan dibantu oleh anjing-anjing ini. Maka, bermulalah era pemerintahan Napolean. 

Napolean diibaratkan sebagai seorang diktator. Beliau sanggup membuat apa sahaja asalkan beliau kekal berkuasa diatas, walaupun membunuh haiwan lain yang sama-sama menghuni Ladang Binatang. Malah Rukun Tujuh juga diubah sesuka hati bagi menyesuaikan keadaan, kehendak dan keperluan beliau. Dan ternyata, haiwan-haiwan lain makin terseksa kehidupan mereka namun mereka tiada pilihan kerana takut dengan Napolean dan konco-konconya.

Adakah Napolean akan bertahan sebagai pemimpin Ladang Binatang? 

Atau mungkin wujudnya pemborantakan dikalangan haiwan-haiwan terhadap kepimpinan dan kekejaman beliau?

Adakah Ladang Binatang akan terus dikuasai oleh haiwan untuk selama-lamanya atau mungkin Napolean sudi membuka pintu untuk berkerjasama dengan manusia?



Politik Kandang, sesuai dengan namanya memaparkan pergolakan kehidupan masyarakat haiwan di dalam Ladang. Namun kehidupan didalam Ladang tersebut bolehlah diibaratkan sebagai kehidupan masyarakat didalam sebuah negara. 

Tatkala menatap naskah Politik Kandang ini, George Orwell membawa kita kepada senario politik dan kehidupan yang berlaku disekeliling kita. Dimana pasti akan ada pemimpin dan pengikut. Pemimpin pula pasti ada yang baik dan mempunyai niat dan matlamat yang jelas untuk membantu masyarakat yang dipimpinnya. Namun, pasti ada juga pemimpin yang tamak dan mempunyai agenda tersendiri. Pemimpin yang sanggup membuat apa sahaja demi mengekalkan kuasa mereka. Pemimpin yang hanya menjaga kaum kerabat mereka. Pemimpin yang sanggup memanipulasi undang-undang dan peraturan demi kepentingan diri mereka sendiri. 

Dalam masa yang sama, kita akan jumpa juga dengan golongan penjilat atau pengampu. Kerja mereka hanya membenarkan sahaja kata-kata dan tindakan pemimpin. Mereka dilihat sebagai penyokong kuat tetapi sebenarnya sokongan mereka bersebab. Mereka hanya nak jaga periuk nasi masing-masing. Bila pemimpin tersebut mula jatuh, mereka akan lari beramai-ramai meninggalkan pemimpin itu. 

Dan jangan dilupa ada juga sekumpulan lagi yang terlalu mempercayai pemimpin mereka. Percaya bulat-bulat setiap kata dan perbuatan sehingga tidak mampu berfikir secara rasional. Dalam bahasa kasarnya golongan pemakan dedak, heheh.. Puaslah ditunjukkan kebenaran tetapi otak masih lagi tidak mampu menerima hakikat yang pemimpin mereka tidaklah sebaik yang disangka. 

Dan akhir sekali, terdapat golongan atas pagar. Golongan ini lebih rasional. Mereka nampak sisi baik dan jahat setiap pemimpin. Cuma golongan ini lebih senang mendiamkan diri. Mereka tidak suka memberontak, tidak suka kecoh-kecoh dan hanya menjalani kehidupan seadanya. Pada mereka, as long as kehidupan mereka tidak terjejas, peduli lah siapa pun yang jadi pemimpin.

Membaca Politik Kandang membawa kita mengenali setiap golongan diatas dengan lebih dekat. 

Komen Patung Beruang, Patung Beruang bukanlah seorang yang suka membaca tentang politik. Sebab bagi Patung Beruang politik itu hanya memeningkan kepala. Dari cerita politik, Patung Beruang prefer cerita kehidupan, cerita ekonomi dan cerita motivasi. Tetapi novel ini benar-benar membuatkan Patung Beruang terpaku. Novel politik yang sangat hebat dan kebanyakkan masanya Patung Beruang tidak sedar yang watak-watak utama didalam novel ini adalah haiwan. Ini kerana tindak tanduk mereka, pemikiran mereka menggambarkan perwatakan manusia di alam nyata, manusia yang wujud disekeliling kita. 

Novel ini sangat sedap, sangat memukau dan tidak hairanlah walaupun ia diterbitkan pada tahun 1945, namun ia masih lagi relevant sehingga sekarang, selepas 71 tahun. Dan Patung Beruang percaya, ia akan tetap relevant pada masa hadapan kerana sifat manusia itu tidak akan pernah berubah. Sampai bila-bila pun pasti ada wujud manusia yang baik hati, tamak haloba, pengambil kesempatan, selfish, berpandangan jauh dan sebagainya. 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...