Showing posts with label Hilal Asyraf. Show all posts
Showing posts with label Hilal Asyraf. Show all posts

Thursday, August 11, 2016

Book Review: Matahari

Tajuk: Matahari

Penulis: Hilal Asyraf

Menariknya Buku Ini:

Matahari adalah buahtangan dari Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang berlangsung beberapa bulan lepas. Buku ini mengandungi 18 Cerpen yang menarik untuk tatapan pembaca.

Penulis membuka lembaran naskah ini dengan Matahari 1, yang membawa pembaca mengenal pemain-pemain bola tampar dari pasukan Vanguard, yang terdiri daripada Iskandar, Umayr, Thoriq, Fatih, Asid dan Adil. 

Penulis membawa pembaca dengan flashback scene bagaimana keadaan Adil ketika beliau baru menyertai Vanguard. Pada waktu itu, Vanguard diketuai oleh Faizan, yang terkenal dengan jolokan "raksasa" disebabkan kehebatannya dan ketangkasannya dalam permainan bola tampar. Namun, sisi lain kehebatan Faizan adalah beliau berusaha untuk menghidupkan Islam didalam setiap aspek kehidupan termasuklah didalam sukan. Kehebatan Vanguard seakan terhenti tatkala Faizan dijemput pulang oleh Ilahi secara tiba-tiba. Kehilangan ini telah memberi kesan kepada semua ahli Vanguard pada masa tersebut termasuklah Adil, pemain yang sering diperlekehkan oleh ahli pasukannya sendiri.

Dalam masa 10 tahun, Adil berusaha keras untuk membina semula kekuatan Vanguard. Beliau ingin mengulangi kejayaan Faizan dan ingin sekali agar lebih berjaya dari itu. Kini, Adil adalah seorang pemain yang ternama didalam sukan bola tampar, digelar Lagenda oleh para peminat dan pesaingnya. 

Adil menganggap matahari adalah sumber inspirasinya. 

Matahari,
Jadilah sepertinya,
Sinar cahaya kepada semua,
Sumber tenaga segala,
Paksi untuk semesta,
Sinarnya sampai,
Walau dalam gelita...

Kini, perlawanan antara Vanguard dan Moon, seteru tradisi bakal bermula. Perlawanan yang ditunggu-tunggu selama 10 tahun. 
Namun..

Dapatkah Vanguard menebus kekalahan mereka 10 tahun yang lepas?

Dapatkah Adli membanggakan Faizan walau dunia mereka telah terpisah?

Atau mungkin impian Faizan dan Adli hanyalah sekadar impian semata-mata..



Matahari 2 pula membawa pembaca kepada Anas, seorang guru yang baru melaporkan diri ke Sekolah Menengah Lelaki Timur. Sekolah Menengah Lelaki Timur terkenal dengan masalah disiplin dan sosial para pelajarnya. Malah, para guru dan ibu bapa juga tidak mampu untuk membendung permasalahan yang berlaku, yang kian meruncing dari hari ke hari. 

Kehadiran Anas tidak disukai oleh Qayyim, iaitu ketua gangster di sekolah. Pelbagai helah dilakukan untuk menimbulkan kemarahan Anas. Namun, Anas bukanlah calang-calang orang yang mudah gentar dengan sekumpulan remaja nakal, jahat dan kurang ajar. 

Lama kelamaan para pelajar dan guru-guru lain mula menyedari keunikkan Anas. Anas boleh diterima oleh semua lapisan pelajar, dari golongan dibuli sehinggalah pembuli. Anas kenal dan tahu nama bagi setiap pelajar di sekolah tersebut. Malah, Anas juga peka dengan masalah peribadi dan keluarga yang dihadapi oleh setiap pelajarnya. Bagi Anas, setiap orang ada ceritanya yang tersendiri, dan setiap orang berhak untuk berubah menjadi lebih baik. 

Tatkala rakan-rakan sekelilingnya mula beralih arah kepada Anas, adakah Qayyim bakal rasa tersisih sehingga menambahkan lagi dendamnya pada Anas?

Atau mungkin Qayyim juga sedang berkira-kira untuk berubah seperti mereka yang lain?



Keutuhan ikatan persahabatan turut ditonjolkan didalam naskah ini melalui karya Tidak Ingin Kau Pergi. Aku (watak utama) sering kali bermimpi dimana berlaku kematian dikalangan Aku dan rakan-rakan. Dan mimpi tersebut datang berulang kali dikala lena. Tatkala melihat sekeliling, Aku merasakan Hazlami, sahabat karibnya merangkap teman serumahnya, seolah-olahnya bakal dijemput Ilahi. 

Malah, kelakuan dan tutur kata Hazlami juga seakan-akan membayangkan yang dia bakal pergi tidak lama lagi. Aku semakin gusar tatkala teringat betapa Aku sangat menyayangi Hazlami sebagai seorang sahabat. Hidup diperantauan mengajar mereka erti sebenar persaudaraan Islam. 

Namun, mimpi itu tidak selalunya benar. Ajal pertemuan adalah ketentuan Ilahi. 

Disuatu hari, tatkala Aku dan Hazlami sedang menuju ke kuliah, mereka ditimpa kecelakaan. Dan... kecelakaan itu meragut nyawanya sendiri akibat tindakannya yang hendak menyelamatkan Hazlami. 

Suatu karya yang membawa pembaca kepada ending yang sangat memilukan.... 



Kesimpulannya, karya Matahari adalah himpunan cerpen yang menarik dan sangat menyentuh hati. Membawa kita menyelami kehidupan seharian, isu aurat, isu kekeluargaan, isu pegangan akidah, isu umat Islam sejagat dan sebagainya. 

Selain 3 buah cerpen yang Patung Beruang kongsikan disini, cerpen lain yang Patung Beruang suka adalah Bulan, 999+1 dan Mana Tuhan Kamu. Nampak macam ringkas sahaja cerpen-cerpen yang dipaparkan, tetapi percayalah setiap satunya ada endingnya yang tersendiri, dan pembaca akan rasa puas seolah-olah seperti membaca novel. Satu perasaan yang jarang ada tatkala meneliti karya cerpen. Tahniah buat penulis... :)

Wednesday, March 18, 2015

Book Review: Cerita Dari Hati, Hidup Penuh Erti

Tajuk: Cerita Dari Hati, Hidup Penuh Erti 

Penulis: Hilal Asyraf dan Aiman Azlan

Menariknya Buku Ini: 
Ini adalah buku terbaru yang Patung Beruang baca. Buku ini adalah buah tangan dari book fair di KLCC tahun lepas. 

Alhamdulilah, dapat juga Patung Beruang curi-curi masa untuk membaca, biasanya sebelum tidur. Dan hasilnya, ia mengambil masa berminggu-minggu untuk habis. Rasa macam tak best pula bila lambat sangat nak habiskan pembacaan satu-satu buku, huhu... 

Buku Cerita Dari Hati, Hidup Penuh Erti ini mengandungi 52 kisah nukilan dari 2 penulis muda yang sangat berbakat. Pembaca akan memulakan pembacaan dengan kisah mengenai apa tujuan sebenar kehidupan kita ini. Adakah kita dicipta semata-mata kerana untuk memenuhkan bumi Allah ini? Ataupun kita dicipta untuk berlumba-lumba mencari kekayaan dan memuaskan nafsu sehingga kita merasa seolah-olah hidup ini adalah selama-lamanya? Ataupun kita dicipta untuk beribadah dimana istilah ibadah yang kita fahami adalah duduk 24 jam, 7 hari seminggu di dalam masjid sehingga kita tidak menghiraukan makan pakai anak isteri, ibu dan bapa, kita tidak tahu yang jiran tetangga kita sudah beberapa hari kehabisan beras, dan kita juga sengaja memejamkan mata dengan runtuhnya institusi keluarga dan masyarakat diluar sana. Bab 1: Tujuan Kehidupan ini benar-benar sesuai dijadikan pembuka santapan minda pembaca. 

Seterusnya, pembaca dibawa pula menyelusuri bagaimana kita membina hubungan dengan Big Boss didalam Bab 2: Ukhwah Dengan Allah. Kita sering kali sibuk untuk menjaga ukhwah dengan manusia yang lain, sanggup membuat apa sahaja hatta adakalanya sampai tahap mengampu dan sanggup menikam belakang orang lain. Semuanya dibuat agar hubungan baik yang terbina kekal dan tetap memberikan manfaat kepada diri sendiri. Tetapi, kita lupa untuk membina ukhwah dengan Pencipta manusia. Pelikkan?? Patung Beruang teringat pesan ustaz; 

"Jika kita seringkali ditimpa kesusahan, kesulitan, tidak bahagia dan tidak tenang, periksa lah semula hubungan kita dengan Allah dan perbaikilah hubungan itu."  

Didalam kehidupan kita seharian, banyak perkara yang menuntut perhatian dan komitmen kita seperti keluarga, pekerjaan, masyarakat dan sebagainya. Kadang-kala terlalu asyik dengan kerja dipejabat atau terlalu ghairah meeting dengan client, sehingga kita lewat menunaikan solat fardu Zuhur. Walhal, boleh je kita ketepikan 5-10 minit untuk menunaikan tanggungjawab kita pada Yang Maha Esa di awal waktu. Kita selalu bangun pada pukul 4 pagi untuk menonton bola sepak pasukan luar negara, atau mungkin untuk menyiapkan audit report yang dah nak dekat deadline. Yelah, awal pagi, suasana sangat tenang jadi idea untuk menulis report tu pun mencurah-curah lah. Tetapi, kita sangat kedekut untuk ambil 20-30 minit untuk menunaikan Solat Tahajud, Hajat dan Taubat. Alangkah bagusnya, jika kita laksanakan dulu solat-solat sunat itu sebelum kita duduk mengadap laptop menyiapkan kerja.... Setiap bulan kita potong sedikit duit gaji kita untuk bayar zakat. Tapi, niat sebenar kita bayar zakat bukannya kerana Allah tetapi kerana untuk dapat pelepasan cukai. Jadi, cukup setahun, kita boleh dapat refund income tax beribu-ribu. Itu adalah contoh-contoh dimana kita lebih mengutamakan hal-hal duniawi dari kecintaan kita pada Allah SWT. Dalam erti kata lain, ia adalah Berhala-Berhala Dalam Jiwa seperti yang dikupas didalam Bab 29. 

Jika ditanya, siapa yang nak masuk Syurga, sila angkat tangan?? Patung Beruang yakin, semua orang akan angkat tangan.. Tetapi, adakah kita telah membuat sehabis baik untuk memastikan kita layak masuk Syurga?? Cukupkah sekadar solat 5 kali sehari di hujung waktu, puasa makan dan minum cukup sebulan di bulan Ramadhan tetapi masih bergosip di whatsapp 24 jam, pergi menunaikan ibadah haji 5 kali dan pulang dengan bagasi yang berpuluh-puluh dan penuh diisi dengan barang shopping untuk 1 kampung, sudah melayakkan kita untuk masuk ke Syurga? Adakah kita memang telah dijamin Syurga? Jika difikir logik, jika kita nak masuk Syurga, maksudnya kita akan menjauhi Neraka. Oleh itu, periksa semula keadaan, perbuatan, pemikiran, hati dan diri kita ini, adakah segala yang kita lakukan sekarang membuatkan kita jauh dari Neraka??? Satu persoalan yang menarik untuk kita fikirkan dan tanyalah diri kita sendiri, Tiket Ke Syurga, Siapa Yang Pegang? (Bab 33).

Kesimpulannya, buku Cerita Dari Hati, Hidup Penuh Erti ini penuh dengan kisah-kisah menarik yang menyentuh kehidupan seharian kita di bumi Allah juga kehidupan selepas ini, tetapi disampaikan dengan gaya bahasa yang santai. Ada antara persoalan-persoalan yang dikemukan oleh 2 orang penulis ini membuatkan kita tersentak dan termalu sendiri. Kita tidak pernah lepas dari melakukan kesilapan, sama ada sengaja ataupun tidak. Dan bersyukur lah sebab masih ada orang yang prihatin untuk menegur kesilapan kita. Terima dengan hati yang lapang dan berazamlah untuk memperbaikinya..  :)

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi, Bunny and Dak Yot...