Tajuk: Cerita Dari Hati, Hidup Penuh Erti
Penulis: Hilal Asyraf dan Aiman Azlan
Menariknya Buku Ini:
Ini adalah buku terbaru yang Patung Beruang baca. Buku ini adalah buah tangan dari book fair di KLCC tahun lepas.
Alhamdulilah, dapat juga Patung Beruang curi-curi masa untuk membaca, biasanya sebelum tidur. Dan hasilnya, ia mengambil masa berminggu-minggu untuk habis. Rasa macam tak best pula bila lambat sangat nak habiskan pembacaan satu-satu buku, huhu...
Buku Cerita Dari Hati, Hidup Penuh Erti ini mengandungi 52 kisah nukilan dari 2 penulis muda yang sangat berbakat. Pembaca akan memulakan pembacaan dengan kisah mengenai apa tujuan sebenar kehidupan kita ini. Adakah kita dicipta semata-mata kerana untuk memenuhkan bumi Allah ini? Ataupun kita dicipta untuk berlumba-lumba mencari kekayaan dan memuaskan nafsu sehingga kita merasa seolah-olah hidup ini adalah selama-lamanya? Ataupun kita dicipta untuk beribadah dimana istilah ibadah yang kita fahami adalah duduk 24 jam, 7 hari seminggu di dalam masjid sehingga kita tidak menghiraukan makan pakai anak isteri, ibu dan bapa, kita tidak tahu yang jiran tetangga kita sudah beberapa hari kehabisan beras, dan kita juga sengaja memejamkan mata dengan runtuhnya institusi keluarga dan masyarakat diluar sana. Bab 1: Tujuan Kehidupan ini benar-benar sesuai dijadikan pembuka santapan minda pembaca.
Seterusnya, pembaca dibawa pula menyelusuri bagaimana kita membina hubungan dengan Big Boss didalam Bab 2: Ukhwah Dengan Allah. Kita sering kali sibuk untuk menjaga ukhwah dengan manusia yang lain, sanggup membuat apa sahaja hatta adakalanya sampai tahap mengampu dan sanggup menikam belakang orang lain. Semuanya dibuat agar hubungan baik yang terbina kekal dan tetap memberikan manfaat kepada diri sendiri. Tetapi, kita lupa untuk membina ukhwah dengan Pencipta manusia. Pelikkan?? Patung Beruang teringat pesan ustaz;
"Jika kita seringkali ditimpa kesusahan, kesulitan, tidak bahagia dan tidak tenang, periksa lah semula hubungan kita dengan Allah dan perbaikilah hubungan itu."
Didalam kehidupan kita seharian, banyak perkara yang menuntut perhatian dan komitmen kita seperti keluarga, pekerjaan, masyarakat dan sebagainya. Kadang-kala terlalu asyik dengan kerja dipejabat atau terlalu ghairah meeting dengan client, sehingga kita lewat menunaikan solat fardu Zuhur. Walhal, boleh je kita ketepikan 5-10 minit untuk menunaikan tanggungjawab kita pada Yang Maha Esa di awal waktu. Kita selalu bangun pada pukul 4 pagi untuk menonton bola sepak pasukan luar negara, atau mungkin untuk menyiapkan audit report yang dah nak dekat deadline. Yelah, awal pagi, suasana sangat tenang jadi idea untuk menulis report tu pun mencurah-curah lah. Tetapi, kita sangat kedekut untuk ambil 20-30 minit untuk menunaikan Solat Tahajud, Hajat dan Taubat. Alangkah bagusnya, jika kita laksanakan dulu solat-solat sunat itu sebelum kita duduk mengadap laptop menyiapkan kerja.... Setiap bulan kita potong sedikit duit gaji kita untuk bayar zakat. Tapi, niat sebenar kita bayar zakat bukannya kerana Allah tetapi kerana untuk dapat pelepasan cukai. Jadi, cukup setahun, kita boleh dapat refund income tax beribu-ribu. Itu adalah contoh-contoh dimana kita lebih mengutamakan hal-hal duniawi dari kecintaan kita pada Allah SWT. Dalam erti kata lain, ia adalah Berhala-Berhala Dalam Jiwa seperti yang dikupas didalam Bab 29.
Jika ditanya, siapa yang nak masuk Syurga, sila angkat tangan?? Patung Beruang yakin, semua orang akan angkat tangan.. Tetapi, adakah kita telah membuat sehabis baik untuk memastikan kita layak masuk Syurga?? Cukupkah sekadar solat 5 kali sehari di hujung waktu, puasa makan dan minum cukup sebulan di bulan Ramadhan tetapi masih bergosip di whatsapp 24 jam, pergi menunaikan ibadah haji 5 kali dan pulang dengan bagasi yang berpuluh-puluh dan penuh diisi dengan barang shopping untuk 1 kampung, sudah melayakkan kita untuk masuk ke Syurga? Adakah kita memang telah dijamin Syurga? Jika difikir logik, jika kita nak masuk Syurga, maksudnya kita akan menjauhi Neraka. Oleh itu, periksa semula keadaan, perbuatan, pemikiran, hati dan diri kita ini, adakah segala yang kita lakukan sekarang membuatkan kita jauh dari Neraka??? Satu persoalan yang menarik untuk kita fikirkan dan tanyalah diri kita sendiri, Tiket Ke Syurga, Siapa Yang Pegang? (Bab 33).
Kesimpulannya, buku Cerita Dari Hati, Hidup Penuh Erti ini penuh dengan kisah-kisah menarik yang menyentuh kehidupan seharian kita di bumi Allah juga kehidupan selepas ini, tetapi disampaikan dengan gaya bahasa yang santai. Ada antara persoalan-persoalan yang dikemukan oleh 2 orang penulis ini membuatkan kita tersentak dan termalu sendiri. Kita tidak pernah lepas dari melakukan kesilapan, sama ada sengaja ataupun tidak. Dan bersyukur lah sebab masih ada orang yang prihatin untuk menegur kesilapan kita. Terima dengan hati yang lapang dan berazamlah untuk memperbaikinya.. :)
No comments:
Post a Comment