Showing posts with label Aiman Azlan. Show all posts
Showing posts with label Aiman Azlan. Show all posts

Thursday, January 28, 2021

Book Review: How Are You?

Tajuk : How Are You?  Understanding the Silent Struggle of Stress, Anxiety, and Depression 

Penulis: 
1. Aiman Azlan
2. Aiman Amri 

Menariknya Naskah Ini: 
Ini adalah naskah kedua yang Patung Beruang selesaikan pembacaannya pada tahun 2021 ini. Alhamdulillah. Cuma Book Review nya saja yang terlambat, huhu..

Untuk kesekian kalinya Patung Beruang meneliti naskah berkenaan mental health. Semakin banyak Patung Beruang baca mengenai topik ini, semakin menarik pula rasanya. Rasa seperti banyak saja ilmu baru yang Patung Beruang perolehi berkenaan topik ini. 

Naskah ini terbahagi kepada 3 Bahagian iaitu Stress, Anxiety dan Depression. Setiap Bahagian ini penulis akan mengupas serba sedikit masalah ini, cara mengatasinya, mungkin bukan 100% tetapi boleh membantu melegakan, dan apa yang kita boleh lakukan jika insan terdekat kita atau insan yang kita kenal, berdepan dengan masalah ini. 

Stress boleh dikategorikan kepada 2 kategori iaitu stress yang bagus atau dipanggil eustress. Dan kategori kedua adalah stress yang memberi masalah dan dipanggil distress. 

Apa maksud eustress? 
Eustress adalah stress yang boleh mendatangkan kesan yang baik kepada kita dan kita boleh menanganinya agar tahap stress tersebut kembali normal. Eustress adalah stress atau tekanan yang kita perlukan untuk kita kekal hidup dan mempunyai kehidupan. Contohnya, stress untuk tamatkan pelajaran secepat mungkin agar kita boleh menyumbang semula kepada masyarakat. Atau stress untuk mengumpul duit deposit rumah baru agar keluarga kita dapat tinggal di kediaman yang lebih selesa. Ia adalah stress yang berbentuk positif. 

Maka, jika kita menghadapi eustress ini, jangan terlalu risau. Yang penting, kita berusaha sehabis baik untuk capai matlamat kita dan selepas itu, Insya-Allah, stress tersebut akan hilang. Ketika kita berada dalam keadaan eustress ini, kita biasanya sangat bermotivasi dan tingkat productivity kita berada di paras tinggi.

Namun, penting juga kita memantau kadar kesihatan mental kita walaupun kita berada dalam keadaan eustress. Ini kerana jika kita terlalu mendesak atau push diri sendiri, kita mungkin akan rasa sangat down jika apa yang diusahakan itu, hasilnya tidak seperti yang diharapkan. Mungkin boleh sampai ke tahap putus asa dan hilang semangat untuk hidup. Akhirnya eustress ini akan bertukar menjadi distress. 

Dalam hidup ini, manusia suka berlumba-lumba, suka bersaing sesama sendiri. Jika jiran sebelah beli kereta baru, kita juga hendak beli kereta baru. Jika orang taman sana melancong ke luar negara, kita juga hendak ke luar negara dan berusaha untuk ke destinasi yang lebih mahal darinya. Tanpa kita sedar, sikap berlumba-lumba ini menyebabkan hidup kita diselebungi dengan unneccesary stress. 

Sikap berusaha untuk jadi yang terbaik, untuk capai kehidupan yang lebih baik, untuk tingkatkan kualiti diri, itu semua bagus. Malah sangat dituntut. Tetapi betulkan niat dahulu. Saya hendak jadi kaya supaya saya boleh bantu keluarga. Supaya saya boleh bantu insan-insan yang memerlukan di luar sana. Saya hendak jadi ahli perniagaan yang berjaya supaya saya boleh berkongsi peluang pekerjaan dengan lebih ramai lagi anak muda yang berpotensi. Saya hendak jadi ketua jabatan supaya saya boleh bawa perubahan yang lebih positif kepad jabatan saya ini. Saya hendak melancong ke luar negara agar saya boleh belajar tentang budaya dan sejarah masyarakat di luar sana. 

Seperti yang Patung Beruang selalu sebut pada family dan rakan-rakan terdekat, hidup setiap dari kita ini seperti planet yang ada dalam Milky Way. Kita ada orbit masing-masing. Setiap planet tersebut berputar pada orbitnya tanpa perlu berlumba dengan planet disebelah atau planet lain dalam galaksi. Samalah dengan kita. Jalan cerita kehidupan sesama kita adalah berbeza. 

Ada orang dikurniakan jodoh yang cepat, Alhamdulillah. Ada orang sampai sekarang masih bersendirian, namun Allah rezeki kan dia dengan peluang berlajar setinggi boleh, Alhamdulillah. Ada orang tidak mampu mendaki tangga korporat namun Allah rezeki kan dia dengan pekerjaan yang fleksibel sehingga dia mampu untuk melawat ibu bapanya setiap hari tanpa gagal, Alhamdulillah. Ada orang tidak mampu menjejakkan kaki ke menara gading tetapi Allah rezeki kan dia dengan perniagaan yang berjaya sehingga dia mampu memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat dan ahli keluarga mereka, Alhamdulillah. 

Setiap apa yang kita hadapi itu ada hikmahnya. Sama ada secara nyata atau terlindung. Tidak kira sama ada kejayaan ataupun musibah, tetap ada cerita yang ingin Allah sampaikan. Tanpa kita sedar, ia membentuk diri kita untuk jadi lebih baik, lebih matang, lebih empathy, lebih realistik dan lebih bersyukur. 



Bagi Patung Beruang, naskah ini sangat menarik untuk diteliti agar kita lebih bersedia untuk menghadapi kehidupan yang serba mencabar ini. Bukanlah bermakna kita ini ada masalah mental, tetapi agar kita lebih bijak menguruskan emosi dan pemikiran kita. Siapa pun kita, apa pun latar belakang kita, setinggi mana pun kita belajar, atau sehebat mana pun kita di alam pekerjaan, kita masih tetap terdedah dengan stress, anxiety dan depression. Cuma antara kita sedar atau tidak saja.... 

Wednesday, March 18, 2015

Book Review: Cerita Dari Hati, Hidup Penuh Erti

Tajuk: Cerita Dari Hati, Hidup Penuh Erti 

Penulis: Hilal Asyraf dan Aiman Azlan

Menariknya Buku Ini: 
Ini adalah buku terbaru yang Patung Beruang baca. Buku ini adalah buah tangan dari book fair di KLCC tahun lepas. 

Alhamdulilah, dapat juga Patung Beruang curi-curi masa untuk membaca, biasanya sebelum tidur. Dan hasilnya, ia mengambil masa berminggu-minggu untuk habis. Rasa macam tak best pula bila lambat sangat nak habiskan pembacaan satu-satu buku, huhu... 

Buku Cerita Dari Hati, Hidup Penuh Erti ini mengandungi 52 kisah nukilan dari 2 penulis muda yang sangat berbakat. Pembaca akan memulakan pembacaan dengan kisah mengenai apa tujuan sebenar kehidupan kita ini. Adakah kita dicipta semata-mata kerana untuk memenuhkan bumi Allah ini? Ataupun kita dicipta untuk berlumba-lumba mencari kekayaan dan memuaskan nafsu sehingga kita merasa seolah-olah hidup ini adalah selama-lamanya? Ataupun kita dicipta untuk beribadah dimana istilah ibadah yang kita fahami adalah duduk 24 jam, 7 hari seminggu di dalam masjid sehingga kita tidak menghiraukan makan pakai anak isteri, ibu dan bapa, kita tidak tahu yang jiran tetangga kita sudah beberapa hari kehabisan beras, dan kita juga sengaja memejamkan mata dengan runtuhnya institusi keluarga dan masyarakat diluar sana. Bab 1: Tujuan Kehidupan ini benar-benar sesuai dijadikan pembuka santapan minda pembaca. 

Seterusnya, pembaca dibawa pula menyelusuri bagaimana kita membina hubungan dengan Big Boss didalam Bab 2: Ukhwah Dengan Allah. Kita sering kali sibuk untuk menjaga ukhwah dengan manusia yang lain, sanggup membuat apa sahaja hatta adakalanya sampai tahap mengampu dan sanggup menikam belakang orang lain. Semuanya dibuat agar hubungan baik yang terbina kekal dan tetap memberikan manfaat kepada diri sendiri. Tetapi, kita lupa untuk membina ukhwah dengan Pencipta manusia. Pelikkan?? Patung Beruang teringat pesan ustaz; 

"Jika kita seringkali ditimpa kesusahan, kesulitan, tidak bahagia dan tidak tenang, periksa lah semula hubungan kita dengan Allah dan perbaikilah hubungan itu."  

Didalam kehidupan kita seharian, banyak perkara yang menuntut perhatian dan komitmen kita seperti keluarga, pekerjaan, masyarakat dan sebagainya. Kadang-kala terlalu asyik dengan kerja dipejabat atau terlalu ghairah meeting dengan client, sehingga kita lewat menunaikan solat fardu Zuhur. Walhal, boleh je kita ketepikan 5-10 minit untuk menunaikan tanggungjawab kita pada Yang Maha Esa di awal waktu. Kita selalu bangun pada pukul 4 pagi untuk menonton bola sepak pasukan luar negara, atau mungkin untuk menyiapkan audit report yang dah nak dekat deadline. Yelah, awal pagi, suasana sangat tenang jadi idea untuk menulis report tu pun mencurah-curah lah. Tetapi, kita sangat kedekut untuk ambil 20-30 minit untuk menunaikan Solat Tahajud, Hajat dan Taubat. Alangkah bagusnya, jika kita laksanakan dulu solat-solat sunat itu sebelum kita duduk mengadap laptop menyiapkan kerja.... Setiap bulan kita potong sedikit duit gaji kita untuk bayar zakat. Tapi, niat sebenar kita bayar zakat bukannya kerana Allah tetapi kerana untuk dapat pelepasan cukai. Jadi, cukup setahun, kita boleh dapat refund income tax beribu-ribu. Itu adalah contoh-contoh dimana kita lebih mengutamakan hal-hal duniawi dari kecintaan kita pada Allah SWT. Dalam erti kata lain, ia adalah Berhala-Berhala Dalam Jiwa seperti yang dikupas didalam Bab 29. 

Jika ditanya, siapa yang nak masuk Syurga, sila angkat tangan?? Patung Beruang yakin, semua orang akan angkat tangan.. Tetapi, adakah kita telah membuat sehabis baik untuk memastikan kita layak masuk Syurga?? Cukupkah sekadar solat 5 kali sehari di hujung waktu, puasa makan dan minum cukup sebulan di bulan Ramadhan tetapi masih bergosip di whatsapp 24 jam, pergi menunaikan ibadah haji 5 kali dan pulang dengan bagasi yang berpuluh-puluh dan penuh diisi dengan barang shopping untuk 1 kampung, sudah melayakkan kita untuk masuk ke Syurga? Adakah kita memang telah dijamin Syurga? Jika difikir logik, jika kita nak masuk Syurga, maksudnya kita akan menjauhi Neraka. Oleh itu, periksa semula keadaan, perbuatan, pemikiran, hati dan diri kita ini, adakah segala yang kita lakukan sekarang membuatkan kita jauh dari Neraka??? Satu persoalan yang menarik untuk kita fikirkan dan tanyalah diri kita sendiri, Tiket Ke Syurga, Siapa Yang Pegang? (Bab 33).

Kesimpulannya, buku Cerita Dari Hati, Hidup Penuh Erti ini penuh dengan kisah-kisah menarik yang menyentuh kehidupan seharian kita di bumi Allah juga kehidupan selepas ini, tetapi disampaikan dengan gaya bahasa yang santai. Ada antara persoalan-persoalan yang dikemukan oleh 2 orang penulis ini membuatkan kita tersentak dan termalu sendiri. Kita tidak pernah lepas dari melakukan kesilapan, sama ada sengaja ataupun tidak. Dan bersyukur lah sebab masih ada orang yang prihatin untuk menegur kesilapan kita. Terima dengan hati yang lapang dan berazamlah untuk memperbaikinya..  :)

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi, Bunny and Dak Yot...