Tajuk : Strategi Jihad Bisnes
Penulis : Tan Sri Muhammad Ali Hashim
Menariknya Naskah Ini :
Naskah ini Patung Beruang beli di PBAKL tahun 2015. What??
Yes, dah 5 tahun beli, baru sekarang Patung Beruang selamat menikmati naskah ini.
Itulah akibatnya kalau asyik beli buku saja. Tapi terlupa yang diri ini tidak mampu untuk duduk membaca saja 24 jam sehari, huhu..
Allahyarham Tan Sri Ali Hashim adalah seorang tokoh korporat yang tidak asing lagi terutamanya untuk rakyat Johor. Beliau menjadi Presiden / CEO Johor Corporation (JCorp) dari 1982 hinggalah 2010. Selain itu beliau juga pernah menjadi Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM).
Naskah Strategi Jihad Bisnes ini mempunyai 12 Bab antaranya:
- Jihad Bisnes Fi Sabilillah
- Transformasi Politik Prasyarat Memperkasa Ekonomi
- Jadikan Wakaf Agenda Keadilan Nasional
- Perangi Peswastaan dan Liberalisasi
- GLC + Wakaf Korporat Rapatkan Jurang Kaya dan Miskin
- Peranan Bisnes Membentuk Tamadun
Dalam kebanyakkan ucapan penulis, beliau sering melaungkan,
"Bisnes bukan sekadar mencari keuntungan tetapi bisnes adalah suatu jihad!"
"Jihad Bisnes" adalah konsep yang dibawakan oleh beliau selepas bertahun-tahun bergelumang dalam dunia keusahawanan. Beliau memperkenalkan "Jihad Bisnes" ini sebagai satu strategi untuk memangkin bangsa Melayu Islam dalam menyempurnakan bisnes yang merupakan sunnah Rasulullah s.a.w.
Mengapa dikatakan yang bisnes itu fi sabilillah?
Ulama Al-Shaibani (132-189H) ada memberikan pandangan mengenai ekonomi menerusi penulisan beliau dalam Kitab Al-Iktisab atau Kitab Perkiraan Pendapatan. Al-Shaibani adalah seorang kadi, hakim dan ulama fiqh mazhab Hanafi di zaman pemerintahan Khalifah Harun al-Rashid.
Didalam Kitab Al-Iktisab, ulama Al-Shaibani membahagikan penggunaan ekonomi (consumption) menurut Islam kepada 3 bahagian:
- Tahap asas iaitu bertujuan memenuhi keperluan asas hidup (subsistence or necessities) dan ia bertaraf ibadah. Bermaksud berdosa jika tidak disempurnakan untuk menyara kehidupan.
- Tahap kesederhanaan hidup atau "ma'aruf" (moderation) iaitu berusaha menyara kehidupan sederhana dan bukan mengejar kemewahan. Namun, bersederhana itu hendaklah berpada-pada, jangan pula jatuh kepada sifat bakhil atau kedekut berbelanja.
- Tahap mewah atau extravagance, yang dilarang dalam Islam. Walau bagaimanapun, ia bukanlah bermakna Muslim tidak harus berkerja keras menjana pendapatan melebihi tahap hidup sederhana. Dalam apa situasi sekalipun, Muslim mestilah bekerja keras dengan syarat pendapatan diperoleh tidak dibelanja untuk bermewah-mewah atau membazir. Harus diingat bahawa pendapatan tinggi yang diperolehi boleh digunakan untuk membantu orang lain ataupun untuk kebaikan sejagat.
Kesimpulan yang dibuat oleh ulama Al-Shaibani adalah menghimpun harta kekayaan menerusi usaha ekonomi iaitu termasuk bisnes, adalah satu ibadah. Dan boleh juga dijadikan sebagai usaha menuju ke jalan fi sabilillah....
Selain itu, Dr Yusuf Al-Qaradhawi juga pernah menyebut;
"Orang yang benar-benar berzuhud ialah orang yang memiliki dunia tetapi ia meletakkan dunia itu di dalam genggaman tangannya, bukan dalam hatinya."
Selain "Jihad Bisnes", penulis juga giat mempromosikan konsep "Waqaf Korporat". Beliau berpendapat adalah wajar pihak berkuasa agama membuka luas pintu wakaf untuk memudahkan dan menggalakkan organisasi besar seperti GLC, universiti, koperasi dan korporat swasta berjaya milik Melayu-Muslim untuk menubuhkan dan menguruskan Wakaf Korporat.
Beliau berkongsi 8 ciri utama Wakaf Korporat yang sepatutnya dipegang antaranya adalah:
- Entiti Waqaf Korporat mesti berteraskan syarikat. Model Waqaf An-Nur Corporation Bhd atau Awqaf Holdings Berhad boleh dijadikan contoh.
- Bertaraf waqaf dan diberi kuasa "mutawalli" (atau Nazir Khas) sebagai badan "Waqaf Korporat" oleh penguasa agama Islam.
- Boleh menerima sumbangan waqaf daripada pihak awam dan swasta sama ada dalam bentuk wang tunai, semua jenis aset fizikal atau bukan fizikal, termasuk saham, sekuriti, harta intelek dan sebagainya.
- Berpegang teguh kepada prinsip bisnes, iaitu sentiasa bertindak efisien dan dinamik, entrepreneurial, memaksimumkan keuntungan dan menambahkan nilai aset jangka panjang secara halal, adil, saksama dan menepati sepenuhnya tuntutan syariah.
- Tidak membayar dividen. Bahagian terbesar lebihan pendapatan atau keuntungan dilabur semula dengan tujuan mengembangkan keupayaan korporat dan menambah nilai jangka panjang.
- Mengamalkan good corporate governance and high transparency dalam urusan operasi perniagaan.
Basically, naskah Strategi Jihad Bisnes ini sesuai dibaca jika kita hendak mengetahui dengan lebih mendalam konsep jihad didalam perniagaan serta betapa pentingnya atau perlunya ada waqaf korporat.
Penulis banyak memberi contoh JCorp atau anak-anak syarikat mereka untuk memberi gambaran lebih jelas konsep yang diperjuangkan.
Selain itu, penulis juga berkongsi cabaran yang dilalui dalam memastikan JCorp dan anak-anak syarikat mereka sentiasa berpegang teguh dengan prinsip atau objektif penubuhan mereka, menepis gangguan atau campur tangan politik dan istana, dan memperbetulkan persepsi, mentaliti dan cara kerja para pekerja mereka.
Cuma ada beberapa perkara yang mencacatkan pembacaan naskah ini. Isi kandungan dan ayat yang berulang-ulang digunapakai di beberapa bab atau bahagian. Adakalanya, ayat-ayat tersebut sama sebiji-sebiji, which really annoying, huhu..
Second, penggunaan jargon yang kurang tepat. Naskah ini berkisar tentang dunia korporat, bisnes, ekonomi dan yang sewaktu dengannya. Oleh itu, adalah penting untuk menggunakan jargon yang betul, agar tidak menimbulkan rasa lucu dikalangan pembaca.
Third and last, ada saja kesilapan ejaan didalam buku ini. Come on... Penulis naskah ini adalah individu yang sangat hebat. Patung Beruang merasakan yang beliau sudah menulis sehabis baik. Jadi, tanggungjawab editor untuk mencantikkan karya ini dan memastikan tiada cacat cela... Kalau naskah ini diterbitkan oleh penerbit baru, mungkin boleh dimaafkan...huhuhu..
Apapun, naskah ini tetap naskah yang bagus. Banyak ilmu dan perkongsian yang boleh diperolehi dari sini. Jadi, kekurangan yang ada itu, Patung Beruang tutup mata saja lah ye, kerana ilmu yang diperolehi berkali-kali lebih bernilai berbanding kekurangannya...
Selamat membaca...
No comments:
Post a Comment