Saturday, March 7, 2020

Book Review : Da'i Disruptor

Tajuk : Da'i Disruptor

Penulis : Muharikah

Menariknya Naskah Ini : 

Ini adalah karya Muharikah yang Patung Beruang baru saja miliki. Seperti yang pernah Patung Beruang catatkan disini sebelum ini, setiap kali Patung Beruang beli karya Muharikah, pasti naskah tersebut akan dibaca dalam waktu terdekat. Kedudukannya sama macam karya Teme, dimana mereka boleh potong que buku-buku lain yang sedang menunggu giliran untuk dibaca.

Naskah Da'i Disruptor ini bercerita tentang realiti dakwah pada masa sekarang, cabaran yang dihadapi oleh para pendakwah, bezanya cara berdakwah pada masa sekarang dan sebelum ini.

Seperti tajuknya, penulis berjaya mengembangkan konsep dan pengisian naskah ini disekeliling tajuk yang diketengahkan. 

Seawal pembacaan, penulis telah menerangkan definisi dan konsep perkataan "Disruptor" dan "Da'i Disruptor" seperti dibawah: 

Disruptor itu bermaksud merobohkan dan mendatangkan sesuatu yang baru. 

Da'i Disruptor pula bermaksud:
  • Merobohkan cara fikir dan cara kerja lama yang menyekat dan melambatkan perubahan.
  • Menghubungkan cara fikir dan gerak kerja lama yang relevan kepada pemikiran dan gerak kerja yang baharu; mengisi gap antara yang baru dan lama.
  • Berinovasi dengan sesuatu yang tidak pernah difikirkan sebelum ini. 

Antara perkara yang menarik didalam naskah ini adalah oleh kerana penulis pernah tinggal di luar negara, dan ketika disana beliau juga aktif dalam kerja-kerja dakwah, penulis memperihalkan perbezaan konsep dan cara kerja dakwah di luar negara dengan di Malaysia. Konsep pelaksanaan dan pengisian usrah, matlamat mereka, penerimaan masyarakat dan impak yang terhasil dari kerja-kerja dakwah tersebut.

Konsep dakwah itu luas. Konsep tarbiah juga luas. Sayangnya, adakalanya mereka yang terlibat dengan dakwah atau tarbiah ini lebih mengejar kepada kuantiti berbanding kualiti. 

Kita asyik berbincang bagaimana untuk meramaikan lagi ahli usrah. Atau bagaimana untuk setiap usrah itu dapat mewujudkan usrah yang baru. 

Tetapi, jika pengisiannya adalah benda yang sama, cara pengisian pula membosankan, minat yang awalnya membuak-buak lambat laun akan terpadam juga. 

Sedangkan konsep dakwah itu bukan usrah semata-mata. 

Bukankah lebih baik jika da'i berbincang bagaimana untuk lebih mendekati masyarakat? Bagaimana untuk masuk ke dalam masyarakat? Atau bagaimana politik negara itu boleh dijadikan salah satu medan untuk berdakwah? 

Apa tujuan sebenar seseorang itu menjalankan kerja-kerja dakwah? 
Apa matlamat mereka?
Apa yang membuatkan mereka kekal bermotivasi?

Mengapa ada pula yang terhenti di tengah jalan? Hilang minatkah? 
Atau terasa seperti hasil yang diperolehi tidak sepadan dengan usaha yang dicurahkan selama ini? 
Atau mungkin mereka hanya ingin berehat sebentar? Merehatkan minda dan badan, agar boleh kembali focus kepada jalan dakwah? 
Atau mungkin ingin berehat sebentar kerana merasakan diri telah tersasar dari matlamat yang sepatutnya? Maka dengan berehat, perancangan untuk kembali ke laluan yang betul, dapat difikirkan..



Patung Beruang ada juga membaca buku-buku yang berkonsepkan agama. Tetapi naskah Da'i Disruptor ini bukanlah tipikal buku agama. In fact, naskah ini bukan buku agama pun. 

Naskah ini memperincikan apa yang dialami oleh pendakwah di luar sana. Mengapa ada pendakwah yang berjaya dan ketara impak dari usaha dakwahnya. Dan mengapa pula ada pendakwah yang sebaliknya.

Malah, penulis juga memberi cadangan untuk penambahbaikan kerja-kerja dakwah agar ia lebih dekat kepada masyarakat. Agar golongan pendakwah ini tidak dilihat seperti sesuatu yang alien didalam komuniti. 

Muharikah dan karya yang luar dari kebiasaan memang tidak dapat dipisahkan. Dan naskah kali ini memang di luar kebiasaan buku-buku yang ada dipasaran...

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...