Tajuk : Orkes Masyarakat Manusiawi
Penulis : Dr Maszlee Malik
Menariknya Naskah Ini :
Naskah Orkes Masyarakat Manusiawi ini Patung Beruang selesai membaca pada petang tadi, just nice before azan Maghrib. Naskah setebal 300 mukasurat ini mengambil masa beberapa hari juga lah untuk Patung Beruang habiskan.
Naskah yang dibeli di Big Bad Wolf pada bulan December 2019 mengandungi 31 artikel yang menarik dan dibahagikan kepada 6 bahagian iaitu:
- Persoalan Metod
- Masyarakat Madani : Satu Pandangan
- Isu-Isu Kemasyarakatan Dan Sudut Pandang Islam Madani
- Fiqh Kewarganegaraan Dan Islam Madani
- Isu-Isu Politik Semasa Dan Islam Madani
- Pendidikan Dan Islam Madani
Antara artikel yang menarik perhatian Patung Beruang adalah artikel ke-3 bertajuk Dimensi Madani Melalui Fiqh Taysir (Fiqh Yang Memudahkan), Dalam artikel ini penulis menyentuh tentang realiti hari ini yang menyaksikan ramai umat Islam sudah tidak berminat dengan Islam, apatah lagi yang bukan Islam. Sebab utamanya adalah kerana kejahilan dan kelemahan iman mereka. Tetapi faktor doktrin agama yang sempit juga turut menyumbang kepada trend tersebut.
Ramai kalangan umat Islam moden yang bosan melihat Islam yang disempitkan dengan hukum-hakam lama yang bersifat rigid, yang diwarisi dari zaman lampau. Akibatnya, Islam tidak dilihat sebagai penyelesaian kepada kehidupan manusia moden.
Didalam buku Taysir al-Fiqh karya al-Qaradawi ada menyatakan mengapa fiqh pada zaman moden ini perlu dimudahkan dan apa yang dimaksudkan dengan kemudahan tersebut adalah:
- Memudahkan metod yang dibawa oleh al-Quran. Sebagai contoh, ayat mengenai bersuci, Allah berfirman dalam surah al-Ma'ida ayat ke-6: "Allah tidak hendak menyulitkan kamu tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmatNya bagimu, supaya kamu bersyukur."
- Memudahkan fiqh bertepatan dengan petunjuk daripada Nabi Muhammad SAW. Meneliti keperibadian Rasulullah SAW, kita akan menyedari bahawa beliau adalah manusia yang paling memudahkan dan paling keras melawan pelampauan dan berlebih-lebihan dalam agama.
- Memudahkan fiqh adalah metod para sahabat. Contohnya, sejarah Islam telah mengenali sifat tegar Ibn Umar dan juga sifat mudah Ibn 'Abbas. Namun tiada sahabat lain yang mengingkari Ibn Abbas dan memaksanya supaya mengikuti sikap Ibn Umar. Selain itu, para sahabat memilih manhaj yang memudahkan dan meringankan kerana mereka mendapati ia ialah manhaj al-Quran dan manhaj agama ini. Seperti contoh manhaj yang mensyariatkan rukshah (keringanan) ketika sakit dan pelayaran. Juga mengharuskan tayammum bagi sesiapa yang tidak mempunyai air.
Penulis juga membincangkan Konsep Madani Daripada Sahifah Madinah (Piagam Madinah) seperti yang terkandung didalam artikel ke-17. Umat Islam tidak akan pernah lupa tentang Piagam Madinah yang merupakan dokumen politik pertama yang dihasilkan oleh Rasulullah SAW seawal hijrah Baginda dan juga para Muhajirin ke Madinah. Terdapat beberapa prinsip yang boleh difahami daripada Piagam Madinah antaranya seperti:
- Penegasan terhadap konsep ummah. Muslim daripada kalangan Muhajirin yang dianggap sebagai pendatang, dan kaum peribumi Madinah iaitu Ansar bolehlah dianggap sebagai satu ummah, iaitu ummah satu akidah.
- Negara Madinah merupakan negara terbuka yang menerima sesiapa saja yang ingin menjadi warganya, dengan syarat mereka bersama mendiami Madinah dan mempertahankannya bersama-sama dengan warga Madinah yang lain.
- Pengiktirafan terhadap realiti masyarakat majmuk. Ini dapat dilihat apabila setiap pihak yang terlibat daripada kabilah-kabilah penduduk Yathrib dan juga golongan Muhajirin disebut satu persatu dalam Piagam ini. Golongan Musryik juga diberikan pengiktirafan dan tidak pun dipaksa meninggalkan agama mereka, dengan syarat mereka perlu memberikan kesetiaan untuk membela dan mempertahankan Madinah daripada serangan musuh.
- Pengiktirafan terhadap perbezaan agama dan juga kumpulan atau pada hari ini disebut sebagai kebebasan beragama dan berkumpulan.
- Pengiktirafan terhadap konvensyen atau 'urf setempat yang tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam. Bermakna setiap pihak dibenarkan untuk mengekalkan budaya atau adat dalam urusan sesama mereka selagi ia tidak menyalahi prinsip-prinsip Islam.
- Penetapan ketua negara sebagai asas kepada sesebuah perlembagaan, yang menjadikan Rasulullah SAW sebagai sumber rujukan kepada penduduk Madinah sekiranya timbul sebarang pertelingkahan.
- Penegasan bahawa al-Quran dan sunnah merupakan sumber rujukan perundangan negara.
- Hubungan dan kerjasama diplomatik dengan pihak luar adalah urusan negara dan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya oleh kumpulan-kumpulan tertentu yang menjadi warga Madinah. Ini sebenarnya adalah satu peringatan kepada kabilah-kabilah agar menghormati prinsip bernegara dan tidak hidup dalam kepuakan.
Walaupun begitu terdapat beberapa komentar berkenaan Piagam Madinah seperti ia hanyalah dokumen ringkas berkaitan negara kota dan tidak menyediakan perbincangan komprehensif mengenai konsep bernegara seperti mana-mana perlembagaan negara moden sekarang.
Namun, Piagam Madinah yang terhasil 1400 tahun yang lalu ini sebenarnya adalah sesuatu yang unik pada zamannya, menjadi pencetus ke arah kehidupan masyarakat bertamadun yang ditegakkan atas konsep kontrak sosial dan keluhuran perlembagaan.
Selain konsep fiqh dalam Islam, kewarganegaraan dan politik, penulis juga turut menyentuh tentang sistem pendidikan di Malaysia, cabaran yang dihadapi oleh para guru dan kesannya kepada para pelajar atau generasi muda masa kini.
Penulis menegur tentang situasi hari laporan yang diadakan oleh pihak sekolah dimana ibu bapa dijemput untuk mendengar pembentangan ataupun diskusi tentang prestasi anak mereka di sekolah. Namun sedihnya, hari laporan ini seringkali dijadikan sebagai medium para guru dan ibu bapa untuk mendedahkan 1001 kelemahan dan kekurangan pelajar dihadapan pelajar tersebut. Akibatnya, terdapat ibu bapa yang tidak segan silu meluahkan kemarahan mereka kepada si anak, dihadapan guru dan mungkin juga dihadapan ibu bapa pelajar lain.
Kesannya?? Ia hanya menjatuhkan self esteem pelajar itu. Seolah-olah dirinya tiada harga diri, sangat tidak berguna sehingga menyusahkan guru-guru disekolah. Secara tidak langsung, pendekatan ini terlihat sebagai kita iaitu ibu bapa dan para guru meletakkan beban kesalahan dibahu pelajar itu semata-mata.
Ini bukanlah mentaliti dan sikap masyarakat negara maju. Di negara maju, adalah sangat tidak berintegiriti apabila guru menceritakan perkara negative tentang pelajar kepada ibu bapanya dihadapan pelajar itu sendiri. Serta sangat tidak bertamadun apabila ibu bapa memarahi apatah lagi menengking atau memukul pelajar dihadapan guru.
Penulis juga menyentuh tentang isu beban kerja para guru yang disibukkan dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya sehingga matlamat utama mereka untuk mendidik dan memberi harapan kepada pelajar agar menjadi manusia berguna yang mempunyai peranan di dalam masyarakat, tersasar.
Artikel-artikel di dalam naskah ini menarik. Walaupun topiknya pelbagai dan berat sedikit, namun ia tetap mampu dihadam oleh pembaca.
Cuma mungkin susunan artikel boleh diperbaiki kerana momentum untuk naskah ini hanya Patung Beruang perolehi apabila sudah separuh naskah dibaca. Apapun, banyak pandangan menarik dan bernas yang dikongsikan di dalam naskah ini dan ia tidak bias, baik dari segi politik, agama dan konsep kehidupan seharian.
No comments:
Post a Comment