Showing posts with label terbitan Dewan Bahasa & Pustaka. Show all posts
Showing posts with label terbitan Dewan Bahasa & Pustaka. Show all posts

Sunday, May 31, 2020

Book Review : Infitar

Tajuk : Infitar

Penulis : S.M.Noor

Menariknya Naskah Ini :

Lamanya Patung Beruang tidak update Book Review di sini. Too many things happened sampai langsung tidak berkesempatan untuk menjengah blog ini. Maaflah ye, huhu..Baiklah, kali ini Patung Beruang nak update book review karya S.M. Noor. Untuk makluman, ini adalah naskah ketiga karya S.M.Noor yang ada dalam koleksi Patung Beruang. 

Pertama kali meneliti naskah penulis ini adalah karya Pasir Lintang. Dan sejak itu jika Patung Beruang berjumpa dengan karyanya, Insya Allah, Patung Beruang akan beli. 

Infitar yang bermaksud "terbelah", adalah satu karya yang mengankat kisah perjuangan orang Melayu menentang Inggeris di Terengganu pada awal abad ke-20. 

Wan Derus, anak muda yang lahir dari keturunan orang besar seperti yang sering diingatkan oleh ibunya. Datuknya adalah keturunan pembesar Aceh dan berhijrah ke Pahang untuk memulakan kehidupan baru. Ayah Wan Derus, Wan Ali pula bersahabat dengan Tuk Bahaman, Mat Kilau dan Tuk Gajah. 

Wan Derus membesar dengan cerita-cerita tentang kehebatan dan keberanian ayahnya, Wan Ali. Ini menambahkan lagi keinginannya untuk bertemu dengan lelaki tersebut. Sayangnya, penantiannya setiap hari berakhir ketika umurnya 15 tahun. Pada suatu petang, Tuk Bahaman dan Mat Kilau muncul di halaman rumahnya, membawa khabar yang Wan Ali meninggal dunia di Pattani, ketika sedang bersolat jemaah Subuh. 

Selang beberapa bulan, ibunya pula meninggal dunia. Kini dalam usia begitu muda, Wan Derus menjadi yatim piatu. 

Selepas kematian ibunya, Wan Derus menyusur keluarga sebelah ibunya, di Pulau Duyung. Di sana, dia bertemu dengan Haji Musa, yang akhirnya menjada sahabat karibnya. 

Wan Derus melakukan pelbagai pekerjaan demi mencari pengalaman dan juga sesuap nasi. Ketika lapang pula dia akan belajar silat dengan Haji Musa. Adakalanya dia mengikuti pengajian agama Tukku Sayyid di Paluh. Ketika ini juga Wan Derus memperolehi seorang lagi sahabat karib iaitu Haji Abdul Rahman. 

Wafatnya Tukku Sayid meninggal kesan yang mendalam bukan saja kepada Wan Derus dan sahabat-sahabatnya, tetapi juga kepada Baginda Sultan Zainal Abidin, Sultan Terengganu. Baginda Sultan sedar yang ketika hayatnya Tukku Sayyid, guru agama yang tersohor ini sangat terkilan dengan sikap baginda yang berbaik-baik dengan British. Rasa terkilan itu terlihat dengan jelas apabila Tukku Sayyid menulis surat yang penuh dengan nasihat tentang kelicikan pemerintah British dan kesannya kepada baginda sultan dan rakyat jika British tetap dibiarkan bermaharaja lela di Terengganu. 

Segala-galanya bermula daripada perjanjian Siam dan Inggeris, yang berlaku diluar pengetahuan baginda sultan. Pada suatu hari, kapal Sea Belle dari Singapura tiba dan berlabuh di muara. Kapal ini rupanya membawa perutusan dari Kerajaan Siam dan juga surat dari Gabenor Negeri-Negeri Selat. Mereka ini akhirnya bertemu di Istana Maziah. Rupa-rupanya pertemuan itu bagi memberitahu yang Terengganu telah diserahkan oleh Siam kepada Great Britain. 

Penyerahan ini ditentang keras oleh baginda sultan dengan menyatakan walaupun Terengganu selalu membayar ufti kepada Siam, namun mereka tidak pernah meneriam Residen Siam. Oleh itu, tiada sebab juga untuk Terengganu menerima Residen British. Sayangnya, penentangan baginda sultan belum cukup kuat untuk menggagalkan usaha British bagi menempatkan pegawai mereka di Terengganu.  

Pegawai-pegawai British yang ada di Terengganu mula membuat pelbagai peraturan dan undang-undang yang tidak mesra dan menindas masyarakat. Antaranya larangan menebas dan menebang pokok serta sistem cukai tanah.
Selain itu, pegawai-pegawai ini juga sangat bernafsu untuk mengusai Terengganu dan melakukannya dengan sesuka hati.  Keadaan ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan orang tempatan terhadap pemerintah Inggeris yang akhirnya menyaksikan berlakunya pertumpahan darah yang cukup meruntun perasaan. 



Naskah Infitar ini membawa pembaca tentang perjuangan orang-orang tempatan di Terengganu menentang penjajah yang rakus dan zalim. Suka duka, jerih perih pembesar dan pemimpin Melayu berjuang bagi mempertahankan tanah air tercinta, bagi melindungi maruah Islam dan Melayu.  Naskah yang berat namun diolah dengan menarik sehingga kita leka menelitinya sampai ke penghujung naskah. 

Monday, February 10, 2020

Book Review : Air Mata Raja

Tajuk : Air Mata Raja

Penulis : 
1. Shaharudin Haji Ali
2. Norzailina Nordin

Menariknya Naskah Ini :
Naskah yang dibeli di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 ini baru saja Patung Beruang selesaikan pembacaannya beberapa minggu lepas. 

Patung Beruang ambil masa lebih kurang seminggu jugalah untuk selesaikan buku setebal 963 mukasurat ini. Itu pun Patung Beruang guna kaedah speed reading dan hanya mampu membaca paling lama pun 2 jam sehari. Kalaulah Patung Beruang baca words by words, rasanya sampai hari ini pun mungkin tidak habis lagi, hehe.. 

Naskah Air Mata Raja ini mempunyai 2 jalan cerita besar tetapi saling berkait antara satu sama lain. 


Jalan Cerita Pertama
Kisah pertama ini bermula pada tarikh 29 September 1509 iaitu kedatangan Portugis ke Melaka, seterusnya detik-detik kejatuhan kota tersebut ke tangan Portugis yang berlaku pada 24 Ogos 1511. Pada waktu itu, istana Sultan Mahmud Syah menjadi tumpuan. Askar-askar Portugis mengambil segala harta disitu untuk dibawa pulang ke tempat mereka. 

Sultan Mahmud Syah, kedua-dua isterinya iaitu Tun Teja dan Tun Fatimah, puteranya Raja Ahmad, serta kaum kerabat diraja yang lain lantas berundur dengan menempuh hutan tebal. Rombongan ini terpaksa melalui keadaan yang amat sukar. Bunyi haiwan liar dan kehadiran haiwan berbisa sangat menggerunkan. Tapak kaki mereka luka terkena duri, kanak-kanak menangis kelaparan dan kehausan. 

Malang menimpa rombongan ini apabila tiba sahaja di Solok Mentaja, Tun Teja isteri tua Sultan Mahmud tiba-tiba jatuh gering. Isteri muda baginda, Tun Fatimah berusaha untuk merawat Tun Teja. Namun akhirnya Tun Teja menghembuskan nafasnya yang terakhir. 

Sebelum peristiwa serangan Portugis keatas Melaka, ayah Tun Teja iaitu Tun Hamzah yang bergelar Datuk Bendahara Seri Amar Diraja Pahang telah tiba ke Melaka. Kedatangan Tun Hamzah adalah untuk membawa Raja Amar Putera, iaitu anakanda Tun Teja dan Sultan Mahmud Syah pulang ke Pahang. Pemergian Raja Amar Putera ke Pahang telah menyebabkan beliau terselamat dari serangan Portugis yang menimpa Melaka. 

Raja Amar Putera sedih dengan apa yang menimpa Melaka. Ditambah pula dengan kemangkatan bondanya, Tun Teja. Raja Amar merasakan betapa kekandanya, Raja Ahmad sangat beruntung kerana dapat bersama-sama berusaha dengan ayahanda mereka, Sultan Mahmud Syah, untuk mempertahankan Melaka. 

Selepas menyampaikan berita kemangkatan Tun Teja kepada Raja Amar Putera, Tun Hamzah menyerahkan sebilah keris berhulu gading pipit yang indah buatannya serta sepucuk surat kepada Raja Amar Putera. Rupanya surat tersebut adalah dari bondanya, Tun Teja, meminta agar Raja Amar Putera sentiasa teguh dengan ajaran Islam dan juga menjaga keris Melela Seri Panji Mahkota, hadiah dari ayahandanya, Sultan Mahmud Syah dengan sebaik mungkin. Keris dan surat itulah lambang kasih sayang ayahanda dan bonda putera raja ini. 

Selain itu, Tun Hamzah juga menyerahkan sebilah lagi keris kepada Raja Amar Putera. Keris yang diberi nama Keris Tahana ini hanya mempunyai 4 bilah saja yang sepertinya. Keris yang berukuran sejengkal ini sebenarnya telah ditempah oleh Tun Hamzah sendiri. Tujuannya adalah keris ini sebagai lambang kepada keahlian pendekar Kumpulan Mangku Raja, iaitu pendekar yang ditugaskan untuk menjaga Raja Amar Putera dan keturunannya demi memastikan kelangsungan keturunan Sultan Melaka. Keris ini bukanlah untuk dijadikan sebagai senjata, cuma lebih kepada pengenalan. Namun, ia masih tetap boleh melukakan. 

Sepucuk surat dari Tun Teja, keris Melela Seri Panji Mahkota dan juga akhir sekali adalah Keris Tahana, adalah 3 benda yang diserahkan kepada Raja Amar Putera sebagai bukti bahawa beliau adalah keturunan atau pewaris yang sah untuk kesultanan Melaka. 

Kini Raja Amar Putera mula menyedari betapa besar tanggungjawab beliau sebagai pewaris kesultanan Melaka. Beliau berazam agar satu hari nanti Melaka dapat dikeluarkan dari taklukan Portugis dan dikembalikan semula kepada mereka yang berhak. 

Beberapa bulan selepas itu, rombongan Sultan Mahmud Syah yang berundur dari serangan Portugis, akhirnya tiba di Melaka. Ketibaan keluarga diraja ini disambut gembira oleh sultan Pahang. Raja Amar Putera mengadap ayahandanya dan mempersembahkan putera beliau, Raja Jamil yang baharu berusia sebulan. Sultan Mahmud Syah terlalu gembira dengan kelahiran cucuanda baginda. 

Tidak berapa lama selepas itu, Sultan Mahmud Syah ingin berangkat ke Pulau Bentan. Raja Amar Putera memohon untuk ikut serta rombongan ayahandanya itu. Namun permintaan tersebut ditolak oleh Sultan Mahmud Syah kerana merasakan adalah lebih baik Raja Amar Putera tinggal di Pahang dan memastikan kelangsungan keturunan pewaris kesultanan Melaka. 

Akhirnya, Sultan Mahmud Syah dan Raja Ahmad mendirikan kerajaan di Pulau Bentan dan mula mengatur rancangan untuk merampas Melaka dari tangan Portugis. Walau bagaimanapun, serangan yang mereka lakukan keatas Melaka pada Julai 1512 gagal. 

Perkahwinan Sultan Mahmud Syah dan Tun Fatimah telah melahirkan Raja Alauddin. Sebagai mengotakan janji kepada Tun Fatimah, Sultan Mahmud Syah bersetuju agar Raja Alauddin dilantik sebagai Raja Muda dan akan menggantikan baginda sebagai pemerintah kerajaan di Pulau Bentan kelak apabila Raja Alauddin dewasa. Disebabkan janji tersebut, Raja Amar Putera terfikir;
Bagaimanakah nasib kekandanya, Raja Ahmad yang selama ini menjadi pembantu setia Sultan Mahmud Syah? 
Atau Raja Muzaffar, kekandanya yang lagi satu? 
Mungkin ayahandanya ada perancangan sendiri kerana melantik pengganti adalah hak mutlak sultan. 

Raja Amar Putera bersama pembantu kanannya pergi ke Melaka. Tujuan beliau adalah untuk melihat keadaan disana setelah kota itu menjadi jajahan Portugis. Bagi mengelakkan identiti sebenar dirinya terbongkar, beliau membawa barang dagangan seperti gading untuk dijual di Melaka. 

Beberapa tahun kemudian, Portugis mengalahkan Pulau Bentan dan Sultan Mahmud Syah berundur ke Kampar. Raja Amar Putera sangat ingin berjumpa dengan ayahandanya itu namun keadaan tidak mengizinkan. Isterinya seringkali tidak sihat kerana mengandungkan anak ketiga mereka. Tiba-tiba Raja Amar Putera mendapat khabar yang kekandanya, Raja Ahmad telah dibunuh. Namun sebab musabab beliau dibunuh tidak dapat dipastikan oleh Raja Amar Putera. 

Raja Amar Putera dan anakandanya, Raja Jamil bersiap-siap untuk ke Kampar bagi melawat Sultan Mahmud Syah. Sebelum itu, mereka singgah ke Melaka untuk berdagang. Barangan dagangan mereka habis terjual di Melaka kerana kebijaksanaan Raja Amar Putera bertutur didalam bahasa Portugis. Ketika mereka masih di Melaka pada tahun 1528, Sultan Mahmud Syah mangkat dan dimakamkan di Kampar. Tidak sampailah hajat Raja Amar Putera untuk berjumpa dengan ayahandanya itu.

Setelah kemangkatan Sultan Mahmud Syah, Raja Muda iaitu Sultan Alauddin Riayat Syah II dilantik sebagai sultan di Pulau Bentan. Sementara kekandanya, Raja Muzaffar Syah dilantik oleh orang-orang Perak menjadi Sultan Perak yang pertama.




Jalan Cerita Kedua
Kisah kedua ini berkisar kepada Bendahara Tun Muhammad, atau yang digelar Tun Seri Lanang, yang dititahkan oleh Paduka Seri Sultan Alauddin Ri'ayat, iaitu Sultan Johor untuk menulis kisah tentang raja-raja Melayu dengan istiadatnya, supaya menjadi rujukan untuk generasi akan datang. Buku tulisan beliau ini akhirnya dinamakan Sejarah Melayu.  

Oleh itu, pada 13 Mei 1612 bersamaan dengan 12 Rabiulawal 1020 Hijrah, bermulalah proses penulisan Tun Seri Lanang. 

Kisah pertama yang ditulis oleh Tun Seri Lanang adalah berdasarkan perbualan beliau dengan Megan Santun, seorang lelaki tua yang tinggal di kuala sungai. Tun Seri Lanang telah menghantar usungan ke rumah Megan Santun bagi membawa lelaki tua itu kerumahnya. 

Megat Santun dan cucunya, Alang Tam yang berusia lewat 50-an tinggal beberapa hari di rumah Tun Seri Lanang. Mengikut ceritanya, moyang Megan Santun pernah bekerja di istana Melaka pada zaman Sultan Mansur Syah. Walaupun banyak rahsia silam yang diceritakan oleh Megat Santun, Tun Seri Lanang tidak terus mempercayai sepenuhnya kerana ia adalah cerita turun-temurun. Ada kebarangkalian kisah-kisah tersebut telah diubah suai ataupun ditokok tambah. Tun Seri Lanang merasakan pentingnya untuk beliau mendapatkan cerita dari sumber yang lain juga agar boleh dibuat cross check. 

Tun Seri Lanang sedar jika beliau ingin menulis tentang bagaimana wujudnya kesultanan Melaka sampai lah kesaat itu, beliau perlu menceritakan asal usul kerabat itu terlebih dahulu. Oleh itu, Tun Seri Lanang bermula dengan kisah Raja Iskandar Zulkarnain, anak Raja Darab dan berbangsa Rom, yang memerintah Maqaduniah. Beliau bermula dengan kisah Raja Iskandar berjalan ke arah timur sehingga sampai di negeri Hindi. 

Negeri Hindi pada masa itu diperintah oleh Raja Kida Hindi. Apabila mendengar tentang kedatangan Raja Iskandar Zulkarnain, Raja Kida Hindi mengumpulkan orang-orangnya untuk berperang demi mempertahankan negara. Peperangan tersebut akhirnya dimenangi oleh Raja Iskandar Zulkarnain dan beliau menyuruh Raja Kida untuk memeluk Islam. 

Raja Kida berhasrat mengahwinkan puterinya, Syahr Al-Bariyah dengan Raja Iskandar. Hasrat tersebut disampaikan kepada Nabi Khidir agar menjadi orang tengah antara Raja Kida dan Raja Iskandar. Perkahwinan Raja Iskandar Zulkarnain dan Syahr Al-Bariyah dikurniakan bayi lelaki yang dinamakan Raja Arasynthun Syah. Setelah Raja Kida Hindi meninggal dunia, takhtanya diduduki oleh Raja Arasynthun Syah selama 355 tahun.

Selepas Megat Santun, Tun Seri Lanang juga mencatat cerita yang dikisahkan oleh Nyang Leh, seorang lelaki yang berumur 100 tahun lebih. Nyang Leh memulakan cerita dengan kisah Demang Lebar Daun iaitu seorang raja di Palembang. Selain itu, kisah di Bukit Seguntang yang melibatkan Uwan Empuk dan Uwan Malini juga turut dikongsi oleh lelaki tua ini. Di Bukit Seguntang inilah kisahnya padi berbuah emas, berdaun perak dan berbatang tembaga suasa. Malah tanah di puncak bukit itu pun menjadi emas. 

Nyang Leh juga berkongsi kisah pembukaan negeri yang bernama Singa Pura oleh Seri Teri Buana dan kisah todak melanggar Singa Pura. 

Pelbagai peristiwa dan pengalaman ditempuh oleh Tun Seri Lanang dalam proses beliau untuk mendokumenkan sejarah keturunan kesultanan Melaka. Dimana saja beliau terdengar sumber yang boleh dipercayai, pasti beliau akan berusaha untuk berjumpa dengan individu tersebut untuk mendengar cerita yang ingin dikongsikan. Dari pelbagai sumber ini lah, Tun Seri Lanang mendapat gambaran yang lebih jelas berkenaan segala peristiwa yang berlaku pada masa dahulu. Selain itu, pernah juga sumber yang ditemui oleh Tun Seri Lanang itu bersifat aneh dimana lelaki tua yang hadir tiba-tiba di suatu lewat malam, berusaha bercerita sehingga sebelum subuh, dan seterusnya tergesa-gesa meninggalkan Tun Seri Lanang dan pembantunya pada ketika itu juga, rupa-rupanya telah meninggal dunia beberapa tahun lepas. Apakah yang berlaku sebenarnya hanya Allah swt sahaja yang tahu. 



Pada pandangan Patung Beruang, naskah ini sangat berat sebenarnya. Berat dari segi fizikal (kerana bilangan mukasurat yang hampir mencecah 1,000) serta berat dari segi pengisiannya.  Kisah sejarah yang panjang ini memerlukan penumpuan yang tinggi oleh pembaca. 

Walau bagaimanapun, kedua-dua penulis sangat bijak apabila menyusun bab berselang-seli antara Jalan Cerita Pertama dan Jalan Cerita Kedua. Maka, pembaca tidak bosan disebabkan cerita yang panjang serta ia juga mewujudkan sifat ingin tahu apa yang berlaku seterusnya. 


Untuk pertama kalinya Patung Beruang menggunakan sticky notes yang banyak untuk sebuah buku. 

Sticky notes tersebut adalah tanda untuk peristiwa-peristiwa yang penting dan kewujudan watak-watak yang penting. Patung Beruang lakukan agar diri tidak hilang punca ataupun lost ketika pembacaan. 


Air Mata Raja ini boleh diibaratkan seperti buku teks yang memperihalkan asal usul keturunan kesultanan Melaka, berkembang sehingga kehidupan generasi mereka yang seterusnya, dari satu generasi ke satu generasi sehinggalah akhirnya ke zaman moden iaitu tahun 1990-an. Dalam tempoh masa tersebut, banyak diceritakan peristiwa-peristiwa sejarah yang berlaku seperti penjajahan Portugis, British, Jepun, penubuhan Negeri-Negeri Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat, pembunuhan residen Inggeris iaitu J.W. W. Birch, Perjanjian Pangkor, durbar yang pertama, Malayan Union dan peristiwa kemerdekaan Tanah Melayu.

Didalam naskah ini juga diceritakan bahawa pewaris sebenar keturunan Sultan Melaka merahsiakan identiti mereka dari diketahui umum. Sebab mengapa ia dirahsiakan, mungkin atas faktor keselamatan, faktor yang ia akan mengubah sejarah secara keseluruhannya ataupun faktor yang mereka sedar bahawa sukar untuk membuktikan kesahihan cerita mereka setelah beratus-ratus tahun peristiwa itu berlaku. 

Untuk Tun Sri Lanang pula, kisah beliau didalam naskah ini berakhir disaat pemerintahan beliau di Samalanga berusia 44 tahun. Untuk makluman, Samalanga adalah sebuah daerah di timur Banda Aceh. Keseluruhan Sejarah Melayu tulisan beliau berjumlah sebanyak 204 muka surat. Pada tahun 1638, Nuruddin al-Raniri mula mengarang Bustan al-Salatin yang bermakna "Kebun Segala Raja-Raja" dan menjadikan naskah Sejarah Melayu sebagai rujukannya. 


Usai pembacaan naskah Air Mata Raja ini, Patung Beruang tertanya-tanya apakah sumber yang digunakan oleh penulis dalam menghasilkan naskah ini. Adakah naskah ini mengandungi fakta sepenuhnya ataupun sudah diadun dengan fiction?

Entahlah.. Sukar untuk Patung Beruang jawab persoalan ini melainkan dengan bertanya kepada penulis itu sendiri ataupun memeriksa cerita didalam naskah ini dengan fakta sebenar / bertanya pada pihak yang arif. 

Apapun ia adalah naskah yang sangat bagus, sedap, informatif dan lain dari lain. Dengan harga RM55 sebuah, Patung Beruang merasakan ia adalah underprice jika dibandingkan dengan isi kandungannya dan pengalaman yang bakal diperolehi oleh pembaca... Semoga naskah ini mendapat tempat di hati ramai pembaca di luar sana. Aamiin...  

Sunday, August 18, 2019

Book Review: Lembah Kencana

Tajuk : Lembah Kencana

Penulis : Osman Ayob

Menariknya Naskah Ini: 

Naskah Lembah Kencana ini mempaparkan kehidupan pesawah di Kedah sekitar tahun 1900. Pada masa itu, pembinaan terusan Wan Mat Saman sedang giat dijalankan, dengan kerjasama penduduk di kampung-kampung yang terlibat. 

Pada masa itu, aktiviti persawahan bergantung sepenuhnya kepada kerbau dalam membajak sawah. Ini menyebabkan kerbau dianggap aset yang amat penting pada setiap keluarga disitu. 

Bagi masyarakat petani, memiliki sawah bendang yang luas dianggap lambang status, kuasa dan harga diri. Sawah bendang yang menjanjikan kelangsungan hidup masyarakat di Kedah, turut menjadi harta warisan kepada anak cucu. 

Watak utama didalam naskah ini adalah Daim, seorang anak nelayan namun kini bertukar menjadi pesawah, setelah berkahwin dengan Tijah. Demi mengambil hati Penghulu Hasyim, Daim telah membantu pak longnya, Tuk Dauh, untuk mengorek terusan Wan Mat Saman. Setelah kerja-kerja mengorek selesai, Daim diberi tawaran memugar tanah untuk dijadikan bendang. 

Setelah berjaya menyukat 25 relung tanah yang dipenuhi semak samun, maka bermulalah perjuangan Daim untuk menukar tanah tersebut menjadi kawasan tanaman padi. Usaha keras Daim itu menarik perhatian rakan-rakan sekampung mereka seperti Endut, Ripin dan Jusuh Pendekar untuk sama-sama membuka tanah dengan kebenaran Tok Penghulu. 

Setiap pekerjaan pasti ada dugaan dan cabarannya yang tersendiri. Begitu juga dengan pesawah. Ancaman burung, serangga dan juga angin ribut yang memusnahkan padi mereka adalah antara dugaan yang dihadapi oleh orang-orang kampung pada masa itu.

Tidak kurang juga dengan tabiat berjudi yang menebal di kalangan segelintir penduduk kampung. Malah, ada antara mereka merasakan yang berjudi itu sudah sebati dengan diri mereka sehingga sanggup melupakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Sawah terbiar, ternakan kelaparan. Segala urusan mencari rezeki dicampakkan ke bahu isteri seorang diri tatkala si suami leka menimbang untung rugi nasib diri di gelanggang judi. Barang kemas habis tergadai. Malah, jika terdesak, sanggup mencuri kerbau atau ternakan penduduk lain untuk dijadikan modal berjudi. 



Meneliti naskah Lembah Kencana ini seperti menonton filem hitam putih pula, hehe.. 

Suasana kampung di zaman dahulu, kehidupan para penduduk yang jauh dari kemodenan, susah payah kehidupan mereka dan juga mentaliti mereka yang terbahagi kepada 2, satu ingin merubah kedudukan keluarga ke arah yang lebih baik. Dan satu lagi adalah mentaliti asal cukup. Asal cukup makan untuk hari ini, sudahlah. Apa yang berlaku pada esok hari, biarkan lah. Ironinya, mentaliti itu masih wujud pada masyarakat kita pada zaman ini. Walaupun, tidak semuanya, namun masih ada...

Jujurnya, sebab Patung Beruang memilih naskah ini ketika di Pesta Buku kerana tertarik dengan jalan ceritanya. Mungkin juga kerana Patung Beruang sudah bosan dengan kisah kehidupan di zaman kini. Sesekali, teringin juga untuk kembali ke masa lampau walaupun hanya melalui pembacaan. Dan ternyata pilihan Patung Beruang tidak silap.. Alhamdulillah... 

Thursday, September 6, 2018

Book Review: Seri Dewi Malam

Tajuk : Seri Dewi Malam

Penulis : Affifudin Haji Omar

Menariknya Naskah Ini: 

Pertama kali melihat tajuk naskah ini, Patung Beruang teringat yang memang ada sebuah lagu lama bertajuk Seri Dewi Malam. Tapi, jangan ditanya siapa penyanyinya dan tahun bila ya? Jujurnya Patung Beruang tidak tahu jawapannya, hehe.. 

Seri Dewi Malam membawa kita kepada tahun 1950-an. Mengisahkan Rohana, anak gadis sulung Encik Fazil, seorang pekerja kerajaan, yang menetap di Jitra. 

Pada masa itu, pekerja kerajaan sudah dianggap golongan berada dan ada kelas tersendiri memandangkan majoriti penduduk adalah golongan pesawah dan petani sahaja. 

Rohana yang cantik dan mempunyai suara merdu menjadi kegilaan remaja lelaki. Namun, hatinya terpaut pada Aziz, anak kampung, dari keluarga petani. 

Aziz digambarkan sebagai pelajar pintar, aktif didalam sukan ragbi, berbudi bahasa dan mempunyai paras yang menarik. Ciri yang cukup untuk membuat Rohana jatuh hati padanya. 

Percintaan Rohana dan Aziz ditentang oleh Encik Fazil dengan alasan perbezaan status dan latar belakang keluarga. 

Tamat sekolah, Aziz melanjutkan pelajaran ke universiti dalam bidang sains. Rohana pula menuntut di kolej kejururawatan. 

Disebabkan tipu muslihat Syed Munawir, orang kaya yang mata keranjang dan juga Nasir, sepupu Rohana yang kaki judi, Rohana dipaksa untuk berkahwin dengan Syed Munawir. Perkahwinan tersebut disokong oleh En Fazil walaupun dibantah oleh isteri dan anaknya yang lain. 

Perkahwinan Rohana dan Syed Munawir tidak bahagia. Rohana sering didera mental dan fizikal. Kelakuan Syed Munawir yang kasar, kaki botol dan kaki perempuan, serta sikap jahat adik-beradik perempuan Syed Munawir membuatkan Rohana sering berendam air mata. 

Dari perkahwinan mereka, lahirlah Fauziah, satu-satunya anak Syed Munawir dan Rohana. Kelahiran Fauziah mengubah sikap dan layanan Syed Munawir terhadap Rohana namun sayangnya perubahan tersebut hanya sementara. 

Aziz pula yang terlalu kecewa dengan perkahwinan Rohana dan Syed Munawir, menyebabkannya berusaha lebih keras didalam pelajaran. Selepas tamat pengajian, Aziz menerima biasiswa untuk menyambung pengajiannya ke peringkat lebih tinggi di Amerika Syarikat. 

Maka, bermulalah kehidupan Aziz sebagai penuntut di luar negara.

Di Amerika, Aziz bertemu dengan Shazlin, gadis Indonesia yang dikenalinya ketika Aziz berkunjung ke Sumatera, untuk menjejak susur galur keluarga ayahnya. Rupa-rupanya Shazlin juga melanjutkan pelajaran di daerah yang sama dengan Aziz. 

Aziz kini menempa nama sebagai seorang saintis yang hebat. Namanya di kenali di peringkat antarabangsa. Anak melayu yang mengharumkan nama Malaysia. Namun, ada suatu rahsia besar yang disimpan Aziz selama bertahun-tahun. Rahsia yang bakal memakan diri Aziz dan Rohana akhirnya...



Naskah Seri Dewi Malam ini mempunyai 3 watak utama iaitu Aziz, Rohana dan Syed Munawir. Naskah ini mempersembahkan perjalanan kehidupan ketiga-tiga watak ini dari tahun 1950an sehinggalah ke tahun 2009. 

Sepanjang pengembaraan, pembaca akan kerap tertanya-tanya apakah sebenarnya rahsia besar yang disimpan oleh Aziz dan Rohana selama ini? 

Percintaan Aziz dan Rohana penuh dengan dugaan. Walau setelah berkahwin, Rohana masih lagi mengharap kepada Aziz. Namun, setelah tersedar kedudukannya sebagai isteri Syed Munawir dan keluarga itu dilanda musibah, Rohana menumpukan sepenuh perhatiannya pada keluarga. Baginya, Aziz hanyalah mimpi yang tidak mungkin menjadi kenyataan. Dan ini membuatkan pembaca tertanya, adakah memang mereka ditakdirkan untuk tidak berjodoh sehingga ke akhir hayat? 

Watak Rohana digambarkan sebagai seorang wanita yang kuat. Zahir dan batinnya terseksa kerana sikap Syed Munawir dan keluarga. Namun, setiap kali Syed Munawir  tersungkur, Rohana pasti setia berada disampingnya, membantunya untuk bangun kembali. Rohana menanggung penderitaannya seorang diri. Tiada tempat bercerita dan meluah rasa. Dan disebabkan itu, tatkala jiwanya goyah, Rohana akan melarikan diri, memandu sejauh yang mampu di tengah malam sehingga keesokkan harinya. Baginya, itu sahaja terapi yang mampu menenangkannya buat sementara waktu. 

Pengakhiran naskah ini boleh dijangka. Mungkin kerana diawal penceritaan, bahagian "Prolog" yang disajikan itu telah memberi banyak petunjuk kepada pembaca. Cuma yang menjadi persoalannya adalah bagaimana "Prolog" tersebut menjadi kenyataan.... 

Tuesday, July 10, 2018

Book Review: Srengenge

Tajuk : Srengenge

Penulis : Shahnon Ahmad

Menariknya Naskah Ini: 

Pertama kali Patung Beruang melihat naskah ini adalah di reruai Dewan Bahasa & Pustaka ketika PBAKL 2017. Malangnya, ketika itu Patung Beruang merasakan yang sudah terlalu banyak buku yang dibeli pada hari itu. Jadi, hajat untuk memiliki naskah ini dipendamkan sahaja. 

Tahun ini, Alhamdulillah, rezeki Patung Beruang untuk memilikinya. 



Srengenge adalah sebuah bukit yang terletak di sebuah kampung di Sik, Kedah. Srengenge yang kaya dengan merbau, meranti, pinang, rotan serta dihiasi juga oleh hidupan lain seperti gajah, harimau, pelanduk, landak, tekukur dan punai.

Kebanyakkan penduduk kampung adalah pesawah, ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Masa lapang banyak dilepaskan begitu sahaja. Tidak kurang juga penduduk kampung yang gila menjerat pelanduk atau meracik tekukur. 

Bagi Awang Cik Teh, Srengenge itu tidak mendatangkan kebaikkan kepada orang kampung melainkan kemudaratan semata-mata. Manakan tidak, Srengenge dipuja, diberi makan oleh orang kampung dengan harapan hidup mereka sentiasa tenang dan aman. Oleh itu, Awang Cik Teh berhasrat untuk menutuh bukit itu dan digantikan dengan tanaman pisang, timun, ubi dan paling tidak pun menjadikannya sawah untuk menanam padi bukit. 

Isterinya, Keghesum hanya menurut sahaja. Sudah masak dengan perangai Awang Cik Teh, setiap apa yang dirancang, pasti akan dilakukannya walaupun mendapat tentangan. 

Seperti dijangka Keghesum, cadangan dan niat Awang Cik Teh mendapat tentangan orang kampung, termasuklah Imam Hamad, anak saudaranya sendiri. Imam Hamad sedar, jika Srengenge ditumbangkan, maka hilanglah tempat untuknya meracik burung. 

Tragedi bermula apabila Jebat, tekukur kesayangan Imam Hamad tewas di gelanggang Srengenge. Imam Hamad sangat marah sehingga nekad untuk mengumpulkan orang kampung bagi tujuan memugar Srengenge. Perubahan keputusan yang menghairankan Awang Cik Teh namun dalam masa yang sama beliau gembira kerana akhirnya cadangannya diterima oleh Imam Hamad. 

Malangnya belum sempat Srengenge dipugar, Imam Hamad jatuh sakit, meracau sehingga tidak sedarkan diri. Orang kampung mula gusar kerana merasakan penyakit Imam Hamad ini ada kaitan dengan ketegasannya untuk memugar Srengenge. Mungkin, penunggu Srengenge sedang marah kerana tempat tinggal mereka terancam. Mungkin juga Imam Hamad ada tersalah laku ketika Jebat sedang berlawan di gelanggang. Atau mungkin juga Jebat yang mati terseksa datang menghantui Imam Hamad atas kebiadapan tuannya itu.

Orang kampung nekad Srengenge harus dipujuk. Hanya dengan cara itu, Imam Hamad akan sembuh. Namun... Allah lebih tahu takdir terbaik buat Srengenge, Imam Hamad dan penduduk kampung sekalian. 



Novel Srengenge ini pertama kali diterbitkan pada 1973. Mengambil latar belakang sebuah kampung melayu yang masih mundur dan berpegang kuat pada kepercayaan animisme. Maka, kepercayaan antara kuasa Allah itu mengatasi segala-galanya bercampur aduk dengan kepercayaan yang diwarisi turun-temurun. 

Watak Awang Cik Teh digambarkan sebagai seorang lelaki tua yang berpandangan jauh, melangkaui kebanyakkan penduduk kampung. Awang Cik Teh berdepan kesukaran untuk mengubah sikap dan pandangan penduduk kampung yang sudah terbiasa dengan kehidupan sekadarnya. Bagi mereka, kehidupan dikampung adalah yang terbaik maka, sebarang perubahan tidak dialu-alukan. 

Namun, Awang Cik Teh sedar yang beliau mempunyai senjata rahsia iaitu, anak saudaranya Imam Hamad. Imam Hamad dianggap ketua dikalangan penduduk. Oleh itu, segala kata-katanya pasti akan diterima tanpa bantahan. Bagi Awang Cik Teh, jika Imam Hamad dapat dipujuk untuk menyertainya, bermakna seluruh kampung turut bersamanya. 

Meneliti naskah Srengenge seperti kembali ke zaman silam. Nama-nama watak yang digunakan, kehidupan dan persekitaran yang digambarkan, segala-galanya klasik. Yang tidak berubah mungkin sikap masyarakat Melayu itu sendiri, tidak gemar pada perubahan, mudah berpuas hati dan mudah terikut-ikut tanpa meneliti baik buruk setiap pilihan yang ada. 

Monday, February 12, 2018

Book Review: Ceritera Dari Pinggir Taman

Tajuk : Ceritera Dari Pinggir Taman

Penulis : Baharuddin Kahar

Menariknya Naskah Ini: 

Naskah Ceritera Dari Pinggir Taman ini sebenarnya Patung Beruang beli pada tahun 2016, ketika menghadiri sebuah pesta buku. Pulang ke rumah, seperti kebiasaannya, Patung Beruang akan terus balut buku yang dibeli dengan plastic. Naskah ini juga tidak terkecuali. Dan selepas itu, ia elok terletak di rak buku. 

Tidak berapa lama selepas itu, oleh kerana terlalu banyak buku-buku yang belum dibaca tetapi elok tersusun di rak buku sehingga rak tersebut kehabisan ruang, Patung Beruang decide untuk simpan buku-buku yang belum berusik itu didalam kotak. Dan selepas itu, kotak itu tidak terusik selama beberapa ketika.

Baru-baru ini, ketika Patung Beruang mengemas bilik, Patung Beruang terjumpalah kotak ajaib ini. Perasaan seronoknya berjumpa dengan kotak yang berisi buku-buku baru ini sama seperti perasaan terjumpa harta karun, hehe..

Makanya, ini adalah buku pertama yang Patung Beruang keluarkan dari kotak tersebut untuk Patung Beruang baca. Semoga Patung Beruang dapat habiskan pembacaan semua buku-buku didalam kotak tersebut, pada tahun ini juga, Aamiin... (supaya Patung Beruang tidak akan rasa bersalah jika hendak membeli buku lagi.. ) 

Naskah Ceritera Dari Pinggir Taman membawa kita kepada watak utama  bernama Rasdi, seorang anak tunggal yang lahir dari keluarga ternama dan kaya-raya. Lahirnya, Rasdi kelihatan sempurna. Berwajah tampan, kaya-raya, mempunyai ibu bapa yang hebat dan ternama. Hakikatnya, hidup Rasdi tidaklah sebahagia yang disangka. Walau mempunyai pelbagai kelebihan, Rasdi diuji dengan kelemahan didalam akademik, mempunyai ibu bapa yang sentiasa sibuk dengan urusan perniagaan dan persatuan, serta mempunyai ibu yang garang dan tidak bertimbang-rasa. Rasdi lebih banyak menerima perhatian dan kasih sayang dari orang gaji dan tukang kebun. Baginya, itulah keluarganya. Mahligai yang indah tidak mampu menutup kesunyiaan dan kesedihan hati anak muda ini. 

Di sekolah, Rasdi berkenalan dengan Patricia, seorang gadis Serani yang cantik dan lincah. Patricia tinggal bersama ayahnya, Mr Paul, seorang ketua gereja di Ipoh dan ibu tirinya, Mama Tracy. Kehidupan Patricia lebih kepada urusan akademik dan juga minatnya terhadap music. Seperti Rasdi, Patricia juga mempunyai masalah dirumah. Ayahnya, Mr Paul sering kali menjadikan Patricia sebagai sasaran kemarahannya. Semuanya berpunca apabila ibu kandung Patricia nekad untuk meneruskan minatnya didalam dunia hiburan, dan jatuh cinta kepada lelaki lain dan akhirnya keluar dari rumah meninggalkan Mr Paul dan Patricia. Maka, semenjak hari itu, Mr Paul seakan berdendam dengan ibu kandung Patricia sehingga seringkali mengutuk wanita tersebut dihadapan Patricia. 

Persahabatan Rasdi dan Patricia membuahkan bibit-bibit cinta didalam hati dua remaja ini. Namun, kisah cinta mereka berdepan dengan ranjau berduri. Di sebelah Rasdi, ibunya bercadang untuk menjodohkan Rasdi dengan Sharifah Sriwani, anak kenalan rapatnya. Oleh itu, kehadiran Patricia sangat tidak dialu-alukan oleh ibu Rasdi. Sedangkan dalam masa yang sama, Sharifah Sriwani mempunyai agenda jahat terhadap Rasdi dan Patricia. 

Di sebelah Patricia pula, Mr Paul semakin berang tatkala mengetahui perhubungan Patricia dan Rasdi. Ia amat memalukan dirinya apabila anak perempuannya bercinta dengan pemuda Muslim dan sanggup memeluk agama Islam. Dalam masa yang sama, Ricky, seorang lelaki Serani amat meminati Patricia dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan gadis itu walaupun terpaksa menggunakan kekerasan. 

Kemuncak perhubungan mereka apabila pasangan ini melarikan diri dari rumah, dan seterusnya membawa kepada kemalangan sehingga menyebabkan Patricia cedera parah dan Rasdi pula dituduh membunuh Ricky. Namun, setelah beberapa lama berlangsungnya sesi perbicaraan, pihak mahkamah memutuskan Rasdi tidak waras dan harus dihantar ke Rumah Sakit Jiwa. Maka, bermulalah kehidupan Rasdi sebagai pesakit mental. 



Kisah Ceritera Dari Pinggir Taman ini sebenarnya adalah sebuah kisah percintaan yang tragik. Halangan keluarga, perbezaan agama, budaya dan status serta kehadiran orang ketiga mewarnai percintaan Rasdi dan Patricia. 

Selain itu, penulis juga berjaya menonjolkan konflik dan permasalahan yang dihadapi oleh watak-watak didalam naskah ini seperti keluarga kaya namun kurang kasih sayang yang dihadapi oleh Rasdi, penderaan mental dari ibu kandung sendiri, keluarga miskin dan bahagia seperti Aziz dan juga keluarga yang terlalu melindungi anak sendiri seperti Sharifah Sriwani. 

Di hujung-hujung perceritaan, penulis membongkarkan sebab musabab mengapa ibu Rasdi berperangai pelik dan sering naik angin tidak tentu pasal. Ia adalah berpunca dari rasa bersalah dan menyesal terhadap arwah datuk Rasdi, yang disimpan oleh wanita ini berpuluh-puluh tahun lamanya. Benarlah kata orang, hati yang gundah itu hanya akan memakan diri sendiri tanpa disedari oleh tuan punya badan. 

Naskah ini mempunyai pengakhiran yang hebat dimana plot twist yang direka oleh penulis amat menjadi. Jujurnya, sepanjang meneliti naskah ini, Patung Beruang tertanya-tanya apakah pengakhirannya kerana terlalu banyak hint yang diberi sehingga membolehkan ia mempunyai beberapa pengakhiran yang berbeza versi. 

Cuma yang memeningkan Patung Beruang adalah peralihan tempoh masa yang berlaku didalam naskah ini sangat pantas. Adakalanya babak itu berlaku di zaman Rasdi masih bergelar pelajar, adakalanya ketika Rasdi telah tamat belajar, adakalanya ketika Rasdi berkeadaan tidak waras dan hidup didalam dunianya sendiri dan adakalanya pula ketika zaman sekarang dimana Rasdi telah dewasa dan berumur 30-an. Aduh... peningnya Patung Beruang.... 

Sunday, November 26, 2017

Book Review: Bermalam Di Rumah Tuhan

Tajuk : Bermalam Di Rumah Tuhan

Penulis : Jaafar Hasny 

Menariknya Naskah Ini:

Bermalam Di Rumah Tuhan ini adalah buku yang terbaru yang Patung Beruang habiskan pembacaannya sebelum tidur malam tadi. Naskah ini adalah buah tangan dari gerai Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) ketika Patung Beruang mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 yang berlangsung pada pertengahan tahun hari itu. 

Basically, naskah ini membawa pembaca kepada seorang lelaki tua yang kakinya tempang dan hidup sebatang kara. Lelaki yang tidak bernama ini kematian isteri dan tidak mempunyai anak. Hidup menumpang di sebuah pondok di sebuah kampung di Terengganu, selama berpuluh-puluh tahun. Pekerjaan sehariannya adalah menggali kubur serta mengambil upah membuat kerja-kerja kampung. Tidak mewah namun cukuplah rezekinya sekadar memberi makan kepada diri sendiri. 

Pada suatu hari, lelaki tua ini diberitahu yang tuan tanah tapak pondoknya, berkeinginan untuk mengambil semula tanah tersebut untuk tujuan pembangunan. Menyedari kedudukan diri yang tidak mempunyai hak walau secebis pun diatas tanah tersebut, lelaki tua ini nekad untuk meninggalkan pondok tempatnya berteduh dan mengembara diatas bumi Allah ini. 

Diawal pagi, beliau memulakan langkahnya. Mujur ada pengguna jalanraya yang sudi untuk menumpangkannya. Lelaki tua ini mengembara sehingga berjumpa dengan surau atau masjid di kawasan kampung, lalu berhenti untuk menunaikan solat dan seterusnya berehat. 

Berhenti sebentar di rumah-rumah Allah telah memberikan 1001 pengalaman kehidupan yang menarik kepada lelaki tua ini. Rutin hariannya kebiasaannya sama sahaja. Menjejakkan kaki di rumah Allah tatkala waktu solat Maghrib. Bersolat jemaah untuk Maghrib dan Isyak. Mengikuti kuliah Isyak sebagai salah satu peluang untuk dirinya menimba ilmu. Usai kuliah, berbual dan bertegur-sapa dengan jemaah yang merupakan sahabat barunya, sekaligus meminta izin untuk menumpang bermalam di rumah Allah itu. Dan keesokannya, sebelum fajar lagi, lelaki tua ini telah bangkit. Memulakan hari dengan membersihkan tandas, kawasan wudhu serta persekitaran masjid atau surau yang ditumpanginya. Seterusnya, menunaikan solat Subuh berjemaah dan selepas itu, menyambung semula baktinya dengan membersihkan kawasan perkuburan yang berada berdekatan masjid atau surau tersebut. Jika berlaku kematian, lelaki tua ini tidak kedekut untuk menyumbangkan kudrat bagi membantu menggali liang lahad untuk kegunaan jenazah. 

Tutur kata dan tingkah-lakunya amat disenangi oleh para jemaah, bilal dan imam di rumah Allah yang ditumpanginya. Rumah Allah dan persekitarannya terjaga bersih selari dengan tuntutan Islam yang amat mementingkan kebersihan. Dan setelah beberapa hari, lelaki tua ini akan keluar untuk menyambung pengembaraannya. Berjalan sejauh yang mampu sehingga berjumpa dengan masjid atau surau lain yang menarik hatinya untuk tumpang berteduh walau sehari dua. 

Didalam pengembaraan ini, lelaki tua berjumpa dengan pelbagai ragam dan kerenah manusia. Ada yang cantik, ada yang jelik. Ada yang sedih, ada yang gembira. Ada yang waras, ada yang gila. 

Pernah suatu malam, tatkala sedang berteduh diwakaf, lelaki tua ini mendengar sayup-sayup suara dari kawasan kubur berdekatan. Naluri ingin tahu membawa lelaki tua ini kepada suara-suara tersebut. Bukannya orang yang sudah mati hidup semula, namun orang yang hidup sedang memuja orang yang sudah mati demi mendapatkan nombor ekor. Sedih sekali. Manalah ada manusia yang kaya dengan berjudi. Semakin papa kedana adalah. Tanpa membuang masa, lelaki tua mencampakkan sebatang kayu kearah orang-orang yang sedang melakukan upacara pemujaan itu. Kayu yang betul-betul jatuh dihadapan mata mereka menyebabkan mereka terkejut dan membuka langkah seribu, meninggalkan pusara dan segala alat pemujaan. Manusia yang rugi kerana sanggup menyekutukan Allah demi mencari harta kekayaan. 

Di suatu tempat, bilangan jemaah terlalu sedikit sedangkan jika dilihat, banyak sahaja rumah-rumah di kawasan kampung tersebut. Akhirnya lelaki tua diberitahu yang terdapat sebuah lagi masjid, tidak sampai beberapa kilometer dari masjid itu. Hairan, mengapa 2 masjid didirikan didalam jarak yang dekat. Rupa-rupanya masyarakat kampung telah berpecah dua akibat dari perselisihan faham dua buah keluarga. Maka, ikatan kekeluargaan yang kukuh asalnya, semakin longgar dan bakal terlerai. Perselisihan yang tercetus telah menjangkiti masyarakat kampung dan hasilnya, kampung yang sama namun jemaahnya berbeza. Kampung yang sama namun penduduknya saling bermasam muka. Kampung yang sama, namun tidak bertegur sapa. Kampung yang sama dimana semuanya menganuti agama yang sama. Sayang sekali...

Semua orang ingin masuk Syurga. Hatta, mereka yang jahat pun tetap berkeinginan untuk masuk Syurga. Maka, berduyun-duyun manusia mencari siapakah tok guru yang patut mereka ikuti, agar dapat menjamin tempat mereka di Syurga. Didalam keghairahan mencari tok guru, mereka meletakkan syarat, hendak masuk Syurga mestilah taat pada tok guru, tidak perlu bersembahyang, tidak perlu berpuasa, cukup sekadar niat untuk melakukan ibadah itu dan seterusnya berzikirlah dengan sepuas-puasnya. Jika tok guru gembira, mereka pasti dapat masuk Syurga. Tidak sempat untuk menunaikan haji atau umrah? Oh.. tidak mengapa. Tok guru sudah bina monumen kaabah dihadapan markas. Buat sahaja haji dan umrah disitu. Sudah pasti dapat pahala. 

Ajaran sesat yang berlaku dihadapan mata lelaki tua benar-benar menguji kesabarannya. Bagaimana mereka boleh terpengaruh dengan tok guru sesat ini?  Mujur selang beberapa hari, pihak berkuasa menyerbu markas tersebut setelah mendapat laporan dari orang kampung. Ramai yang ditangkap dan dibawa ke pusat tahanan. Mereka ini akan diberi kaunseling bagi menyedarkan kekhilafan yang telah dilakukan dan seterusnya didedahkan dengan ajaran Islam yang sebenar. Syurga Allah itu mahal harganya. Berhati-hatilah dalam memilih kerana takut bukan kebenaran yang ditemui, malah terus terjerumus didalam kesesatan yang nyata. 



Secara kesimpulannya, naskah Bermalam di Rumah Tuhan ini banyak mencerminkan keadaan semasa yang berlaku didalam masyarakat Islam di Malaysia. 

Anak-anak yang bebas tidak terkawal kerana ibu bapa sangat mempercayai mereka. Ibu bapa yang ghairah menyanjung dan memuja anak-anak sedangkan perangai jelik anak-anak ini sudah tersebar merata-rata. Berpuak-puak atas nama politik sehingga agama dan perpaduan masyarakat tergadai. Ingin hidup senang didunia dan akhirat namun malas berusaha dan lebih gemar kepada jalan singkat. Golongan yang bertopengkan agama demi memuaskan nafsu sendiri. Golongan pendakwah yang ghairah untuk berdakwah kepada orang luar sedangkan tanggungjawab terhadap keluarga diabaikan secara terang-terangan, dikhianati hak isteri dan anak-anak dengan alasan keluar berdakwah itu lebih penting dari segala-galanya yang ada didunia ini. Golongan yang rakus mengumpul harta demi kelangsungan keturunannya sendiri sehingga terlupa halal haram, terlupa hak dan batil. Anak-anak yatim yang terbiar sepi tanpa sedikit pun dipedulikan oleh masyarakat setempat. Generasi muda yang leka berhibur seawal kecil sehingga mengabaikan pelajaran dan adab bersama orang tua serta banyak lagi kepincangan yang berlaku didalam kehidupan ini. 

Naskah yang simple pada pandangan Patung Beruang tetapi banyak membuatkan kita tersenyum sinis tatkala menatapnya. 

Saturday, August 12, 2017

Book Review: Patah Tumbuh

Tajuk: Patah Tumbuh

Penulis: Keris Mas

Menariknya Naskah Ini: 

Untuk pengetahuan, naskah Patah Tumbuh ini adalah buah tangan dari Kuala Lumpur International Book Fair di PWTC tahun ini. Alhamdulillah, naskah ini termasuk dalam kategori buku-buku yang beruntung kerana Patung Beruang berjaya selesaikan pembacaannya dalam tahun yang sama ia dibeli, hehe.. (Sedangkan ada banyak lagi buku yang masih berbalut plastic atau masih lagi duduk elok didalam kotak yang dihantar oleh Poslaju, sedang menanti giliran untuk dibaca, huhu..)

Semenjak tahun lepas, Patung Beruang jadi ghairah untuk memiliki dan menelaah karya-karya dari barisan Sasterawan Negara ataupun penulis agung dalam dunia sastera Malaysia dan Indonesia. Tujuan Patung Beruang lebih kepada untuk memahami pemikiran mereka dan meneliti dengan lebih mendalam keadaan dan situasi pada zaman mereka. Seperti yang kita tahu, barisan penulis agung ini gemar mencatatkan keadaan semasa didalam karya mereka. Keadaan semasa dari sudut pemikiran dan tingkah laku masyarakat, ekonomi, politik dan sebagainya. Sebab itulah, karya mereka sesuai dijadikan rujukan terutama untuk kita, pembaca yang tidak berpeluang untuk hidup didalam zaman yang sama dengan mereka. Selain mengenali zaman mereka, kita juga boleh berfikir tentang kehebatan, kelemahan serta rasionalnya tindakan dan keputusan mereka pada masa itu.  

Naskah Patah Tumbuh ini menyajikan 20 buah cerpen karya Keris Mas. Karya-karya ini sebenarnya telah tersiar di surat khabar atau majalah pada tahun-tahun 1940-an dan 1950-an. See, lama kan?? 

Cerpen ke-2, Darah dan Air Mata membawa kita kepada seorang perajurit muda dari pasukan tentera Republik Indonesia yang sedang berperang bagi menuntut kemerdekaan. Sedang berperang, perajurit muda ini mendapat kecederaan dan dibawa ke rumah sakit. Disana, beliau dijaga oleh barisan petugas kesihatan dari Palang Merah. Dan disana juga, beliau rapat dengan Suriati, salah seorang jururawat yang merawatnya. Perhubungan antara jururawat dan pesakit menimbulkan bibit-bibit cinta sehingga lah perajurit muda ini kembali sihat dan bersedia untuk pulang ke medan perang. Kepulangan ke medan perang membawa perasaan yang membara buat si perajurit muda. Membara kerana cintanya pada Suriati serta tekadnya untuk melihat Indonesia merdeka dari penjajah. Namun, takdir menentukan kesudahan cinta mereka. Perajurit muda tewas di medan peperangan dan hanya sepucuk surat dikirim kepada Suriati buat pengganti diri. 


Kehidupan Siti, seorang isteri yang suaminya entah kemana, sangat memilukan. Hidup bersendirian di kampung, tanpa pendapatan yang tetap, benar-benar menyesakkan dirinya. Tambah memilukan apabila melihat si Awang, anak kecil yang tidak tahu apa-apa, baru berumur setahun lebih, yang leka dan seronok melihat anak-anak kampung bersuka ria bermain bunga api bagi menyambut lebaran yang akan hadir lagi beberapa hari. Siti teringin untuk menjahitkan baju raya buat si Awang, namun, hasil jualan kuih bingkanya masih lagi tidak mencukupi untuk Siti membelikan kain untuk dijahit dan dijadikan baju raya. Siti yang muda rupawan menjadi perhatian orang kampung. Ada yang memuji kesetiannya pada suami yang sudah lama tidak nampak batang hidungnya. Namun, ada juga yang mengeji kebodohannya kerana masih bertahan. Siti keliru dan menderita. Derita rindu dan dendam, tanpa insan untuk diluahkan segala bebanan jiwa. Cerpen ke-5, Berhari Raya ke Kubur Nenek. 



Kalau diikut hati ini, mahu saja Patung Beruang kongsikan lebih banyak cerpen di sini. Namun, tidak adil pula buat penulis agung naskah ini. Maka, cukuplah Patung Beruang kongsikan 2 kisah sahaja ye. 

Kisah didalam naskah ini mengambil pelbagai latar belakang dan lokasi. Ada di Malaysia, ada di Indonesia dan ada juga di Singapura. Ada keluarga bangsawan, ada penduduk kampung, juga penghuni kota yang tersepit dengan arus pembangunan dan jerat kemiskinan, golongan pekerja, keluarga penjajah dan orang tempatan dan macam-macam lagi. Setiap kisah mempunyai keunikannya yang tersendiri. Tatkala membacanya, terasa seperti Patung Beruang turut berada pada zaman atau di lokasi tersebut. 

Sifat dan ragam watak yang dipaparkan pula sangat universal. Golongan penjajah yang bersikap tuan besar, orang tempatan yang sanggup membodek, menggadai maruah diri dan bangsa demi kesenangan sendiri, wanita dan ibu tunggal yang teraniaya tanpa simpati dari masyarakat sekeliling, golongan bangsawan yang sombong dan tidak sudi untuk berpijak di bumi nyata, pemipin yang khianat dan sebagainya. 

Walaupun naskah ini hanyalah kumpulan cerpen tetapi ia masih lagi memberikan kepuasan kepada pembaca terutama yang dahagakan karya-karya yang bermutu tinggi. Jadi, selamat membaca... :)   

Book Review: Bukit Syahdu

Tajuk: Bukit Syahdu

Penulis: Putraery Ussin

Menariknya Naskah Ini:

Naskah Bukit Syahdu ini membawa penonton mengenali seorang lelaki muda, bernama Cik Man yang tinggal di sebuah kampung di Bukit Syahdu. 

Cik Man tinggal berdua dengan anak angkatnya, Fitri. Kehadiran Fitri didalam hidup Cik Man secara tiba-tiba menyebabkan keluarganya mempunyai persepsi buruk tentang status Fitri dan kejujuran Cik Man. Namun, Cik Man bertegas untuk memelihara Fitri yang ketika itu masih lagi bayi. Dan ketegasan itu akhirnya menyebabkan Cik Man dibuang oleh keluarga sendiri. Kini, tinggallah Cik Man seorang diri membesarkan anak yang tidak bersalah itu. 

Fitri membesar menjadi seorang anak yang baik, bijak dan cerdas. Bagi Fitri, Cik Man adalah ibu dan ayahnya. Cik Man adalah dunianya. Dan Cik Man adalah sebahagian dari dirinya. 

Namun, tanpa diduga pada suatu hari Cik Man dan Fitri terlibat didalam kemalangan jalan raya. Dan kemalangan itu meragut nyawa Cik Man. Tanpa pengetahuan Fitri, si kecil ini menyangka yang Cik Man terlalu sibuk sehingga tidak berkesempatan untuk melawati dirinya di hospital. Hanya Cikgu Kamal yang kerap menziarahi dirinya, bertanya khabar dan memantau keadaan kesihatan Fitri. 

Dan kematian Cik Man, memberikan Ery, adik Cik Man suatu tanggungjawab yang besar sebagai penjaga Fitri. Dalam masa yang sama, ketika di tanah perkuburan, seorang wanita menegur Fitri dan mengaku yang beliau adalah ibu kandung Fitri. Satu pengakuan yang benar-benar mengelirukan anak kecil ini. 


Naskah Bukit Syahdu ini membawa pembaca kepada dilema seorang lelaki yang rasa bertanggungjawab untuk menyelamatkan nyawa dan masa depan bayi yang bukan darah dagingnya dan tiba-tiba muncul didalam hidupnya. Bagi Cik Man, bayi itu tidak bersalah walau apa pun asal usulnya. Maka, tidak adil untuk menghukum bayi itu. 

Perit getir membesarkan Fitri seorang diri oleh seorang lelaki bujang bukanlah satu persoalan yang mudah. Cik Man rela mengorbankan masa depan dirinya sendiri, serta cintanya pada kekasih hati demi Fitri. Dalam masa yang sama, pekerjaan sebagai buruh yang tidak menjanjikan pendapatan tetap turut memburukkan lagi keadaan kerana Cik Man sedar beliau bertanggungjawab untuk menyediakan kehidupan yang terbaik dan semampunya untuk Fitri. 

Watak Cikgu Kamal digambarkan sebagai seorang guru yang sangat prihatin di sekolah Fitri. Malah, Cikgu Kamal juga telah diberitahu tentang keadaan Fitri, asal usulnya dan keadaan kesihatan Fitri yang mengidap lelah sehingga anak kecil ini tidak mampu untuk bersukan atau bermain bola sepak seperti rakan sebaya yang lain. Cikgu Kamal dilihat sebagai seorang guru yang sentiasa menenangkan Fitri dan memberinya semangat untuk meneruskan kehidupan ini walau apa jua badai yang datang dan dalam masa yang sama, sentiasa berusaha yang terbaik didalam akademik. 

Satu perkara yang Patung Beruang suka tentang watak-watak didalam novel ini adalah tiada satu pun watak jahat, hehe.. Walau awalnya digambarkan yang Cik Man dan Ery berselisih faham kerana ketegasan Cik Man untuk memelihara Fitri, namun ia hanyalah satu pertentangan pendapat antara seorang abang dan adik. Tiada dendam didalam hati melainkan kasih sayang semata-mata. 

Yang pasti, ending novel ini menarik kerana plot twist yang sangat cantik. Terima kasih buat penulis kerana memberi masa depan yang cerah buat Fitri... 

Sunday, June 18, 2017

Book Review: Hujan Dinihari

Tajuk: Hujan Dinihari

Penulis: S.M. Noor

Menariknya Naskah Ini:

Pertama kali Patung Beruang menatap karya penulis S.M.Noor adalah melalui naskah bertajuk Pasir Lintang. Book reviewnya ada disini: 
https://patungberuang.blogspot.my/pasir+lintang


Dan semenjak itulah, Patung Beruang nekad jika terjumpa dengan mana-mana naskah karya S.M.Noor, Patung Beruang akan berusaha untuk memilikinya. 

Hujan Dinihari mengisahkan Adibah, anak sulung kepada Pak Husin, seorang pengukir kayu yang terkenal. Adibah mempunyai 2 orang adik iaitu Masitah dan Muin, adik bongsunya yang kelainan upaya. 

Adibah bekerja dirumah Nurul Ain, sebagai orang gaji di Kuala Terengganu. Nurul Ain adalah seorang mualaf, berkerja sebagai guru, berkahwin dengan Zaman, seorang pengurus dana / pelaburan yang terkenal di Kuala Lumpur. Walaupun Zaman sering sibuk, sedaya-upaya beliau cuba untuk pulang ke Kuala Terengganu bagi melawat keluarganya sekerap mungkin. 

Kehidupan Adibah diduga apabila anaknya meninggal dunia akibat demam panas. Kematian anaknya menyebabkan Adibah dipersalahkan oleh suaminya, Kalil, sehingga Kalil tergamak menceraikan Adibah. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, Adibah merasakan yang tiada gunanya beliau tinggal di kampung. Walau sudah habis tangisannya, walau beribu kemaafan dipohon dari Kalil, tidak diendahkan oleh lelaki itu. 

Maka, Adibah nekad untuk berhijrah bagi mengubah nasib keluarganya. 

Kedatangan Adibah ke rumah Nurul Ain ibarat membawa cahaya kepada keluarga itu. Nurul Ain yang jarang mengamalkan suruhan agama Islam mula terdetik untuk belajar mengenali Allah swt melalui Adibah. Tertarik dengan budi pekerti serta tingginya sifat sabar Adibah menjadikan hubungan kedua-dua wanita ini bukan setakat majikan dan orang gaji, namun seperti adik dan kakak. 

Malah, Adibah juga berusaha merapatkan hubungan Nurul Ain bersama Izzati, anak tirinya. Izzati membesar tanpa ibu apabila isteri Zaman meninggal dunia ketika dia masih kecil. Kehadiran Nurul Ain dirasakan seperti ingin merampas kasih sayang dan perhatian Zaman darinya. Nurul Ain tersepit antara ingin menjadi ibu tiri yang penyayang dan juga tanggungjawab mendidik Izzati agar masa depannya tidak mengecewakan. 

Masitah yang tinggal dikampung, mula berjinak-jinak dengan kerja-kerja ukiran Pak Husin. Masitah sedar walaupun tugas itu sepatutnya digalas oleh lelaki, tetapi siapalah lelaki didalam keluarganya yang boleh diharap? Pak Husin semakin uzur dari hari ke hari, Muin pula kelainan upaya. Maka, Masitah nekad untuk mewarisi seni ukiran kayu dari Pak Husin dan seterusnya mempertahankan bengkel ukiran kayu tersebut. 

Hasrat Masitah disokong oleh Adibah. Malah Adibah berazam untuk membantu dari segi kewangan semampu yang boleh. Adibah sedar Masitah amat berbakat didalam seni ukiran cuma perlu digilap sahaja. 

Tanpa diduga, Kalil, bekas suami Adibah kembali menemui Pak Husin dan Masitah. Kalil menyesal diatas tindakannya yang melulu menceraikan Adibah. Kalil sedar Adibah adalah wanita dan isteri yang baik. Dan Adibah tidak sepatutnya dipersalahkan sepenuhnya diatas kematian anak mereka. Yelah, ibu mana yang sanggup melihat anaknya menderita sakit dan meninggal dunia. Namun, hati Adibah seolah-olah seperti tertutup buat Kalil. Adibah terlalu kecewa dengan sikap kurang sabar bekas suaminya itu. 

Semakin hari kemahiran Masitah didalam seni ukiran semakin terserlah. Cuma yang menjadi kekangannya adalah modal bagi membesarkan bengkel ukiran dan juga membeli peralatan moden bagi menggantikan kerja-kerja manual yang dijalankan. Kemahiran Masitah disedari oleh Kalil. Dan akhirnya Kalil bersama-sama sepupunya, Dahiman bersedia untuk berkerjasama dengan Masitah dari segi modal dan tenaga kerja bagi membangunkan bengkel ukiran kayu itu. Malah, mereka juga bersedia untuk menyertai pameran perniagaan bagi meluaskan pasaran. 



Hujan Dinihari membawa kita kepada sebuah keluarga Melayu di sebuah kampung di Terengganu. Kehidupan yang pada mulanya nampak indah, akhirnya mula diuji satu persatu sehingga menyebabkan Adibah nekad untuk berhijrah ke bandar bagi mencari kehidupan yang lebih baik buat dirinya dan juga keluarga. 

Patung Beruang tertarik dengan watak Adibah yang digambarkan sebagai wanita yang jatuh tersungkur namun bangkit perlahan-lahan dan meneruskan langkah tanpa menoleh ke belakang. 

Selain itu, watak Masitah, adik kepada Adibah juga sangat menarik. Masitah sanggup melawan arus dengan menceburkan diri didalam bidang pekerjaan yang dimonopoli oleh lelaki atas alasan mempertahankan seni ukiran kayu serta bengkel yang didirikan oleh Pak Husin. Malah, Masitah sanggup mengambil kursus bagi memantapkan lagi kemahiran seni ukirnya. Dek kerana desakan hidup, Masitah berusaha keras bagi meningkatkan hasil pendapatan bengkel ukiran kayu dan sentiasa terbuka dengan idea dari luar, terutamanya dari Dahiman, seorang kontraktor yang berjaya. Bagi Masitah, perniagaan yang dijalankan secara perkongsian dan usahasama lebih baik dan berdaya saing berbanding bersendirian. 

Kesimpulannya, novel ini ceritanya sangat simple. Kisah kehidupan keluarga Melayu yang sederhana di kampung, namun berusaha keras mengubah nasib mereka. Mereka tidak meminta-minta atau meraih simpati tetapi berusaha menunjukkan bakat dan kebolehan agar mampu berdikari. Sangat menarik dan membuatkan Patung Beruang tidak sabar untuk menghabiskan karya ini sesegera mungkin..

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi, Bunny and Dak Yot...