Sunday, August 18, 2019

Book Review: Lembah Kencana

Tajuk : Lembah Kencana

Penulis : Osman Ayob

Menariknya Naskah Ini: 

Naskah Lembah Kencana ini mempaparkan kehidupan pesawah di Kedah sekitar tahun 1900. Pada masa itu, pembinaan terusan Wan Mat Saman sedang giat dijalankan, dengan kerjasama penduduk di kampung-kampung yang terlibat. 

Pada masa itu, aktiviti persawahan bergantung sepenuhnya kepada kerbau dalam membajak sawah. Ini menyebabkan kerbau dianggap aset yang amat penting pada setiap keluarga disitu. 

Bagi masyarakat petani, memiliki sawah bendang yang luas dianggap lambang status, kuasa dan harga diri. Sawah bendang yang menjanjikan kelangsungan hidup masyarakat di Kedah, turut menjadi harta warisan kepada anak cucu. 

Watak utama didalam naskah ini adalah Daim, seorang anak nelayan namun kini bertukar menjadi pesawah, setelah berkahwin dengan Tijah. Demi mengambil hati Penghulu Hasyim, Daim telah membantu pak longnya, Tuk Dauh, untuk mengorek terusan Wan Mat Saman. Setelah kerja-kerja mengorek selesai, Daim diberi tawaran memugar tanah untuk dijadikan bendang. 

Setelah berjaya menyukat 25 relung tanah yang dipenuhi semak samun, maka bermulalah perjuangan Daim untuk menukar tanah tersebut menjadi kawasan tanaman padi. Usaha keras Daim itu menarik perhatian rakan-rakan sekampung mereka seperti Endut, Ripin dan Jusuh Pendekar untuk sama-sama membuka tanah dengan kebenaran Tok Penghulu. 

Setiap pekerjaan pasti ada dugaan dan cabarannya yang tersendiri. Begitu juga dengan pesawah. Ancaman burung, serangga dan juga angin ribut yang memusnahkan padi mereka adalah antara dugaan yang dihadapi oleh orang-orang kampung pada masa itu.

Tidak kurang juga dengan tabiat berjudi yang menebal di kalangan segelintir penduduk kampung. Malah, ada antara mereka merasakan yang berjudi itu sudah sebati dengan diri mereka sehingga sanggup melupakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Sawah terbiar, ternakan kelaparan. Segala urusan mencari rezeki dicampakkan ke bahu isteri seorang diri tatkala si suami leka menimbang untung rugi nasib diri di gelanggang judi. Barang kemas habis tergadai. Malah, jika terdesak, sanggup mencuri kerbau atau ternakan penduduk lain untuk dijadikan modal berjudi. 



Meneliti naskah Lembah Kencana ini seperti menonton filem hitam putih pula, hehe.. 

Suasana kampung di zaman dahulu, kehidupan para penduduk yang jauh dari kemodenan, susah payah kehidupan mereka dan juga mentaliti mereka yang terbahagi kepada 2, satu ingin merubah kedudukan keluarga ke arah yang lebih baik. Dan satu lagi adalah mentaliti asal cukup. Asal cukup makan untuk hari ini, sudahlah. Apa yang berlaku pada esok hari, biarkan lah. Ironinya, mentaliti itu masih wujud pada masyarakat kita pada zaman ini. Walaupun, tidak semuanya, namun masih ada...

Jujurnya, sebab Patung Beruang memilih naskah ini ketika di Pesta Buku kerana tertarik dengan jalan ceritanya. Mungkin juga kerana Patung Beruang sudah bosan dengan kisah kehidupan di zaman kini. Sesekali, teringin juga untuk kembali ke masa lampau walaupun hanya melalui pembacaan. Dan ternyata pilihan Patung Beruang tidak silap.. Alhamdulillah... 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...