Sunday, September 22, 2019

Book Review: Kisah Buat Hati

Tajuk : Kisah Buat Hati

Penulis: Ustaz Syed Mohd Norhisyam 

Kisahnya Patung Beruang:
Bulan lepas Patung Beruang ada mengadu pada Iman dimana Patung Beruang merasakan hati ini makin kotor. Rasa sangat tidak tenang. 

Solat dan mengaji Al-Quran yang dilakukan tetap tidak menampakkan perubahan. Patung Beruang terasa seperti ada sesuatu yang kurang. 

Diri ini terasa seperti ingin membaca buku. Buku yang dapat merawat hati ini.

Pada suatu hari, Patung Beruang nekad untuk pergi ke Popular. Tatkala melangkah keluar dari rumah, Patung Beruang berdoa pada Allah agar temukan dengan buku yang boleh merawat hati ini. Patung Beruang hanya berserah pada Allah kerana yakin Allah ada perancangan yang terbaik untuk diri yang berdosa ini.

Sampai di Popular IOI Mall, Patung Beruang membelek satu demi satu naskah di bahagian motivasi dan agama. Tiba-tiba mata ini terpandang naskah Kisah Buat Hati ini. 

Jujurnya Patung Beruang tidak pernah membaca tulisan Ustaz Syed Mohd Norhisyam ini. Naskah ini pula berbalut plastic. Jadi, Patung Beruang hanya boleh membaca sinopsis yang tercetak di kulit belakang buku ini. 

Patung Beruang tawakal pada Allah kerana yakin pasti ada sebab kenapa Allah temukan Patung Beruang dengan naskah ini. Maka, naskah ini terus dibawa ke kaunter bayaran. 


Menariknya Naskah Ini:
Patung Beruang mengambil masa lebih kurang 3 hari untuk menghabiskan naskah ini. Sampai sanggup baca didalam LRT ketika dalam perjalanan pergi dan pulang dari kerja. 

Naskah Kisah Buat Hati ini terbahagi kepada 3 Bahagian iaitu:
  1. Kisah Penuh Ibrah
  2. Soal Jawab Untuk Hati
  3. Doa-Doa Pesanan Buat Hati
Didalam Bahagian Pertama, Kisah Penuh Ibrah, penulis membariskan 25 buah kisah yang menarik. 

Antara kisah yang paling Patung Beruang suka adalah Kisah 2: Dua Kalimah Ringan Di Lidah
Kisah ini membawa pembaca kepada seorang pakcik yang tinggal di Yaman. Pakcik ini telah menghadiri satu ceramah yang disampaikan oleh seorang ulamak. Di hujung ceramah itu, ulamak ini telah berpesan agar ilmu yang disampaikannya itu dapat disebarkan kepada orang lain, sesuai dengan sabda Rasulullah SAW: 
"Sampaikanlah dari aku walaupun hanya satu ayat"   (Riwayat Bukhari)

Sepanjang kuliah tersebut, pakcik ini hanya teringat satu perkara sahaja iaitu zikir yang diajar oleh Rasulullah SAW, 
"Dua kalimah yang ringan diucapkan lisan, berat ditimbangan, dan dicintai oleh Al-Rahman (Allah): Subhaanallahi Wa Bihamdihi Subhaanallahil 'Adzim"  (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Apabila pakcik ini keluar dari masjid, dia terus menyampaikan ilmu ini kepada anak muda yang berada di sebelahnya. Ketika di rumah, pakcik ini juga menyampaikan ilmu ini kepada semua ahli keluarganya. Tidak berapa lama selepas itu, pakcik ini ditimpa kemalangan dan dirawat di hospital. Di saat-saat akhir nafasnya, doktor terlihat yang bibir pakcik ini bergerak-gerak seperti ingin menyatakan sesuatu. Lantas doctor itu mendekatkan telinganya dibibir pakcik tersebut. 

Rupa-rupanya, pakcik tersebut berkongsi pesanan Rasulullah SAW tentang zikir yang dipelajarinya kepada doctor tersebut. Habis sahaja bisikannya, pakcik itu menghembuskan nafasnya yang terakhir. 

Ya Allah, betapa disaat-saat akhir hidupnya, pakcik tersebut tetap gigih untuk menyampaikan ilmu yang dipelajarinya. Semoga usahanya itu diberi ganjaran saham akhirat yang setimpal...


Kisah 25: Keindahan Solat Dhuha menegur pembaca agar mempunyai mentaliti yang betul ketika melaksanakan Solah Dhuha. 

Kita ini, sebagai hamba Allah banyak sangat "berhutang" dengan Allah SWT. Namun, kita sahaja yang tidak sedar. 

Setiap sendi yang ada di tubuh badan ini, setiap masa kita bernafas di atas muka bumi ini, setiap apa yang berlaku dari sebelum kita dilahirkan sehingga kita menghembuskan nafas terakhir, adalah tanda kasih sayang Allah pada kita. Sebab itu, kita sepatutnya bersedekah setiap hari sebagai tanda bersyukur. 

Allah tidak pernah meminta kita membayar semula padanya atas semua kasih sayang dan rahmat yang diberikan-Nya. Kerana Allah tahu kita tidak akan mampu untuk membayar balik semua nikmat tersebut. 

Oleh itu, dengan kasih sayang-Nya, Allah meminta kita melaksanakan Solat Dhuha sebagai bayaran yang paling mampu dilunaskan oleh kita, seorang hamba.

Solat Dhuha sepatutnya dilaksanakan dengan mentaliti bersyukur. Setelah kita bersyukur, barulah Allah akan melipatkan gandakan lagi nikmat-Nya pada kita. 

Tetapi apa yang kita lakukan selama ini? Or apa yang Patung Beruang lakukan selama ini? Mendirikan Solat Dhuha dan terus meminta-minta agar dilimpahkan lagi rezeki tanpa niat untuk bersyukur. Seolah-olahnya kita ini sedang berkira dengan Allah SWT dalam melaksanakan solat sunat ini.

Maka, mulai saat ini, kita betulkan dulu niat dan mentaliti Solat Dhuha ini. Semoga kita tidak tergolong didalam kelompok manusia yang berkira dengan Allah SWT.. Aamiin.. 



Jujurnya, Patung Beruang bersyukur sangat kerana Allah temukan Patung Beruang dengan naskah ini. Banyak kisah-kisah didalam naskah ini yang menjentik hati ini, sekaligus menyedarkan diri ini yang sering lalai. Ye, naskah ini membantu Patung Beruang untuk merawat hati ini.

Namun tidak adil untuk Patung Beruang kongsikan semuanya disini. Maaflah ye.

Yang pasti, selepas baca naskah ini, hati Patung Beruang rasa lebih tenang dan lapang. Patung Beruang mula melihat kehidupan ini dari sisi yang berbeza. Terlalu banyak ilmu dan doa yang boleh diamalkan dari naskah ini.

Terima kasih pada penulis kerana menghasilkan naskah yang sangat bagus. Ini juga satu cara untuk berdakwah dan mengajak manusia untuk jadi lebih baik. Semoga naskah ini menjadi punca saham akhirat yang berterusan buat penulis. Aamiin... 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...