Thursday, September 6, 2018

Book Review: Seri Dewi Malam

Tajuk : Seri Dewi Malam

Penulis : Affifudin Haji Omar

Menariknya Naskah Ini: 

Pertama kali melihat tajuk naskah ini, Patung Beruang teringat yang memang ada sebuah lagu lama bertajuk Seri Dewi Malam. Tapi, jangan ditanya siapa penyanyinya dan tahun bila ya? Jujurnya Patung Beruang tidak tahu jawapannya, hehe.. 

Seri Dewi Malam membawa kita kepada tahun 1950-an. Mengisahkan Rohana, anak gadis sulung Encik Fazil, seorang pekerja kerajaan, yang menetap di Jitra. 

Pada masa itu, pekerja kerajaan sudah dianggap golongan berada dan ada kelas tersendiri memandangkan majoriti penduduk adalah golongan pesawah dan petani sahaja. 

Rohana yang cantik dan mempunyai suara merdu menjadi kegilaan remaja lelaki. Namun, hatinya terpaut pada Aziz, anak kampung, dari keluarga petani. 

Aziz digambarkan sebagai pelajar pintar, aktif didalam sukan ragbi, berbudi bahasa dan mempunyai paras yang menarik. Ciri yang cukup untuk membuat Rohana jatuh hati padanya. 

Percintaan Rohana dan Aziz ditentang oleh Encik Fazil dengan alasan perbezaan status dan latar belakang keluarga. 

Tamat sekolah, Aziz melanjutkan pelajaran ke universiti dalam bidang sains. Rohana pula menuntut di kolej kejururawatan. 

Disebabkan tipu muslihat Syed Munawir, orang kaya yang mata keranjang dan juga Nasir, sepupu Rohana yang kaki judi, Rohana dipaksa untuk berkahwin dengan Syed Munawir. Perkahwinan tersebut disokong oleh En Fazil walaupun dibantah oleh isteri dan anaknya yang lain. 

Perkahwinan Rohana dan Syed Munawir tidak bahagia. Rohana sering didera mental dan fizikal. Kelakuan Syed Munawir yang kasar, kaki botol dan kaki perempuan, serta sikap jahat adik-beradik perempuan Syed Munawir membuatkan Rohana sering berendam air mata. 

Dari perkahwinan mereka, lahirlah Fauziah, satu-satunya anak Syed Munawir dan Rohana. Kelahiran Fauziah mengubah sikap dan layanan Syed Munawir terhadap Rohana namun sayangnya perubahan tersebut hanya sementara. 

Aziz pula yang terlalu kecewa dengan perkahwinan Rohana dan Syed Munawir, menyebabkannya berusaha lebih keras didalam pelajaran. Selepas tamat pengajian, Aziz menerima biasiswa untuk menyambung pengajiannya ke peringkat lebih tinggi di Amerika Syarikat. 

Maka, bermulalah kehidupan Aziz sebagai penuntut di luar negara.

Di Amerika, Aziz bertemu dengan Shazlin, gadis Indonesia yang dikenalinya ketika Aziz berkunjung ke Sumatera, untuk menjejak susur galur keluarga ayahnya. Rupa-rupanya Shazlin juga melanjutkan pelajaran di daerah yang sama dengan Aziz. 

Aziz kini menempa nama sebagai seorang saintis yang hebat. Namanya di kenali di peringkat antarabangsa. Anak melayu yang mengharumkan nama Malaysia. Namun, ada suatu rahsia besar yang disimpan Aziz selama bertahun-tahun. Rahsia yang bakal memakan diri Aziz dan Rohana akhirnya...



Naskah Seri Dewi Malam ini mempunyai 3 watak utama iaitu Aziz, Rohana dan Syed Munawir. Naskah ini mempersembahkan perjalanan kehidupan ketiga-tiga watak ini dari tahun 1950an sehinggalah ke tahun 2009. 

Sepanjang pengembaraan, pembaca akan kerap tertanya-tanya apakah sebenarnya rahsia besar yang disimpan oleh Aziz dan Rohana selama ini? 

Percintaan Aziz dan Rohana penuh dengan dugaan. Walau setelah berkahwin, Rohana masih lagi mengharap kepada Aziz. Namun, setelah tersedar kedudukannya sebagai isteri Syed Munawir dan keluarga itu dilanda musibah, Rohana menumpukan sepenuh perhatiannya pada keluarga. Baginya, Aziz hanyalah mimpi yang tidak mungkin menjadi kenyataan. Dan ini membuatkan pembaca tertanya, adakah memang mereka ditakdirkan untuk tidak berjodoh sehingga ke akhir hayat? 

Watak Rohana digambarkan sebagai seorang wanita yang kuat. Zahir dan batinnya terseksa kerana sikap Syed Munawir dan keluarga. Namun, setiap kali Syed Munawir  tersungkur, Rohana pasti setia berada disampingnya, membantunya untuk bangun kembali. Rohana menanggung penderitaannya seorang diri. Tiada tempat bercerita dan meluah rasa. Dan disebabkan itu, tatkala jiwanya goyah, Rohana akan melarikan diri, memandu sejauh yang mampu di tengah malam sehingga keesokkan harinya. Baginya, itu sahaja terapi yang mampu menenangkannya buat sementara waktu. 

Pengakhiran naskah ini boleh dijangka. Mungkin kerana diawal penceritaan, bahagian "Prolog" yang disajikan itu telah memberi banyak petunjuk kepada pembaca. Cuma yang menjadi persoalannya adalah bagaimana "Prolog" tersebut menjadi kenyataan.... 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...