Tajuk : Srengenge
Penulis : Shahnon Ahmad
Menariknya Naskah Ini:
Pertama kali Patung Beruang melihat naskah ini adalah di reruai Dewan Bahasa & Pustaka ketika PBAKL 2017. Malangnya, ketika itu Patung Beruang merasakan yang sudah terlalu banyak buku yang dibeli pada hari itu. Jadi, hajat untuk memiliki naskah ini dipendamkan sahaja.
Tahun ini, Alhamdulillah, rezeki Patung Beruang untuk memilikinya.
Srengenge adalah sebuah bukit yang terletak di sebuah kampung di Sik, Kedah. Srengenge yang kaya dengan merbau, meranti, pinang, rotan serta dihiasi juga oleh hidupan lain seperti gajah, harimau, pelanduk, landak, tekukur dan punai.
Kebanyakkan penduduk kampung adalah pesawah, ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Masa lapang banyak dilepaskan begitu sahaja. Tidak kurang juga penduduk kampung yang gila menjerat pelanduk atau meracik tekukur.
Bagi Awang Cik Teh, Srengenge itu tidak mendatangkan kebaikkan kepada orang kampung melainkan kemudaratan semata-mata. Manakan tidak, Srengenge dipuja, diberi makan oleh orang kampung dengan harapan hidup mereka sentiasa tenang dan aman. Oleh itu, Awang Cik Teh berhasrat untuk menutuh bukit itu dan digantikan dengan tanaman pisang, timun, ubi dan paling tidak pun menjadikannya sawah untuk menanam padi bukit.
Isterinya, Keghesum hanya menurut sahaja. Sudah masak dengan perangai Awang Cik Teh, setiap apa yang dirancang, pasti akan dilakukannya walaupun mendapat tentangan.
Seperti dijangka Keghesum, cadangan dan niat Awang Cik Teh mendapat tentangan orang kampung, termasuklah Imam Hamad, anak saudaranya sendiri. Imam Hamad sedar, jika Srengenge ditumbangkan, maka hilanglah tempat untuknya meracik burung.
Tragedi bermula apabila Jebat, tekukur kesayangan Imam Hamad tewas di gelanggang Srengenge. Imam Hamad sangat marah sehingga nekad untuk mengumpulkan orang kampung bagi tujuan memugar Srengenge. Perubahan keputusan yang menghairankan Awang Cik Teh namun dalam masa yang sama beliau gembira kerana akhirnya cadangannya diterima oleh Imam Hamad.
Malangnya belum sempat Srengenge dipugar, Imam Hamad jatuh sakit, meracau sehingga tidak sedarkan diri. Orang kampung mula gusar kerana merasakan penyakit Imam Hamad ini ada kaitan dengan ketegasannya untuk memugar Srengenge. Mungkin, penunggu Srengenge sedang marah kerana tempat tinggal mereka terancam. Mungkin juga Imam Hamad ada tersalah laku ketika Jebat sedang berlawan di gelanggang. Atau mungkin juga Jebat yang mati terseksa datang menghantui Imam Hamad atas kebiadapan tuannya itu.
Orang kampung nekad Srengenge harus dipujuk. Hanya dengan cara itu, Imam Hamad akan sembuh. Namun... Allah lebih tahu takdir terbaik buat Srengenge, Imam Hamad dan penduduk kampung sekalian.
Novel Srengenge ini pertama kali diterbitkan pada 1973. Mengambil latar belakang sebuah kampung melayu yang masih mundur dan berpegang kuat pada kepercayaan animisme. Maka, kepercayaan antara kuasa Allah itu mengatasi segala-galanya bercampur aduk dengan kepercayaan yang diwarisi turun-temurun.
Watak Awang Cik Teh digambarkan sebagai seorang lelaki tua yang berpandangan jauh, melangkaui kebanyakkan penduduk kampung. Awang Cik Teh berdepan kesukaran untuk mengubah sikap dan pandangan penduduk kampung yang sudah terbiasa dengan kehidupan sekadarnya. Bagi mereka, kehidupan dikampung adalah yang terbaik maka, sebarang perubahan tidak dialu-alukan.
Namun, Awang Cik Teh sedar yang beliau mempunyai senjata rahsia iaitu, anak saudaranya Imam Hamad. Imam Hamad dianggap ketua dikalangan penduduk. Oleh itu, segala kata-katanya pasti akan diterima tanpa bantahan. Bagi Awang Cik Teh, jika Imam Hamad dapat dipujuk untuk menyertainya, bermakna seluruh kampung turut bersamanya.
Meneliti naskah Srengenge seperti kembali ke zaman silam. Nama-nama watak yang digunakan, kehidupan dan persekitaran yang digambarkan, segala-galanya klasik. Yang tidak berubah mungkin sikap masyarakat Melayu itu sendiri, tidak gemar pada perubahan, mudah berpuas hati dan mudah terikut-ikut tanpa meneliti baik buruk setiap pilihan yang ada.
No comments:
Post a Comment