Tuesday, June 5, 2018

Book Review: Di Bawah Lengkung Langit Pualam (Beneath a Marble Sky)

Tajuk : Di Bawah Lengkung Langit Pualam (Beneath a Marble Sky)

Penulis : John Shors

Penterjemah : Samsudin Jaapar

Menariknya Naskah Ini : 

Naskah Di Bawah Lengkung Langit Pualam adalah terjemahan dari karya asal berbahasa Inggeris bertajuk Beneath a Marble Sky

Naskah ini Patung Beruang beli pada tahun 2017 di KL International Book Fair. Malangnya, KLIBF 2018 sudah menjelma baru lah Patung Beruang sempat untuk menikmati naskah ini. Sabar je lah. 

Naskah ini mengambil latar belakang tahun 1600-an, mengisahkan konflik keluarga Shah Jahan iaitu seorang Maharaja Hindustan. Baginda, seorang Muslim diangkat menjadi Maharaja walaupun majoriti penduduk Hindustan ketika itu adalah penganut Hindu. 

Maharaja Shah Jahan mempunyai ramai isteri namun yang paling disayangi dan diangkat sebagai Permaisuri Hindustan adalah Mumtaz Mahal. Pasangan ini dikurniakan dengan  4 orang putera (Dara, Aurangzeb, Shah dan Murad) dan seorang puteri iaitu Jahanara. 

Putera Dara, putera sulung sangat disayangi oleh Shah Jahan, Mumtaz Mahal dan para pembesar. Mempunyai perwatakan yang lemah lembut namun bijaksana, Dara sangat berbakat didalam kesenian dan kesusasteraan. Dara banyak menghabiskan masa dengan menelaah kitab-kitab pelbagai bahasa dan menterjemahkannya ke bahasa Hindi agar lebih ramai yang berpeluang untuk menimba ilmu dari kitab-kitab tersebut. Dara juga disebut-sebut sebagai  pengganti Shah Jahan untuk menaiki takhta sebagai Maharaja Hindustan. 

Putera Aurangzeb, putera kedua adalah seorang yang keras, degil dan kasar perwatakannya. Namun begitu Aurangzeb mempunyai kelebihan didalam seni mempertahankan diri. Dengan kemahiran senjata dan bertempur yang hebat, Aurangzeb disukai oleh golongan tentera. Cuma yang merunsingkan Shah Jahan dan Mumtaz Mahal adalah Aurangzeb terlalu ekstrem dalam memperjuangkan Islam sehingga kurang rasa belas kasihan dan peri kemanusiaan kepada insan lain. Bagi Aurangzeb, orang bukan Islam walau siapa pun mereka harus diperangi habis-habisan. Dan tingkah laku ini dikhuatiri bakal menggangu keharmonian rakyat Hindustan yang terdiri dari penganut Hindu, Islam dan Kristian. 

Puteri Jahanara adalah seorang puteri yang cantik dan bijak. Walau Jahanara adalah satu-satunya puteri Shah Jahan dan Mumtaz Mahal, pasangan ini tidak terlalu memanjakannya. Jaharana tetap perlu menuntut ilmu sama seperti adik beradik lelaki yang lain. Jahanara sangat meminati bidang politik. Oleh itu, Jahanara gemar melibatkan diri di dalam pentadbiran Shah Jahan bagi mendapatkan gambaran situasi sebenar yang berlaku di dalam wilayah mereka. 

Shah dan Murad adalah pasangan kembar didalam keluarga Shah Jahan dan Mumtaz Mahal. Oleh kerana umur mereka yang terlalu muda, mereka berdua lebih banyak menghabiskan masa dengan pengasuh. Kedua-duanya tidak menonjolkan kredibiliti sebagai bakal pemerintah Hindustan. Mereka hanya menjadi pengikut kepada siapa yang dirasakan paling berkuasa pada masa itu. 


Pada suatu hari, Shah Jahan dan Mumtaz Mahal memutuskan untuk menjodohkan Jahanara dengan Khondamir, seorang ahli perniagaan yang kaya-raya. Keputusan ini dibuat memandangkan Khondamir adalah salah seorang yang sering membantah segala keputusan pentadbiran Shah Jahan. Diharap, dengan perkahwinan ini, dapat membuatkan Khondamir berpihak kepada Shah Jahan. 

Namun, perkahwinan puteri kesayangan ini tidaklah seindah yang diharapkan. Khondamir bukanlah seorang lelaki dan suami yang baik. Jahanara sering dibuli dan didera fizikal, mental dan seksual. Namun, Jahanara tetap bertahan demi memikirkan maruah Shah Jahan sebagai Maharaja. Untungnya perkahwinan mereka tidak dikurniakan zuriat. 


Mumtaz Mahal mengandung lagi tatkala Hindustan sedang ghairah meluaskan pengaruh jajahan mereka ke wilayah-wilayah berdekatan. Ketika sedang melahirkan anak yang ke-6, Mumtaz Mahal meninggal dunia di pangkuan Shah Jahan dan Jahanara akibat dari pendarahan yang banyak. 

Pemergian Mumtaz Mahal benar-benar mengubah Shah Jahan. Maharaja yang sangat berduka ini tidak lagi menghiraukan urusan pentadbiran Hindustan dan juga keluarga. Maka, Dara bersama-sama dengan Jahanara memainkan peranan sebagai wakil Maharaja bagi memastikan keamanan dan kemakmuran Hindustan berkekalan. 


Setelah bertenang, Shah Jahan memanggil Isa, seorang pengukir muda yang sangat hebat dengan hasil ukirannya, untuk membina makam bagi menempatkan jenazah Mumtaz Mahal. Dan makam ini dinamakan Taj Mahal sempena panggilan manja yang sering digunakan oleh beliau untuk isterinya. Jahanara pula dilantik sebagai pembantu Isa terutama melibatkan urusan pentadbiran bagi melancarkan kerja-kerja pembinaan. 

Dalam masa yang sama, Aurangzeb mula mengumpulkan pengaruhnya sedikit demi sedikit. Dek kerana tamak dengan kuasa, Aurangzeb berazam untuk menjadi Maharaja Hindustan dan sanggup membunuh siapa sahaja yang menghalangnya. 

Maka, bermulalah komplot rampasan kuasa antara Aurangzeb bersama golongan tentera dengan Shah Jahan dan kaum keluarganya. Rampasan kuasa yang berlaku menyebabkan banyak pertumpahan darah dikalangan tentera dan rakyat jelata. Malah, Dara sendiri dibunuh oleh Aurangzeb demi memastikan dia dapat menaiki takhta tanpa halangan. 



Naskah Di Bawah Lengkung Langit Pualam ini setebal 574 muka surat. Awalnya, agak takut juga untuk mula membaca dek bimbang tidak dapat mengekalkan momentum. Patung Beruang khuatir andai berminggu-minggu atau berbulan-bulan pun naskah ini tetap juga belum habis dibaca. 

Itulah persepsi awal Patung Beruang.

Namun, bermula dari muka surat pertama, Patung Beruang sudah rasa teruja. Penceritaan di dalam naskah ini sangat pantas. 

Bayangkanlah, penulis boleh bermula dengan kisah Jahanara masih kecil, menginjak remaja dan berkahwin. 
Diikuti dengan suka duka alam rumahtangga, kematian Mumtaz Mahal dan bermulanya proses pembinaan Taj Mahal sehinggalah  binaan cinta ini siap.
Turut dipaparkan percintaan dan perkahwinan Jahanara dan Isa, ditengah -tengah konflik rampasan kuasa Aurangzeb sehingga mencetuskan episod kehidupan Jahanara dan Shah Jahan di dalam penjara dan kemuncaknya kematian Shah Jahan. 
Setelah itu, bermulah pemberontakan Jahanara terhadap Aurangzeb, detik-detik Jahanara melarikan diri, pengembaraannya menjejak Isa dan anak mereka, sehingga bersatunya semula keluarga Jahanara. 
Akhir sekali, Jahanara menghabiskan usia tuanya dan berpeluang untuk berkongsi kisah sebenar asal usul dirinya kepada Gulbadan dan Rurayya, cucunya. 

See...

Semua yang berlaku diatas ini ada diceritakan didalam naskah ini. 

Maka, disebabkan jalan cerita yang sangat pantas, momentum Patung Beruang sentiasa kekal dan kesudahannya, naskah ini berjaya dihabiskan dalam tempoh 3 hari saja. 

Selain itu, penulis juga sangat teliti dalam menggambarkan situasi pada masa masa tersebut. 

Pelbagai ragam manusia, berbilang kaum, agama dan kedudukan sosial. Keindahan binaan Taj Mahal itu sendiri serta keindahan persekitaran dan bentuk muka bumi wilayah Hindustan. 
Segala-galanya tercatat kemas di dalam naskah ini. 

Oh, sebelum terlupa, untuk yang tertanya-tanya apa maksud "pualam", ia bermaksud batu kapur ataupun marmar yang bercahaya. 

Apakah perasaan Patung Beruang selepas habis sahaja naskah ini? 
Jawapannya, sangattttt puas. 
Terasa seperti baru lepas menonton filem biografi Jahanara..  Cuma bezanya, filem itu tidak ada lagu2 Hindustan, hehe. 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...