Thursday, July 12, 2018

Book Review: Only Time Will Tell

Tajuk : Only Time Will Tell

Penulis : Jeffrey Archer 

Menariknya Naskah Ini: 

Sudah lama Patung Beruang berhasrat untuk mula membaca Clifton Chronicles tetapi malangnya masa pula tidak mengizinkan. 

Untuk pengetahuan, Clifton Chronicles sudah memasuki volume ke-7, dan setiap kali Patung Beruang terjumpa di kedai buku, I just grab regardless of what volume it is. 

Only Time Will Tell adalah volume pertama didalam Clifton Chronicles ini. Untuk naskah ini, Archer memberi pengenalan kepada watak utama iaitu Harry Clifton dan Giles Barrington.

Harry Clifton dilahirkan pada tahun 1920, anak tunggal kepada pasangan Arthur Clifton dan Maisie. Mereka menetap di Bristol. Arthur adalah seorang pekerja bawahan di syarikat perkapalan, Barrington Shipping. Maisie pula bekerja sebagai pelayan cafe. 

Pada suatu hari, Stan, abang Maisie merangkap rakan sekerja Arthur, pulang ke rumah lewat malam. Kepulangannya yang berseorang diri menimbulkan persoalan tentang dimana Arthur? Mengapa Arthur tidak pulang bersama-sama Stan? Puas didesak, Stan hanya mendiamkan diri. 

Dan... malam itu, Arthur tidak pulang ke rumah untuk selama-lamanya. 

Maisie membesarkan Harry berseorangan. Setiap kali Harry bertanya dimana ayahnya, Maisie, Stan dan ahli keluarga yang lain akan bercerita yang Arthur telah pergi berperang dan gugur dimedan perang. 

Harry membesar dengan cerita yang ayahnya adalah seorang wira. Namun, semakin lama Harry sedar yang cerita itu hanyalah untuk menutup mulutnya agar tidak lagi bertanya tentang dimana ayahnya. Harry cukup sedar yang Britain tidak terlibat dalam sebarang peperangan sejak beliau lahir sehinggalah ke hari itu. 

Setiap hari hujung minggu, Harry akan mengikut Stan ke pelabuhan. Ia menjadi rutin mingguan mereka. Di sana, Harry berkenalan dengan Old Jack, seorang lelaki tua yang tinggal bersendirian didalam sebuah kabin di tepi pelabuhan. Stan mengatakan yang Old Jack itu kurang siuman lantas menghalang Harry dari mendekati lelaki tersebut. Namun bagi Harry, Old Jack adalah lelaki yang bijaksana, suka membaca dan gemar bercerita tentang kehidupan luar yang tidak pernah Harry bayangkan. 

Harry mempunyai suara yang unik sehingga terpilih untuk menjadi penyanyi solo untuk koir gereja. Suara yang ajaib sehingga memukau masyarakat tempatan, berbilang latar belakang dan kedudukan. Bakat nyanyiannya yang mengagumkan ditambah dengan keputusan peperiksaannya yang cemerlang, melayakkan Harry untuk bersekolah di Bristol Grammar School (BGS), sekolah elit yang khas untuk kanak-kanak lelaki sahaja.

Hari pertama menjejakkan kaki di BGS, Harry berkenalan dengan Deakins dan Giles. Giles adalah anak kepada Sir Hugo Barrington, seorang aristokrat yang terkenal dengan perniagaan perkapalan yang diwarisi keluarganya turun-temurun. 

Dalam masa yang singkat, Harry, Deakins dan Giles menjadi sahabat karib walau berbeza latar belakang. Harry sangat cemerlang didalam bidang seni dan bahasa. Deakins pula pelajar pintar yang menguasai hampir keseluruhan mata pelajaran. Dan Giles pula berbakat didalam bidang sukan sehingga seringkali mengharumkan nama BGS. 

Persahabatan yang erat ini berlarutan sehingga mereka tamat pembelajaran di BGS dan menyambung pengajian di Oxford. Sepanjang persahabatan 3 sekawan ini, berlaku banyak peristiwa yang akhirnya mengubah kehidupan mereka. 

Status Harry sebagai anak yang lahir dari benih Arthur dan Maisie amat diragui. Terdapat kemungkinan Sir Hugo Barrington adalah ayah kandung Harry disebabkan oleh satu insiden yang berlaku ketika sebelum Maisie mengahwini Arthur. 

Dalam masa yang sama, Harry jatuh cinta dengan Emma Barrington, adik perempuan Giles. Mereka merancang untuk mendirikan rumahtangga sebaik sahaja Harry tamat pengajian di Oxford. 

Namun...
Jika benarlah Harry anak kandung kepada Sir Hugo Barrington, maka, secara automatik Harry adalah anak lelaki pertama untuk Sir Hugo. Dan ini juga bermakna, Harry yang bakal mewarisi gelaran "Sir" dan semua harta keluarga Barrington. Suatu keadaan yang tidak pernah terfikir oleh Harry Clifton dan Giles Barrington. Dan juga suatu kemungkinan yang sangat menakutkan Sir Hugo Barrington sehingga sanggup melakukan apa sahaja asalkan tiada siapa yang tahu tentang kebenaran status Harry. 

Dan jika ia benar-benar berlaku, maka, perkahwinan Harry dan Emma Barrington adalah sesuatu yang mustahil dan melanggar norma kehidupan manusia. 




Baiklah, Patung Beruang tidak mahu teruskan catatan untuk Volume 1 dalam Clifton Chronicles ini. Kalau hendak tahu kesudahannya, kenalah baca sendiri ye. 

Seperti biasa, karya Archer memang penuh dengan kejutan. Untuk Volume 1 ini, perjalanan cerita sangat pantas dan terlalu banyak kejutan dari awal cerita sehinggalah ke mukasurat yang terakhir. 

Archer sangat bijak dalam menyusun watak. Setiap watak yang wujud didalam cerita ini ada peranan masing-masing, termasuklah watak Old Jack, seorang lelaki tua yang sering dikatakan tidak siuman. 

Malah Archer suka menggunakan teknik flashback bagi menceritakan peristiwa lalu. Jujurnya, teknik ini sangat berkesan kerana terdapat banyak elemen kejutan apabila kebenaran mula terbongkar satu persatu. 

Satu perkara yang buat Patung Beruang kagum adalah Archer menunggu sehingga mukasurat terakhir yang memancing tumpuan pembaca agar cepat-cepat beralih ke Volume 2. Ini kerana babak di mukasurat terakhir itu sangat tergantung dan jalan ceritanya berubah sepenuhnya. Seolah-olah seperti sebuah cerita yang totally lain dari apa yang kita baca bermula dari mukasurat pertama. 

Akhir sekali, satu soalan yang sering bermain dalam fikiran Patung Beruang adalah, Volume 1 ini adalah kisah Harry Clifton dari kecil sehingga dewasa. Berapa ramai generasi Clifton yang ingin diceritakan oleh Archer didalam Clifton Chronicles ini sehingga menyebabkan karya ini mencecah Volume ke-7???

Well... Untuk terus membaca Volume ke-7 sebagai jalan pintas, rasanya bukanlah satu tindakan yang bijak. Maknanya, Patung Beruang kena teruskan membaca satu persatu naskah didalam Siri ini untuk tahu kemana sebenarnya hala tuju Clifton Chronicles ini.... Hm.. Caiyuk caiyuk.. 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...