Showing posts with label Clifton Chronicles. Show all posts
Showing posts with label Clifton Chronicles. Show all posts

Wednesday, May 13, 2020

Book Review : This Was A Man

Tajuk : This Was A Man

Penulis : Jeffrey Archer 

Menariknya Naskah Ini : 

Alhamdulillah.. Kini tamatlah sudah Clifton Chronicles karya Jeffrey Archer. Phew.... Macam tak percaya saja, hehe... 

Patung Beruang habiskan naskah ini pada hari Isnin, pukul 3.40 am. Siangnya itu pula Patung Beruang sibuk dengan urusan personal sampailah ke hari ini. Secara tidak langsung ini juga bermakna sudah beberapa malam Patung Beruang tidak dapat tidur yang cukup dan lena, huhuhu.... 

Clifton Chronicles ini mempunyai 7 buah Volumes iaitu: 
Patung Beruang letakkan hyperlink di setiap tajuk diatas ye. Senang kalau nak baca book review nya. 

Untuk Final Volume, This Was A Man bermula dengan detik-detik akhir usaha Pengelly untuk membunuh Karin. Oh tidak!!!! Kenapa Pengelly sanggup membunuh anak perempuannya sendiri??? 

Ok Patung Beruang, jangan nak berdrama sangat ye... 

Pengelly telah dinaikkan pangkat dan diminta pulang ke Moscow. Tetapi sebelum pulang, Marshal Koshevoi mengarahkan Pengelly menyelesaikan tugasan terakhirnya di England iaitu membunuh Karin kerana pembelotannya terhadap Moscow telah dikesan. 

Karin sedar yang nyawanya hanya tinggal beberapa minit saja lagi. Dia tidak menyesal di atas pembelotannya kerana cintanya pada Sir Giles Barrington lebih besar dari taat setianya pada Moscow. Cuma Karin terkilan kerana tidak sempat berterus-terang pada Giles mengenai identiti sebenar dirinya dan pertaliannya dengan Pengelly. 



Harry Clifton dikurniakan dengan gelaran "Sir" oleh Queen of England. Ramai orang tidak tahu yang Harry pernah menolak pemberian gelaran tersebut ketika Anatoly Babakov masih dipenjarakan di Rusia. Harry merasakan tidak layak untuk dirinya menerima gelaran istimewa itu sedangkan sahabatnya dianiaya dan menderita di dalam penjara hanya kerana menyuarakan kebenaran. 

Setelah Anatoly meninggal dunia, pihak istana sekali lagi menyatakan hasrat untuk menganugerahkan gelaran tersebut. Atas nasihat Emma, Harry bersetuju untuk menerimanya. 



Sedang sibuk menguruskan Barrington Shipping, Emma Clifton menyedari bahawa kapal yang pernah dibina oleh syarikat itu, iaitu SS Maple Leaf akan pulang untuk dilupuskan. Emma berbelah bahagi samaada perlu atau tidak untuk dia memberitahu Harry berkenaan kepulangan SS Maple Leaf tersebut. 

Mengapa SS Maple Leaf begitu bermakna pada Emma dan Harry? 

SS Maple Leaf dibina ketika Barrington Shipping dipimpin oleh Sir Hugo Barrington, iaitu ayah Emma. Namun, pembinaan SS Maple Leaf tidak berjalan lancar. Antara tragedi yang menimpa ketika pembinaan kapal tersebut adalah kematian salah seorang pekerja Barrington Shipping yang bernama Arthur Clifton. 

Arthur Clifton adalah ayah kepada Harry. Arthur datang bekerja setiap pagi seperti hari-hari yang lain. Malangnya pada suatu hari, Arthur tidak pulang ke rumah dan dia kekal hilang sehingga ke hari ini. Cakap-cakap belakang kuat mengatakan yang Arthur telah mati dan jasadnya terperangkap di dalam badan kapal SS Maple Leaf. Tetapi Sir Hugo Barrington keras menafikannya dan melarang sesiapa pun untuk mencari jasad Arthur. 

Kini SS Maple Leaf pulang untuk dikuburkan. Adakah Emma akan berusaha untuk membuktikan dakwaan tentang terperangkapnya Arthur di dalam kapal tersebut? 

Atau mungkinkah kehilangan Arthur kekal misteri selama-lamanya? 



Selepas Margaret Thatcher memenangi jawatan Perdana Menteri Britain, Emma Clifton dilantik sebagai menteri yang menerajui portfolio kesihatan. Walaupun kerjaya politik Emma meningkat dengan mendadak, tetapi ada harga yang perlu dibayar terutama apabila abangnya sendiri, Sir Giles Barrington menjadi ahli politik pembangkang. 



Pembohongan Lady Virginia Fenwick mengenai status Hon. Freddie Fenwick sebagai anaknya dengan Cyrus T. Grant akhirnya terbongkar. Isteri Cyrus T. Grant iaitu Ellie May sangat berang dan mengarahkan peguamnya untuk menuntut semula wang perbelanjaan yang telah diberikan oleh Cyrus T. Grant kepada Virginia untuk membesarkan Freddie Fenwick sebanyak 2 juta.

Malangnya, Virginia tidak mempunyai wang untuk membayar tuntutan tersebut kerana dia tiada sumber pendapatan tetap kecuali elaun bulanan berjumlah 2,000 Pound yang diberikan oleh abangnya, Archie, the tenth Earl of Fenwick. Malah, hidup Virginia kini dikelilingi hutang akibat dari gaya hidup yang melampau. 

Virginia juga lepas tangan tentang urusan penjagaan dan persekolahan Freddie. Segala urusan Freddie kini terletak di tangan Archie sebagai penjaga dan pemegang amanah yang sah seperti yang tertulis dalam wasiat ayah mereka. Dan wasiat itu juga dengan jelas menyatakan yang Virginia hanya memperolehi sebotol whisky berjenama Maker's Mark. Ia adalah simbolik yang lelaki tersebut mengetahui segala penipuan dan penganiayaan yang dilakukan oleh anak perempuan tunggalnya demi untuk hidup mewah. 

Selepas itu, Virginia melesapkan wang dan harta pusaka Desmond Mellor ketika lelaki tersebut didalam penjara. Penjualan harta pusaka Desmond Mellor telah memberi keuntungan yang lumayan kepada Virginia dan digunakan untuk membayar kesemua hutangnya. Sayangnya, keuntungan tersebut berjaya dihidu oleh Inland Revenue Board (IRB). 

IRB menghantar tuntutan pembayaran cukai berjumlah 185,000 Pound. Ia adalah satu angka yang sangat besar dan diluar kemampuan Virginia memandangkan tiada satu sen pun lagi yang tinggal setelah semuanya digunakan untuk membayar hutang. 

Virginia sedar yang dia perlu mencari lelaki kaya untuk menjadi mangsa barunya. Dan calon yang paling sesuai adalah Perry, the thirteenth Duke of Hertford, yang baru saja kematian isterinya, Lavinia. Pasangan Duke of Hertford dan Livinia mempunyai 2 orang anak perempuan dan seorang anak lelaki, serta beberapa orang cucu. 

Adakah misi Virginia untuk berdamping dengan Duke of Hertford dan seterusnya menumpang harta aristokrat tersebut akan berjaya? 

Atau mungkinkah niat jahat Virginia akan terbongkar sama seperti kisahnya dengan Cyrus T. Grant and Ellie May? 



Kerjaya Sebastian Clifton di Farthings Kaufman Bank semakin menyerlah sehingga akhirnya beliau dilantik sebagai Chairman untuk bank tersebut. Perlantikan Sebastian sebagai Chairman menyebabkan jawatan CEO kosong. Ramai yang meramalkan jawatan CEO tersebut akan disandang oleh Victor Kaufman, rakan baik Sebastian merangkap pewaris Kaufman family. Namun, ia tidak menjadi kenyataan apabila Sebastian meletakkan Victor sebagai Deputy Chairman dan melantik John Ashley sebagai CEO. 

Keputusan Sebastian ternyata memeranjatkan ramai pihak termasuklah Victor sendiri. Victor agak tersinggung dan berhasrat untuk meletak jawatan. 

Adakah ini pengakhiran kepada persahabatan keluarga Clifton dan Kaufman?

Atau ia sebenarnya adalah strategi untuk menguatkan lagi kedudukan bank tersebut di pasaran Britain? 





Untuk Volume terakhir ini, focus banyak diberikan kepada watak Emma Clifton, Lady Virginia dan juga Jessica Clifton. Banyak kejutan menanti terutama yang melibatkan Jessica.

Seperti Volume yang sebelum ini, Patung Beruang masih lagi geram dan menyampah dengan watak Lady Virginia. Aduhai... kenapalah ada manusia yang licik dan kejam seperti dia ini? Yang pasti, kesudahan watak Virginia ini sangat menarik. 

Spoiler alert, ending Clifton Chronicles ini sangat sedih dan diluar jangkaan Patung Beruang. Tetapi ending itu realistic dan tidak memungkinkan untuk Archer menyambung lagi kisah Clifton Chronicles ini. Apa ending nya? Hm... kenalah baca sendiri ye.. 


Tamatlah sudah kisah Clifton Chronicles ini. Keseluruhannya, Patung Beruang ambil masa lebih kurang 24 bulan untuk habiskan kesemua 7 Volumes ini. Jumlah muka surat yang ada pula plus minus 3000 pages. 7 Volumes ini mempunyai storyline yang memakan masa 70 tahun, melewati 5 generasi keluarga Clifton dan Barrington. 

Perasaan Patung Beruang selepas tamatkan kisah ini? 
Jawapannya...Sangat Puas.. 
Cuma sedih sedikit sebab tak ada lah lagi tertunggu-tunggu kejutan dalam 2 buah keluarga ini. Terima kasih Archer sebab menghasilkan karya yang hebat...


p/s: Selepas ini Patung Beruang kena lah cari karya-karya terbaru Archer yang lain pula. Oh ye, Archer sudah keluarkan siri terbaru iaitu William Warwick siri. William Warwick??? Macam familiar je nama tu.. Mestilah sebab William Warwick adalah fictional character yang dihasilkan oleh Harry Clifton sehingga dia menjadi novelis yang terkenal di Britain dan juga luar negara. 

Sunday, March 29, 2020

Book Review : Cometh The Hour

Tajuk : Cometh the Hour

Penulis : Jeffrey Archer 

Menariknya Naskah Ini : 

Alhamdulillah, Patung Beruang berjaya menghabiskan Volume ke-6 dalam siri Clifton Chronicles iaitu Cometh the Hour malam semalam. Sekarang tinggal satu buku saja lagi untuk Patung Beruang tahu kesudahan kisah keluarga Clifton dan Barrington ini. 

Mari kita flasback sekejap ye..

Clifton Chronicles ini mempunyai timeline yang panjang dimana kisahnya bermula dari tahun 1920 sehingga lah ke tahun 1980 atau 1990.. 

Jeffrey Archer telah menyiapkan 7 volume untuk siri ini iaitu:
  • Cometh the Hour; dan akhir sekali adalah
  • This Was A Man
Kalau nak baca book review untuk Volume 1 - Volume 5, click saja di tajuk diatas. Patung Beruang dah letakkan link di setiap tajuk itu.. 


Untuk volume ke-6 ini, Jeffrey Archer membawa pembaca kepada surat dari mendiang Major Fisher yang dihantar ke mahkamah ketika di akhir perbicaraan  kes saman Lady Virgina dan Emma. 

Hakim memberi peluang kepada Emma untuk membaca surat tersebut dan mendedahkan kepada pihak juri. Adakah Emma akan mengambil peluang tersebut untuk kepentingan kes nya? 

Atau mungkin Emma kekal dengan prinsip untuk melawan Lady Virginia secara adil? 

Tetapi bukan saja Emma dan Lady Virginia yang terkesan dengan surat dari mendiang Major Fisher. Sir Giles Barrington juga turut terpalit dan kerana surat itu juga lah kerjaya politik Giles terpaksa dikorbankan. 



Hubungan Giles dan Karin semakin rapat. Malangnya Karin terperangkap di Moscow dan adalah mustahil untuk dia keluar dari sana. Dengan dorongan Pengelly, ayah tiri Karin, Giles nekad untuk membawa Karin keluar dari Iron Curtain dan seterusnya menetap di England. 

Harry bukanlah seorang yang prejudis tetapi sikapnya yang dingin terhadap Karin menimbulkan persoalan kepada Emma. 

Harry teringat ketika dia diminta oleh pihak Britain untuk menyeludup keluar senarai nama agen perisik Russia, antara nama yang tersenarai adalah Pengelly. Oleh itu, Harry agak ragu-ragu dengan identiti Karin dan motif wanita itu menjalinkan hubungan dengan Giles. 

Adakah keselamatan Giles terancam? 
Atau mungkin keselamatan England juga terancam? 

Sayangnya Harry tidak mampu meluahkan keraguannya itu kepada Emma apatah lagi Giles. 



Lady Virginia sedang berdepan dengan risiko bankrap dan dia tidak nampak cara lain untuk menyelesaikan masalah kewangannya. Namun, pada suatu hari Lady Virginia diperkenalkan dengan Cyrus T. Grant III, orang ke-28 terkaya di Amerika. 

Menyedari yang Cyrus T. Grant III masih bujang, Lady Virginia mula mengatur rancangan bagi memastikan lelaki itu menjadi miliknya. Sayangnya rancangan Lady Virginia tidak berjalan lancar apabila Cyrus menghilangkan diri keesokkan harinya tanpa berita. 

7 bulan selepas itu, akhbar menyiarkan berita tentang majlis perkahwinan antara Cyrus T. Grant III dan Ellie May, yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Kali ini, Lady Virginia berpura-pura mengandungkan anak Cyrus demi menuntut wang pampasan dari lelaki tersebut. 



Sebastian Clifton kini memegang jawatan Chief Executive of Farthings Bank. Dalam kesibukan menguruskan Farthings, Sebastian jatuh cinta dengan Priya, seorang analyst yang bekerja di London.

Priya adalah anak tokoh korporat terkenal di India, Mr Ghuman. Percintaan Sebastian dan Priya tidak berjalan lancar apabila Priya diculik dari apartmentnya di London, dan dibawa pulang ke India untuk dikahwinkan dengan lelaki pilihan keluarga. 

Sebastian nekad terbang ke India untuk membawa pulang Priya. Malangnya, ketika mereka berdua hampir menaiki kapal terbang, Priya ditembak mati oleh salah seorang pengawal Mr Ghuman. 

Dalam masa yang sama, musuh ketat Sebastian iaitu Adrian Sloane dan Desmond Mellor sedang merancang untuk menjatuhkan Sebastian dan Hakim Bishara, iaitu Pengerusi Farthings Bank bagi membolehkan mereka take over Farthings. 

Hakim Bishara dituduh cuba menyeludup masuk dadah yang bakal menyebabkan dirinya dipenjara bertahun-tahun jika didapati bersalah. 



Harry Clifton nekad berusaha untuk membebaskan Anatoly Babakov dari penjara Russia. Naskah tulisan Anatoly iaitu Uncle Joe mendapat sambutan baik di peringkat antarabangsa sehingga diterjemahkan ke banyak bahasa. 

Disebabkan itu, Anatoly dianggap sebagai pejuang dan dianugerahkan dengan Nobel Prize for Literature. Kerajaan Russia bersetuju untuk membebaskan Anatoly demi menghadiri majlis penyampaian anugerah tersebut. Sayangnya, suatu kejadian yang tidak diduga berlaku beberapa jam sebelum majlis berlangsung. Dan Harry Clifton tidak pernah menyangka beginilah pengakhiran episod perjuangannya demi membela sahabatnya itu. 




Akhirnya.....Baru sekarang Patung Beruang dapat siapkan book review untuk Volume ke-6 ini. Mencabar juga sebab Patung Beruang terlupa untuk update Volume ke-4 dan ke-5. Itu yang sampai 3 Book Review Patung Beruang tulis hari ini. 

Untuk Volume ke-6 ini, isu banyak berkisar tentang survival of Lady Virginia. Sebagai seorang yang sangat licik, dia sanggup buat apa saja asalkan dia dapat hidup senang tanpa perlu bersusah payah.

Selain itu Patung Beruang geram  juga dengan 2 partner in crime Lady Virginia iaitu Adrian Sloane dan Desmond Mellor. Mereka bertiga ini memang tidak boleh hidup dengan tenang selagi keluarga Barrington dan Clifton tidak jatuh. Pelik betul dengan manusia yang ada perangai macam ini, huhuhu...

Oh ye, kesian juga pada Sebastian Clifton kerana watak Priya terlalu singkat umurnya. Yang pasti, di akhir Volume ke-6 ini, kisah cinta Sebastian akan berakhir dengan gembira. Bagaimana? Dengan siapa? Jeng jeng jeng.. 



Baiklah, jam pun dah pukul 12.15 AM ini. Patung Beruang pun dah mengantuk sangat.

Esok Patung Beruang bolehlah baca buku yang lain pula. Patung Beruang dah beli Volume ke-7 aka Final Volume untuk Clifton Chronicles ini. Cuma tak rasa nak baca lagi sebab Patung Beruang takut nak membayangkan apa kesudahan kisah 2 keluarga ini....Jadi, buat masa ini Patung Beruang berehat sebentar dari Archer ye.. 

Selamat malam... 

Saturday, March 28, 2020

Book Review : Mightier Than the Sword

Tajuk : Mightier Than the Sword

Penulis : Jeffrey Archer

Menariknya Naskah Ini : 

Baiklah, ini adalah Volume ke-5 dalam Clifton Chronicles. Naskah yang mempunyai 493 mukasurat ini bermula dengan adegan letupan bom ketika pelayaran MV Buckingham, kapal persiaran mewah terbaru milik Barrington Shipping Company.

Dengan kepantasan dan kecekapan officer dan pihak berkuasa di atas kapal, bom tersebut berjaya diletupkan di tengah laut instead of diatas kapal. Tindakan ini telah menyelamatkan nyawa semua yang berada diatas kapal.

Pihak berkuasa, ahli lembaga pengarah Barrington Shipping Company serta kedua-dua  keluarga Barrington dan Clifton sedaya upaya menyembunyikan kejadian letupan bom ini dari diketahui public. Mereka sedar jika kejadian ini mendapat liputan, ia akan merosakkan reputasi Barrington Shipping Company, sekaligus boleh menyebabkan harga saham syarikat jatuh merudum. 

Namun, tindakan untuk melindungi peristiwa tersebut dari liputan awam tidaklah semudah disangka. Lady Virginia Fenwick yang memang berdendam dengan Emma, berusaha sedaya upaya untuk membongkarkan kisah itu. Kemuncaknya adalah apabila mereka bertikam lidah di Annual General Meeting (AGM) dimana Emma mendedahkan muslihat keji Lady Virginia memanipulasi harga saham Barrington, dihadapan semua pemegang saham dan Ahli Lembaga Pengarah Barrington.

Justeru, Lady Virginia memfailkan saman keatas Emma diatas statement yang dikeluarkan wanita itu ketika AGM.



Harry Clifton dilantik sebagai President English PEN, sebuah pertubuhan yang dianggotai oleh barisan penulis di seluruh dunia yang bermula sejak 1920-an. Dengan menggunakan jawatan President, Harry memulakan kempen pembebasan penulis Rusia yang bernama Anatoly Babakov. 

Sebagai seorang yang berkerja bertahun-tahun bersama Comrade Stalin, Anatoly melihat sisi sebenar lelaki itu yang disembunyikan dari pandangan umum. Selama bertahun-tahun, setiap malam Anatoly akan menulis segala yang berlaku pada hari tersebut sebagai simpanan dirinya dan juga khazanah masa depan. Setelah bersara, Anatoly cuba untuk menerbitkan tulisannya itu yang bertajuk Uncle Joe. 

Sayangnya tulisannya itu tidak diterima oleh pihak berkuasa Rusia. Kesemua buku cetakan Uncle Joe telah dirampas dan dimusnahkan. Anatoly pula ditangkap dan dipenjarakan atas tuduhan menyebarkan cerita palsu tentang Stalin. 


Harry diperkenalkan kepada Yelena, isteri Anatoly. Dari Yelena, Harry mula tahu bahawa terdapatnya satu salinan naskah Uncle Joe yang berjaya disembunyikan di sebuah kedai buku lama di Russia. Dan itulah satu-satunya naskah fizikal Uncle Joe yang masih wujud. Maka, Harry ditugaskan untuk membawa keluar naskah tersebut dari Rusia dan  menerbitkannya seperti yang dihajati oleh Anatoly. 

Malangnya Harry ditangkap oleh pihak berkuasa Rusia ketika sedang cuba membawa keluar naskah Uncle Joe dan Harry dihukum penjara. Bagi menunjukkan betapa seriusnya kesalahan Harry, kerajaan Rusia telah meletakkan Harry dalam satu sel yang sama dengan Anatoly.  

Di dalam penjara, setiap hari Anatoly akan berkongsi setiap isi kandungan naskah Uncle Joe kepada Harry. Sehingga akhirnya Harry berjaya menghafal keseluruhan naskah tersebut. 

Selepas dibebaskan dari penjara, Harry terus dihantar pulang ke England. Sejurus saja kapal terbang yang dinaiki Harry keluar dari ruang udara Rusia, Harry mula menulis setiap patah perkataan yang dihafalnya dari naskah Uncle Joe. Misinya hanya satu, ingin memastikan naskah Uncle Joe sampai ke tangan masyarakat agar mereka mengetahui keadaan sebenar regim Soviet ketika itu. 



Sir Giles Barrington kini adalah menteri di Crown dan mula memasang impian untuk menjawat jawatan lebih tinggi di dalam politk. Namun, lawatan rasmi Giles ke Berlin yang pada asalnya adalah atas tujuan kerja telah menjadi sebaliknya apabila Giles terpikat pada Karin, wanita yang ditugaskan untuk menjadi penterjemahnya. 

Tetapi adakah Karin juga jatuh hati pada Giles ataupun dia mempunyai misi tersendiri? Apatah lagi apabila seorang lelaki bernama Pengelly menghubungi Giles dan mengaku dirinya adalah ayah Karin. 


Sebastian Clifton yang sedang berkhidmat di Farthings Bank semakin seronok dengan kerjaya bankers sehingga mampu mendaki ke jawatan tinggi dalam tempoh yang singkat. Namun, ada harga yang perlu dibayarnya. 

Sebastian dan Samantha berpisah. Sayangnya perpisahan tersebut berlaku ketika Samantha sedang mengandungkan anak mereka, Jessica. 

Tatkala Sebastian menyedari kesilapannya meninggalkan Samantha, Sebastian terbang ke Amerika dengan misi memujuk wanita tersebut. Sayangnya ketika itu Samantha dilihat sudah berkahwin dengan lelaki lain. Tetapi suami barunya sedang koma dan Samantha setia menjaganya. 

Jessica membesar sebagai seorang kanak-kanak yang bijak dan sangat berbakat dalam seni lukisan. Secara senyap-senyap, Sebastian menghubungi sekolah Jessica dan menawarkan untuk menanggung kesemua perbelanjaan persekolahannya termasuklah kelas tambahan sehingga Jessica tamat persekolahan. 

Kejayaan Sebastian di Farthings Bank menimbulkan rasa cemburu pada Adrian Sloane yang menganggap Sebastian sebagai seterunya. Persaingan antara dua bankers ini menyebabkan Adrian menggunakan taktik keji untuk menjatuhkan Sebastian. 

Adakah taktik Adrian berjaya atau taktiknya itu memakan dirinya sendiri?



Untuk Volume ke-6 ini banyak adegan yang mendebarkan seperti kejadian bom di atas MV Buckingham dan proses Harry menulis semula Uncle Joe diatas kertas BOAC di dalam flight, di belakang inflight menu kad sehinggalah ke bergulung tisu tandas. Ternyata bakat photographic memory yang dimiliki Harry benar-benar membantunya untuk menyelamatkan master piece Anatoly Babakov. 

Selain itu, kes saman antara Lady Virginia Fenwick dan Emma juga menarik untuk diikuti. Kemuncaknya apabila salah seorang boneka Lady Virginia menulis sepucuk surat kepada mahkamah sebelum menembak dirinya sendiri. Apa kandungan isi surat tersebut? 
Dan adakah surat tersebut memberi kelebihan kepada Lady Virginia ataupun Emma? ......

Book Review : Be Careful What You Wish For

Tajuk : Be Careful What You Wish For

Penulis : Jeffrey Archer

Menariknya Naskah Ini : 



Sebenarnya Patung Beruang sedang tulis book review untuk Volume ke 6 dalam Clifton Chronicles. Ketika sedang masukkan hyperlink, Patung Beruang baru perasan yang book review untuk Volume 4 dan 5 tiada di sini, huhuhu....


Maaf ye sebab Patung Beruang betul-betul terlupa untuk document kan disini. Rasanya selepas habis baca tu, Patung Beruang terus busy dengan kerja ataupun excited start baca buku baru. Tu yang tertinggal terus.

Be Careful What You Wish For adalah volume ke-4 dalam Clifton Chronicles selepas:




Patung Beruang ada insert link di setiap tajuk diatas. Jadi kalau nak baca book review, klik saja tajuk-tajuk yang berkenaan ye.



Untuk Volume ke-4 ini, Harry dan Emma bergegas ke hospital setelah mengetahui anak lelaki tunggal mereka, Sebastian Clifton dan sahabat baiknya, Bruno Martinez terbabit dengan kemalangan. Malangnya Bruno Martinez mati ditempat kejadian. 

Kemalangan tersebut sebenarnya sengaja dirancang oleh Don Pedro Martinez demi membunuh Sebastian. Malangnya, dia tidak menyangka Bruno juga ada didalam kenderaan tersebut. Kegagalan rancangan menambahkan lagi kemarahan dan dendam Don Pedro Martinez kepada seluruh keluarga Clifton dan Barrington.



Selepas Ross Buchanan dipaksa untuk melepaskan jawatan Chairman di Barrington Shipping Company, Emma berhasrat untuk menduduki jawatan tersebut. Dalam masa yang sama, oleh kerana dendam, Don Pedro Martinez merancang untuk meletakkan Major Alex Fisher sebagai bonekanya, didalam ahli lembaga pengarah Barrington Shipping Company.

Dalam masa yang sama, Barrington Shipping Company akan memulakan pembinaan kapal baru dalam kategori luxury liner, yang dinamakan MV Buckingham. Disebabkan itu, Don Pedro dan Major Alex Fisher mula merancang cara untuk menggagalkan pembinaan kapal tersebut yang bakal membuatkan Barrington Shipping Company menanggung kos yang sangat tinggi dan berpontensi menyebabkan syarikat tersebut tersungkur.

Jatuhnya Barrington Shipping Company bermakna jatuhlah legasi keluarga Barrington.



Jessica, anak angkat Harry dan Emma menerima biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di Slade Academy of Art. Ia tidak menghairankan memandangkan bakat seni Jessica sangat mengagumkan. Di Academy, Jessica jatuh cinta dengan Clive Bingham, yang merupakan salah seorang pelajar di Academy yang sama.

Clive melamar Jessica dan kedua-dua keluarga iaitu Bingham dan Clifton sangat gembira dengan berita ini dan mula membuat persiapan perkahwinan. Namun, segala-galanya bertukar apabila Priscilla Bingham, bakal mertua Jessica, didatangi oleh kawan lamanya iaitu Lady Virginia Fenwick.

Lady Virginia, bekas isteri Sir Giles Barrington mula meracun keluarga Bingham dengan dongeng cerita-cerita buruk keluarga Barrington dan Clifton. Kemuncaknya, hubungan Clive dan Jessica ditentang hebat oleh Priscilla Bingham yang akhirnya menyebabkan Jessica nekad membunuh diri.



Selain itu, seorang lelaki dari Yorkshire bernama Cedric Hardcastle menyertai ahli lembaga pengarah Barrington Shipping Company. Kehadirannya yang tiba-tiba menimbulkan persoalan siapa sebenarnya Cedric dan dia mewakili kem yang mana? Adakah kem Emma Barrington ataupun kem Alex Fisher dan Don Pedro Martinez?




Archer dan kejutan memang tidak dapat dipisahkan.

Dalam Volume ke-4 ini, antara perkara yang mengejutkan adalah apabila Archer mematikan watak Jessica. Mungkin Archer tidak mahu menambahkan lagi konflik yang sedia ada dalam keluarga Barrington dan Clifton.

Status Jessica sebagai anak  luar nikah mendiang Sir Hugo Barrington dan Olga hanya akan merumitkan keadaan. Ini bermakna secara tidak langsung Jessica adalah adik kepada Sir Giles dan Emma. Tetapi bagi Sebastian, Jessica adalah adiknya instead of ibu saudaranya.

Patung Beruang paling sakit hati dengan watak Lady Virginia Fenwick. Harap muka saja cantik, tapi perangai hodoh. Sangat sombong, kurang ajar, suka berlagak, hati busuk dan sangat licik. Pelik juga, macam mana lah Sir Giles boleh jatuh cinta dengan wanita ini. Nasib baiklah family members Barrington yang lain nampak true colours Lady Virginia ini, huhu...  Kalau tidak, mungkin dah lama merempat keluarga Barrington ini.... 

Thursday, September 6, 2018

Book Review: Best Kept Secret

Tajuk : Best Kept Secret

Penulis : Jeffrey Archer 

Menariknya Naskah Ini: 

Ehem.. ehem.. baiklah.. kini Patung Beruang mempersembahkan Volume 3 dalam Clifton Chronicles, bertajuk Best Kept Secret. 

Buku yang bersusah payah Patung Beruang cari sampai tak tidur malam dan sampai kena menjelajah kedai-kedai buku, hehe.. Alhamdulillah.. jumpa juga akhirnya. 




Untuk volume ke 3 ini, pembaca dibawa kepada keputusan undian House of Lords berkenaan siapa yang lebih layak untuk mewarisi kekayaan dan title keluarga Barrington, adakah Harry Clifton ataupun Giles Barrington. 

Seperti yang terbongkar di Volume 1, terdapat insiden yang berlaku antara Maisie dan Hugo Barrington, beberapa hari sebelum perkahwinan Maisie dan Arthur Clifton. Dari perkahwinan tersebut, lahirlah Harry Clifton. Namun, ditakdirkan Harry lahir beberapa hari awal daripada Giles Barrington. Kini, terdapat kemungkinan yang bapa kandung Harry adalah Hugo Barrington, bukannya Arthur Clifton. Jika benarlah Harry adalah anak kepada Hugo, ini bermakna pewaris sebenar keluarga Barrington adalah Harry, dan bukannya Giles. 




Di dalam Volume 2, pembaca dikejutkan pula dengan Emma Barrington yang sedang mengandung. Dan anak yang dikandungnya adalah anak Harry. Terbongkarnya rahsia berkenaan keraguan status ayah kandung Harry telah menggemparkan pihak gereja dan juga masyarakat Bristol. Kelahiran Sebastian Clifton dari benih Emma dan Harry, memburukkan lagi keadaan. Jika benar Harry adalah anak Hugo, bermakna Harry dan Emma tidak boleh berkahwin dan hubungan mereka dianggap sumbang mahram. Satu perlakuan yang sangat ditentang oleh pihak gereja dan masyarakat Kristian. 

Kini, masyarakat dan pihak gereja terbahagi kepada 2. Satu pihak mengharapkan agar Harry benar-benar anak kandung kepada Hugo dan seterusnya mewarisi dan memimpin keluarga Barrington. Bagi mereka, ini adalah masanya golongan kelas pekerja diterima masuk ke dalam golongan bangsawan seperti keluarga Barrington.  

Namun pihak ke-2 pula mengharapkan agar ia tidak berlaku sama sekali. Bagi mereka, ia tidak adil buat Harry dan Emma kerana mereka tidak akan dapat bersatu untuk selama-lamanya, dan juga tidak adil untuk Giles kerana kedudukannya dirampas dalam sekelip mata oleh sahabat baiknya sendiri. 





Maka, dalam Volume 3 ini, pembaca dibawa menjelajah bagaimana pertikaian berkenaan kedudukan Harry dan Giles diselesaikan. (Untuk makluman, cerita ini mengambil latar belakang tahun 1930an dan 1940an. Ketika itu, teknologi DNA belum sampai ke Britain. Oleh sebab itu mereka tidak boleh melakukan ujian DNA bagi menentukan siapa sebenar ayah kandung Harry).

Pihak gereja dan pemimpin masyarakat bersetuju untuk menyelesaikan kemelut status Harry dan Giles melalui undian House of Lords. Sebelum undian dilakukan, kedua-dua pihak iaitu Harry dan Giles diberi peluang untuk berhujah mengenai kedudukan mereka. 

Bagi Harry, hujahnya sangat mudah. Harry tidak pernah berniat atau bercadang untuk menjadi pewaris keluarga Barrington. Harry berbangga membawa nama Clifton. Baginya, kekayaan dan kemewahan keluarga Barrington tidak pernah menggoda dirinya. Harry hanya ingin meneruskan perkahwinannya dengan Emma, menjaga keluarga kecil mereka dengan kehadiran Sebastian dan dalam masa yang sama meneruskan persahabatan akrabnya dengan Giles. 

Bagi Giles pula, dia memang dibesarkan di dalam keluarga Barrington dan dianggap serta dilayan sebagai pewaris Barrington. Oleh itu, Giles merasakan yang tiada lagi calon pewaris Barrington yang paling layak selain dirinya. 

Ironinya, walaupun masyarakat terpecah kepada 2 camp iaitu camp Harry dan camp Giles, persahabatan dua lelaki ini tidak tergugat walau sedikit pun. Giles mengenali siapa Harry yang sebenarnya dan yakin Harry bercakap benar setiap kali dia menyebut dia tidak berkeinginan untuk menjadi pewaris Barrington. Kedua-dua mereka masih tinggal bersama, serumah, sebagai sebuah keluarga, bersama-sama dengan Emma dan Sebastian, di rumah agam keluarga Barrington.

Undian dibuat oleh House of Lords dan di penghujung hari, kedua-dua lelaki ini menerima berita gembira yang memihak kepada mereka berdua.  




Kini, perkahwinan Harry dan Emma dapat diteruskan oleh pihak gereja tanpa bantahan. Giles pula semakin aktif di dalam karier politik Britain. Dan Sebastian Clifton membesar dan diasuh agar meneruskan legasi cemerlang ahli keluarga lelaki keluarga Clifton dan Barrington. 




Harry mula sibuk dengan promosi novel-novelnya. Karya Harry diterima baik oleh pasaran Amerika dan juga Britain. Ini menjadikan Harry antara penulis novel yang terkenal. 

Dalam masa yang sama, Emma berusaha menjejak bayi perempuan yang dibawa oleh Olga ketika wanita itu bertemu Hugo Barrington untuk kali terakhir. Emma merasakan yang bayi perempuan tersebut adalah anak kepada Hugo dan Olga. 

Bayi perempuan tersebut sebenarnya telah dihantar ke rumah kebajikan. Dan kini membesar sebagai seorang kanak-kanak perempuan bernama Jessica, yang sangat berbakat didalam bidang seni lukis.

Permohonan Harry dan Emma untuk menjadikan Jessica sebagai anak angkat mereka diluluskan oleh Jabatan Kebajikan. Kehadiran Jessica diterima baik oleh keluarga termasuklah Sebastian. 

Status sebenar Jessica hanya diketahui oleh Giles, Harry dan Emma. Rahsia itu tetap tersimpan kerana beranggapan Jessica masih muda untuk memahaminya. 




Giles Barrington yang sibuk dengan karier politiknya jatuh cinta dengan Lady Virginia. Wanita bangsawan yang licik dan sombong. Kehadiran Lady Virginia kurang disenangi oleh keluarga Barrington kerana merasakan yang Lady Virginia ada muslihat tersendiri. 

Lady Virginia sedar yang Giles adalah anak lelaki tunggal. Maka, dengan mengahwini Giles, Lady Virginia ada akses kepada kekayaan keluarga Barrington dan seterusnya merampas kekayaan tersebut dari mereka. 

Elizabeth sedar niat jahat teman wanita anaknya. Oleh itu, dengan bantuan peguam, Elizabeth mengubah wasiat beberapa jam sebelum dia meninggal dunia. Ini dilakukan demi memastikan kekayaan keluarga Barrington tidak jatuh ke tangan Lady Virginia. Dan perubahan wasiat tersebut tidak diketahui langsung oleh anak-anaknya termasuklah Giles. 

Selain itu, Elizabeth juga meminta Harry berjumpanya di hospital. Ketika pertemuan tersebut, Elizabeth mengamanahkan sepucuk surat kepada Harry. Pesannya agar surat tersebut diserahkan kepada hakim jika Giles dan Lady Virginia mencabar kesahihan wasiatnya. Namun, jika tiada sesiapa yang mencabar wasiat tersebut maka Harry mestilah memusnahkan surat tersebut tanpa membukanya. 

Seperti diduga Elizabeth, wasiatnya menimbulkan pertikaian oleh Lady Virginia. Bagi Giles pula, dia terkejut dengan perubahan wasiat tersebut namun tiada masalah jika semua harta Barrington diserahkan kepada 2 adik perempuannya iaitu Emma dan Grace. 

Atas hasutan Lady Virginia, Giles membuat tuntutan di mahkamah bagi mempertikaikan ketulenan wasiat tersebut dan kewarasan Elizabeth ketika mengubah wasiat di saat-saat akhir hidupnya. 

Dan pertikaian ini menyebabkan keluarga Barrington berpecah-belah. Giles mula memusuhi adik-adik perempuan dan juga Harry. 

Adakah Giles akan berjaya didalam pertikaian tersebut?

Apa sebenarnya isi kandungan surat yang diberikan oleh Elizabeth kepada Harry?

Benarkah yang Elizabeth berada di dalam keadaan tidak rasional ketika mengubah wasiatnya? 

Adakah ini pengakhiran perhubungan Giles adik-beradik dan juga persahabatan rapatnya dengan Harry? 




Sebastian membesar dan kini bersekolah di Bristol Grammar School. Sekolah yang sama dihadiri oleh Harry dan Giles bertahun-tahun dahulu. Sekolah yang mewujudkan jalinan persahabatan kedua-dua lelaki hebat ini. Dan juga sekolah yang membentuk perwatakan mereka sehingga menjadi penulis terkenal dan ahli politik Britain yang hebat. 

Namun, Sebastian mempunyai perwatakkan yang berbeza dengan Harry. Pelajar yang cerdik tapi sangat risk taker dan juga nakal. Terlalu mengutamakan keseronokkan berbanding masa depannya sendiri. 

Pada tahun 1957, Sebastian memperolehi biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di Cambridge. Malangnya Sebastian didapati melakukan kesalahan yang serius yang menyebabkan dirinya dibuang sekolah. Akibat takut dimarahi oleh Harry dan Emma, Sebastian melarikan diri dan kini terlibat dengan international art fraud yang melibatkan sebuah statue untuk acara lelong. Malangnya, Sebastian sendiri tidak sedar tentang penglibatannya di dalam fraud tersebut. Ini kerana the true mastermind adalah Don Pedro Martinez. 

Dapatkah Sebastian menyelamatkan diri dari ditangkap? 

Atau mungkin Don Pedro Martinez yang terperangkap?

Bagaimana penerimaan Harry dan Emma apabila mengetahui yang anak lelaki tunggal mereka terlibat dengan jenayah antarabangsa? 






Basically, itu lah serba sedikit inti pati untuk Volume 3, Best Kept Secret ini. 

Untuk naskah kali ini, momentum pembacaan Patung Beruang agak terganggu. Patung Beruang ambil masa lebih dari 3 minggu untuk habiskan buku ini. Sibuk dengan tugasan, travel, berfoya-foya (hehehehe...), baca buku-buku lain, tu yang akhirnya lambatlah habis buku ini. 

Malah Patung Beruang berhajat untuk membaca ketika dalam perjalanan. Ironinya, apabila flight  berjam-jam, Patung Beruang baca adalah 3 atau 4 pages, lepas tu tengok movie, then tidur. Bangun tidur, sambung lagi baca sikit, pastu layan movie then tidur semula. Honestly, dalam flight Patung Beruang lagi selesa layan movie. Just to entertain myself.. Tak nak serabutkan otak.. 


Untuk naskah kali ini, seperti biasa Archer memang tidak akan sunyi dengan kejutan. Basically, antara kejutan yang besar adalah ketika pertikaian wasiat Elizabeth, ketika pilihanraya yang ditandingi oleh Giles dan juga ketika Sebastian terlibat dengan art fraud. 

Selain itu, untuk Volume 3 ini ada beberapa watak penting yang bakal memberi warna dan mengubah takdir kedua-dua keluarga Clifton dan Barrington selepas ini. Watak-watak tersebut adalah Jessica, Lady Virginia, Major Fisher (watak ini muncul sedikit di Volume 1 dan dikembangkan ketika Volume 2) dan Don Pedro Martinez. 


Jika diteliti, penceritaan untuk kali ini agak pantas. Archer bermula dengan proses pengundian House of Lords bagi menentukan waris sebenar keluarga Barrington dan mengakhiri naskah ini dengan peristiwa kemalangan jalan raya yang dirancang, yang melibatkan Sebastian. Tempoh masa yang digambarkan dalam naskah ini lebih kurang 15-20 tahun. 



Akhir sekali, di bahagian belakang naskah ini, Archer ada letakkan nota untuk pembacanya. Basically, nota ini menceritakan yang pada awalnya Archer merancang menulis Clifton Chronicles ini sebanyak 5 volume yang merangkumi tempoh masa 100 tahun iaitu dari tahun 1920 hingga 2020 (gila lah.... banyak betul idea Archer ini, huhu...) 

Namun... perancangan tersebut terganggu bermula dari Volume 2. 
Dan kini Clifton Chronicles dah jadi 7 volume. 
Ada sambungan lagi ke selepas Volume ke 7? 
Adoi.... Takut pula Patung Beruang nak membayangkannya...huhu..
Kita tunggu sahaja lah ye.. 

Tuesday, August 28, 2018

Book Review: The Sins of The Father

Tajuk : The Sins of The Father 

Penulis : Jeffrey Archer 

Menariknya Naskah Ini:

Ini adalah volume ke-2 untuk Clifton Chronicles. Volume pertama, Only Time Will Tell telah Patung Beruang catatkan pada bulan lepas. 

Untuk volume ke-2 ini, naskah dimulakan dengan sambungan adegan di New York pada tahun 1939, dimana Harry Clifton yang dianggap sebagai Lieutenant Thomas Bradshaw (Tom Bradshaw), ditahan atas tuduhan membunuh abangnya sendiri. 

Walaupun Harry berusaha untuk membuktikan identiti dirinya sendiri, pihak polis berpendapat beliau adalah Tom Bradshaw dan identiti Harry Clifton adalah helahnya semata-mata bagi mengelakkan diri dari ditangkap. 

Apabila Sefton Jelks, peguam terkemuka di Manhattan menawarkan diri untuk mewakili Tom Bradshaw (Harry Clifton) dengan jaminan agar hukuman yang bakal dijatuhkan adalah seminimum mungkin, Harry tiada pilihan selain dari menerimanya. 

Perbicaraan dijalankan dan Tom Bradshaw didapati bersalah serta dijatuhkan hukuman penjara 6 tahun. Kini, Sefton Jelks pula menghilangkan diri. 

Harry dihantar ke Penjara Lavenham bagi menjalani hukuman. Hari pertama disana, Harry berkenalan dengan rakan banduan, Pat Quinn yang menjadikan penjara seperti rumah keduanya. 

Berada di penjara, segala-gala terasa asing buat Harry. Rutin harian yang menyesakkan, makanan yang tidak berasa, rakan banduan dan warden penjara yang pelbagai ragam ditambah pula ragam serta politik penjara yang memualkan. 

Namun, Harry tidak mudah mengalah. Dia mengambil peluang untuk mengasah bakat menulisnya. Ketika tamatnya tahun pertama kehidupannya di Lavenham, Harry telah menghabiskan 3 buah buku latihan yang kesemuanya berisi catatan harian mengenai kehidupan dan pemerhatiannya di Lavenham. Dan Harry mula terfikir, berapa banyak buku latihan yang bakal digunakan sepanjang 6 tahun di Lavenham ini.

Catatan Harry di buku-buku tulis tersebut dibaca oleh Lloyd, rakan banduan yang bakal dibebaskan tidak lama lagi. Mengejutkan, selepas keluar dari penjara, Lloyd meminta agar Harry meminjamkan semua buku-buku tulis tersebut dengan alasan untuk membacanya dan seterusnya membawa kepada penerbit. Lloyd berjanji untuk memperkenalkan Harry dengan penerbit di New York, dan jika berjaya, catatan tersebut akan diterbitkan dan nama Harry akan dicatat sebagai penulis. 

Namun, adakah catatan tersebut benar-benar berjaya menarik perhatian penerbit di Amerika??

Jika ya, adakah Lloyd berpegang pada janjinya untuk meletakkan nama Tom Bradshaw atau Harry Clifton sebagai nama penulis asal?? 



Dalam masa yang sama, di England, keluarga Harry Clifton menerima khabar yang Harry terbunuh apabila kapal yang dinaikinya karam di lautan. Suatu perkhabaran yang sangat menyedihkan untuk semua, kecuali Sir Hugo Barrington.

Emma Barrington sukar untuk menerima kenyataan tersebut. Gerak hatinya menyatakan yang Harry masih hidup. Di sini, Emma membesarkan anak tunggalnya, Sebastian Arthur Clifton bersama dengan keluarganya. Kewujudan Sebastian tidak diketahui oleh Harry. Maka, Emma nekad untuk ke New York bagi mencari Harry dan bersatu sebagai sebuah keluarga yang bahagia. 

Emma seringkali mengunjungi Maisie, ibu Harry. Emma dapati terdapat sepucuk surat yang dialamatkan kepada Maisie, namun, masih elok tersimpan didalam bingkai gambar, belum dibuka dan dibaca. Maisie menyatakan itu adalah surat yang ditulis oleh Tom Bradshaw kepadanya, dan diserahkan bersama-sama dengan berita kematian Harry. Maisie tidak ada idea siapa Tom Bradshaw malah tidak berminat langsung untuk mengetahui tentangnya. Oleh sebab itu Maisie tidak langsung menyentuh surat tersebut. 

Kenyataan yang surat tersebut ditulis oleh Tom Bradshaw memeningkan kepala Emma. Ini kerana Emma sangat mengenali tulisan tersebut dan baginya itu adalah tulisan Harry. Namun Emma juga bingung memikirkan siapa sebenarnya Tom Bradshaw dan mengapa lelaki ini menulis surat kepada Maisie. 

Emma berhasrat untuk pergi ke New York dengan secepat mungkin. Tetapi, bagi melindungi identiti diri dan misinya, Emma mengambil keputusan untuk ke New York sebagai salah seorang krew yang bekerja di atas kapal SS Kansas Star. Mengapa Kansas Star yang dipilih oleh Emma??? 

Untuk pengetahuan, Kansas Star adalah kapal yang membantu menyelamatkan anak-anak kapal yang karam ketika tragedi yang menimpa Harry Clifton dahulu. Emma merasakan mungkin masih ada krew yang sama yang terlibat didalam operasi menyelamat terdahulu, diatas kapal ini. 

Bermulalah pengembaraan Emma ke New York. Di atas Kansas Star, Emma memperolehi nama dan alamat krew kapal yang terdahulu, yang dirasakan boleh membantunya menjejak Tom Bradshaw ataupun Harry Clifton. 

Namun, pencarian Emma tidak semudah yang disangka. Emma berjaya menemui Kristin, salah seorang jururawat yang merawat Tom Bradshaw. Melalui gambar yang disimpan oleh Kristin, ternyata Tom Bradshaw yang dikenali oleh krew Kansas Star adalah Harry Clifton. Dan dari Kristin juga, Emma diberitakan yang Tom Bradshaw telah ditangkap atas dakwaan membunuh.

Bagaimana Emma dapat membebaskan Harry dari tuduhan tersebut? 
Jika di England, Emma pasti menggunakan kuasa kehebatan keluarganya. Namun, ini New York dan di New York, tiada siapa pun peduli pada susur galur latar belakang keluarga Barrington. Jika tersilap langkah, konflik politik antara Amerika dan Britain pula boleh tercetus disebabkan insiden ini. 



Selepas pendedahan berkenaan kemungkinan Harry Clifton adalah anak kandung Hugo Barrington, perkahwinan Hugo dan Elizabeth menjadi goyah. Dan akhirnya mereka bercerai. 

Hugo melarikan diri dan mula menjalin cinta dengan Olga, wanita kaya yang kesunyian. Perceraian Hugo dan Elizabeth membuatkan Hugo dibuang keluarga dan kehilangan jawatan didalam Barrington Shipping. Tanpa sumber kewangan yang kukuh, ditambah perangai Hugo yang suka berpoya-poya, Hugo menumpang kekayaan Olga dan berjanji untuk mengahwininya. 

Apabila Sir Walter Barrington meninggal dunia akibat sakit jantung, Hugo mula mengetuai Barrington Shipping. Tanpa diduga surat dari Tom Bradshaw yang dialamatkan kepada Maisie, jatuh ke tangan Hugo. Dan jelas tercatat didalam surat tersebut, Harry masih hidup dan menggunakan identiti Tom Bradshaw. 

Kenyataan ini sangat menyakitkan Hugo dan merasakan yang Harry adalah cabarannya yang terbesar. Hugo nekad untuk menghapuskan Harry walau dengan apa cara sekalipun. 

Dalam masa yang sama, Olga mula menuntut janji Hugo untuk mengahwininya. Di suatu petang, Olga menerjah ke Barrington Shipping, bersama-sama dengan seorang bayi perempuan, untuk bersemuka dengan Hugo. Malang buat mereka berdua dan bayi tersebut kerana pertemuan itu telah mencetuskan tragedi dan akhirnya mengubah perjalanan keluarga Barrington untuk selama-lamanya. 




Baiklah... Patung Beruang tidak mahu berkongsi lebih lagi apa yang berlaku untuk volume ke-2 ini. Jika hendak tahu lebih lanjut, kenalah baca sendiri ye. 

Basically, untuk volume ini, Archer memberi penekanan kepada watak Harry Clifton ataupun Tom Bradshaw, Emma Barrington dan penutup kepada Hugo Barrington. Ada juga terselit kisah Maisie Clifton dan Giles Barrington namun, mereka lebih kepada untuk mencantikkan lagi jalan cerita.

Volume kali ini benar-benar mengubah landskap perjalanan Clifton Chronicles sepenuhnya. Terasa seperti Patung Beruang termasuk dalam cerita lain pula, huhu..

Jika volume pertama lebih kepada pengenalan dan zaman kanak-kanak sehingga remaja Harry Clifton dan Giles Barrington, volume kedua ini pula mengisahkan bagaimana mereka semakin matang, meniti hidup sebagai manusia dewasa serta dalam masa yang sama menyerlahkan sisi sebenar ahli keluarga mereka yang lain terutamanya Hugo Barrington. 

Tamat sahaja volume kedua ini, Patung Beruang bergelut untuk mencari volume ketiga. Nantilah Patung Beruang kongsikan perjalanan dan pengalaman Patung Beruang dalam memburu volume ketiga untuk Clifton Chronicles ye. 

Thursday, July 12, 2018

Book Review: Only Time Will Tell

Tajuk : Only Time Will Tell

Penulis : Jeffrey Archer 

Menariknya Naskah Ini: 

Sudah lama Patung Beruang berhasrat untuk mula membaca Clifton Chronicles tetapi malangnya masa pula tidak mengizinkan. 

Untuk pengetahuan, Clifton Chronicles sudah memasuki volume ke-7, dan setiap kali Patung Beruang terjumpa di kedai buku, I just grab regardless of what volume it is. 

Only Time Will Tell adalah volume pertama didalam Clifton Chronicles ini. Untuk naskah ini, Archer memberi pengenalan kepada watak utama iaitu Harry Clifton dan Giles Barrington.

Harry Clifton dilahirkan pada tahun 1920, anak tunggal kepada pasangan Arthur Clifton dan Maisie. Mereka menetap di Bristol. Arthur adalah seorang pekerja bawahan di syarikat perkapalan, Barrington Shipping. Maisie pula bekerja sebagai pelayan cafe. 

Pada suatu hari, Stan, abang Maisie merangkap rakan sekerja Arthur, pulang ke rumah lewat malam. Kepulangannya yang berseorang diri menimbulkan persoalan tentang dimana Arthur? Mengapa Arthur tidak pulang bersama-sama Stan? Puas didesak, Stan hanya mendiamkan diri. 

Dan... malam itu, Arthur tidak pulang ke rumah untuk selama-lamanya. 

Maisie membesarkan Harry berseorangan. Setiap kali Harry bertanya dimana ayahnya, Maisie, Stan dan ahli keluarga yang lain akan bercerita yang Arthur telah pergi berperang dan gugur dimedan perang. 

Harry membesar dengan cerita yang ayahnya adalah seorang wira. Namun, semakin lama Harry sedar yang cerita itu hanyalah untuk menutup mulutnya agar tidak lagi bertanya tentang dimana ayahnya. Harry cukup sedar yang Britain tidak terlibat dalam sebarang peperangan sejak beliau lahir sehinggalah ke hari itu. 

Setiap hari hujung minggu, Harry akan mengikut Stan ke pelabuhan. Ia menjadi rutin mingguan mereka. Di sana, Harry berkenalan dengan Old Jack, seorang lelaki tua yang tinggal bersendirian didalam sebuah kabin di tepi pelabuhan. Stan mengatakan yang Old Jack itu kurang siuman lantas menghalang Harry dari mendekati lelaki tersebut. Namun bagi Harry, Old Jack adalah lelaki yang bijaksana, suka membaca dan gemar bercerita tentang kehidupan luar yang tidak pernah Harry bayangkan. 

Harry mempunyai suara yang unik sehingga terpilih untuk menjadi penyanyi solo untuk koir gereja. Suara yang ajaib sehingga memukau masyarakat tempatan, berbilang latar belakang dan kedudukan. Bakat nyanyiannya yang mengagumkan ditambah dengan keputusan peperiksaannya yang cemerlang, melayakkan Harry untuk bersekolah di Bristol Grammar School (BGS), sekolah elit yang khas untuk kanak-kanak lelaki sahaja.

Hari pertama menjejakkan kaki di BGS, Harry berkenalan dengan Deakins dan Giles. Giles adalah anak kepada Sir Hugo Barrington, seorang aristokrat yang terkenal dengan perniagaan perkapalan yang diwarisi keluarganya turun-temurun. 

Dalam masa yang singkat, Harry, Deakins dan Giles menjadi sahabat karib walau berbeza latar belakang. Harry sangat cemerlang didalam bidang seni dan bahasa. Deakins pula pelajar pintar yang menguasai hampir keseluruhan mata pelajaran. Dan Giles pula berbakat didalam bidang sukan sehingga seringkali mengharumkan nama BGS. 

Persahabatan yang erat ini berlarutan sehingga mereka tamat pembelajaran di BGS dan menyambung pengajian di Oxford. Sepanjang persahabatan 3 sekawan ini, berlaku banyak peristiwa yang akhirnya mengubah kehidupan mereka. 

Status Harry sebagai anak yang lahir dari benih Arthur dan Maisie amat diragui. Terdapat kemungkinan Sir Hugo Barrington adalah ayah kandung Harry disebabkan oleh satu insiden yang berlaku ketika sebelum Maisie mengahwini Arthur. 

Dalam masa yang sama, Harry jatuh cinta dengan Emma Barrington, adik perempuan Giles. Mereka merancang untuk mendirikan rumahtangga sebaik sahaja Harry tamat pengajian di Oxford. 

Namun...
Jika benarlah Harry anak kandung kepada Sir Hugo Barrington, maka, secara automatik Harry adalah anak lelaki pertama untuk Sir Hugo. Dan ini juga bermakna, Harry yang bakal mewarisi gelaran "Sir" dan semua harta keluarga Barrington. Suatu keadaan yang tidak pernah terfikir oleh Harry Clifton dan Giles Barrington. Dan juga suatu kemungkinan yang sangat menakutkan Sir Hugo Barrington sehingga sanggup melakukan apa sahaja asalkan tiada siapa yang tahu tentang kebenaran status Harry. 

Dan jika ia benar-benar berlaku, maka, perkahwinan Harry dan Emma Barrington adalah sesuatu yang mustahil dan melanggar norma kehidupan manusia. 




Baiklah, Patung Beruang tidak mahu teruskan catatan untuk Volume 1 dalam Clifton Chronicles ini. Kalau hendak tahu kesudahannya, kenalah baca sendiri ye. 

Seperti biasa, karya Archer memang penuh dengan kejutan. Untuk Volume 1 ini, perjalanan cerita sangat pantas dan terlalu banyak kejutan dari awal cerita sehinggalah ke mukasurat yang terakhir. 

Archer sangat bijak dalam menyusun watak. Setiap watak yang wujud didalam cerita ini ada peranan masing-masing, termasuklah watak Old Jack, seorang lelaki tua yang sering dikatakan tidak siuman. 

Malah Archer suka menggunakan teknik flashback bagi menceritakan peristiwa lalu. Jujurnya, teknik ini sangat berkesan kerana terdapat banyak elemen kejutan apabila kebenaran mula terbongkar satu persatu. 

Satu perkara yang buat Patung Beruang kagum adalah Archer menunggu sehingga mukasurat terakhir yang memancing tumpuan pembaca agar cepat-cepat beralih ke Volume 2. Ini kerana babak di mukasurat terakhir itu sangat tergantung dan jalan ceritanya berubah sepenuhnya. Seolah-olah seperti sebuah cerita yang totally lain dari apa yang kita baca bermula dari mukasurat pertama. 

Akhir sekali, satu soalan yang sering bermain dalam fikiran Patung Beruang adalah, Volume 1 ini adalah kisah Harry Clifton dari kecil sehingga dewasa. Berapa ramai generasi Clifton yang ingin diceritakan oleh Archer didalam Clifton Chronicles ini sehingga menyebabkan karya ini mencecah Volume ke-7???

Well... Untuk terus membaca Volume ke-7 sebagai jalan pintas, rasanya bukanlah satu tindakan yang bijak. Maknanya, Patung Beruang kena teruskan membaca satu persatu naskah didalam Siri ini untuk tahu kemana sebenarnya hala tuju Clifton Chronicles ini.... Hm.. Caiyuk caiyuk.. 

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi, Bunny and Dak Yot...