Tuesday, August 28, 2018

Book Review: The Sins of The Father

Tajuk : The Sins of The Father 

Penulis : Jeffrey Archer 

Menariknya Naskah Ini:

Ini adalah volume ke-2 untuk Clifton Chronicles. Volume pertama, Only Time Will Tell telah Patung Beruang catatkan pada bulan lepas. 

Untuk volume ke-2 ini, naskah dimulakan dengan sambungan adegan di New York pada tahun 1939, dimana Harry Clifton yang dianggap sebagai Lieutenant Thomas Bradshaw (Tom Bradshaw), ditahan atas tuduhan membunuh abangnya sendiri. 

Walaupun Harry berusaha untuk membuktikan identiti dirinya sendiri, pihak polis berpendapat beliau adalah Tom Bradshaw dan identiti Harry Clifton adalah helahnya semata-mata bagi mengelakkan diri dari ditangkap. 

Apabila Sefton Jelks, peguam terkemuka di Manhattan menawarkan diri untuk mewakili Tom Bradshaw (Harry Clifton) dengan jaminan agar hukuman yang bakal dijatuhkan adalah seminimum mungkin, Harry tiada pilihan selain dari menerimanya. 

Perbicaraan dijalankan dan Tom Bradshaw didapati bersalah serta dijatuhkan hukuman penjara 6 tahun. Kini, Sefton Jelks pula menghilangkan diri. 

Harry dihantar ke Penjara Lavenham bagi menjalani hukuman. Hari pertama disana, Harry berkenalan dengan rakan banduan, Pat Quinn yang menjadikan penjara seperti rumah keduanya. 

Berada di penjara, segala-gala terasa asing buat Harry. Rutin harian yang menyesakkan, makanan yang tidak berasa, rakan banduan dan warden penjara yang pelbagai ragam ditambah pula ragam serta politik penjara yang memualkan. 

Namun, Harry tidak mudah mengalah. Dia mengambil peluang untuk mengasah bakat menulisnya. Ketika tamatnya tahun pertama kehidupannya di Lavenham, Harry telah menghabiskan 3 buah buku latihan yang kesemuanya berisi catatan harian mengenai kehidupan dan pemerhatiannya di Lavenham. Dan Harry mula terfikir, berapa banyak buku latihan yang bakal digunakan sepanjang 6 tahun di Lavenham ini.

Catatan Harry di buku-buku tulis tersebut dibaca oleh Lloyd, rakan banduan yang bakal dibebaskan tidak lama lagi. Mengejutkan, selepas keluar dari penjara, Lloyd meminta agar Harry meminjamkan semua buku-buku tulis tersebut dengan alasan untuk membacanya dan seterusnya membawa kepada penerbit. Lloyd berjanji untuk memperkenalkan Harry dengan penerbit di New York, dan jika berjaya, catatan tersebut akan diterbitkan dan nama Harry akan dicatat sebagai penulis. 

Namun, adakah catatan tersebut benar-benar berjaya menarik perhatian penerbit di Amerika??

Jika ya, adakah Lloyd berpegang pada janjinya untuk meletakkan nama Tom Bradshaw atau Harry Clifton sebagai nama penulis asal?? 



Dalam masa yang sama, di England, keluarga Harry Clifton menerima khabar yang Harry terbunuh apabila kapal yang dinaikinya karam di lautan. Suatu perkhabaran yang sangat menyedihkan untuk semua, kecuali Sir Hugo Barrington.

Emma Barrington sukar untuk menerima kenyataan tersebut. Gerak hatinya menyatakan yang Harry masih hidup. Di sini, Emma membesarkan anak tunggalnya, Sebastian Arthur Clifton bersama dengan keluarganya. Kewujudan Sebastian tidak diketahui oleh Harry. Maka, Emma nekad untuk ke New York bagi mencari Harry dan bersatu sebagai sebuah keluarga yang bahagia. 

Emma seringkali mengunjungi Maisie, ibu Harry. Emma dapati terdapat sepucuk surat yang dialamatkan kepada Maisie, namun, masih elok tersimpan didalam bingkai gambar, belum dibuka dan dibaca. Maisie menyatakan itu adalah surat yang ditulis oleh Tom Bradshaw kepadanya, dan diserahkan bersama-sama dengan berita kematian Harry. Maisie tidak ada idea siapa Tom Bradshaw malah tidak berminat langsung untuk mengetahui tentangnya. Oleh sebab itu Maisie tidak langsung menyentuh surat tersebut. 

Kenyataan yang surat tersebut ditulis oleh Tom Bradshaw memeningkan kepala Emma. Ini kerana Emma sangat mengenali tulisan tersebut dan baginya itu adalah tulisan Harry. Namun Emma juga bingung memikirkan siapa sebenarnya Tom Bradshaw dan mengapa lelaki ini menulis surat kepada Maisie. 

Emma berhasrat untuk pergi ke New York dengan secepat mungkin. Tetapi, bagi melindungi identiti diri dan misinya, Emma mengambil keputusan untuk ke New York sebagai salah seorang krew yang bekerja di atas kapal SS Kansas Star. Mengapa Kansas Star yang dipilih oleh Emma??? 

Untuk pengetahuan, Kansas Star adalah kapal yang membantu menyelamatkan anak-anak kapal yang karam ketika tragedi yang menimpa Harry Clifton dahulu. Emma merasakan mungkin masih ada krew yang sama yang terlibat didalam operasi menyelamat terdahulu, diatas kapal ini. 

Bermulalah pengembaraan Emma ke New York. Di atas Kansas Star, Emma memperolehi nama dan alamat krew kapal yang terdahulu, yang dirasakan boleh membantunya menjejak Tom Bradshaw ataupun Harry Clifton. 

Namun, pencarian Emma tidak semudah yang disangka. Emma berjaya menemui Kristin, salah seorang jururawat yang merawat Tom Bradshaw. Melalui gambar yang disimpan oleh Kristin, ternyata Tom Bradshaw yang dikenali oleh krew Kansas Star adalah Harry Clifton. Dan dari Kristin juga, Emma diberitakan yang Tom Bradshaw telah ditangkap atas dakwaan membunuh.

Bagaimana Emma dapat membebaskan Harry dari tuduhan tersebut? 
Jika di England, Emma pasti menggunakan kuasa kehebatan keluarganya. Namun, ini New York dan di New York, tiada siapa pun peduli pada susur galur latar belakang keluarga Barrington. Jika tersilap langkah, konflik politik antara Amerika dan Britain pula boleh tercetus disebabkan insiden ini. 



Selepas pendedahan berkenaan kemungkinan Harry Clifton adalah anak kandung Hugo Barrington, perkahwinan Hugo dan Elizabeth menjadi goyah. Dan akhirnya mereka bercerai. 

Hugo melarikan diri dan mula menjalin cinta dengan Olga, wanita kaya yang kesunyian. Perceraian Hugo dan Elizabeth membuatkan Hugo dibuang keluarga dan kehilangan jawatan didalam Barrington Shipping. Tanpa sumber kewangan yang kukuh, ditambah perangai Hugo yang suka berpoya-poya, Hugo menumpang kekayaan Olga dan berjanji untuk mengahwininya. 

Apabila Sir Walter Barrington meninggal dunia akibat sakit jantung, Hugo mula mengetuai Barrington Shipping. Tanpa diduga surat dari Tom Bradshaw yang dialamatkan kepada Maisie, jatuh ke tangan Hugo. Dan jelas tercatat didalam surat tersebut, Harry masih hidup dan menggunakan identiti Tom Bradshaw. 

Kenyataan ini sangat menyakitkan Hugo dan merasakan yang Harry adalah cabarannya yang terbesar. Hugo nekad untuk menghapuskan Harry walau dengan apa cara sekalipun. 

Dalam masa yang sama, Olga mula menuntut janji Hugo untuk mengahwininya. Di suatu petang, Olga menerjah ke Barrington Shipping, bersama-sama dengan seorang bayi perempuan, untuk bersemuka dengan Hugo. Malang buat mereka berdua dan bayi tersebut kerana pertemuan itu telah mencetuskan tragedi dan akhirnya mengubah perjalanan keluarga Barrington untuk selama-lamanya. 




Baiklah... Patung Beruang tidak mahu berkongsi lebih lagi apa yang berlaku untuk volume ke-2 ini. Jika hendak tahu lebih lanjut, kenalah baca sendiri ye. 

Basically, untuk volume ini, Archer memberi penekanan kepada watak Harry Clifton ataupun Tom Bradshaw, Emma Barrington dan penutup kepada Hugo Barrington. Ada juga terselit kisah Maisie Clifton dan Giles Barrington namun, mereka lebih kepada untuk mencantikkan lagi jalan cerita.

Volume kali ini benar-benar mengubah landskap perjalanan Clifton Chronicles sepenuhnya. Terasa seperti Patung Beruang termasuk dalam cerita lain pula, huhu..

Jika volume pertama lebih kepada pengenalan dan zaman kanak-kanak sehingga remaja Harry Clifton dan Giles Barrington, volume kedua ini pula mengisahkan bagaimana mereka semakin matang, meniti hidup sebagai manusia dewasa serta dalam masa yang sama menyerlahkan sisi sebenar ahli keluarga mereka yang lain terutamanya Hugo Barrington. 

Tamat sahaja volume kedua ini, Patung Beruang bergelut untuk mencari volume ketiga. Nantilah Patung Beruang kongsikan perjalanan dan pengalaman Patung Beruang dalam memburu volume ketiga untuk Clifton Chronicles ye. 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...