Tuesday, August 28, 2018

Book Review: Kisah Dongeng Dari Sumhuram (Tales From Sumhuram)

Tajuk : Kisah Dongeng Dari Sumhuram / Tales From Sumhuram

Penulis : Emire Khidayer

Penterjemah : Panel Penterjemah ITBM

Menariknya Naskah Ini: 

Sumhuram adalah salah satu bandar lama yang terletak di negara Oman. Bandar ini mempunyai kisah dan legendanya sendiri termasuklah sejarah kejayaan serta keruntuhan negaranya. 

Kisah-kisah yang dipaparkan di dalam negara ini mengambil inspirasi dari Oman yang menggunakan beberapa legenda rakyat sebagai asas penceritaan. 

Penulis memulakan naskah ini dengan kisah pertama bertajuk Cincin Ajaib. Kisah ini banyak diceritakan oleh penghuni lembah Bani Khalid, yang terletak berhampiran dengan Gunung Mukl. Kononnya di Gunung Mukl itu terdapat satu rekahan. Dan jika ada sesiapa yang berdiri di bawah rekahan itu dan mengalunkan mantera rahsia, rekahan tersebut akan terbuka dan membawa kepada jalan masuk ke taman-taman yang indah, yang terselindung dari pandangan luar Gunung Mukl. Kecantikkan taman-taman itu sangat mengagumkan sesiapa sahaja yang berjaya melepasi rekahan tersebut. Namun, bagaimana caranya seandainya seseorang itu ingin keluar dari rekahan tersebut? Ia bukanlah satu proses yang mudah kerana segala-galanya nampak serupa dan rekahan itu tidak langsung kelihatan dari dalam Gunug Mukl. Namun sekiranya seseorang itu terjumpa cincin ajaib tatkala berada didalam taman, maka bolehlah cincin tersebut digunakan untuk keluar melepasi rekahan tersebut. 


Di sebuah kampung kecil yang terletak di padang pasir tandus ar-Rub al-Khali, adanya seorang penyair yang bernama Ibnu Mukarram. Ibnu Mukarram ini terkenal sebagai seorang penyair yang hebat dan juga seorang yang baran dan suka berkelahi. Apabila berkelahi, jarang sekali Ibnu Mukarram ingin berdamai. Malang sungguh bagi dirinya kerana maksud "Ibnu Mukarram" itu sendiri adalah  baik budi. Oleh kerana sifat barannya dan gemar berkelahi, dia dipulaukan oleh orang kampung. Keadaan ini memaksanya untuk meninggalkan kampung tersebut. Bagi memastikan yang orang kampung tidak akan dapat mencarinya, dia membina rumah betul-betul di puncak gunung. Selain itu, dia juga membina makam di sebuah gua kecil yang menghubungkan puncak gunung dengan lembah. Baginya, ini adalah tempat yang terbaik untuk dirinya bersemadi selama-lamanya. Ibnu Mukarram berusaha siang dan malam membina makamnya. Selain itu, dia juga mengukir anak tangga untuk sampai ke makam tersebut. Anak-anak tangga tersebut setiap satunya dihiasi dengan emas. Emas?? Tetapi mengapa? Ibnu Mukkaram ada sebab tersendiri yang hanya disedari oleh orang lain apabila dia sudah meninggal dunia. Kisah ke-5, Anak Tangga Emas. 


Naskah terjemahan dari karya asal yang bertajuk Tales From Sumhuram ini mempunyai keunikannya yang tersendiri. Menghidangkan 14 buah kisah, membaca naskah ini seperti menyertai pengembaraan di Oman, bertemu dengan penduduk tempatan yang berusia, lalu khusyuk mendengar mereka bercerita tentang segala dongeng atau kisah turun-temurun yang berlaku di kawasan penempatan, kampung atau bandar mereka. 

Naskah ini membawa kita untuk lebih mengenali cara hidup mereka, adat resam, pantang larang serta pemikiran orang tempatan. Selain itu, sesetengah kisah yang disampaikan turut menyelitkan objek dan simbol tertentu negara Oman seperti kemenyan dan perigi. 

Akhir sekali, naskah ini menggunakan unsur kesusasteraan Arab yang popular, iaitu cerita berbingkai. Unsur kesusasteraan ini sangat bersesuaian dengan naskah ini yang membariskan cerita yang berlatarkan zaman pertengahan sebelum kedatangan Islam dan zaman pertengahan Islam. Melalui teknik ini, tukang cerita akan menceritakan kisah watak tertentu dan mengangkat nilai murni yang ada pada watak tersebut sehingga menjadikannya kisah yang luar biasa untuk pembaca. Jadi, selamat mengembara ke negara Oman..

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...