Saturday, August 12, 2017

Book Review: Bukit Syahdu

Tajuk: Bukit Syahdu

Penulis: Putraery Ussin

Menariknya Naskah Ini:

Naskah Bukit Syahdu ini membawa penonton mengenali seorang lelaki muda, bernama Cik Man yang tinggal di sebuah kampung di Bukit Syahdu. 

Cik Man tinggal berdua dengan anak angkatnya, Fitri. Kehadiran Fitri didalam hidup Cik Man secara tiba-tiba menyebabkan keluarganya mempunyai persepsi buruk tentang status Fitri dan kejujuran Cik Man. Namun, Cik Man bertegas untuk memelihara Fitri yang ketika itu masih lagi bayi. Dan ketegasan itu akhirnya menyebabkan Cik Man dibuang oleh keluarga sendiri. Kini, tinggallah Cik Man seorang diri membesarkan anak yang tidak bersalah itu. 

Fitri membesar menjadi seorang anak yang baik, bijak dan cerdas. Bagi Fitri, Cik Man adalah ibu dan ayahnya. Cik Man adalah dunianya. Dan Cik Man adalah sebahagian dari dirinya. 

Namun, tanpa diduga pada suatu hari Cik Man dan Fitri terlibat didalam kemalangan jalan raya. Dan kemalangan itu meragut nyawa Cik Man. Tanpa pengetahuan Fitri, si kecil ini menyangka yang Cik Man terlalu sibuk sehingga tidak berkesempatan untuk melawati dirinya di hospital. Hanya Cikgu Kamal yang kerap menziarahi dirinya, bertanya khabar dan memantau keadaan kesihatan Fitri. 

Dan kematian Cik Man, memberikan Ery, adik Cik Man suatu tanggungjawab yang besar sebagai penjaga Fitri. Dalam masa yang sama, ketika di tanah perkuburan, seorang wanita menegur Fitri dan mengaku yang beliau adalah ibu kandung Fitri. Satu pengakuan yang benar-benar mengelirukan anak kecil ini. 


Naskah Bukit Syahdu ini membawa pembaca kepada dilema seorang lelaki yang rasa bertanggungjawab untuk menyelamatkan nyawa dan masa depan bayi yang bukan darah dagingnya dan tiba-tiba muncul didalam hidupnya. Bagi Cik Man, bayi itu tidak bersalah walau apa pun asal usulnya. Maka, tidak adil untuk menghukum bayi itu. 

Perit getir membesarkan Fitri seorang diri oleh seorang lelaki bujang bukanlah satu persoalan yang mudah. Cik Man rela mengorbankan masa depan dirinya sendiri, serta cintanya pada kekasih hati demi Fitri. Dalam masa yang sama, pekerjaan sebagai buruh yang tidak menjanjikan pendapatan tetap turut memburukkan lagi keadaan kerana Cik Man sedar beliau bertanggungjawab untuk menyediakan kehidupan yang terbaik dan semampunya untuk Fitri. 

Watak Cikgu Kamal digambarkan sebagai seorang guru yang sangat prihatin di sekolah Fitri. Malah, Cikgu Kamal juga telah diberitahu tentang keadaan Fitri, asal usulnya dan keadaan kesihatan Fitri yang mengidap lelah sehingga anak kecil ini tidak mampu untuk bersukan atau bermain bola sepak seperti rakan sebaya yang lain. Cikgu Kamal dilihat sebagai seorang guru yang sentiasa menenangkan Fitri dan memberinya semangat untuk meneruskan kehidupan ini walau apa jua badai yang datang dan dalam masa yang sama, sentiasa berusaha yang terbaik didalam akademik. 

Satu perkara yang Patung Beruang suka tentang watak-watak didalam novel ini adalah tiada satu pun watak jahat, hehe.. Walau awalnya digambarkan yang Cik Man dan Ery berselisih faham kerana ketegasan Cik Man untuk memelihara Fitri, namun ia hanyalah satu pertentangan pendapat antara seorang abang dan adik. Tiada dendam didalam hati melainkan kasih sayang semata-mata. 

Yang pasti, ending novel ini menarik kerana plot twist yang sangat cantik. Terima kasih buat penulis kerana memberi masa depan yang cerah buat Fitri... 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...