Sunday, August 13, 2017

Lepaskanlah. Dia Bukan Milik Kita...

Pagi Jumaat, sedang duduk bersimpuh di atas sejadah tatkala selepas solat Subuh, tiba-tiba sahaja Patung Beruang seperti tersedar tentang kekosongan dan kesunyian rumah ini. Dan perasaan itu menghadirkan rasa sebak yang tidak mampu digambarkan.  

Menoleh disebelah kiri, terlihat Bibi elok tergolek diatas katil. Teman bercakap Patung Beruang setiap hari. Walau dia tidak mampu membalasnya, rutin itu masih kekal setiap pagi dan malam, tatkala pulang dari pejabat. 

Rasa sebak ini sangat menyesakkan. Enggan melayan perasaan, lepas berdoa, Patung Beruang bingkas melipat telekung dan sejadah. 

Tiba-tiba telinga ini menangkap sayup-sayup bunyi kucing mengiau. Rasanya seperti datang dari pintu depan rumah. 

Pelik kerana jam ketika itu masih lagi pukul 6 lebih. Dan 2 ekor kucing yang menjadi tetamu setia rumah ini setiap pagi, tidak pernah mengiau kecuali bila mereka nampak Patung Beruang. 

Patung Beruang cepat-cepat pergi ke pintu depan dan terlihatlah Garfield (kucing jiran sebelah) sedang elok menunggu depan pintu. Elok je Patung Beruang buka sliding door, Garfield terus masuk rumah, menggesel di kaki Patung Beruang sambil mengiau. 

Dulu Patung Beruang pernah bercerita tentang Garfield disini. Tapi Garfield yang itu dah hilang. Garfield yang ini adalah kucing baru yang mempunyai rupa dan warna yang sama seperti Garfield yang lama. Dan seronoknya, Garfield yang baru ini pun rajin je datang rumah Patung Beruang untuk minta makanan, hehe.. 

Patung Beruang terus bersiap untuk ke pejabat dan Garfield setia mengikut setiap langkah kaki ini. Melancholy yang ada sebentar tadi terus hilang entah kemana, dek kerana penangan Garfield. 

Selepas bersiap, Patung Beruang keluar untuk panaskan enjin kereta. Dan Garfield macam tahu-tahu je yang Patung Beruang nak bagi dia makan, jadi dia tunggu siap-siap dekat botol makanan kucing, hehe.. 

Elok je Patung Beruang letakkan makanan kucing diatas simen di halaman, keluarlah pula 2 ekor kucing yang lain dari bawah kereta Patung Beruang. Ooooo... Garfield bawa kawan rupanya. Jadi, Patung Beruang pun buat lah 3 portion makanan untuk 3 ekor kucing yang menjadi tetamu baru pada pagi itu. 

Tiba-tiba, Patung Beruang rasa macam diri ini sedang diperhatikan pula. Patung Beruang toleh kearah tepi tembok dan ternampaklah 2 ekor tetamu setia sedang melihat ke arah Patung Beruang dengan pandangan yang sedih. Biasanya, mereka akan masuk kedalam kawasan halaman dan tunggu Patung Beruang letakkan makanan mereka. Tetapi pagi ini, mungkin sebab mereka lihat ada Garfield dan 2 ekor kucing lain, jadi mereka tidak berani untuk masuk ke dalam untuk menunggu makanan. 

Oh ye lupa pula nak beritahu yang Garfield dan kawan-kawannya adalah kucing kacukan. Jenis yang besar, bulu lebat dan ekor cantik. Sedangkan 2 ekor tetamu setia itu pula hanyalah kucing baka biasa dan kurus pula, huhu. Jadi, mungkin mereka rasa gerun melihat Garfield dan kawan-kawannya. 

So, Patung Beruang pun letakkan portion makanan untuk 2 ekor tetamu setia ini di tempat biasa mereka. Wah, seronoknya mereka bila nampak ada makanan. Terus berlari untuk mengisi perut. 

Alhamdulillah, dalam sekelip mata Allah hadirkan Garfield dan rakan-rakannya serta 2 ekor tetamu setia ini sebagai penghibur hati Patung Beruang pada pagi itu. Penghibur hati yang membawa senyuman dan menghilangkan kesedihan. Terima kasih Ya Allah.. 

Namun Patung Beruang sedar yang Garfield dan kawan-kawannya bukan milik Patung Beruang. Patung Beruang hanya mampu berkongsi rezeki dengan mereka dan mengusap bulu mereka yang cantik. Dan apabila selesai mengisi perut, mereka akan pulang semula kepada tuan mereka. Tetapi, walau kehadiran mereka amat singkat, itu sudah cukup bermakna buat Patung Beruang. Terima kasih....


Dan begitulah juga dalam kehidupan kita ini. Ada yang hadir didalam hidup kita, dalam hati kita, tetapi dia bukan milik kita. Sampai masanya, dia akan pergi juga.

Kita tak boleh nak tahan dia. Kita tak mampu nak halang dia... 

Mungkin ye dulu dia ada dalam hati kita. Dulu, dia lah yang memahami kita. Dia lah tempat kita bercerita, berkongsi kisah sedih dan gembira, duka dan kecewa. 

Tetapi, itu dulu... 
Sekarang, dia bukan milik kita. Dan kita juga bukan milik dia. 
Jadi, lepaskanlah dia. 

Dia juga berhak untuk bahagia. Dia juga berhak untuk hidup dengan tenang. Dia juga berhak untuk gembira dan tersenyum tanpa perlu berpura-pura. 

Jangan diungkit cerita lama. Usah dipinta ulangan moment bersama. 
Kerana dulu dan hari ini, keadaan sudah tidak sama. 
Keadaan berbeza, status berbeza. Cuma cerita dan wataknya sahaja yang masih sama. 

Kita tidak tahu betapa sakitnya dia apabila dibuang. Ibarat membuang anak kucing dipasar. 
Dia tertanya-tanya sendiri, apa salahnya? Mengapa tiba-tiba sahaja diam seribu bahasa? Mengapa tiba-tiba sahaja menjadi orang asing yang entah dari mana? 

Kita tidak tahu betapa sukarnya dia untuk bangkit agar dapat berdiri dan berlari semula seperti sekarang. 
Betapa sukarnya dia mengharungi segalanya bersendirian tanpa mampu meluahkan kepada sesiapa pun. 
Betapa sukarnya dia memakai topeng setiap hari bagi menutup jiwanya. 
Betapa sukarnya dia merawat hati yang terluka, yang tidak terlihat dipandangan mata manusia. 
Dan...
Betapa sukarnya dia untuk berdepan semula dengan dengan kita seolah tiada apa.

Cukuplah kisah kita dan dia. 
Jangan dibuka semula kerana itu tidak adil untuk dia dan mungkin juga untuk kita sekali.
Bukankah kita sepatutnya sedang bahagia? 
Dek kerana impian kini menjadi nyata.  

Maka, lepaskan lah dia. Untuk kali ini dan selamanya....  

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...