Tajuk: Patah Tumbuh
Penulis: Keris Mas
Menariknya Naskah Ini:
Untuk pengetahuan, naskah Patah Tumbuh ini adalah buah tangan dari Kuala Lumpur International Book Fair di PWTC tahun ini. Alhamdulillah, naskah ini termasuk dalam kategori buku-buku yang beruntung kerana Patung Beruang berjaya selesaikan pembacaannya dalam tahun yang sama ia dibeli, hehe.. (Sedangkan ada banyak lagi buku yang masih berbalut plastic atau masih lagi duduk elok didalam kotak yang dihantar oleh Poslaju, sedang menanti giliran untuk dibaca, huhu..)
Semenjak tahun lepas, Patung Beruang jadi ghairah untuk memiliki dan menelaah karya-karya dari barisan Sasterawan Negara ataupun penulis agung dalam dunia sastera Malaysia dan Indonesia. Tujuan Patung Beruang lebih kepada untuk memahami pemikiran mereka dan meneliti dengan lebih mendalam keadaan dan situasi pada zaman mereka. Seperti yang kita tahu, barisan penulis agung ini gemar mencatatkan keadaan semasa didalam karya mereka. Keadaan semasa dari sudut pemikiran dan tingkah laku masyarakat, ekonomi, politik dan sebagainya. Sebab itulah, karya mereka sesuai dijadikan rujukan terutama untuk kita, pembaca yang tidak berpeluang untuk hidup didalam zaman yang sama dengan mereka. Selain mengenali zaman mereka, kita juga boleh berfikir tentang kehebatan, kelemahan serta rasionalnya tindakan dan keputusan mereka pada masa itu.
Naskah Patah Tumbuh ini menyajikan 20 buah cerpen karya Keris Mas. Karya-karya ini sebenarnya telah tersiar di surat khabar atau majalah pada tahun-tahun 1940-an dan 1950-an. See, lama kan??
Cerpen ke-2, Darah dan Air Mata membawa kita kepada seorang perajurit muda dari pasukan tentera Republik Indonesia yang sedang berperang bagi menuntut kemerdekaan. Sedang berperang, perajurit muda ini mendapat kecederaan dan dibawa ke rumah sakit. Disana, beliau dijaga oleh barisan petugas kesihatan dari Palang Merah. Dan disana juga, beliau rapat dengan Suriati, salah seorang jururawat yang merawatnya. Perhubungan antara jururawat dan pesakit menimbulkan bibit-bibit cinta sehingga lah perajurit muda ini kembali sihat dan bersedia untuk pulang ke medan perang. Kepulangan ke medan perang membawa perasaan yang membara buat si perajurit muda. Membara kerana cintanya pada Suriati serta tekadnya untuk melihat Indonesia merdeka dari penjajah. Namun, takdir menentukan kesudahan cinta mereka. Perajurit muda tewas di medan peperangan dan hanya sepucuk surat dikirim kepada Suriati buat pengganti diri.
Kehidupan Siti, seorang isteri yang suaminya entah kemana, sangat memilukan. Hidup bersendirian di kampung, tanpa pendapatan yang tetap, benar-benar menyesakkan dirinya. Tambah memilukan apabila melihat si Awang, anak kecil yang tidak tahu apa-apa, baru berumur setahun lebih, yang leka dan seronok melihat anak-anak kampung bersuka ria bermain bunga api bagi menyambut lebaran yang akan hadir lagi beberapa hari. Siti teringin untuk menjahitkan baju raya buat si Awang, namun, hasil jualan kuih bingkanya masih lagi tidak mencukupi untuk Siti membelikan kain untuk dijahit dan dijadikan baju raya. Siti yang muda rupawan menjadi perhatian orang kampung. Ada yang memuji kesetiannya pada suami yang sudah lama tidak nampak batang hidungnya. Namun, ada juga yang mengeji kebodohannya kerana masih bertahan. Siti keliru dan menderita. Derita rindu dan dendam, tanpa insan untuk diluahkan segala bebanan jiwa. Cerpen ke-5, Berhari Raya ke Kubur Nenek.
Kalau diikut hati ini, mahu saja Patung Beruang kongsikan lebih banyak cerpen di sini. Namun, tidak adil pula buat penulis agung naskah ini. Maka, cukuplah Patung Beruang kongsikan 2 kisah sahaja ye.
Kisah didalam naskah ini mengambil pelbagai latar belakang dan lokasi. Ada di Malaysia, ada di Indonesia dan ada juga di Singapura. Ada keluarga bangsawan, ada penduduk kampung, juga penghuni kota yang tersepit dengan arus pembangunan dan jerat kemiskinan, golongan pekerja, keluarga penjajah dan orang tempatan dan macam-macam lagi. Setiap kisah mempunyai keunikannya yang tersendiri. Tatkala membacanya, terasa seperti Patung Beruang turut berada pada zaman atau di lokasi tersebut.
Sifat dan ragam watak yang dipaparkan pula sangat universal. Golongan penjajah yang bersikap tuan besar, orang tempatan yang sanggup membodek, menggadai maruah diri dan bangsa demi kesenangan sendiri, wanita dan ibu tunggal yang teraniaya tanpa simpati dari masyarakat sekeliling, golongan bangsawan yang sombong dan tidak sudi untuk berpijak di bumi nyata, pemipin yang khianat dan sebagainya.
Walaupun naskah ini hanyalah kumpulan cerpen tetapi ia masih lagi memberikan kepuasan kepada pembaca terutama yang dahagakan karya-karya yang bermutu tinggi. Jadi, selamat membaca... :)
No comments:
Post a Comment