Penulis: Hamka
Menariknya Buku Ini:
Baiklah,
Patung Beruang sangat tidak sabar untuk kongsikan kisah buku ini disini. Buku
ini masih lagi panas, dan tatkala menulis coretan ini, Patung Beruang masih
lagi tersedu-sedan akibat menangis tatkala menatap setiap patah perkataan
tulisan Hamka ini.
Aduh..
Penatnya bila kita membaca dan menangis dalam masa yang sama. Nak berhenti
seketika pembacaan ini, tak mampu rasanya kerana hati ini berkobar-kobar untuk
mengetahui kesudahan cerita ini. Maka, dengan air mata yang berjujuran ini,
mata tetap setia meneliti keseluruhan naskah sehingga habis.
Di Bawah Lindungan
Ka’bah mengisahkan
Hamid, seorang lelaki yang kini berada di Mekah. Hamid adalah anak yatim piatu,
yang membesar di Tanah Jawa. Ayahnya meninggal dunia ketika beliau berumur 4
tahun. Maka, tinggallah Hamid berdua bersama ibunya. Ibu membuat kuih-muih dan
Hamid bertugas untuk menjualnya setiap hari, dari rumah ke rumah. Itulah sahaja
sumber pendapatan yang mereka ada bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Mereka
tinggal berjiran dengan sebuah keluarga kaya, diketuai oleh Engku Haji Ja’afar.
Engku Haji Ja’afar dan isterinya, Mak Asiah serta anak tunggal mereka Zainab
adalah hartawan yang sangat baik dan prihatin dengan jiran tetangga.
Engku
Haji Ja’afar membiayai persekolahan Hamid agar anaknya Zainab mempunyai
kawan untuk menemaninya ke sekolah. Maka, Hamid dan Zainab membesar bersama sehingga rapat seperti seorang
abang dan adik perempuan. Setelah tamat persekolahan, Hamid menyambung
pelajaran dalam bidang agama dan masih lagi dibiayai oleh Engku Haji Ja’afar.
Tidak
berapa lama selepas itu, Engku Haji Ja’afar meninggal dunia. Mak Asiah, Zainab,
Hamid serta ibunya sangat berdukacita. Namun, tanpa diduga, ibu Hamid pula
menyusul, kembali ke Yang Maha Pencipta tidak berapa lama selepas itu.
Pemergian
dua orang yang sangat rapat dan bermakna dalam hidup Hamid dalam waktu yang
singkat sangat menyedihkan Hamid. Kini beliau tinggal sebatang kara didunia
ini.
Pada
suatu hari, Mak Asiah menjemput Hamid kerumahnya. Tujuannya hanya satu, untuk
meminta pertolongan Hamid agar memujuk Zainab untuk menerima lamaran dari
saudara sebelah Allahyarham Engku Haji Ja’afar. Mak Asiah berpendapat, adalah
baik jika Zainab berkahwin kerana sekurang-kurangnya adalah lelaki yang dapat
menjaga anak perempuannya serta dalam masa yang sama, harta Engku Haji Ja’afar
akan tetap selamat dibawah jagaan dan pengurusan keluarga mereka.
Permintaan
dari Mak Asiah itu diterimanya dengan berat walaupun hatinya sangat remuk.
Hamid mencintai Zainab namun beliau tidak mampu meluahkannya kerana sedar
jurang status yang besar antara beliau dan Zainab. Zainab adalah anak hartawan,
dari keturunan yang hebat. Sedang Hamid hanyalah anak yatim piatu yang
miskin dan kini tinggal sebatang kara tanpa saudara mara.
Memikirkan
betapa beliau tidak akan sanggup melihat perkahwinan Zainab, Hamid nekad untuk
merantau keluar dari kampungnya. Tatkala sampai di Medan, Hamid mengutus surat
kepada Zainab, memohon maaf kerana pergi begitu sahaja serta memberi kiasan mengenai
isi hatinya pada Zainab yang dipendam selama ini. Setelah itu, Hamid pun
meneruskan perjalanannya sehingga akhirnya sampailah dia di Kota Mekah ini.
Kini,
musim Haji bakal bermula. Jemaah dari seluruh dunia termasuk Tanah Jawa mula
membanjiri Kota Mekah. Dan tanpa diduga, Hamid bertemu dengan Saleh, sahabat
lamanya. Dalam pertemuan itu, Saleh memberitahu yang beliau telah bernikah
dengan Rosna, sahabat karib Zainab.
Selepas
2 tahun meninggalkan kampung halaman, baru kini Hamid mendapat khabar berita
mengenai Zainab, gadis yang dicintainya. Dari perkhabaran Saleh, Hamid mengerti
yang Zainab juga menyintainya dan menderita apabila Hamid pergi tanpa khabar
berita sehingga kini.
Kini
Saleh dan Rosna nekad untuk menyatukan semula 2 hati yang terpisah ini, demi
kasihnya mereka pada sahabat berdua. Namun, ternyata Allah mempunyai rancangan
yang lebih baik buat Hamid dan Zainab.
Ceritanya
Patung Beruang:
Ok,
cukup disini synopsis untuk Di Bawah Lindungan Ka’bah ini. Kalau nak tahu
kesudahan cerita ini, kenalah meneliti sendiri naskah ini.
Cerita
ini sangat sedih. Hamka membawa pembaca menelusuri kehidupan seorang anak muda
yang hidupnya sentiasa diselubungi kesedihan, sedari kecil hinggalah dewasa, meneliti isi hatinya yang kosong serta sedar diri dan kekurangannya.
Penderitaan Hamid dan Zainab sangat meruntun jiwa. Dua insan yang saling menyintai namun tidak punya kekuatan untuk meluahkannya. Dan tatkala, ia terluah, segala-galanya sudah terlambat.
Malangnya kisah cinta mereka ini. Hamka hanya memberi kesedaran kepada kita, si pembaca ini bahawa tidak semua cinta itu akan bersatu. Banyaknya adalah terkubur didalam hati masing-masing atau mungkin terkubur bersama jasadnya sekali. Dan itulah realiti kehidupan. Kita tidak selalunya dapat apa yang kita kehendaki. Aduhai.. penatnya Patung Beruang menangis.
So, kalau rasa nak luahkan beban emosi yang tertanggung didalam jiwa tu, silalah baca naskah ini. Dan jangan lupa sediakan tisu disebelah ye.