Showing posts with label Raiha Bahaudin. Show all posts
Showing posts with label Raiha Bahaudin. Show all posts

Sunday, November 2, 2025

Book Review: Mencari Ramlee

Tajuk: Mencari Ramlee

Penulis: Raiha Bahaudin

Menariknya Naskah Ini:

Buku ke-19 yang berjaya Patung Beruang habiskan pembacaannya pada tahun 2025, Alhamdulillah... 

Ini adalah naskah ke-2 tulisan Raiha Bahaudin yang ada dalam koleksi Patung Beruang. Jujurnya, Patung Beruang tertarik hati untuk membeli naskah ini pun sebab penulisnya. Membeli tanpa membaca apa sinopsisnya, membeli dengan harapan ia memberikan kejutan segar seperti naskah Kunang Pesisir Morten, hehehe.. 


Blurb: 
"Bukankah mengenang setelah kematian tidak mungkin dapat mengubah kembali masa lalu?" 

"Zakaria, pelagak P. Ramlee yang pentasnya semakin sunyi, tiba-tiba ditawarkan satu watak hidup dengan berpura-pura menjadi seniman agung untuk menemani Zaitun, wanita misteri yang terperangkap dalam bayang-bayang era 50-an, selective amnesia. 

Segala yang bermula sebagai helah, berubah menjadi kisah cinta yang menyingkap luka silam. 

Sayangnya, rahsia tidak selamanya rahsia. Apabila kebenaran terbongkar dan "topeng" mula tertanggal, segala pentas "lakonan" menjadi medan pertarungan antara hidup dan mati." 



Bagi Patung Beruang, Mencari Ramlee bukan sekadar sebuah novel, tetapi satu eksperimen emosi dan fikiran yang menggabungkan cinta, kekaguman, pencarian identiti, dan penghargaan terhadap sosok seniman agung negara - P. Ramlee. 

Dalam naskah ini, penulis membawa pembaca menyusuri perjalanan batin watak Zakaria, yang begitu taksub terhadap figura P. Ramlee, hingga pencariannya menjadi metafora kepada pencarian makna hidup itu sendiri. 

Selain itu, naskah ini juga membawa kita menilai kembali sumbangan seniman agung P. Ramlee dan bagaimana kita sebagai masyarakat menghargai seni warisan kita sendiri. Setiap kali terbaca petikan lirik lagu yang disesuaikan dengan babak, ia seperti mengingatkan kita betapa halus dan cantiknya karya-karya music seniman agung ini. 


Seperti Kunang Pesisir Morten, karya Raiha Bahaudin sentiasa mencabar minda pembaca. Patung Beruang suka labelkan sebagai karya yang bijak. Tidak terkecuali dengan naskah ini. 
Mencari Ramlee tidak sekadar menyajikan hiburan ringan, tetapi mengajak pembaca duduk diam dan berfikir. Sesuai untuk pembaca yang menghargai narative lambat, bahasa halus, dan tema pencarian diri. Ia bukan tentang P. Ramlee semata-mata, tetapi tentang rasa kehilangan, kenangan, dan harapan.... 


Jika ingin mencari kelainan, silalah membaca naskah ini kerana ia akan menghidangkan satu pengalaman yang tenang, perlahan, tetapi sangat meresap ke hati...  

Setelah tamatnya naskah ini, Patung Beruang terfikir, ada kalanya kita terlalu mengejar material sehingga kita hilang diri sendiri. Kita bertahan kerana imbuhan, bukannya kepuasan. Kita terlalu lama memujuk diri yang wang adalah punca kebahagiaan sehingga kita terlupa untuk menjadi manusia walau seketika... 

Terima kasih penulis untuk naskah yang bijak ini... 

Monday, November 14, 2016

Book Review: Kunang Pesisir Morten

Tajuk: Kunang Pesisir Morten

Penulis: Raiha Bahaudin

Menariknya Novel Ini:

Baiklah, ini adalah buku yang terbaru Patung Beruang sudahkan pembacaannya. Masih panas lagi dan Patung Beruang tidak sabar untuk kongsikan kehebatan dan magicnya buku ini pada semua orang.

Kunang Pesisir Morten mengangkat latar belakang penduduk di Kampung Morten, Melaka dan setinggan berdekatan pada tahun 1980-an hinggalah penghujung 1990-an. 

Kampung yang terkenal dengan kehebatan seni bina rumah Melaka, terletak ditepi sungai Melaka, dihubungkan dengan sebuah jambatan yang dapat membawa penghuninya keluar ke deretan rumah kedai diseberang dan seterusnya menjelajah ke bandar Melaka, ke Kampung Jawa, Banda Kaba,  Gajah Berang, Kampung Ulu dan sebagainya. 

Watak utama dalam novel ini adalah Dhiya, seorang gadis kecil, anak kepada seorang wanita berketurunan Jawa. Walaupun membesar di perkampungan setinggan, Dhiya dikurniakan bakat dan kecerdasan luar biasa yang tidak pernah dibayangkan oleh anak-anak kampung seusianya. 

Dhiya mempunyai hobi yang hebat iaitu membaca. Ibunya bekerja sebagai pembantu di Tadika Kemas, berusaha membeli buku-buku yang bagus untuk dibaca oleh Dhiya. Dan sudah pastilah buku-buku yang dibeli adalah kisah penyiasatan Nancy Drew yang sangat terkenal itu. 

Selain itu, Dhiya juga adalah seorang artis yang hebat. Bakat seninya telah terlihat semenjak di bangku sekolah rendah lagi dan Dhiya sangat tertarik dengan gaya lukisan Claude Monet, pencipta teknik French Impressionist, yang dilihatnya di sebuah kedai yang menjual peralatan melukis ditengah bandar Melaka. Kenyataannya, pada usianya yang baru berumur 9 tahun, beliau tidak kenal pun siapa Monet itu. Hanya mengagumi teknik lukisan pelukis tersohor itu. 

Dhiya berkawan baik dengan Adi dan Lim. Adi adalah jiran Dhiya dan mereka telah saling mengenali semenjak kecil lagi. Lim pula adalah keturunan Baba Nyonya, tinggal berdua dengan ayahnya yang telah uzur, di sebuah rumah kedai, di seberang Sungai Melaka. 

Kecerdasan Dhiya disedari tatkala beliau menyelesaikan misteri kematian Ooi, seorang kanak-kanak yang mengidap autism, berketurunan Cina, yang mayatnya ditemui terapung di Sungai Melaka pada suatu pagi. 

Tatkala anggota polis bertalu-talu menyoal ibu bapa Ooi seolah-olah mereka yang membunuh anak kecil itu, Dhiya bersama-sama dengan Adi dan Lim pergi ke rumah Ooi bagi untuk melihat sendiri keadaan keluarga malang tersebut. Disana, mereka berkenalan dengan Geok, abang Ooi. Dari pemerhatian yang singkat dirumah tersebut dan seterusnya melihat keadaan mayat Ooi, Dhiya lantas memberi penjelasan punca sebenar kematian kanak-kanak itu. Yang mana, punca kematiannya langsung tiada kaitan dengan unsur-unsur pembunuhan atau pengkhianatan. 

Cerita peristiwa Dhiya menyelesaikan misteri kematian Ooi, mendapat liputan meluas. Dan semenjak itu, masyarakat Cina diseberang sungai sehinggalah ke bandar Melaka, semuanya mengenali Dhiya, Adi dan Lim. Dan bermula lah  pengalaman hidup kanak-kanak berlainan bangsa, yang merasakan betapa manisnya hidup didalam masyarakat majmuk, berbilang bangsa, keturunan dan pegangan agama. 

Dalam masa yang sama, kepintaran Dhiya turut diperhatikan oleh Tam, seorang kanak-kanak berumur 11 tahun, yang tinggal di atas rumah kedai, berdekatan Kampung Jawa. Tam adalah seorang kanak-kanak yang misteri namun mempunyai IQ yang sangat tinggi. Sistem pendidikan pada masa itu sangat membosankan kanak-kanak yang pintar sepertinya dan Dhiya. Namun, Dhiya tetap meneruskan persekolahan seperti biasa cuma hanya akan focus pada subjek yang diminatinya. Berbeza pula dengan Tam. Beliau meninggalkan alam persekolah dan duduk berseorangan diatas rumah kedai. Masa sehariannya dihabiskan dengan bermain seperti kanak-kanak yang lain.

Namun, Tam bukanlah calang-calang kanak-kanak. Tam menyimpan satu rahsia besar yang bakal mengubah kehidupan Dhiya, Adi dan Lim. Rahsia besar yang bakal mencetuskan ketegangan antara dua buah kaum. 


Ok, Patung Beruang tak nak cerita lebih lanjut tentang naskah ini. Kalau nak tahu lebih detail, kenalah menelitinya sendiri. 

Satu perkataan sahaja yang boleh menggambarkan naskah Kunang Pesisir Morten ini iaitu... 

Brilliant!!!

Yes.. Brilliant.

Penulisnya sangat bijak. Watak dalam cerita ini seperti Dhiya dan Tam, adalah sangat bijak. Jalan ceritanya pun sangat bijak.

Menatap naskah ini membawa Patung Beruang ke Kampung Morten, ke Melaka pada tahun 1980-an dan 1990-an. Patung Beruang terbayang segalanya. Keindahan rumah melaka disana. Kesibukan Jalan Bendahara, suasana orang berpusu-pusu membeli belah di pasar Kampung Jawa dan keadaan Bandar Melaka dengan stesen bas lama. Suasana hari raya, tahun baru cina, keriuhan wayang cina, musim cuti sekolah, musim banjir. 

Wow.. Ia seperti menonton filem. 

Patung Beruang benar-benar tenggelam didalam dunia Dhiya. 

Melihat eratnya persahabatan anak Melayu dan Cina, sifat bersatu-padu yang ada dalam sesuatu kaum, kebebasan meraikan perayaan masing-masing, saling menghormati budaya dan warisan yang berbilang kaum membuatkan Patung Beruang bangga menjadi anak Malaysia. Ye, itulah suasana masyarakat majmuk yang dikecapi dan dinikmati pada masa dulu. Dan suasana itu kian terhakis dari masa ke masa. Sedihnya...

Dan novel ini juga menonjolkan betapa anak-anak yang cerdik dan tinggi IQ nya itu tidak semestinya datang dari keluarga elit sahaja. Malah, ramai yang kebanyakkannya hanyalah anak-anak orang biasa. Cuma kehebatan mereka tidak disedari dan tidak digilap dengan sepatutnya.  

Tam dan Dhiya adalah contoh paling dekat. 
Cuma bezanya Dhiya menggunakan kebijaksanaan dan bakatnya untuk perkara yang bermanfaat sedangkan Tam menggunakan kelebihannya untuk menjadi Robin Hood. 
Merompak orang-orang kaya demi membantu orang miskin.

Dan betapa sistem pendidikan kita pada masa itu gagal mengenalpasti dan menarik perhatian anak-anak yang hebat ini. Akhirnya, mereka bosan dan lebih rela meninggalkan sekolah dari terkurung di bilik darjah, mempelajari sesuatu yang mereka memang telah sedia maklum, membuang masa dan hanya dilabel sebagai pelajar biasa-biasa sahaja oleh guru. 
Betapa sayangnya... 
Namun, dalam novel ini juga turut diselitkan watak Cikgu Maimunah, seorang guru yang prihatin dan menyedari kehebatan Dhiya. 
Guru yang mengambil inisiatif sendiri untuk mengasah bakat anak cilik ini. 

Kesimpulannya, novel ini sangat hebat. Sangat bijak. Dan mempunyai magic yang tersendiri. 

Patutlah ia tersenarai dalam 100 Novel Melayu Yang Mesti Dibaca, di laman web Goodreads. Sesiapa yang suka membaca, mesti tahukan Goodreads tu apa, hehe.. Tahniah buat penulis kerana menghasilkan naskah yang sebegini hebat... 

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi, Bunny and Dak Yot...