Showing posts with label Richard Paul Evans. Show all posts
Showing posts with label Richard Paul Evans. Show all posts

Sunday, June 12, 2022

Book Review: The Forgotten Road


Tajuk: The Forgotten Road

Penulis: Richard Paul Evans 

Menariknya Naskah Ini: 

Rupa-rupanya selepas The Walk Series, Richard Paul Evans ada mengeluarkan series terbaru yang jalan ceritanya ada iras-iras sedikit seperti The Walk Series. 

Patung Beruang terjumpa naskah The Forgotten Road ini ketika sedang mencari Volume 1 dalam The Walk Series, yang bertajuk The Walk. Percayalah, setelah bertahun-tahun Patung Beruang selesai membaca Walking on Water iaitu Volume 5 dan terakhir dalam series tersebut, Patung Beruang masih lagi gagal untuk memiliki Volume 1. Sabar je lah, huhu..

The Forgotten Road ini adalah Volume ke-2 dalam The Broken Road series. Alhamdulillah, Patung Beruang sudah memiliki Volume 1 dan 3, cuma belum berkesempatan untuk membacanya saja. Volum 1 dan 3 itu Patung Beruang terpaksa beli direct dari London melalui Book Depository. Harganya agak mahal sikit berbanding Bookxcess dan buku-buku tersebut mengambil masa sebulan lebih untuk sampai ke tangan. Tidak mengapalah, asalkan Patung Beruang dapat memilikinya. 


The Forgotten Road membawa pembaca kepada Charles (Gonzales) James, seorang lelaki berumur 34 tahun yang menetap di Chicago. Charles dikhabarkan meninggal dunia pada 3 May 2016 apabila pesawat The United Flight yang bernombor 227 yang dinaikinya, dilaporkan terhempas. Kejadian tersebut telah meragut nyawa kesemua penumpang dan anak kapal. 

Charles adalah seorang selebriti, penceramah dan penulis yang terkenal di Amerika. Hidupnya penuh dengan kemewahan namun hatinya kosong. Charles baru saja bercerai dengan isterinya, Monica. Entah mengapa, kemewahan material yang ada tidak mampu mengukuhkan rasa cinta dan sayang pasangan ini. 

Tatkala seluruh America membaca berita mengenai kematian Charles akibat nahas pesawat The United Flight, tiada siapa yang menyangka sebenarnya disaat-saat akhir, Charles gagal untuk menaiki pesawat tersebut. Dan kegagalan itu sebenarnya telah menyelamatkan nyawanya sendiri. 

Charles membaca obituary dirinya yang disiarkan oleh akhabr The Chicago Sun Times. Sungguh pelik rasanya apabila membaca obituary diri sendiri. Tatkala melihat baris-baris ayat didalam obituary tersebut, Charles menyedari yang ia ditulis oleh pembantunya, Amanda. 

Beberapa hari selepas itu, Charles menghadiri upacara kematiannya sendiri yang dianjurkan oleh Amanda di dewan sederhana, The Crystal Garden. Oleh kerana mayat nahas pesawat The United Flight  berkecai dan sukar dikenalpasti, maka upacara kematian dijalankan hanya dengan ucapan dan jamuan ringan oleh para hadirin. Charles sengaja hadir ke upacara tersebut untuk melihat siapa hadirin yang ada. Jauh di sudut hatinya, Charles mengharapkan ramai ahli keluarganya dan kenalannya akan hadir ke upacara tersebut. Tentu sekali insan yang ditunggu-tunggu adalah Monica, bekas isterinya dan anak mereka. 

Sedihnya, tidak sampai 6 orang hadir ke upacara tersebut. Malah, kelibat keluarga terdekatnya sendiri juga tidak kelihatan. Charles sangat kecewa dan mula tersedar yang selama ini dia tidak pernah peduli pada sesiapa pun melainkan harta dan kejayaannya sendiri. Maka, tidak hairanlah tiada siapa pun yang menangisi atau bersedih dengan kematiannya. 

Pulang dari upacara tersebut, Charles nekad untuk mengembara dari Chicago ke California, melalui Route 66, hanya dengan berjalan kaki. Mengapa California? Kerana Monica sekarang menetap disana. Tujuan perjalanannya hanya satu, Charles ingin berjumpa Monica dan meminta agar diberi peluang sekali lagi untuk dia membuktikan cintanya kepada Monica dan bersatu semula sebagai pasangan suami isteri. 

Namun, kembaranya di Route 66 tidak seindah disangka. 

Charles berdepan dengan cuaca yang tidak menentu dan dirompak ketika sedang berehat di dalam khemah di tepi jalan. Rompakan itu menyebabkan semua wang ringgit, jam tangan dan peralatan elektroniknya hilang. 

Sebatang kara, ketiadaan identiti pengenalan diri dan wang, memaksa Charles untuk berkerja sebagai buruh kasar bersama-sama pendatang asing/ haram dari Mexico. Pekerjaan yang dilakukan sangat melelahkan namun itu saja cara yang  ada demi sesuap nasi. Dalam masa beberapa minggu, dari seorang lelaki yang terhormat, mempunyai harta dan reputasi yang hebat, Charles berubah menjadi pendatang di negara sendiri. 


Dapatkah Charles keluar dari persekitaran yang menyeksakan itu dan menyambung perjalanannya di Route 66? 

atau ...

Memang inilah kesudahan kehidupan Charles, seorang lelaki yang direkodkan sudah meninggal dunia, maka tiada apa lagi yang tinggal untuknya di bumi ini? ...

Monday, January 15, 2018

Book Review: Miles To Go

Tajuk : Miles To Go

Penulis : Richard Paul Evans

Menariknya Naskah Ini: 

Nampaknya tahun ini sekali lagi Patung Beruang berjaya memiliki koleksi The Walk Series, karya Richard Paul Evans, hasil membeli-belah di Big Bad Wolf 2017. Alhamdulillah... 

Untuk rekod, Patung Beruang telah memiliki buku ke-3 iaitu The Road To Grace ( https://patungberuang.blogspot.my/2016/08/book-review-road-to-grace.html  ),  


buku ke-5 yang juga terakhir didalam The Walk Series iaitu Walking on Water  (https://patungberuang.blogspot.my/2016/10/book-review-walking-on-water.html  ). 


Dan kini buku yang baru sahaja Patung Beruang habiskan pembacaanya adalah buku ke-2 iaitu Miles To Go. 

Untuk buku ke-2 ini, Alan Christoffersen memulakan cerita dengan memperkenalkan dirinya dan punca mengapa beliau ingin berjalan kaki dari Seattle ke Key West, Florida. 

Namun, perjalanan Alan tidak semudah yang disangka. Pada ketika ini, Alan menulis catatan hariannya ketika beliau masih berada di wad hospital di Spokane, Washington. Alan telah dirompak dan ditikam sehingga menyebabkan kecederaan yang teruk. 

Di hospital, Alan berkenalan dengan Angel, seorang wanita yang baik hati, yang pernah beliau tolongi sebelum kejadian rompakan tersebut. Angel melawat Alan setiap hari selepas waktu bekerja dan tatkala Alan dibenarkan keluar dari hospital, Angel membawanya pulang ke rumah. 

Di rumah, Alan mula berkenalan dengan Bill, tuan rumah Angle dan Nicole, jiran yang baik dan peramah. Alan dan Angel semakin rapat dan Alan menyedari yang Angel menyimpan rahsia besar didalam hidupnya. Angel seolah-olah seperti mempunyai 2 personaliti dan kehidupan yang berbeza. Adakalanya dia menjadi sweet girl dan dimasa lainnya Angel seperti bergelut dengan depression dan kehidupan disekelilingnya.

Bill adalah seorang tuan rumah yang baik. Sentiasa mengambil berat penyewa-penyewa yang ada. Bill tinggal sebatang kara selepas kematian anak dan isterinya beberapa tahun dulu. Dan bagi mengisi masa lapangnya, Bill gemar menghabiskan masa dengan koleksi model keretaapi yang dimilikinya. Namun, takdir Tuhan mengatasi segalanya. Bill akhirnya pergi meninggalkan dunia selepas beberapa hari mereka menyambut Krismas. Namun, pemergian Bill telah memberi kejutan yang besar kepada Angel tatkala Angel didatangi oleh peguam yang menguruskan wasiat Bill. 


Seperti kebiasaannya, The Walk Series penuh dengan kejutan dan tidak jemu untuk memberi inspirasi kepada pembaca. Untuk Miles To Go ini, pembaca dihidangkan dengan kisah perkenalan Alan dan Angel, bagaimana Alan berusaha untuk mengeluarkan Angel dari deperession dan trauma yang dialaminya, memberi detik-detik manis didalam kehidupan Bill, seorang lelaki tua yang kaya-raya namun keseorangan, memberi harapan kehidupan kepada Kalaimai, seorang gadis yang lari dari keluarga angkat demi mencari masa depan yang lebih baik dan bagaimana ayah Alan iaitu Mr Christoffersen mula memahami betapa pentingnya Alan untuk meneruskan misi berjalan kaki ini. Dan dalam naskah ini juga menjadi titik permulaan bagaimana Angel mengupah Mr Christoffersen, seorang akauntan bertauliah untuk menguruskan kewangannya. 

Perkara yang membuatkan Patung Beruang jatuh cinta dengan Richard Paul Evans adalah momentum The Walk Series ini sangat laju. Sama seperti karya-karya Jeffrey Archer. Apabila mula menatap naskah The Walk Series, Patung Beruang tidak sedar masa yang berlalu. Tahu-tahu sahaja, dah separuh buku. Dan akhirnya kurang dari 24 jam, Patung Beruang berjaya menghabiskan Miles To Go ini. Hooray...

Baiklah.. misi selepas ini adalah Patung Beruang kena cari buku pertama didalam The Walk Series iaitu The Walk. Tak sabar rasanya hati ini untuk melengkapkan set ini. Doakan Patung Beruang ye.. 

Monday, October 24, 2016

Book Review: Walking On Water

Tajuk : Walking On Water

Penulis : Richard Paul Evans

Menariknya Buku Ini:

Ini adalah buku ke-5 dan terakhir dalam The Walk Series, kisah pengembaraan Alan Christoffersen dari Seattle ke Key West. 

Sebelum ini, Patung Beruang ada kongsikan buku ke-4 iaitu A Step of Faith dan buku ke-3 iaitu The Road to Grace .  

Untuk buku terakhir ini, Alan terpaksa pulang ke Pasadena kerana ayahnya, Mr Christoffersen sedang sakit tenat akibat masalah jantung. Sampai di Pasadena, Alan terus bergegas ke hospital. 

Di hospital, Mr Christoffersen ditemani oleh Nicole. Pertemuan antara Nicole dan Alan pada kali ini dalam suasana yang agak janggal. Ini adalah pertemuan pertama mereka selepas Alan berterus terang menolak cinta Nicole. 

Dari sehari ke sehari Alan menyedari betapa Nicole melayan Mr Christoffersen bukan seperti seorang client melayan chartered accountant nya, namun seperti seorang anak perempuan melayan ayahnya. Dan Mr Christoffersen juga menerima Nicole bukan sekadar client beliau, namun sebagai anak perempuan yang tidak pernah beliau miliki.  

Tatkala sampai dirumah, Alan menyedari yang ayahnya sedang menyiapkan jurnal berkenaan sejarah keluarga mereka. Ia bermula dari generasi pertama iaitu Jon Kristoffersen, generasi ke-2 Finn Christoffersen, generasi ke-3 Peter Christoffersen, generasi ke-4 Robert Christoffersen dan Alan sebagai generasi ke-5.

Semua catatan didalam jurnal tersebut sangat detail dan menyentuh perasaan. Malah ada yang tidak pernah langsung diketahui oleh Alan seperti kisah generasi-generasi terdahulu sebelum ayahnya, pembabitan dan kecemerlangan ayahnya didalam pasukan tentera Amerika, berperang di Vietnam sebelum beliau melanjutkan pelajaran di Universiti dan seterusnya menjadi chartered accountant. 

Turut dicatat didalam jurnal tersebut adalah detik-detik perkenalan ibu dan ayah Alan, bagaimana mereka berkahwin, kelahiran Alan,  apabila ibunya disahkan mengidap kanser dan seterusnya meninggal dunia tatkala umur Alan mencecah 8 tahun. 

Dan tanpa Alan sedari, Key West adalah tempat yang paling bermakna buat ibu dan ayahnya kerana disitulah Mr Christoffersen melamar. Dan kini, Alan pula bernekad untuk berjalan ke Key West sebagai satu pengembaraan bagi mencari dirinya, memulihkan jiwa dan semangatnya setelah kematian McKale. 

Seperti dijangka oleh doctor, kesihatan Mr Christoffersen semakin merosot dan akhirnya meninggal dunia. Pemergian Mr Christoffersen benar-benar menyentap Alan kerana akhirnya, pada saat ini, beliau tinggal sebatang kara tanpa ahli keluarga didunia ini. 

Pengebumian Mr Christoffersen dihadiri oleh ramai kenalan dan juga client beliau. Malah, Falene, bekas staff Alan yang kini menjadi model di New York juga turut hadir. 

Kehadiran Falene menceriakan sebentar hati Alan. Alan menyedari yang beliau juga menyintai Falene setelah Falene pergi menghilangkan diri, apabila Alan menolak luahan perasaanya dulu. Oleh itu, untuk pertemuan kali ini Alan nekad untuk meluahkan perasaannya pada Falene. 

Namun, tanpa diketahui, Falene sebenarnya bakal berkahwin dengan salah seorang pemilik agency model tempat beliau bekerja. Dan luahan perasaan Alan hanya membuatkan Falene sangat terluka. 


Dapatkah Alan memujuk Falene agar menerima dirinya? 

Atau mungkin memang ditakdirkan Alan akan kekal bersendirian setelah kematian McKale? 

Adakah Alan akan menyambung pengembaraanya sehingga sampai ke Key West, seperti apa yang dihajati nya?

Atau mungkin pengembaraan Alan terhenti dek kerana kematian Mr Christoffersen dan penolakan cinta dari Falene?  



Untuk buku terakhir ini, Richard Paul Evans banyak bermain dengan emosi pembaca. 

Banyak babak-babak yang menyentuh perasaan terutama ketika Alan membaca jurnal susur galur keluarganya, babak ibunya bertarung dengan kanser dan akhirnya meninggal dunia, bagaimana Mr Christoffersen dan Alan mengharungi hari-hari yang memeritkan selepas kematian isteri dan ibu, babak kematian Mr Christoffersen dan keadaan Alan setelah pemergian ayahnya dan Falene. 

Dan to be honest, Patung Beruang menangis ketika membaca babak-babak tersebut. Rasa macam tengok filem pula sebab Richard Paul Evans berjaya menceritakan setiap babak tersebut dengan detail sehingga kita yang membaca ini pun terbayang-bayang suasananya. 

Selama ini Patung Beruang terfikir adakah kisah Alan Christoffersen ini rekaan semata-mata atau ia berdasarkan cerita sebenar. Ini kerana gaya penceritaannya sangat detail dan real. Akhirnya, didalam buku ini, di bahagian terakhir sekali, Richard Paul Evans berkongsi rahsianya. Watak yang bernama Alan Christoffersen memang wujud. Dan pengembaraan Alan pula memang dilakukan sendiri oleh Richard, anak perempuannya dan seorang pembantunya, sehingga ke destinasi utama mereka iaitu Key West. Bezanya adalah Alan berjalan kaki namun mereka mengembara dengan kereta. Dan setiap tempat yang Richard coretkan didalam buku ini, suasana, lokasi, cara kehidupan, semuanya sama seperti apa yang mereka alami.  Malah ada antara watak-watak sampingan didalam The Walk Series adalah watak yang memang wujud disana. 

Oklah, now dah tamatlah pengembaraan Alan. Namun, pengembaraan Patung Beruang belum tamat lagi. Ini kerana Patung Beruang masih belum berjumpa lagi dengan buku pertama dan ke-2 dalam The Walk Series ini. So, target lepas ini adalah untuk memiliki kedua-dua buah buku ini bagi melengkapkan koleksi Patung Beruang. 

Kesimpulannya, cerita yang sangat menarik dan membuka mata pembaca. Banyak pengajaran dan pengalaman kehidupan yang Patung Beruang kutip sepanjang membaca 3 buah buku The Walk Series ini. Malah ia juga memberi pengajaran dimana walau betapa sukarnya hidup kita didunia ini, kita tidak boleh berputus asa. Disaat kita hilang segala-galanya, disitu lah terserlah kekuatan diri kita yang sebenar. Dengan duduk meratap dan murung, hanya akan merosakkan diri dan jiwa kita. Tiada orang yang boleh memaksa kita untuk bangun dan berjalan kembali, kecuali diri kita sendiri. Tidak hairanlah mengapa The Walk Series ini mendapat sambutan yang hebat di seluruh dunia kerana ia memang memulihkan jiwa pembaca sebagaimana ia memulihkan jiwa Alan Christoffersen......

Friday, August 12, 2016

Book Review: The Road to Grace

Tajuk: The Road to Grace


Penulis: Richard Paul Evans



Menariknya Novel Ini:



The Road to Grace adalah buku ke-3 dalam The Walk Series. Sebelum ini Patung Beruang pernah ulas buku ke-4 dalam The Walk Series iaitu A Step of Faith. Jika belum berkesempatan untuk membacanya, bolehlah refer di sini.


Untuk siri ke-3 ini, Alan Christoffersen memulakan pengembaraan beliau dari South Dakota. Tatkala Alan baru melangkah keluar dari lobi hotel, beliau disapa oleh seorang wanita bernama Pamela. 

Kehadiran Pamela di South Dakota sangat memeranjatkan Alan. Baginya, Pamela adalah orang terakhir yang ingin beliau temui di dunia ini.

Pamela adalah ibu kandung McKale, isteri Alan yang baru meninggal dunia. Namun, hubungan Pamela dan McKale tidak seerat seperti selayaknya hubungan ibu dan anak perempuan. Pamela nekad meninggalkan suaminya dan McKale tatkala umur McKale masih kanak-kanak lagi. 

Sejak dari itu, McKale dijaga dan dibesarkan oleh ayahnya seorang diri. McKale membesar menjadi seorang anak yang dahagakan kasih sayang seorang ibu, tetapi dalam masa yang sama membenci wanita tersebut. McKale menjadi seorang gadis yang luarannya nampak tabah dan kuat, tetapi sangat fragile apabila berada disamping individu-individu yang rapat dengannya.

Menjadi sahabat karib sejak dari kecil, dan seterusnya mendirikan rumahtangga bersama, Alan melihat bagaimana kecewanya McKale terhadap wanita yang bernama Pamela, bagaimana kuatnya McKale mengharungi proses pembesaran dan kehidupan tanpa seorang ibu, bebanan emosi dan psikologi yang ditanggungnya. Dan oleh kerana itu lah, Alan nekad untuk menjadi pelindung buat McKale, melindunginya dari disakiti oleh sesiapa pun, sehingga ke akhir hayatnya. 

Seperti persahabatan kanak-kanak, musuh saya bermakna musuh awak juga. Begitu juga hubungan Alan dan Pamela. McKale kecewa dengan Pamela, maka, Alan juga merasakan betapa beliau juga mempunyai rasa kecewa yang sama dengan Pamela. 

Setelah berhari-hari Pamela mengekori Alan dan setelah puas merayu, akhirnya Alan setuju untuk mendengar segala luahan Pamela. Bagi Pamela, persetujuan itu adalah satu rahmat yang amat ditunggu-tunggu sekian lama. 

Pamela merasakan beliau berhutang maaf pada McKale. Namun, McKale telah tiada untuk memaafkannya. Maka, kemaafan dipohon melalui Alan. Persoalannya...

Mampukah Alan memaafkan segala perbuatan Pamela yang telah menyebabkan insan kesayangannya kecewa sepanjang hayat?

Apakah punca sebenar Pamela nekad keluar rumah dan meninggalkan keluarganya berpuluh-puluh tahun dahulu?



Selesai urusan Pamela, Alan meneruskan perjalannya. Namun, tatkala sampai di Corn Palace, Alan merasa sangat pening dan tidak mampu berjalan. Keadaannya yang tidak menentu disedari Leszek, seorang lelaki berbangsa Poland, yang bertindak membawa Alan terus ke Avera Queen of Peace Hospital. 

Setelah dirawat dan dibenarkan pulang, Alan menumpang dirumah Leszek selama beberapa hari. Beliau tinggal seorang diri setelah kematian isterinya 9 tahun dahulu. Leszek selesa menghabiskan masa-masa tuanya bersendirian. Sesekali anak dan cucunya akan datang melawatnya. Dalam masa yang sama, Leszek juga sempat bercerita pengalaman beliau membesar sebagai seorang tahanan perang, menjadi mangsa kekejaman Nazi. 

Setelah beberapa hari dan merasakan dirinya cukup kuat untuk meneruskan perjalanan, Alan pun meninggalkan rumah Leszek. Destinasi seterusnya adalah Sidney, Iowa. 

Di Sidney, Iowa Alan berkenalan dengan Analise, seorang pekerja di Grocery Store yang sudi untuk menumpangkan Alan bermalam dirumahnya. Analise adalah seorang ibu tunggal, tinggal bersama dengan 2 orang anaknya yang comel iaitu Christian dan Casey. Suami Analise meninggal dunia akibat kemalangan ditempat kerja. Tragedi tersebut benar-benar mengubah kehidupan Analise dan anak-anaknya, dari segi fizikal serta psikologi. Tambah merumitkan keadaan apabila Analise terikat dengan mertuanya hanya kerana mereka membantu Analise dan anak-anak dari segi kewangan. 

Bagaimana kesudahan hidup Analise dan anak-anaknya?

Adakah perjalanan Alan akan sentiasa lancar agar beliau cepat sampai ke destinasinya?



Untuk siri ke-3 ini, ada beberapa watak penting yang muncul disepanjang pengembaraan Alan. Yang pasti, watak yang paling mengejutkan adalah Pamela. Melalui siri ini, pembaca dibawa mengenal sisi sebenar kehidupan McKale ketika beliau masih hidup. 

Selain watak-watak yang menarik, Patung Beruang tertarik dengan keistimewaan yang ada pada setiap watak-watak tersebut dan bagaimana perjalanan kehidupan setiap orang adalah berbeza. 

Konsep kemaafan sangat ditekankan didalam siri ke-3 ini. 

Seperti yang ditulis, bagaimana teruknya pihak disana menyakiti kita, tidak rugi jika kita bertindak memaafkan mereka. Tanda kita memaafkan adalah apabila kita tidak lagi berdendam pada mereka. Namun, jika kita berdegil untuk tidak memaafkan, selagi itu lah kita akan berdendam dan dendam itu hanya akan memakan diri kita dari dalam, sehari ke sehari. Maka, dengan dendam yang tidak berkesudahan itu, apa bezanya kita dengan pihak disebelah sana???

Kesimpulannya, Richard Paul Evans tidak pernah mengecewakan Patung Beruang. Begitu jugalah dengan siri ke-3 ini. Malah, Patung Beruang hanya mengambil masa lebih kurang 3-4 hari sahaja untuk menghabiskan naskah ini. Perjalanan cerita yang menarik, konsep diari yang diketengahkan, watak-watak sampingan yang memberi impak kepada pengembaraan Alan benar-benar membuatkan Patung Beruang sukar untuk berhenti jika sudah mula menatapnya. Tak sabar rasanya Patung Beruang nak complete kan kesemua 5 buah buku untuk The Walk Series ini... :)

Sunday, November 15, 2015

Book Review: The Christmas Box

Tajuk: The Christmas Box

Penulis : Richard Paul Evans

Ceritanya Patung Beruang:

Maaf ye, Patung Beruang lama tidak menulis. Recently, Patung Beruang jarang ada kat sini. Asyik fly sahaja, huhu.. Sampai rasa rindu sgt dgn rumah ni.

Walaupun banyak buku-buku yang Patung Beruang berjaya habiskan pembacaannya, tetapi, disebabkan faktor masa dan keadaan yang tidak mengizinkan untuk menulis, Patung Beruang tangguhkan dulu hasrat untuk berkongsi buku-buku tersebut disini.

Dan longgokan buku-buku yang telah habis dibaca tetapi belum ditulis reviewnya semakin lama semakin tinggi. Mana taknya, tunggu ERL baca buku, dalam ERL baca buku, dekat airport baca buku, dalam flight baca buku, nak tido pun baca buku. Jadi, cycle untuk habiskan setiap satu buku tu pendek lah. 

So, pagi ni,  dengan masa singkat yang Patung Beruang ada dan sambil bersarapan baki pizza semalam (dah siap dipanaskan dengan oven ye hehe) , boleh lah Patung Beruang duduk menaip sebentar. 

Menariknya Buku Ini:

The Christmas Box yang pertama kali diterbitkan pada 1993 adalah medium yang digunakan oleh Richard Paul Evans untuk berkongsi dengan pembaca mengenai keadaan beliau dan isterinya, Keri serta anak perempuan mereka, Jenna ketika mereka menetap di Utah. 

Pada masa itu, Richard sedang bergelut untuk menstabilkan perniagaannya. Dan sebagai salah satu langkah penjimatan kewangan keluarga, mereka telah berpindah ke sebuah mansion, yang dimiliki dan dihuni oleh MaryAnne. 

MaryAnne, seorang wanita tua, tinggal bersendirian di mansion tersebut selepas kematian suaminya. Oleh kerana tidak mahu kesunyian dan memastikan rumahnya sentiasa terjaga kemas, MaryAnne telah mengiklankan hasratnya untuk mencari pasangan yang sudi tinggal bersamanya, dan sanggup mematuhi syarat-syarat yang tertentu. 

Kehadiran Richard dan keluarga diterima baik oleh MaryAnne. Malah, MaryAnne sangat tertarik hati dengan Jenna, anak kecil pasangan ini yang berumur 4 tahun. 

MaryAnne gemar bercerita kepada Jenna. Dan cerita kegemarannya adalah kisah-kisah klasik musim Christmas. 

Pada suatu hari, Richard dan Keri terjumpa Christmas Box di dalam salah satu bilik di mansion tersebut. Didalam Christmas Box tersebut mengandungi beberapa dokumen dan surat yang ditulis oleh MaryAnne. Namun, mereka tidak jumpa siapakah nama penerima surat tersebut. Luahan rasa yang ditulis oleh MaryAnne sangat menyayat hati dan ia menimbulkan misteri kepada siapakah surat-surat tersebut ditujukan.

Oleh kerana perniagaan Richard semakin berkembang, maka Richard banyak menghabiskan masa di luar rumah. Rutin kesibukan Richard disedari oleh MaryAnne dan pada suatu hari, MaryAnne mengajukan soalan, "Apakah hadiah Christmas yang pertama?"

Soalan tersebut tidak dapat dijawab oleh Richard dan ia menimbulkan kemarahan MaryAnne. Dan sejak itu, tingkahlaku MaryAnne mula berubah. Beliau kerap keluar dan hanya pulang ketika waktu malam. Pulang dalam keadaan letih dan seperti baru lepas menangis. 

Sehiggalah pada suatu hari, MaryAnne jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital. Di sana, sedikit demi sedikit, rahsia hidup MaryAnne mula diketahui oleh Richard dan Keri. Dan Richard juga mula mendapat jawapan kepada soalan yang diajukan oleh MaryAnne padanya. 

Buku ini Patung Beruang amik masa lebih kurang sehari saja untuk habiskan pembacaannya. Mungkin dengan gaya bahasa Richard yang santai, dan jalan cerita yang mengisahkan kehidupan sebuah keluarga kecil di tengah bandar. 

MaryAnne digambarkan sebagai seorang wanita tua yang kaya dan bijaksana, yang kehilangan separuh hidupnya tatkala anak tunggalnya meninggal dunia di usia yang sangat muda, dan kehilangan baki separuh hidupnya apabila suaminya pula meninggal. Tetapi MaryAnne terus tabah dan hidupnya sentiasa dikelilingi insan-insan yang baik dan prihatin termasuklah jiran sekeliling. Kehadiran keluarga Richard membuatkan MaryAnne merasa beliau mempunyai keluarga semula. Dan oleh itu, MaryAnne berusaha keras untuk memastikan Richard sentiasa menghargai insan-insan yang ada disekelilingnya.

Membaca The Christmas Box seolah-olah membawa kita kepada kegembiraan hidup dikelilingi keluarga, pentingnya menghargai kasih sayang keluarga yang tidak berbelah bahagi selagi mereka masih ada...  

Saturday, February 21, 2015

Book Review: A Step of Faith

Tajuk: A Step of Faith

Penulis: Richard Paul Evans

Sinopsis Novel:
A Step of Faith (ASOF) mengisahkan Alan Christoffersen (Alan) yang kematian isterinya, McKale setahun yang lepas. Memburukkan lagi keadaan, Alan dikhianati oleh business partner nya, Kyle Craig sehingga menyebabkan Alan kehilangan advertising firm yang dibinanya sejak bertahun dahulu. Rumahnya pula dirampas bank akibat kegagalan membayar pinjaman. 

Bagi melupakan segala kenangan pahitnya, Alan nekad untuk berjalan kaki merentasi Amerika. Dia bermula dari Seattle, Washington hingga ke titik paling jauh yang terdapat didalam peta, iaitu Key West, Florida yang jaraknya adalah 3,500 batu. 

Didalam pengembaraannya, Alan terpaksa berhenti di St. Louis kerana didignosis dengan ketumbuhan otak peringkat awal. Penyakitnya itu mendapat perhatian ayahnya, Mr. Christoffersen, seorang akauntan profesional, Falene, orang kanannya ketika Alan masih memiliki firmnya dan juga Nicole, gadis yang dikenalinya ketika pengembaraannya dan sekarang merangkap juga sebagai client kepada Mr. Christoffersen. 

Bagi mendapatkan rawatan yang terbaik, Alan berpindah ke Los Angeles, menetap di rumah ayahnya dan berulang-alik ke hospital bagi bertemu doktor pakar di UCLA. Disana, Alan menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan di otaknya dengan jayanya. Dan bermulalah proses pemulihan Alan dengan dijaga rapi oleh ayahnya dan Nicole. 

Setelah beberapa minggu dan mendapatkan pandangan dari doktor pakar, Alan nekad untuk menyambung semula pengembaraannya bermula dari St. Louis, walaupun ia ditentang kuat oleh Mr. Christoffersen. 

Pengembaraan kali ini memberi Alan banyak pengalaman baru seperti berdepan dengan pemanggil palsu. Insiden ini berlaku ketika Alan sedang beratur di kaunter bayaran di Walmart. Seorang wanita dihadapannya tiba-tiba rebah ke lantai tetapi tiada seoarang pun yang berusaha untuk menolongnya kecuali Alan. Akhirnya barulah diketahui bahawa pelanggan tersebut gemar berpura-pura kena serangan jantung dan seterusnya membuat panggilan palsu ke hospital. Nampak seperti simple dan tiada kesalahan yang besar, tetapi panggilan palsu yang dibuat wanita tersebut pernah mengakibatkan seorang pesakit yang memang kronik, meninggal dunia kerana ambulan yang sepatutnya menuju ke destinasi pesakit tersebut, tersekat di Walmart akibat perbuatannya. 

Alan juga berdepan dengan ribut puting beliung buat pertama kalinya dalam hidupnya. Kejadian berlaku di Jackson city dimana ketika itu Alan sedang berjalan di lebuhraya, dengan hujan yang lebat dan tiba-tiba kedengaran bunyi siren yang aneh baginya. Nasibnya baik kerana terdapat jambatan di hadapannya, dan Alan lantas bersembunyi dibawah jambatan tersebut. Disana, Alan diselamatkan oleh Paige dan mereka menuju ke pusat penempatan bencana di Drury Inn & Suites sementara menunggu puting beliung tersebut reda.

Berjalan ke daerah-daerah dan bandar-bandar yang tidak pernah dikunjungi membuatkan Alan tersedar ada tempat-tempat yang dilawatinya mempunyai papan tanda yang menarik perhatian dan adakalanya melucukan, diletakkan di tepi jalan seperti "Walmart is not the only saving place." , "Yes, our A/C is out. But, there's no A/C in hell either!", "There are some questions that can't be answered by Google." dan banyak lagi. 

Selain itu Alan juga bertemu dengan golongan ajaran sesat yang ekstrim ketika menuju ke Alabama. Ajaran tersebut diketuai oleh Master El dimana semua pengikutnya mempunyai nama yang ditambah dengan perkataan "El" dibelakangnya. Master El mempunyai pengikut yang taksub sehingga ke tahap melutut dan mencium kakinya setiap kali mereka selesai menjalankan tugas yang diberikan. Markas mereka pula dikawal ketat seperti kawasan penjara. Dan mereka tidak dibenarkan untuk bercakap dengan sesiapa sahaja yang bukan dari golongan pengikut Master El.

Bagaimanapun, pengembaraan Alan berubah warna apabila pada suatu hari beliau menerima panggilan dari Nicole yang memintanya untuk pulang dengan segera. Mengapa Nicole membuat permintaan sedemikian? Dan adakah Alan akan terus pulang ataupun nekad untuk meneruskan perjalanannya sehingga sampai ke destinasi yang dituju?

Menariknya Novel Ini:
ASOF adalah novel pertama karya Richard Paul Evans yang Patung Beruang miliki. Rupanya, ASOF ini adalah novel ke-4 dalam The Walk series yang kesemuanya berjumlah 22 buah novel. 

Richard berjaya menarik perhatian Patung Beruang untuk membaca ASOF ini semenjak bab pertama lagi. Bayangkanlah, pegang-pegang je novel ini dari muka surat pertama, tanpa disedari Patung Beruang terus terlajak sampai ke bab ke-4. 

Novel yang simple, penuh dengan kejutan dan dibuat dalam bentuk diary ini benar-benar mengujakan Patung Beruang untuk mengikuti pengembaraan Alan dan melihat sama ada Alan akan berjaya atau tidak menamatkan pengembaraannya. Richard berjaya memberi emosi kepada pembaca dimana ada ketikanya kita teruja dengan apa yang dihadapi oleh Alan sepanjang pengembaraanya. Tetapi, ada masanya kita terasa sedih dan keseorangan seperti Alan terutama apabila Alan sampai ke tempat-tempat yang pernah meninggalkan kenangan manisnya bersama McKale. Restoran tempat mereka menyambut ulang tahun yang pertama dan Motel yang penuh dengan citarasa unik dan bersejarah seperti yang diidamkan McKale. 

Kesimpulannya, Richard Paul Evans ini berjaya masuk ke dalam senarai penulis yang digemari Patung Beruang sebaris dengan Tony Parsons dan Jeffrey Archer. Lepas ini, Patung Beruang kenalah berusaha untuk melengkapkan koleksi 22 novel dari The Walk series bagi mengenali Alan dengan lebih dekat dan juga untuk melihat bagaimanakah kesudahannya perjalanan Alan ini. 

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi, Bunny and Dak Yot...