Tajuk: A Step of Faith
Penulis: Richard Paul Evans
Sinopsis Novel:
A Step of Faith (ASOF) mengisahkan Alan Christoffersen (Alan) yang kematian isterinya, McKale setahun yang lepas. Memburukkan lagi keadaan, Alan dikhianati oleh business partner nya, Kyle Craig sehingga menyebabkan Alan kehilangan advertising firm yang dibinanya sejak bertahun dahulu. Rumahnya pula dirampas bank akibat kegagalan membayar pinjaman.
Bagi melupakan segala kenangan pahitnya, Alan nekad untuk berjalan kaki merentasi Amerika. Dia bermula dari Seattle, Washington hingga ke titik paling jauh yang terdapat didalam peta, iaitu Key West, Florida yang jaraknya adalah 3,500 batu.
Didalam pengembaraannya, Alan terpaksa berhenti di St. Louis kerana didignosis dengan ketumbuhan otak peringkat awal. Penyakitnya itu mendapat perhatian ayahnya, Mr. Christoffersen, seorang akauntan profesional, Falene, orang kanannya ketika Alan masih memiliki firmnya dan juga Nicole, gadis yang dikenalinya ketika pengembaraannya dan sekarang merangkap juga sebagai client kepada Mr. Christoffersen.
Bagi mendapatkan rawatan yang terbaik, Alan berpindah ke Los Angeles, menetap di rumah ayahnya dan berulang-alik ke hospital bagi bertemu doktor pakar di UCLA. Disana, Alan menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan di otaknya dengan jayanya. Dan bermulalah proses pemulihan Alan dengan dijaga rapi oleh ayahnya dan Nicole.
Setelah beberapa minggu dan mendapatkan pandangan dari doktor pakar, Alan nekad untuk menyambung semula pengembaraannya bermula dari St. Louis, walaupun ia ditentang kuat oleh Mr. Christoffersen.
Pengembaraan kali ini memberi Alan banyak pengalaman baru seperti berdepan dengan pemanggil palsu. Insiden ini berlaku ketika Alan sedang beratur di kaunter bayaran di Walmart. Seorang wanita dihadapannya tiba-tiba rebah ke lantai tetapi tiada seoarang pun yang berusaha untuk menolongnya kecuali Alan. Akhirnya barulah diketahui bahawa pelanggan tersebut gemar berpura-pura kena serangan jantung dan seterusnya membuat panggilan palsu ke hospital. Nampak seperti simple dan tiada kesalahan yang besar, tetapi panggilan palsu yang dibuat wanita tersebut pernah mengakibatkan seorang pesakit yang memang kronik, meninggal dunia kerana ambulan yang sepatutnya menuju ke destinasi pesakit tersebut, tersekat di Walmart akibat perbuatannya.
Alan juga berdepan dengan ribut puting beliung buat pertama kalinya dalam hidupnya. Kejadian berlaku di Jackson city dimana ketika itu Alan sedang berjalan di lebuhraya, dengan hujan yang lebat dan tiba-tiba kedengaran bunyi siren yang aneh baginya. Nasibnya baik kerana terdapat jambatan di hadapannya, dan Alan lantas bersembunyi dibawah jambatan tersebut. Disana, Alan diselamatkan oleh Paige dan mereka menuju ke pusat penempatan bencana di Drury Inn & Suites sementara menunggu puting beliung tersebut reda.
Berjalan ke daerah-daerah dan bandar-bandar yang tidak pernah dikunjungi membuatkan Alan tersedar ada tempat-tempat yang dilawatinya mempunyai papan tanda yang menarik perhatian dan adakalanya melucukan, diletakkan di tepi jalan seperti "Walmart is not the only saving place." , "Yes, our A/C is out. But, there's no A/C in hell either!", "There are some questions that can't be answered by Google." dan banyak lagi.
Selain itu Alan juga bertemu dengan golongan ajaran sesat yang ekstrim ketika menuju ke Alabama. Ajaran tersebut diketuai oleh Master El dimana semua pengikutnya mempunyai nama yang ditambah dengan perkataan "El" dibelakangnya. Master El mempunyai pengikut yang taksub sehingga ke tahap melutut dan mencium kakinya setiap kali mereka selesai menjalankan tugas yang diberikan. Markas mereka pula dikawal ketat seperti kawasan penjara. Dan mereka tidak dibenarkan untuk bercakap dengan sesiapa sahaja yang bukan dari golongan pengikut Master El.
Bagaimanapun, pengembaraan Alan berubah warna apabila pada suatu hari beliau menerima panggilan dari Nicole yang memintanya untuk pulang dengan segera. Mengapa Nicole membuat permintaan sedemikian? Dan adakah Alan akan terus pulang ataupun nekad untuk meneruskan perjalanannya sehingga sampai ke destinasi yang dituju?
Menariknya Novel Ini:
ASOF adalah novel pertama karya Richard Paul Evans yang Patung Beruang miliki. Rupanya, ASOF ini adalah novel ke-4 dalam The Walk series yang kesemuanya berjumlah 22 buah novel.
Richard berjaya menarik perhatian Patung Beruang untuk membaca ASOF ini semenjak bab pertama lagi. Bayangkanlah, pegang-pegang je novel ini dari muka surat pertama, tanpa disedari Patung Beruang terus terlajak sampai ke bab ke-4.
Novel yang simple, penuh dengan kejutan dan dibuat dalam bentuk diary ini benar-benar mengujakan Patung Beruang untuk mengikuti pengembaraan Alan dan melihat sama ada Alan akan berjaya atau tidak menamatkan pengembaraannya. Richard berjaya memberi emosi kepada pembaca dimana ada ketikanya kita teruja dengan apa yang dihadapi oleh Alan sepanjang pengembaraanya. Tetapi, ada masanya kita terasa sedih dan keseorangan seperti Alan terutama apabila Alan sampai ke tempat-tempat yang pernah meninggalkan kenangan manisnya bersama McKale. Restoran tempat mereka menyambut ulang tahun yang pertama dan Motel yang penuh dengan citarasa unik dan bersejarah seperti yang diidamkan McKale.
Kesimpulannya, Richard Paul Evans ini berjaya masuk ke dalam senarai penulis yang digemari Patung Beruang sebaris dengan Tony Parsons dan Jeffrey Archer. Lepas ini, Patung Beruang kenalah berusaha untuk melengkapkan koleksi 22 novel dari The Walk series bagi mengenali Alan dengan lebih dekat dan juga untuk melihat bagaimanakah kesudahannya perjalanan Alan ini.
No comments:
Post a Comment