Beberapa hari ini Patung Beruang agak sibuk sikit. Menguruskan beberapa perkara dan menyesuaikan diri dengan kehidupan baru di tempat baru.
Hari Selasa 24 Feb. 2015, Patung Beruang dapat berita baik dan berita yang ditunggu-tunggu. In shaa Allah, salah satu impian Patung Beruang akan tercapai dalam waktu terdekat ini. Syukur Alhamdulillah atas pertolongan dan rezeki dari Yang Maha Esa.
Dan seperti biasa, bila dapat perkhabaran gembira, orang pertama yang Patung Beruang akan bagitau adalah Ibu. Dasar anak manja (ayat yang selalu Ibu ungkapkan pada Patung Beruang) heheh...
Dalam kehidupan kita seharian, kita sering mendambakan perkara-perkara yang baik-baik sahaja. Keadaan yang indah-indah belaka. Cerita-cerita gembira semata-mata. Tetapi, hakikatnya ia tidak begitu. Dalam kita tertawa, pasti ada yang sedang berduka. Dalam kita menerima rezeki, ada pula yang sedang ditimpa ujian. Dalam kita menangis kegembiraan, ada yang sedang menangis, bukan kerana sedih, tetapi kerana sedang memohon kekuatan dari Yang Maha Berkuasa untuk menghadapi ujian yang diberikan.
Hari yang sama, seorang sifu merangkap sahabat Patung Beruang membawa perkhabaran yang memedihkan. Sahabat ini menyatakan seseorang yang dekat dengannya disahkan mengidap leukimia. Umur mereka sebaya, menuntut di universiti yang sama di Australia dan kemudian mereka sama-sama berkhidmat di Petronas setelah pulang ke Malaysia.
Patung Beruang tidak dapat bayangkan bagaimana perasaan mereka. Apabila diuji dengan ujian sebegini. Mereka masih MUDA. Ya, masih muda jika dibandingkan dengan purata umur umat Nabi Muhammad S.A.W iaitu antara 60-70 tahun.
Bak kata CIA Patung Beruang ketika di MMC dulu, "We are fragile". Yes, kita manusia ni kerdil, rapuh. Bila-bila masa sahaja Allah S.W.T boleh panggil kita untuk pulang. Tidak kiralah muda atau tua. Soalannya, adakah kita bersedia? Bersedia untuk pergi menemui-Nya? Dan juga bersedia untuk meneruskan kehidupan apabila insan yang terdekat dengan kita pergi menemui-Nya?
Patung Beruang teringat satu dialog dari filem Qadr. "Yang telah pergi, memanglah pergi. Tetapi, yang masih hidup ini, kenalah teruskan kehidupan. Tetapi bagaimana? " Kalau tak silap Patung Beruang, dialog itu dituturkan oleh seorang ibu, yang anak gadisnya terlibat dalam kemalangan bas ekspress tersebut. Kemalangan itu mengorbankan beberapa nyawa. Anak gadisnya dapat diselamatkan tetapi wajahnya menjadi hodoh sehingga menyebabkan si gadis itu mengalami tekanan yang amat.
Beberapa bulan yang lepas, Patung Beruang kehilangan seorang ahli keluarga. Perginya tanpa diduga. Apabila menerima perkhabaran tersebut, Patung Beruang masih boleh bertenang sehinggalah beliau dikebumikan. Malam pertama selepas beliau dikebumikan, keesokkan paginya, ketika Patung Beruang terjaga dari tidur sebelum waktu subuh, tiba-tiba Patung Beruang terfikir;
"Bagaimanakah keadaan malam pertama beliau disana? Berseorangan tanpa ditemani insan-insan yang dicintai dan dikasihinya."
"Adakah beliau dapat tidur lena seperti malam-malam sebelumnya?"
"Takutkah beliau disana? Terang atau gelap-gelita kah disana? Ada haiwan berbisa ke atau ulat, cacing dan sebagainya?"
"Masih maniskah wajah dan senyuman beliau seperti yang Patung Beruang kenal selama ini?"
"Seadainya diberi peluang bercakap, masih lemah lembut kah tutur kata beliau seperti kebiasaannya?"
Ya Allah, Patung Beruang terbayang dengan jelas wajahnya ketika beliau masih hidup. Patung Beruang tidak tahu apakah yang ingin Allah S.W.T sampaikan. Yang pasti, gambaran wajahnya dan soalan-soalan diatas menyebabkan Patung Beruang kerap teringatkannya. Sejak detik itu, sampailah ke saat ini, setiap kali selepas solat, Patung Beruang akan titipkan hadiah buat beliau. Dengan harapan moga hadiah yang tidak seberapa ini, mampu menggembirakan beliau disana.
Bagaimana pula keadaan kita dibawah sana nanti? Adakah insan yang akan sudi memberi hadiah pada kita tanpa kenal erti jemu? Jika ada, alangkah beruntungnya kita kerana kita masih diingati walaupun sudah tidak berjasad. Tetapi jika sebaliknya, mungkin pemergian kita tidak ubah seperti gugurnya dedaun kering ke bumi. Tidak dipedulikan dan tidak meninggalkan kesan.
Jika kita pula yang ditinggalkan, bagaimana? HIDUP MESTI DITERUSKAN. Itulah ayat yang sering kita ungkapkan. Tetapi, ia tidak semudah itu.
Seorang isteri kehilangan suami tempat dia berpaut.
Seorang suami kehilangan isteri tempat dia meluahkan perasaan.
Seorang anak kehilangan ibu tempat dia bermanja atau kehilangan ayah tempat dia berguru.
Seorang kakak kehilangan adik, tempat dia bergurau senda.
Seorang adik kehilangan kakak tempat dia bertanya atau kehilangan abang tempat dia berlindung.
Seorang gadis kehilangan tunangnya yang dikagumi sejak beberapa lama.
Seorang jejaka kehilangan tunangnya yang dicintai sepenuh hati.Dan, disebabkan pemergian itu, kehidupan kita juga turut berubah. Kita sedar yang kita kena terus melangkah, setapak demi setapak, meniti hari-hari esok. Mungkin tidak cukup kuat tetapi Allah S.W.T. sentiasa ada untuk kita mengadu.
Ada masanya kita terjatuh atau tergelincir dan rasa sakit sangat. Tetapi, kita kena berusaha bangun sendiri kerana mungkin tiada lagi orang yang akan menghulurkan tangan untuk membantu kita bangun.
Akhirnya, kita semakin kuat dan semakin tabah. Dari melangkah perlahan-lahan, kita mula mampu berlari pecut kehadapan. Kita rasa berkeyakinan semula. Semangat kita untuk mengharungi hari-hari seterusnya mula membara dan kita sentiasa ada 1001 idea untuk mewarnai hari-hari kita agar lebih ceria. Tetapi........
Adakah kita masih mengingatinya di alam sana, atau mungkin kita sudah melupakannya???
Kita mungkin sedang bergembira apabila membaca artikel The Edge yang menyatakan saham Company XYZ yang kita miliki mungkin akan naik lagi harganya disebabkan kontrak yang baru diperolehi. Tetapi, dia dibawah sana mungkin sedang menangis dan mengharapkan kita menghadiahkan Surah Yassin buat menenangkannya.
No comments:
Post a Comment