Tajuk: The Forgotten Road
Penulis: Richard Paul Evans
Menariknya Naskah Ini:
Rupa-rupanya selepas The Walk Series, Richard Paul Evans ada mengeluarkan series terbaru yang jalan ceritanya ada iras-iras sedikit seperti The Walk Series.
Patung Beruang terjumpa naskah The Forgotten Road ini ketika sedang mencari Volume 1 dalam The Walk Series, yang bertajuk The Walk. Percayalah, setelah bertahun-tahun Patung Beruang selesai membaca Walking on Water iaitu Volume 5 dan terakhir dalam series tersebut, Patung Beruang masih lagi gagal untuk memiliki Volume 1. Sabar je lah, huhu..
The Forgotten Road ini adalah Volume ke-2 dalam The Broken Road series. Alhamdulillah, Patung Beruang sudah memiliki Volume 1 dan 3, cuma belum berkesempatan untuk membacanya saja. Volum 1 dan 3 itu Patung Beruang terpaksa beli direct dari London melalui Book Depository. Harganya agak mahal sikit berbanding Bookxcess dan buku-buku tersebut mengambil masa sebulan lebih untuk sampai ke tangan. Tidak mengapalah, asalkan Patung Beruang dapat memilikinya.
The Forgotten Road membawa pembaca kepada Charles (Gonzales) James, seorang lelaki berumur 34 tahun yang menetap di Chicago. Charles dikhabarkan meninggal dunia pada 3 May 2016 apabila pesawat The United Flight yang bernombor 227 yang dinaikinya, dilaporkan terhempas. Kejadian tersebut telah meragut nyawa kesemua penumpang dan anak kapal.
Charles adalah seorang selebriti, penceramah dan penulis yang terkenal di Amerika. Hidupnya penuh dengan kemewahan namun hatinya kosong. Charles baru saja bercerai dengan isterinya, Monica. Entah mengapa, kemewahan material yang ada tidak mampu mengukuhkan rasa cinta dan sayang pasangan ini.
Tatkala seluruh America membaca berita mengenai kematian Charles akibat nahas pesawat The United Flight, tiada siapa yang menyangka sebenarnya disaat-saat akhir, Charles gagal untuk menaiki pesawat tersebut. Dan kegagalan itu sebenarnya telah menyelamatkan nyawanya sendiri.
Charles membaca obituary dirinya yang disiarkan oleh akhabr The Chicago Sun Times. Sungguh pelik rasanya apabila membaca obituary diri sendiri. Tatkala melihat baris-baris ayat didalam obituary tersebut, Charles menyedari yang ia ditulis oleh pembantunya, Amanda.
Beberapa hari selepas itu, Charles menghadiri upacara kematiannya sendiri yang dianjurkan oleh Amanda di dewan sederhana, The Crystal Garden. Oleh kerana mayat nahas pesawat The United Flight berkecai dan sukar dikenalpasti, maka upacara kematian dijalankan hanya dengan ucapan dan jamuan ringan oleh para hadirin. Charles sengaja hadir ke upacara tersebut untuk melihat siapa hadirin yang ada. Jauh di sudut hatinya, Charles mengharapkan ramai ahli keluarganya dan kenalannya akan hadir ke upacara tersebut. Tentu sekali insan yang ditunggu-tunggu adalah Monica, bekas isterinya dan anak mereka.
Sedihnya, tidak sampai 6 orang hadir ke upacara tersebut. Malah, kelibat keluarga terdekatnya sendiri juga tidak kelihatan. Charles sangat kecewa dan mula tersedar yang selama ini dia tidak pernah peduli pada sesiapa pun melainkan harta dan kejayaannya sendiri. Maka, tidak hairanlah tiada siapa pun yang menangisi atau bersedih dengan kematiannya.
Pulang dari upacara tersebut, Charles nekad untuk mengembara dari Chicago ke California, melalui Route 66, hanya dengan berjalan kaki. Mengapa California? Kerana Monica sekarang menetap disana. Tujuan perjalanannya hanya satu, Charles ingin berjumpa Monica dan meminta agar diberi peluang sekali lagi untuk dia membuktikan cintanya kepada Monica dan bersatu semula sebagai pasangan suami isteri.
Namun, kembaranya di Route 66 tidak seindah disangka.
Charles berdepan dengan cuaca yang tidak menentu dan dirompak ketika sedang berehat di dalam khemah di tepi jalan. Rompakan itu menyebabkan semua wang ringgit, jam tangan dan peralatan elektroniknya hilang.
Sebatang kara, ketiadaan identiti pengenalan diri dan wang, memaksa Charles untuk berkerja sebagai buruh kasar bersama-sama pendatang asing/ haram dari Mexico. Pekerjaan yang dilakukan sangat melelahkan namun itu saja cara yang ada demi sesuap nasi. Dalam masa beberapa minggu, dari seorang lelaki yang terhormat, mempunyai harta dan reputasi yang hebat, Charles berubah menjadi pendatang di negara sendiri.
Dapatkah Charles keluar dari persekitaran yang menyeksakan itu dan menyambung perjalanannya di Route 66?
atau ...
Memang inilah kesudahan kehidupan Charles, seorang lelaki yang direkodkan sudah meninggal dunia, maka tiada apa lagi yang tinggal untuknya di bumi ini? ...
No comments:
Post a Comment