Penulis: Shahriman Jamalullayl
Menariknya Naskah Ini:
Naskah ini Patung Beruang selesaikan pembacaannya semalam, ketika sedang menunggu Mr 3 service. Alhamdulillah.
Patung Beruang mula membaca naskah ini pada hari Isnin, ketika mood membaca Patung Beruang sangat rendah. Selepas puas berfikir, Patung Beruang memilih naskah ini kerana naskah ini bercorak memoir yang kebiasaannya mempunyai laras bahasa yang mudah dan santai. Ternyata pilihan Patung Beruang ini adalah tepat kerana kisah yang dipaparkan sangat menarik sehingga sukar untuk Patung Beruang berhenti membacanya.
Aku, Buku & Kota Kaherah adalah coretan pengalaman peribadi penulis, seorang bibliophile yang pernah menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir pada tahun 1990-an.
Penulis bercerita bagaimana minat membaca beliau bermula ketika sekolah rendah, apabila pada suatu hari, ayahnya membelikan majalah Dewan Pelajar. Beliau rasa sangat teruja dengan isi kandungan majalah tersebut dan bermula dari situlah, beliau sanggup mengumpul wang belanja sekolah setiap hari demi membeli majalah yang diterbitkan sebulan sekali.
Di Mesir, penulis mula berjinak-jinak dengan buku-buku lama yang kebanyakkannya sudah tidak diterbitkan lagi. Oleh itu, menjadi kemestian untuk beliau menjelajah dari satu kedai ke satu kedai, walau di tepi jalan, atau di ceruk-ceruk lorong, demi mencari harta karun. Bagi beliau, bau-bau buku-buku lama dan debu-debu yang berterbangan itu seperti candu yang memberi 1001 kenikmatan yang tiada tandingan. Dan kerana minatnya itulah, beliau dikenali oleh peniaga-peniaga buku di Kota Kaherah yang rata-ratanya adalah orang tempatan.
Selain itu, beliau juga berkongsi pengalaman menghadiri Cairo International Book Fair yang boleh dianggap seperti syurga untuk bibliophiles. Pelbagai bahan bacaan samaada baharu atau lama, koleksi terpilih, koleksi kontroversi serta bahan bacaan yang diharamkan oleh pemerintah juga terdapat di sini. Selain itu, penulis juga berkongsi gelagat dan ragam pelik peniaga, pempamer dan pengunjung festival ini, tidak kira samaada penduduk tempatan ataupun orang luar.
Adat kehidupan sebagai seorang pelajar yang tidak mempunyai pendapatan tetap, masalah kewangan adalah sesuatu yang lazim. Tidak terkecuali juga dengan penulis. Patung Beruang terasa sebak apabila meneliti kisah beliau yang terpaksa menyambung pengajian sarjana di Malaysia, kerana ketiadaan biasiswa dan permohonan zakatnya juga ditolak dek kerana kerenah birokrasi. Sebelum pulang ke Malaysia, dengan wang ditangan yang semakin susut, penulis berusaha keras untuk membeli seberapa banyak buku, kitab dan majalah untuk dibawa pulang ke Malaysia, sebagai koleksi peribadi. Begitulah nekadnya seorang pencinta buku, yang sanggup mengutamakan bahan bacaan berbanding mengisi perutnya sendiri.
Secara kesuluruhannya, Aku, Buku & Kota Kaherah ini adalah buah tangan seorang pencinta buku kepada khalayak pencinta buku yang lain. Susunan ayat dan patah perkataan yang digunakan membuatkan seperti kita sedang mendengar beliau bercerita kisah suka-duka beliau secara lisan. Apabila sampai ke babak yang sedih, kita akan turut rasa sebak dan seperti memahami keperitan dan gejolak yang dihadapi penulis. Namun, apabila terserempak dengan babak yang lucu, kita akan tersenyum dan adegan lucu tersebut seolah-olah ternampak di hadapan mata.
Sebenarnya, Patung Beruang rasa kagum dengan kecintaan beliau terhadap buku-buku lama sehingga sanggup menyelam dalam ribuan buku-buku dan majalah lama demi mencari permata. Patung Beruang adalah spesis yang tidak tahan dengan habuk. Dan disebabkan itu juga, semua buku-buku Patung Beruang berbalut plastik agar mudah dibersihkan. Patung Beruang memang tidak mampu untuk masuk ke kedai-kedai buku lama kerana percayalah, dalam masa 5 minit saja, Patung Beruang akan mula bersin tanpa henti dan ia berakhir dengan selesema dan demam yang sangat menyeksakan, huhuhu....
Benarlah yang naskah ini memang ditujukan khas untuk semua pencinta buku. Menelitinya, kita akan rasa puas dengan apa yang dipaparkan.
Terima kasih penulis kerana sudi berkongsi pengalaman hidup ini dengan khalayak pembaca lain.....
No comments:
Post a Comment