Sunday, January 4, 2026

Book Review: Rumah Untuk Alie


Tajuk: Rumah Untuk Alie

Penulis: Lenn Liu

Penterjemah: Siti Nabilah Abu Supian

Cerita Patung Beruang:

Ini adalah buku pertama yang Patung Beruang selesaikan pembacaan untuk tahun 2026 ini, Alhamdulillah. 

Ketika tahun 2025, Patung Beruang berjaya membaca 25 buah buku cuma banyak lagi yang Patung Beruang tak sempat kongsikan review nya disini. Maafkan saya, huhuhu.. Insya-Allah, Patung Beruang cuba untuk update seberapa banyak yang boleh walaupun ia akan mengambil masa yang lama.. 

Untuk tahun 2026 pula, Patung Beruang target untuk baca paling kurang 15 buah buku. Kita cubalah ye sebab hari ini baru hari ke-3, ada lagi 362 hari nak tempuh. Kalau ikut plan, tahun ini akan lebih sibuk tapi there will always time for me to read.. Kalau tak sempat waktu siang, kita bacalah waktu malam. Kalau tak sempat waktu malam, kita bacalah waktu pagi. Kalau tak sempat weekdays, kita bacalah masa weekend. Bagi Patung Beruang, membaca itu satu terapi.. Bila dah pegang buku, rasa seperti diri ini tenggelam dalam dunia lain.. Seronoknya.. 

Naskah Rumah Untuk Alie ini Patung Beruang beli pada 26 December 2025 di Popular, Aeon Wangsa Maju. Ye, waktu tu hari Jumaat. On that day, selepas kerja Patung Beruang rasa macam nak duduk di cafe sebentar sambil habiskan buku Reasons to Stay Alive, tulisan Matt Haig. Makanya, Patung Beruang pergi ke Kenangan Coffee di Aeon Wangsa Maju. Alhamdulillah, secawan Matcha Strawberry tak habis lagi, tapi buku Matt Haig itu sudah selesai dibaca, hehe... 

Antara ketakutan seorang bibliophile adalah kehabisan bahan bacaan untuk dibaca. Patung Beruang pun tak terkecuali. Makanya, teruslah diri ini beredar dari Kenangan Coffee dan menuju ke Popular yang terletak di tingkat 2. Akhirnya, Patung Beruang beli 2 buah buku sedangkan di rumah ada banyakkkkkk lagi buku yang belum dibaca, malah ada tu, plastic pun tak buka lagi.. Haishhhh... Sabar je lah.. 


Menariknya Naskah Ini: 

Rumah Untuk Alie berkisar tentang Alie Ishala Samantha, gadis berusia 16 tahun. Pada awalnya, Alie hidup dalam keluarga yang penuh kasih sayang dan rumah yang sentiasa memeluknya. 

Alie adalah anak bongsu dalam keluarga elit Jdoraksa. Ayahnya seorang ahli perniagaan yang berjaya, Ibunya, Gianla seorang suri rumah. Alie mempunyai 4 orang abang, Sadipta, Rendra, Samuel dan Natta. 

Sebagai satu-satunya puteri dalam keluarga, ditambah dengan statusnya sebagai anak bongsu, Alie sentiasa dimanjakan keluarga. 

Namun, ketika Alie berusia 10 tahun, Ibunya meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya. Lebih tepat, Ibunya dilanggar kenderaan ketika hendak menyelamatkan Alie yang tiba-tiba meluru ke jalanraya. Alie dituduh menjadi penyebab kematian Ibunya, dan segala-galanya berubah dalam sekelip mata. 

Alie digelar "pembunuh" oleh Ayah dan 4 orang abangnya, malah mereka juga memulau, mendera fizikal dan mentalnya. 

Kehidupan Alie bagaikan neraka. Rumah yang sepatutnya menjadi tempat berlindung, malah menjadi tempat penyeksaannya. Adakah Alie telah membuat kesalahan? Itu bukan persoalannya kerana setiap patah perkataan yang keluar dari mulut Alie atau setiap tingkah-lakunya pasti akan dibalas dengan herdikan, makian, pukulan, tamparan dan tendangan bertubi-tubi dari lelaki-lelaki yang sepatutnya menjadi pelindung pada puteri kecil ini. 


Kini, setelah 6 tahun kematian Ibunya, Alie masih tinggal serumah dengan keluarganya. Parut luka fizikal dan mental akibat penderaan makin ketara. Malah, banyak kali Alie berdoa agar Tuhan ambil nyawanya kerana tidak tertanggung beban dijiwa. 

Disekolah, sifat Alie yang tidak banyak kerenah menyebabkan dirinya menjadi mangsa buli pelajar perempuan senior. Kemuncaknya, apabila mereka menghina mendiang Ibu Alie sebagai pelacur memandangkan Gianla asalnya adalah orang gaji di rumah keluarga Jdoraksa. Penghinaan itu menyebabkan Alie menjadi berang dan melawan pembulinya. Malangnya, insiden pergaduhan itu dirakam oleh salah seorang pembuli. Mereka turut mengedit rakaman tersebut untuk menunjukkan seolah-olah Alie adalah pembuli. 

Kesan dari insiden tersebut, Alie dipukul teruk oleh Ayahnya, dibaling pasu sehingga dahinya luka dan dihalau dari rumah. 

Alie yang kecewa kerana tiada seorang pun ahli keluarga yang mempercayai dirinya, keluar meninggalkan rumah dalam keadaan hujan lebat. Ketika sedang berteduh di sebuah perhentian bas, Alie diganggu oleh samseng sehingga membahayakan nyawanya...



Jujurnya, Patung Beruang mula membaca naskah ini ketika pukul 6 petang hari Sabtu, 3 January. Stop sebentar untuk Maghrib dan Isyak, dan sambung semula dalam pukul 9 lebih macam tu. And Patung Beruang memang nak sangat habiskan naskah ini pada malam ini juga sebab nak tahu apa kesudahannya.


Naskah ini terlalu sedih dan tensed. Rasa sesak dada ini. 

Patung Beruang baca sambil menangis teresak-esak sebab penderaan yang dialami oleh Alie teruk sangat lebih-lebih lagi jika Ayahnya sedang mabuk. Dia dipukul dan diteranjang tanpa belas kasihan. Ditarik rambut, kena hantuk kepala di dinding, dikurung dalam stor yang gelap. Sedangkan Alie tak buat salah pun. Hanya kerana pulang lewat dari sekolah kerana nak siapkan tugasan berkumpulan. Hanya kerana dia cuba membantu Mak Cik Inah, orang gaji, untuk bersihkan rumah. Hanya kerana dia kena berjalan kaki sejauh 5 km pulang dari sekolah, disebabkan tiada siapa pun yang sudi untuk menjemputnya sedangkan keluarga Jdoraksa ada pemandu peribadi,  ada kereta dan motorsikal lebih dari sebuah. Hanya kerana Alie dapat markah 80% dalam peperiksaan. 

Belum campur lagi dengan kata-kata pedas dari Ayahnya atau abang-abangnya seperti: 

"Carilah sendiri. Kau ini memang menyusahkan hidup."

"Ingat Lie, kalau bukan kerana kau, Ibu pasti masih ada sampai sekarang."

"Kenapa bukan kau saja yang mati? Kenapa Ibu perlu korbankan nyawanya untuk selamatkan adik tak guna macam kau?"

Yes, ahli keluarganya selalu minta Alie untuk pergi mati.. 

Dan Alie pula tak habis-habis meminta maaf.. 

Setiap kali dipukul dan diterajang, Alie hanya mampu cakap "Maaf Ayah".. "Maaf Abang" sambil menangis..

Terasa hati ini remuk sangat bila baca naskah ini..


Atau mungkin, suasana yang membuatkan Patung Beruang terlebih emosi??? Entahlah... 


Patung Beruang duduk membaca naskah ini di balconi condo. Dari balconi, boleh nampak b
ulan penuh, cantik sangat. See, nasib baik Patung Beruang tergerak hati untuk ambil gambar bulan.. 

Duduk membaca dengan tenang sambil ditemani lagu-lagu Afgan dari Spotify. Dah lah lagu-lagu galau, adoiiii...baca pula cerita sedih. Hm.. memang menangis je lah... hehehe.. 


Di muka surat pertama naskah ini, penerbit ada letakkan  trigger warning.. toxic family, harsh words, physical abuse, self-harm.. Memang patut pun ada warning ini.. Rasa trauma sekejap lepas habis baca naskah ini.. 


Bila diteliti semula, perilaku Ayah dan 4 orang Abang Alie menunjukkan yang mereka sangat terluka dengan kematian Ibu, tetapi dalam masa sama, mereka tidak dapat menerima takdir. Oleh itu, bagi melepaskan kelukaan dan kesedihan mereka,  beban kesalahan atas kematian Ibu diletakkan sepenuhnya pada Alie seorang. Mereka terlupa yang Alie juga turut terluka dan bersedih dengan kematian Ibu. Malah.. segala cercaan, kejian, makian dan penderaan terhadap Alie ibarat menambah luka baru pada gadis kecil itu sedangkan luka yang lama masih belum pulih.


Adakah naskah ini lebih sedih dari Please Look After Mother

Susah Patung Beruang nak cakap.. dua kisah yang berbeza, dua generasi yang berbeza, dua latar belakang budaya yang berbeza. Tapi.. persamaannya adalah, ahli keluarga yang terpinggir, yang tidak dihargai keberadaannya, dan segala luka dan keperitan mula terbongkar satu demi satu tatkala mereka melangkah pergi tanpa menoleh...

Endingnya?

Hm... Patung Beruang tak nak spoiler alert..

Cuma, ending Please Look After Mother lebih heart broken...huhuhu..


Baiklah.. sudah lewat sangat ini. Nampaknya Patung Beruang kena tidur sekarang kalau tak, susah nak bangun pukul 5 pagi esok.. Teddy bears (Dak Yot dan Bunny) diatas katil tu dah lama menunggu.. 

 Naskah pertama di tahun baru yang memakan banyak air mata...  

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi, Bunny and Dak Yot...