Selamat Tahun Baru, Patung Beruang!!!
Awal tahun 2026 ini, aku datang dengan hati yang tidak lagi tergesa-gesa. Diri ini membawa cerita yang pernah melukakan, tetapi juga pelajaran yang menguatkan.
2025 meninggalkan banyak kesan dalam hidup ini - tidak semuanya indah, tetapi semuanya membentuk siapa Ilyana Bustan hari ini.
Kehilangan Yang Mengubah Segalanya...
18 April 2025, Ayah pergi meninggalkan kami. Hanya 38 hari selepas disahkan mengidap kanser hati. Segalanya berlaku terlalu cepat, seolah-olah aku belum sempat benar-benar bersedia.
Pemergian Ayah memberi kesan yang sangat mendalam. Redha dengan ketentuan Allah, namun dalam masa yang sama aku sedang belajar untuk berdamai dengan takdir.
Ada hari, diri ini kuat. Ada hari pula, terasa kosong. Dan aku belajar bahawa redha bukan bermaksud tidak merasa sakit - tetapi menerima sambil terus melangkah.
Melepaskan 2025 Dengan Rela Hati...
Tahun 2025 hadir dengan ujian yang berat.
Kesedihan, kehilangan, keletihan emosi - semuanya aku lalui satu persatu.
Memasuki 2026, aku sedar tidak semua perkara perlu aku bawa bersama. Ada luka yang aku lepaskan, bukan kerana aku lupa, tetapi kerana aku mahu hidup dengan hati yang lebih ringan.
Aku lepaskan 2025.
Bukan kerana ia tidak penting, tetapi kerana aku memilih untuk berdamai.
Kembali Kepada Tuhan...
Dalam proses berdamai ini, aku cuba memperbaiki hubunganku dengan Allah. Aku belajar untuk menyerahkan segalanya kepada-Nya, kerana aku yakin Allah sentiasa ada jalan cerita terbaik untuk aku. Walaupun aku belum memahaminya sekarang.
Ini fitrah seorang Muslim. Untuk sentiasa kembali kepada Penciptanya, walau dalam keadaan senang atau susah.
Seorang Muslim akan sentiasa diuji. Sama ada ujian yang menggembirakan atau yang menyakitkan. Dan ujian itulah yang membentuk keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah.
Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 155:
"Dan sungguh Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikan khabar gembira kepada orang-orang yang sabar."
Ujian itu janji Allah. Dan khabar gembira itu juga janji Allah - tetapi ia diberikan kepada mereka yang bersabar.
Sabar bukan duduk diam tanpa usaha.
Sabar adalah bekerja, berusaha, dan dalam masa yang sama meletakkan kebergantungan kepada Allah.
Aku teringat kata-kata Rumi:
"Patience is not sitting and waiting, it is foreseeing. It is looking at the thorn and seeing the rose, looking at the night and seeing the day. Lovers are patient and know that the moon needs time to become full."
Aku juga belajar tentang kesyukuran kerana diuji.
Kerana selagi Allah menguji, selagi itu aku masih diperhatikan dan dipedulikan oleh-Nya.
Walaupun diuji, masih terlalu banyak nikmat lain yang Allah berikan. Nafas. Kesihatan. Wang ringgit. Pekerjaan. Insan-insan yang menyokong. Dan peluang untuk terus belajar menjadi manusia yang lebih baik.
Allah mengingatkan kita dalam Surah Ar-Rahman:
"Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?"
Soalan itu berulang-ulang dalam satu Surah. Dan aku tahu, jawapannya adalah rasa syukur....
Tentang Janji dan Prinsip...
Di penghujung 2025, beberapa kenalan dan juga C-suite dari syarikat-syarikat lama menghubungiku. Mereka baru mengetahui tentang pemergian Ayah. Rata-ratanya menuturkan dialog yang hampir sama:
"Ily, I just heard about your loss. Condolences to you . Are you ok, Ily?"
"Be strong, Ily. We should hang out together sometimes. I missed talking to you."
"My dear Ily. God loves you so much so He tests you. Remember that ya."
Tapi.... ada satu panggilan telefon dari C-suite yang buat aku terkesima sebentar..
"Ily, my company is in the middle of M&A (merger & acquisition) and restructuring. I need you here. Name your price and I'll make sure you get it. I know how much you love the adrenaline of a big project, so let's recreate that magic together."
Well...
Tak dinafikan, aku memang seronok buat M&A, restructuring, pulihkan company-company yang sakit, restore shareholders and stakeholders confidence. Feel completely electrified. Kepuasannya lain dan tak mampu nak digambarkan.
Tapi...
Aku ada di Sapura ini demi menunaikan janji pada Khairel. Ini kali ke-3 Khairel berusaha untuk tarik aku kesini. Dan honestly, aku tak sanggup untuk hampakan dia dalam keadaan dia sangat berharap. I truly treasure our 15 years of friendship.
Manusia berpegang pada janji. Itu prinsip aku. Plus, audit is always my 1st love.
Makanya....
I'm sorry sir. Thank you for the offer. But, I choose my friendship with Khairel and my 1st love over money....
Hari Pertama Kerja, 2026...
5 January 2026 : Hari pertama kerja di tahun ini. Hooray....
Pagi ini, ketika keretaku, Si Putih sampai di Basement 3 (B3), parking Menara PNB, aku disambut oleh Mimi. Seekor kucing yang setia menunggu disitu.
Mimi sudah cam Si Putih itu. Dan dia juga tahu parking lot yang mana, kerana aku memang suka parking Si Putih di lot yang sama setiap hari.
Pagi ini, Mimi menunggu wet food untuk sarapan. Alhamdulillah, ada beberapa paket wet food dalam handbag ini.
Di parking Menara PNB ini, ramai yang berkongsi rezeki dengan Mimi.
Staff Sapura, staff Prolintas, pakcik guard. Semuanya seronok memberi makan, seolah-olah Mimi adalah tanggungjawab bersama, hehehe...
Petang tadi, aku pulang lewat sedikit. Bila Mimi nampak aku dari jauh, dia sudah bising - mungkin marah kerana aku lambat.
Maafkan saya, Mimi.
Aku leka review dan restructure report sehingga tak sedar yang ofis GIA hampir kosong, cuma tinggal aku dan Khairel saja.
Bila check dalam handbag, ada lagi sepeket wetfood. Alhamdulillah..
Rezeki Mimi untuk dinner hari ini.
Bye Mimi...
Jumpa esok pagi, jika kita masih bernafas.. Insya-Allah..
Semangat Untuk 2026 ...
Aku tidak masuk ke 2026 dengan azam yang terlalu besar.
Cukuplah sekadar niat untuk menjadi Ilyana versi yang lebih baik - anak yang lebih baik, hamba Allah yang lebih baik, dan manusia yang lebih baik kepada sekeliling.
Aku mahu lebih menghargai kehidupan. Lebih menghargai insan-insan yang aku sayang. Kerana aku sedar, aku tidak tahu berapa lama Allah pinjamkan aku peluang untuk bernafas di bumi ini.
Aku melangkah ke 2026 dengan hati yang lebih perlahan.
Masih belajar. Masih memperbaiki diri.
Dan untuk Ayah -
Semoga tenang di Sana.
Insya-Allah, anak perempuan sulung Ayah ini akan sentiasa kirimkan doa, bacaan Al-Quran dan sedekah jariah sebagai teman setia Ayah di Sana.
Tanda sayang yang tak kan pernah terbahagi.
Tanda rindu yang tak kan pernah berpenghujung.
Aku (Patung Beruang, Ilyana Bustan, Ily, Yana) masih disini...
Masih bernafas.
Dan dengan izin Allah, 2026 ini, aku cuba lagi...


.jpg)

No comments:
Post a Comment