Tajuk : A Mother's Tears
Penulis: Soo Cham
Penterjemah: Maimunah Abdul Kadir
Menariknya Buku Ini:
Selamat Tahun Baru 2017. Untuk pengetahuan, ini adalah buku pertama yang Patung Beruang habiskan pembacaan pada tahun 2017 ini. Setakat 6hb ini, Patung Beruang sudah berjaya menghabiskan 3 buah buku termasuklah buku ini. In shaa Allah, Patung Beruang akan kongsikan satu persatu book review disini. Sabar lah ye..
A Mother's Tears membawa kita mengenali Sui Yin, seorang gadis berketurunan Cina tetapi beragama Islam. Ibu dan ayah Sui Yin adalah pasangan Cina yang berhijrah dari Tanah Besar Cina ke Semenanjung Tanah Melayu bagi mencari penempatan yang lebih baik disamping mengukuhkan ekonomi keluarga.
Sui Yin adalah anak bongsu. Mempunyai beberapa orang abang dan kakak diatasnya.
Ibu dan ayah Sui Yin diuji apabila 3 orang anak mereka yang pertama meninggal dunia semenjak kecil lagi. Ada yang meninggal dunia kerana sakit ada juga kerana kemalangan. Ini membuatkan mereka nekad untuk menghantar 2 orang anak perempuan yang terlahir kemudian, pulang dan membesar di Tanah Besar Cina.
Pada mulanya ibu dan ayah Sui Yin membuka perniagaan kedai runcit di perkampungan Melayu di Negeri Sembilan. Namun, perniagaan mereka tidak maju kerana sikap ayah yang suka berjudi. Hanya tinggal ibu sahaja (yang dipanggil Abu) menguruskan kedai runcit disamping bertani dan menternak haiwan seperti ayam dan itik secara kecil-kecilan. Kehidupan Sui Yin dan keluarga tidak mewah mana seperi kebiasaannya keluarga Cina yang lain. Kehidupan mereka sama sahaja seperti kehidupan masyarakat Melayu di kampung. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Disebabkan hidup dikelilingi masyarkat Melayu, keluarga Sui Yin sangat rapat dan memahami cara hidup Melayu. Dan akhirnya, 2 orang abang Sui Yin iaitu Ah Yong dan Ah Chin memeluk agama Islam dan seterusnya berkahwin dengan gadis Melayu.
Malang sekali walaupun Islam tidak pernah mengajar penganutnya memutuskan silaturrahim terutama sekali kepada ibu bapa, namun Ah Yong dan Ah Chin bertindak sebaliknya. Setelah memeluk Islam dan berkahwin, Ah Yong dan Ah Chin seolah-olah seperti melupakan Abu dan Sui Yin. Mereka nekad untuk tidak pulang ke rumah walaupun pada Tahun Baru Cina. Maka, selama bertahun-tahun, Abu dan Sui Yin hanya meraikan Tahun Baru Cina berdua sahaja dan menangis bersama mengenangkan tiada ahli keluarga lelaki yang sudi untuk pulang ke rumah beraya.
Disebabkan Ah Yong dan Ah Chin seolah-olah melepaskan tanggungjawab sebagai anak lelaki, maka Sui Yin lah yang bertanggungjawab untuk menjaga Abu dalam keadaan beliau bekerja dengan pendapatan yang tidak seberapa dan tidak mempunyai kediaman yang selesa. Kemuncak daripada keperitan mereka adalah apabila Sui Yin terpaksa menghantar Abu ke rumah orang-orang tua bagi memastikan Abu memperolehi kehidupan yang lebih selesa dan selamat.
Dalam masa yang sama Abu asyik mendesak Sui Yin agar menghantarnya pulang ke Tanah Besar Cina. Semuanya gara-gara Abu merasakan yang anak-anak lelakinya sudah melupakannya, oleh itu, tiada gunanya Abu terus tinggal di Malaysia walaupun kehidupan di Malaysia lebih terjamin berbanding disana.
Dapatkah Sui Yin memenuhi permintaan Abu?
Apakah kesudahan kehidupan Abu, kematian suami dan ditinggalkan oleh anak-anak lelaki yang sepatutnya menjadi tulang belakangnya?
Menatap naskah A Mother's Tears membawa kita kepada isi hati seorang ibu yang rela berkorban apa sahaja demi membesarkan anak-anak namun tatkala usia semakin senja, kehidupannya sangat sunyi malah dibuang dan diketepikan pula oleh anak-anak. Benarlah kata pepatah, seorang ibu boleh menjaga 10 orang anak namun 10 orang anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu.
Patung Beruang paling terkesan dengan babak apabila Abu dihantar ke rumah orang-orang tua. Peristiwa tersebut bukan sahaja mengecewakan Abu namun juga mengecewakan Sui Yin.
Sebagai anak bongsu dan anak perempuan pula, pembaca akan dapat meneliti betapa kecewanya Sui Yin terhadap kedua-dua abangnya, Ah Yong dan Ah Chin yang memutuskan kasih sayang dan tanggungjawab mereka terhadap Abu hanya dengan alasan mereka telah memeluk agama Islam. Walaupun akhirnya, Sui Yin juga memeluk agama Islam dan menukar namanya kepada Sakura, Sui Yin menyedari yang beliau tetap mempunyai tanggungjawab terhadap Abu. Dan atas rasa tanggungjawab itu lah, Sui Yin melakukan apa sahaja untuk membahagiakan Abu walau dirinya sendiri terseksa.
Sikap Ah Yong dan Ah Chin itu sekaligus menyebabkan Abu merasakan yang Islam itu adalah agama yang kejam kerana memisahkan kasih sayang antara anak dan ibunya. Dan tidak hairanlah, persepsi tersebut masih lagi wujud pada masa sekarang, dialam nyata oleh mereka yang bukan Islam, kerana masih lagi terdapat individu yang bersikap seperti Ah Yong dan Ah Chin. Islam itu tidak salah. Tetapi penganutnya yang salah laku.
Banyak emosi didalam naskah ini. Dan sebab itulah tajuknya A Mother's Tears. Kiranya, sangat berbaloi Patung Beruang memilih buku ini sebagai buku pertama yang dibaca untuk tahun baru ini. Naskah yang sangat berpijak dibumi nyata.
No comments:
Post a Comment