Penulis: Ibnu Ahmad Al-Kurauwi
Menariknya Buku Ini:
Baiklah, seperti yang dijanjikan, ini adalah buku ke-3 yang Patung Beruang sudahkan pembacaannya pada tahun 2017 ini. Alhamdulillah..
Naskah Namaku Bukan Maria membawa kita mengenali Maria Hertogh ataupun Natrah, seorang anak Belanda yang kini menjadi anak angkat kepada Che Aminah dan menetap di Kemaman, Terengganu.
Pada asalnya, Natrah menetap di Bandung, Indonesia bersama-sama dengan keluarga kandungnya. Pada masa itu, Indonesia sedang berperang dan askar Jepun seringkali menggeledah mencari rakyat Belanda untuk dikorbankan.
Keluarga kandung Natrah berjiran dengan Che Aminah. Dan Che Aminah banyak membantu mereka dari segi kewangan, makanan serta perlindungan. Memandangkan Che Aminah bertugas sebagai penterjemah di Atase Jepun, maka beliau mempunyai kedudukan yang tinggi di mata askar Jepun. Dan ia banyak membantu dalam usahanya untuk melindungi Natrah sekeluarga.
Semenjak kecil Natrah rapat dengan Che Aminah yang tidak mempunyai anak. Kasih sayang yang tidak berbelah bahagi menyebabkan Che Aminah nekad untuk menjadikan Natrah sebagai anak angkatnya secara sah dan mempunyai semua dokumen yang diperlukan.
Setelah urusan kerja dan perniagaannya di Bandung selesai, Che Aminah membawa pulang Natrah ke Kemaman, Terengganu untuk menetap disana. Natrah bukanlah anak angkatnya yang pertama. Sebelum ini Che Aminah telah mengambil Kamariah, seorang anak Jepun sebagai anak angkatnya. Dan kini Kamariah telah dewasa, berkahwin dengan lelaki Melayu, mempunyai anak dan menetap terus di Kemaman, berhampiran dengan rumah Che Aminah.
Kedatangan Natrah ke Kemaman menarik perhatian masyarakat tempatan. Semuanya hairan bagaimana seorang anak Belanda boleh tercampak ke kawasan kampung. Lumrah manusia dimana hati mereka berbeza-beza, kedatangan Natrah disambut baik namun ada juga yang mengeji dan meragui tentang niat sebenar kehadiran Natrah itu.
Natrah diberi pendidikan secukupnya samaada ilmu dunia dan juga akhirat. Otaknya yang cerdas membuatkan Natrah cepat menangkap segala yang dipelajarinya di sekolah juga di madrasah. Prestasi yang cemerlang, akhlak yang baik dan taat beribadah membuatkan Natrah sentiasa disayangi oleh para guru dan rakan-rakannya.
Dalam masa yang sama, Natrah diintai oleh dua jejaka yang berbeza perwatakan namun mempunyai kelebihan yang tersendiri. Abdul Ghaffar atau dipanggil Bilal Muda adalah abang kepada kawan baik Natrah iaitu Mek Amah. Abdul Ghaffar datang dari keturunan yang baik-baik, lengkap ilmu agamanya dan sering diberi kepercayaan oleh Tok Guru untuk memimpin bacaan tahlil atau solat samaada sunat atau fardhu. Abdul Rahman pula adalah pemuda tampan yang mempunyai bakat lukisan yang sangat hebat. Ilmu agamanya sangat kurang dek kerana keegoan ayahnya, Pak Akob yang merasakan agama itu tidak penting didalam kehidupan seharian. Ibadah yang diwajibkan kepada orang Islam tidak pernah dilakukan oleh dua beranak ini.
Namun ketenangan hidup Natrah di Kemaman akhirnya diuji apabila pembesar Inggeris yang baru dilantik, Arthur Lock menyedari kewujudannya. Termakan dengan hasutan Pak Akob, Arthur Lock nekad untuk memisahkan Natrah dari Che Aminah dan seterusnya menghantarnya pulang ke Belanda.
Berjayakah cita-cita Arthur Lock itu?
Atau mungkinkah jodoh Natrah dan Che Aminah masih panjang?
Naskah Namaku Bukan Maria ini agak menarik kerana ia menonjolkan sisi lain watak Natrah yang terkenal pada suatu masa dahulu. Kisah nyata yang berlaku di Singapura. Dalam naskah ini pembaca dibawa kepada kehidupan Natrah di Kemaman, cabaran yang dihadapinya terutama apabila berdepan dengan persepsi negatif masyarakat Melayu disana.
Turut diceritakan betapa tabahnya Natrah dalam berusaha menjadi Muslim yang baik dan dalam masa yang sama cuba sedaya-upaya untuk melupakan identiti Maria Hertogh yang dipegangnya semenjak lahir. Baginya, Natrah dan Maria adalah 2 orang yang berbeza. Dan kini, Maria tidak lagi wujud, hanya Natrah sahaja.
Patung Beruang suka dengan perincian kehidupan di kampung pada zaman itu yang ditonjolkan oleh penulis. Bersekolah pada waktu siang, dan belajar mengaji pada waktu malam di Madrasah. Seterusnya belajar dan berlatih silat bersama guru silat dan rakan-rakan sekampung. Dikelilingi sungai, laut serta kehijauan yang masih belum tercemar. Batasan pergaulan antara lelaki dan wanita yang sangat terjaga. Semuanya seolah-olah membawa pembaca kembali ke masa lampau. Naskah yang sangat menarik untuk ditatap...
No comments:
Post a Comment