Penulis: Jeffrey Archer
Ceritanya Patung Beruang:
Ini adalah karya Archer yang terbaru yang berjaya Patung Beruang selesaikan pembacaannya. Basically, Patung Beruang ambil masa sebulan lebih untuk habiskan novel ini. Bukannya sebab tak menarik tapi kekangan masa yang ada.
Masa itu, Patung Beruang sedang bergelut untuk menghabiskan saki baki kerja-kerja di ofis lama. Dalam masa yang sama, sedang berusaha cari mood untuk berhijrah ke tempat baru. Bila dah berhijrah pula, Patung Beruang bergelut untuk suaikan diri di tempat baru, biasakan diri dengan tugas-tugas disana. Jadi, masa untuk membaca sangatlah terhad. Weekend pula, dah beberapa minggu berturut-turut Patung Beruang pulang ke kampung. Bila dah sampai kampung, alamatnya buku ini memang simpan kemas lah dalam beg, tak keluar-keluar.
Alhamdulillah, beberapa minggu lepas, sebelum ikut ibu dan ayah keluar pergi beli makanan untuk juadah berbuka, Patung Beruang dapat duduk sekejap dan habiskan novel ini. Finally..... hehe..
Sinopsis Novel Ini:
Captain Adam Scott adalah ahli skuad elit tentera British. Adam baru kematian ayah, Colonel Gerard Scott. Semasa upacara pembacaan wasiat, Adam menyedari yang ayahnya mewariskan satu sampul surat yang tidak diketahui isi kandungannya.
Setelah beberapa ketika, tidak tahan dengan naluri ingin tahu yang membuak-buak, Adam nekad untuk membuka sampul suratnya. Didalamnya terkandung sepucuk surat yang ditulis didalam bahasa German. Ternyata isi kandungan surat tersebut amat memeranjatkan Adam kerana ia menunjukkan yang Adam adalah pemilik kepada Tsar's Icon, secara sah mengikut undang-undang.
Namun, persoalannya sekarang, apakah itu Tsar's Icon?
Dan dimana perlu Adam menemui Tsar's Icon kerana ternyata Icon tersebut bukan berada di Britain pada masa itu?
Apa sebenarnya kaitan Tsar's Icon dengan keluarga Adam?
Dalam masa yang sama, di Moscow, pasukan KGB Russia sedang menjalankan operasi mencari khazanah negara mereka atau lebih dikenali sebagai Tsar's Icon, yang telah hilang bertahun-tahun lamanya. Kini, tugas utama untuk membawa pulang khazanah tersebut diserahkan kepada Alexandar Petrovich Romanov, antara ahli KGB yang paling handal pada masa itu.
Romanov sebenarnya lahir dari keturunan hartawan. Moyangnya dikenali sebagai hartawan dan pemilik tanah yang paling kaya di Petrograd. Namun, ayah Romanov tidak berpeluang untuk menikmati kekayaan keluarganya kerana beliau telah dipenjarakan akibat enggan menyertai parti Komunis. Dan kini, dokumen-dokumen penting berkenaan pemilikan harta serta harta fizikal seperti emas dan batu permata kepunyaan keluarganya disimpan di Bank Bischoff et Cie, Swiss, tanpa diketahui oleh Romanov sendiri.
Setelah beberapa penyelidikan dijalankan oleh KGB, akhirnya mereka membuat kesimpulan yang terdapat beberapa bank di luar Rusia yang berkemungkinan besar sedang menyimpan Tsar's Icon. Oleh itu, Romanov dan Petrova, seorang gadis muda yang juga penyelidik terkemuka KGB, bersetuju untuk membuat lawatan ke bank-bank tersebut. Mereka memutuskan untuk terbang ke Swis dan memulakan langkah dengan Bank Bischoff et Cie.
Kedatangan Romanov ke Bank Bischoff et Cie telah lama ditunggu oleh pemilik bank tersebut iaitu keluarga Bischoff. Ini adalah kerana mereka menyimpan amanah untuk mewariskan isi kandungan yang telah lama tersimpan didalam 5 buah peti simpanan di bilik kebal mereka kepada Romanov.
Apakah isi kandungan 5 buah peti tersebut?
Memandangkan Romanov sebenarnya adalah dari golongan bangsawan, adakah KGB akan mengesyaki yang Romanov sebenarnya bukanlah berjuang untuk KGB atau Rusia, tetapi lebih kepada kepentingan dirinya sendiri?
Kini Adam dan Romanov berlumba untuk mendapatkan Tsar's Icon. Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Kedua-duanya mempunyai tujuan yang berbeza. Satu demi maruah keluarga dan satu lagi demi maruah negara.
Karya Archer sangat sinonim dengan kejutan. Begitu juga didalam cerita ini. Kejutan datang silih berganti apabila perlumbaan antara Adam dan Romanov semakin sengit sehingga menyebabkan beberapa nyawa yang tidak berdosa, terkorban seperti Petrova dan beberapa orang lain yang tidak berkenaan. Konflik politik sesama negara, turut memburukkan keadaan apabila tanpa disedari perlumbaan ini bukan setakat melibatkan Adam dan Romanov, tetapi juga kerajaan Britain dan Rusia, serta tidak terkecuali Amerika. Tetapi, kenapa Amerika??
Sebab...
Pemilikan Tsar's Icon bakal mengubah keadaan sosio politik kuasa-kuasa besar dunia. Ini kerana terdapat satu dokumen sulit yang melibatkan perjanjian politik yang dipersetujui sekian lama dahulu. Dan dokumen sulit itu, tersimpan kemas didalam Tsar's Icon.
Kesimpulannya, novel ini mampu membuat pembaca tidak senang duduk terutama apabila detik-detik mencemaskan pemburuan Romanov keatas Adam. Seronoknya membaca novel ini kerana Archer berjaya membuatkan adrenalin kita konsisten laju dari mula sehingga habis novel ini.
Adakah ini kegemaran Patung Beruang dari koleksi Archer??
Hm..... bukan. Tangga teratas masih lagi dihuni oleh Not A Penny More Not A Penny Less dan diikuti dengan The Fourth Estate... :)
No comments:
Post a Comment