Tajuk: Hatimu Aisyah
Penulis: Zurinah Hassan
Sipnosis Novel Ini:
Hatimu Aisyah adalah buah tangan dari Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang berlangsung di MAEPS beberapa bulan lepas.
Novel ini menceritakan perjalanan hidup watak utama iaitu Aisyah dari seorang kanak-kanak perempuan, sehingga meningkat umur menjadi seorang anak gadis, seterusnya dilamar dan berkahwin, kehidupannya sebagai seorang isteri dan ibu dan seterusnya bagaimana beliau meniti hari-harinya sebagai seorang nenek, menghabiskan sisa-sisa hidupnya di muka bumi ini.
Aisyah adalah anak ke-2 didalam keluarga. Lahir didalam keluarga petani, kehidupannya dikampung tidaklah terlalu senang dan tidak juga terlalu susah. Mempunyai seorang abang, Ahmad, seorang adik perempuan, Lijah dan seorang adik lelaki, Dolah.
Kehidupan seharian Aisyah akan bermula tatkala menjelangnya waktu Subuh. Oleh kerana Aisyah adalah anak perempuan sulung didalam keluarga, beliau memikul tanggungjawab menjaga adik-adiknya tatkala ibu ayah mereka membanting tulang di bendang.
Seiring dengan usianya, semakin lama semakin besar tanggungjawab yang digalas oleh Aisyah. Beliau tidak bersekolah secara formal seperti kanak-kanak yang lain. Malah, pada masa itu, perkataan sekolah tidak pernah sampai ke telinga ibu bapanya dan juga orang-orang kampung. Oleh itu, menguruskan rumahtangga dan adik-adiknya dianggap sekolah bagi Aisyah.
Satu hari, rombongan meminang datang ke rumahnya membawa hajat dari sebuah keluarga dari pekan. Maka, bermula saat itu, Aisyah telah menjadi tunangan orang. Dan bermula saat itu juga, ibubapanya dan sanak-saudara mula membuat persiapan untuk majlis perkahwinan Aisyah.
Menjelang hari bersejarah, Aisyah pun dinikahkan dengan Ayub, dengan hantaran RM100. Dan bermulalah kehidupan mereka sebagai sepasang suami isteri.
Ayub nekad untuk belajar di kelas malam dan seterusnya menduduki peperiksaan bagi mendapatkan sijil. Ayub sedar yang kehidupan sebagai pesawah tidak menjanjikan pendapatan yang lumayan buat menyara keluarganya.
Rezeki Ayub dan Aisyah sekeluarga bertambah murah apabila Ayub berjaya menjawat jawatan guru Agama disekolah. Dan kehidupan mereka juga diserikan dengan 5 orang anak iaitu Jamilah, Rohani, Hamid, Latifah dan Aziz.
Kehidupan Aisyah bersama suami dan anak-anaknya sangat berbeza dengan kehidupannya ketika beliau kecil. Kesemua anak-anaknya berpeluang ke sekolah walaupun anak perempuan. Walaupun tindakannya dan Ayub menghantar anak perempuan ke sekolah ditentang keras oleh ibunya dan orang-orang tua dikampung itu, tetapi Aisyah sedar hanya pelajaran sahaja yang boleh menjamin kehidupan anak-anaknya dimasa depan.
Tetapi, adakah benar pandangan Aisyah itu?
Dapatkah Aisyah berdepan dengan gelombang kemodenan yang melanda keluarganya dan juga masyarakat Melayu pada masa itu?
Dapatkah Aisyah mengekalkan nilai-nilai murni kekeluargaan dalam masa yang sama mengikut arus kemodenan?
Menariknya Novel Ini:
Hatimu Aisyah adalah novel yang akan membawa pembaca menyelusuri perjalanan kehidupan Aisyah dan juga masyarakat Melayu pada zaman 1930-an dan seterusnya. Dimana bagaimana masyarakat Melayu masih menghuni dikampung-kampung dan menjadikan pertanian dan alam semulajadi sebagai sumber rezeki mereka.
Perkara yang menarik didalam novel ini adalah cara kehidupan dan adat tradisi yang dipaparkan secara detail sehingga seolah-olah kita yang membacanya ini turut berada dilokasi terbabit. Malah banyak adat tradisi yang mungkin tidak lagi diamalkan pada waktu ini seperti amalan bergotong-royong satu kampung tatkala adanya keramaian, adat mempersiapkan bakal pengantin, adat bersanding, mengandung, bersalin dan tatkala selepas kelahiran bayi.
Turut diselitkan juga bagaimana penerimaan masyarakat Melayu terhadap arus kemodenan. Bagaimana sukarnya sesebuah keluarga yang mempunyai anak perempuan. Untuk dihantar belajar ke sekolah, dianggap seperti perempuan murahan. Untuk dibiarkan duduk terperuk dirumah dan belajar hal-ehwal rumahtangga, dibimbang kelak kehidupannya susah kerana tidak berpelajaran. Tidak mampu bersaing dengan bangsa lain yang berlumba-lumba untuk meningkatkan sosio-ekonomi mereka.
Basically, novel yang sedap dan sangat sesuai untuk mereka yang ingin belajar adat dan budaya masyarakat Melayu yang kita tidak akan jumpa lagi pada waktu ini.
No comments:
Post a Comment