Showing posts with label Teme Abdullah. Show all posts
Showing posts with label Teme Abdullah. Show all posts

Friday, August 9, 2024

Book Review: Bayang Sofea

 


Tajuk: Bayang Sofea

Penulis: Teme Abdullah

Menariknya Naskah Ini: 

Naskah Bayang Sofea ini antara naskah terhangat pada tahun 2024. Naskah yang dilancarkan sebelum PBAKL 2024 telah menerima sambutan yang hangat sehingga pre-order yang dibuka habis ditempah dalam masa beberapa minit saja. 

Selain itu, seingat Patung Beruang ketika menghadiri PBAKL 2024, di gerai Iman Publication boleh dilihat pengunjung membeli naskah ini bertalu-talu sehingga adakalanya buku ini tidak sempat disusun di rak. Buka saja kotak, terus disambar pengunjung yang ada. Begitulah hangatnya naskah Teme yang terbaru ini. 

Untuk Patung Beruang pula, naskah ini dibeli di MPH beberapa minggu / bulan selepas tamatnya PBAKL 2024. Bila melihat sambutan yang hangat dan komen-komen positive dari rakan-rakan bibliophiles, teringin juga untuk memiliki dan menelitinya secepat mungkin, hehehe...


Blurb: 

"Do you really think you can run from us, Sofea?" 

Sofea, seorang pekerja yang berdedikasi dan bijak, bercita-cita ingin berjaya di syarikat RICE dengan hasil usaha sendiri. Dia menyangka kehidupannya akan menjadi normal sepertimana orang lain. 

Namun, pertemuan dengan Danny - seorang atlet tinju tersohor - mengingatkan Sofea kepada sesuatu yang sudah lama dilupakan. Sebuah organisasi misteri yang telah membantunya berjaya - tetapi dengan harga yang mahal. 

Semenjak itu, perjalanan hidup Sofea mula teruji apabila seorang lelaki daripada organisasi misteri tersebut tiba-tiba muncul dan menuntut janji lama Sofea. 

"You've sold your useless soul. We bought it. Now, it's time for us to claim what's ours." 

Sofea mula dihantui mimpi ngeri. Jika dia tidak menurut apa yang diminta, nyawa diri dan orang kesayangannya akan berada dalam bahaya.

"Tugas anda sangat mudah, Sofea. Patuh!"

Dalam keterdesakan, Sofea hanya ada dua pilihan - turuti permintaan mereka agar orang disekelilingnya selamat, atau ingkar lalu menerima padah. Mampukah dia membuat pilihan yang tepat?"



Jujurnya, Bayang Sofea ini penuh dengan kejutan. Dari awal cerita, pembaca tertanya-tanya tentang misteri gadis bernama Sofea atau nama penuhnya Raisya Sofea Tangjungreja. Nama penuh Sofea hanya didedahkan ketika Bab 26, setelah Sofea ditimpa kecelakaan jalanraya. 

Dari awal, watak Sofea dilihat sebagai gadis yang lemah-lembut, pintar dan datang dari keluarga biasa-biasa. Oleh kerana latar belakangnya yang kelihatan biasa-biasa, Sofea menjadi mangsa buli Jess, bossnya sendiri. 

Jess digambarkan sebagai pengurus project yang licik dan suka mempergunakan orang lain demi kepentingan diri sendiri. Jess ingin mendaki tangga korporat setinggi langit walaupun sedar dirinya tidak kompeten. Oleh itu, Jess gemar bermain politik office dan tidak teragak-agak untuk menyingkirkan sesiapa saja yang dirasa boleh menjadi pencabarnya termasuklah Sofea. 

Namun, Sofea bukan calang-calang lawan. Dengan IQ setinggi 350 - 400, segala cabaran di syarikat RICE ditempuh dengan mudah sehingga nama Sofea disebut-sebut sebagai genius dan dilantik ke barisan pengurusan tertinggi dalam waktu yang singkat. Semua kagum dengan kehebatan Sofea, kecuali Jess dan Rina. 


Danny aka Danish Kuih Shark atau nama asalnya Danish Coelho Ilyas adalah rakan sekolah Sofea. Sayangnya Danny tidak menghabiskan persekolahannya kerana dibuang sekolah akibat memukul anak pengetua. Namun, Danny tidak pernah melupakan Sofea, rakan baiknya. 

Kini, Danny berjaya menjadi peninju nombor satu di dunia, cita-cita yang memang didambakan semenjak zaman persekolahan. Pertemuan semula Danny dan Sofea di lobi Intimsphare Hotel menyambung semula persahabatan mereka yang terputus akibat tragedi memalukan yang menimpa Sofea ketika zaman persekolahan. 



Naskah Bayang Sofea ini membawa pembaca kepada tema persahabatan, dasar percaya & ikhlas seorang sahabat, kisah halusinasi, jerit-perih individu yang mempunyai IQ terlalu tinggi berbanding manusia normal, kisah suka duka dunia korporat dan sedikit genre thriller. Naskah ini ada beberapa plot twist namun ada antara plot twist nya boleh dijangka. Sebagai peminat Jeffrey Archer yang plot twist nya boleh membuatkan kita tidak senang duduk, tidak adil untuk membandingkan kejutan plot twist Teme dan Archer. 

Overall, naskah ini menarik sangat dan Teme berjaya membuatkan pembaca terpaku untuk terus membaca sehingga ke mukasurat terakhir. Tiada babak yang membosankan atau klise. 

Perkara yang paling menarik adalah ending Bayang Sofea ini bergantung pada interpretation pembaca sendiri kerana penamatnya tidak terlalu direct. Seperti yang tercatat dalam blog peribadi Teme, ada 4 teori untuk ending Bayang Sofea. Sebagai pembaca, kita pilihlah ending mana yang kita rasa paling sesuai. Tiada paksaan untuk menetapkan 1 ending saja. 

Terima kasih Teme atas naskah yang menarik dan segar. Semoga Teme akan terus menulis tanpa jemu dan tulisannya dapat menjana saham akhirat, Aamiin.. 

Wednesday, May 22, 2024

Book Review: Penulis Jalanan


Tajuk: Penulis Arkitek Jalanan

Penulis: Teme Abdullah

Menariknya Naskah Ini: 

Ini adalah naskah terbaru dalam siri Jalanan dari Teme Abdullah. Alhamdulillah, baru kini Patung Beruang berpeluang untuk meneliti naskah ini. 

Catatan di book blurb Penulis Arkitek Jalanan berbunyi begini: 

"Kalau aku jadi penulis, tak ke mana. Aku tak boleh sumbang apa-apa." 

Akibat kekecewaan, Iskandar terus melupakan impiannya untuk menulis, hanya menumpukan perhatiaannya terhadap pengajian dalam bidang seni bina. Setelah berjaya menjadi arkitek di luar negara, Iskandar mengambil keputusan besar untuk pulang ke negara kelahirannya demi kecintaan kepada tanah air. 

Namun, perjalanan baru Iskandar tidak semudah yang disangka. Dia harus bermula dari kosong. Tidak mengaku kalah, Iskandar cuba mencari jalan. Namun, satu demi satu ujian muncul sehingga terpaksa berhutang besar. Hidup Iskandar semakin tersepit. 

"Ikiy ... Kalau kita asyik rasa kita mangsa keadaan, dan kalau kita asyik persoalkan kenapa semua jadi, kita akan zalimi diri kita sendiri." 

Ini kisah Iskandar, mencuba berjalan semula, dan menyuburkan kembali impiannya.... 


Seperti biasa, tulisan Teme Abdullah ada daya penarik tersendiri buat pembaca. Seingat Patung Beruang, naskah ini dihabiskan kurang dari 48 jam, Alhamdulillah... 



Antara perkara yang menarik perhatian Patung Beruang dalam naskah Penulis Arkitek Jalanan ini adalah Iskandar membuktikan bahawa jika kita seorang yang jujur dan ikhlas dalam bekerja, ia memberi kesan kepada pihak atasan dan majikan sehingga mereka menganggap kita aset yang sangat berharga dan sukar untuk dilepaskan. 

Setelah Iskandar berhenti dari firma arkitek di London dan pulang ke Malaysia, pihak atasan mula mengetahui identiti sebenar Iskandar di Malaysia yang merupakan seorang pelukis dan penulis yang sangat hebat. Karyanya laris dipasaran dan memenangi banyak anugerah. 

Oleh itu, tatkala mereka tahu Iskandar bergelut dengan isu kerjaya di Malaysia, mereka menawarkan peluang untuk Iskandar kembali berkhidmat di firma London. Menariknya, tawaran itu disertakan dengan kemudahan peralatan pejabat bagi membantu Iskandar untuk berkerja dengan lebih selesa walau apa pun keadaan kesihatannya, Iskandar boleh meneruskan minatnya dalam penulisan tanpa menggangu tugas hakikinya sebagai arkitek dan juga kemudahan kad kredit korporat untuk digunakan bagi membeli apa saja peralatan atau alat tulis yang diperlukan bagi kelancaran tugasnya. 

Walau berlainan bangsa dan agama, kepercayaan yang diberikan majikan Iskandar di London sangat mengharukan. 



Selain itu, Iskandar juga berdepan dengan kerenah birokrasi dan ketidakadilan pasaran kerja di Malaysia terhadap graduan samaada tempatan atau luar negara. Tidak kiralah sektor kerajaan ataupun swasta, ketidakadilan terhadap graduan terutama bidang teknikal seperti architecture dan engineering sangat ketara. 

Lumrah majikan mahukan pekerja yang hebat dan cekap tetapi upah yang dibayar terlalu sedikit, tidak sepadan dengan gelaran professional. Memburukkan lagi keadaan apabila sesi temuduga dan penilaian bakal pekerja dilakukan semata-mata kerana mengikut prosedur walau hakikatnya, jawatan tersebut sudah dimiliki oleh individu tertentu. Seperti kata pepatah, "Is not about what you know, but who you know." 


Dalam naskah ini, Iskandar ditemukan dengan seorang anak muda bernama Adam. Perkenalan bermula ketika Adam masih lagi bersekolah dan setiap hari Adam akan membantu ibunya di gerai makanan berdekatan dengan rumah sewa Iskandar. Adam adalah anak yang baik walaupun adakalanya terjebak juga dengan kenakalan remaja. 

Berkat persahabatan dengan Iskandar, Adam mula berubah dan lebih mengutamakan pelajaran disamping berbakti kepada keluarga. Persahabatan Iskandar dan Adam berterusan walaupun setelah Iskandar berkhidmat semula di firma London. 

Adam sangat menjaga rahsia dan identiti sebenar Iskandar. Kepercayaan Iskandar pada Adam sangat  tinggi sehingga Adam menjadi orang tengah untuk Iskandar menyalurkan bantuan kewangan kepada mereka yang memerlukan di Malaysia. 



Baiklah, Patung Beruang tak nak cerita lebih-lebih tentang naskah ini. Nanti spoiler alert pula. Seperti biasa, siri Jalanan tidak pernah mengecewakan. Membaca siri Jalanan ini seperti kita menonton filem berkenaan jalan hidup seorang anak muda bernama Iskandar, segala emosi suka duka dalam kehidupannya baik di Malaysia atau pun di UK. 

"Setiap yang disangkakan jalan mati, boleh jadi pondok istirehat sebelum melompat lebih tinggi." 

Harapnya, siri Jalanan ini ada sambungannya. Aamiin...

Terima kasih Teme untuk naskah yang menarik ini. 


Notes: 

Hari Jumaat ini bermulalah PBAKL 2024. Patung Beruang rasa tak sabar nak melawat deretan booth yang ada, menjelajah setiap dewan dan melihat pelbagai bahan bacaan yang menarik. Basically, Patung Beruang masih belum ada senarai buku yang hendak dibeli. Kita lihat saja apa yang menarik dan jika poket mengizinkan, kita beli lah ye. 

Jujurnya, Patung Beruang ada banyak lagi buku-buku yang sudah dibeli tapi masih belum dibaca. Kebanyakkannya masih berbalut plastic seperti di kedai, huhu. 

Semalam, dari ofis di Cyberjaya, Patung Beruang terus menuju ke MRT Taman Equine untuk catch MRT ke TRX. Dari awal sudah plan untuk melawat MPH di TRX yang baru 5 hari mula beroperasi. Seperti dijangka, bila sudah masuk dalam kedai buku, mesti Patung Beruang akan terbeli sekurang-kurangnya 1 buku, hehehe... 

Harapnya Patung Beruang dapat selesaikan pembacaan semua buku-buku yang ada di rumah ini secepat mungkin. Doakan Patung Beruang ye... 

Sunday, July 12, 2020

Book Review : Selamat Tinggal Purnama, Strain Pertama & Strain Kedua

Tajuk : 
1. Selamat Tinggal Purnama : Strain Pertama
2. Selamat Tinggal Purnama : Strain Kedua


Penulis : Teme Abdullah 

Menariknya Naskah Ini: 
Hooray... Akhirnya Teme keluar buku baru. Alhamdulillah..... 

Oleh kerana kedua-dua buah buku ini berkait, maka, Patung Beruang tulis book review sekaligus ye.. 

Oh ye, kedua-dua buah buku ini Patung Beruang beli hari Sabtu lepas, 4 Julai 2020. Dan Patung Beruang mula membaca Strain Pertama pada hari Isnin atau Selasa malam tak silap. Akhirnya, semalam pagi baru Patung Beruang selesaikan pembacaan untuk kedua-dua buah buku ini. Alhamdulillah... 


Selamat Tinggal Purnama
membawa pembaca kepada kisah seorang penyanyi terkenal di Nusaraya yang bernama Latif Purnama. Latif adalah seorang anak yatim piatu yang dibesarkan di rumah anak-anak yatim. Latif tidak pernah mengenali ibu bapanya atau ahli keluarganya. Latif sebatang kara. 

Namun, Latif dikurniakan dengan satu bakat yang sangat unik, iaitu telinganya sangat peka dengan bunyi dan mempunyai bakat luar biasa dalam bidang nyanyian.

Latif bermula dengan bernyanyi di tepi-tepi jalan demi mengumpul kredit yang cukup agar dia dapat terus hidup di dunia. 

Lahir dan membesar sebagai manusia berkolar hitam membuatkan Latif sedar dia perlu memastikan kolar hitam itu bertukar sekurang-kurangnya ke warna kelabu sebelum Latif mencapai usia 25 tahun. Jika tidak tamatlah riwayat hidupnya di dunia itu. 

Rezeki Latif mencurah-curah di dalam bidang nyanyian. Dia dilamar syarikat rakaman Mawar Records. Lagu-lagu dan album yang diterbitkan oleh Mawar Records mendapat sambutan yang hangat bukan saja dari penduduk Nusaraya tetapi juga di peringkat antarabangsa. Latif Purnama adalah penyanyi terkenal yang diminati oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira umur, bangsa, latar belakang dan bahasa pertuturan. 

Dalam terkenalnya figura bernama Latif Purnama di mata masyarakat, dia masih lagi insan biasa yang merendah diri dan suka menghiburkan peminatnya. Latif dikelilingi oleh sahabat-sahabat yang rapat dengannya seperti Doctor Adda, Eric, Kapten Musa, Doctor Omar, wartawan hiburan bernama Kak Shelby dan juga pengawal peribadi yang setia iaitu Wak Entel. 

Ketika berada di puncak kejayaan, Latif mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Doctor Adda, seorang doctor perubatan yang mengenali Latif semenjak Latif masih di dunia busking lagi. Namun, perkahwinan Latif dan Doctor Adda rupanya tidak disenangi oleh Doctor Omar dan juga Sinar Mawar, pemilik Mawar Records. 

Doctor Adda mula terkena tempias dunia hiburan. Kehidupannya tiada lagi privacy seperti sebelumnya. Keguguran kandungan anak pertama mereka yang berlaku sejurus selepas konsert mega Latif Purnama benar-benar memberi tamparan yang besar kepada pasangan suami isteri ini. 

Selain itu, tembelang Doctor Omar atau nama sebenarnya Bella, seorang psychopath  yang berusaha keras untuk menghancurkan Latif mula terbongkar sedikit demi sedikit. Malangnya, Latif tidak menyedari tentang bahayanya psychopath yang berpura-pura menjadi sahabat baiknya itu. Maka, Latif berusaha untuk melindungi Omar atas alasan persahabatan walaupun perlindungan itu akhirnya memakan dirinya sendiri.

Tekanan yang dialami oleh Latif Purnama semakin memuncak. Pihak Mawar Records meletakkan syarat agar Latif menyiapkan albumnya dalam masa 1 bulan saja. Kehidupan peribadi Latif dan keluarga dicerobohi sesuka hati oleh masyarakat dan media. Latif terpaksa bergantung dengan bahan terlarang demi memastikan dia dapat bekerja sehabis baik demi memuaskan hati syarikat rakaman dan peminatnya. Latif mengorbankan prinsipnya demi menjaga dan melindungi keluarga kecilnya. 

Namun, adakah berbaloi pengorbanan Latif itu? 
Atau mungkin pengorbanan itu memakan diri Latif sendiri? 



Sudah lama Patung Beruang tidak menatap naskah Teme. Oleh itu, bila karya terbaru Teme berada di pasaran, Patung Beruang tidak melepaskan peluang untuk memilikinya. 

Seperti biasa, karya Teme "dibenarkan" untuk memotong giliran untuk dibaca. Beli hari Sabtu, hari Isnin atau Selasa malam Patung Beruang sudah mula membaca. Sedangkan banyak je lagi buku-buku yang sudah dibeli tapi masih belum dibaca. Hebat Teme... hehehe.. 

Honestly, naskah ini panjang tetapi tidak membosankan langsung. Strain Pertama lebih kepada pengenalan kepada watak Latif dan orang-orang terdekatnya. Serta cabaran yang dihadapi Latif sebelum dan setelah bergelar penyanyi terkenal. 

Strain Kedua pula lebih kepada kehidupan Latif selepas berumahtangga dengan Doctor Adda. Bagaimana susah payahnya Latif untuk melindungi keluarga tersayang. Dalam masa yang sama, konflik semakin memuncak antara Omar, Latif dan juga Mawar Records yang tidak pernah putus-putus memeras dan mengambil kesempatan ke atas kebaikkan Latif. Dalam Strain Kedua ini juga ditunjukkan bagaimana media dan masyarakat sangat sukar untuk berlaku adil terhadap artis. Fitnah bermaharajalela, kata-kata kutukan, sindiran dan cacian menjadi amalan. Sehingga mereka seolah-olah terlupa, Latif juga manusia seperti mereka, punya hati dan perasaan. 

Patung Beruang tertarik dengan catatan yang ditulis Teme di belakang kedua-dua naskah: 

Chester Bennington, Sulli, Avicii, Goo Hara, Robin Williams, Kim Jonghyun, Marilyn Monroe dan Kurt Cobain. Kesemua selebriti terkenal ini ada satu persamaan: Pengakhiran hidup yang tragis iaitu meragut nyawa dengan tangan sendiri. 

"Such a waste of talent, achievements, popularity and even wealth," bisik hati aku. 

Namun, aku tidak membuat konklusi. Aku cuba menyelami kehidupan mereka. Aku cuba fahami apa yang mereka lalui. Aku cuba fahami apa yang mereka lalui. Aku cuba melihat mental illness dari sudut yang berbeza; bukan semata-mata depresi. Lalu tanggapan aku berubah sepenuhnya. Maka, lahirlah buku ini.


Yes, naskah ini menceritakan penderitaan yang ditanggung seseorang, toxic nya persekitaran yang ada sehingga menjejaskan mental health nya. 

Jika pembaca merasakan cuma Latif Purnama saja yang berdepan dengan mental illness, jawapannya salah... Bagi pendapat Patung Beruang, selain Latif, Omar dan Mawar juga boleh dikatakan sakit mental. Personaliti yang kejam, tiada timbang rasa, tiada empati, selfish, segalanya nampak abnormal untuk seorang manusia yang normal. 

Bagi orang kebanyakkan, mental illness sering dikatakan berpunca sebab seseorang tersebut tidak tahan dengan tekanan, kurang pegangan agama, mental terlalu lembik atau 1001 sebab yang menyalahkan si pesakit. Tetapi kita terlupa, mungkin kita juga salah satu puncanya. Kata-kata kita, expectation kita, reaction kita, tindakan kita, semuanya boleh menjadi punca kepada mental illness orang lain. 

Seperti kata Sinar Bustamin, mantan Presiden Nusaraya, "Media sudah "membunuh" Latif ketika dia masih bernyawa. Dia dah tak ada kehidupan."  

Ending naskah ini??

Patung Beruang boleh katakan endingnya bijak dan tidak mustahil. Bukan ending yang cliche. 

Terima kasih Teme sebab hadiahkan karya yang sedap, matang dan berpijak di bumi nyata untuk pembaca. Semoga ada rezeki kami untuk menikmati lagi karya-karya terbaru Teme dimasa akan datang.... Aamiin.. 

Sunday, October 20, 2019

Book Review: Impian Jalanan

Tajuk : Impian Jalanan

Penulis : Teme Abdullah

Menariknya Naskah Ini: 

Ini adalah naskah ketiga karya Teme yang Patung Beruang miliki, selepas Pelukis Jalanan dan Arkitek Jalanan. Dua naskah yang terawal telah Patung Beruang kongsikan reviewnya disini. 

Untuk naskah Impian Jalanan ini, Teme membawa pembaca kepada prequel dan sequel dua naskah yang terdahulu. Cumanya, disini nama watak utama diubah  daripada Teme atau Tomato, kepada Iskandar. 

Dalam naskah ini, pembaca diperkenalkan dengan watak Iskandar, yang dilahirkan dalam keluarga yang sederhana. Anak bongsu dari 2 orang adik beradik, Iskandar sering mengimpikan untuk menjadi seorang yang bijak seperti kakaknya. Seawal usia 3 ke 4 tahun, kakaknya sudah mula pandai mengeja dan seterusnya dapat membaca dengan lancar ketika berumur akhir 4 tahun. 

Sayangnya Iskandar tidak mengikut jejak langkah kakaknya. Iskandar sering mengadu yang huruf tidak kelihatan jelas pada matanya. Selain itu, Iskandar juga sukar untuk mengenal huruf. Merumitkan keadaan, percakapannya pula tergagap-gagap. 

Bagi menyelesaikan kekangan yang dihadapinya, seawal usia 5 tahun, Iskandar telah memakai cermin mata. Bercermin mata, tergagap-gagap dan tidak pandai membaca, Iskandar sering diejek rakan sekolah sehingga menyebabkan dirinya rasa rendah diri yang amat. Kasihan anak kecil ini. 

Dalam kekurangan itu, Iskandar dikurniakan dengan bakat melukis yang sangat hebat. Melukis ibarat satu terapi buat dirinya. Disaat dirinya sedih, kecewa, segala perasaan terbuku dihati diluahkan diatas kertas. 

Sedari kecil, Iskandar telah belajar erti persahabatan, keikhlasan dan juga pengkhianatan. Terasa sakitnya hati apabila dirinya dikhianati oleh sahabat baiknya iaitu Arif ketika mereka sama-sama menyertai pertandingan melukis Poster Antidadah. Pengkhianatan tersebut menyebabkan Iskandar mendapat tempat kedua didalam pertandingan dan Arif pula memenangi tempat pertama. Kemenangan Arif menyebabkan dia dapat mewakili sekolah untuk pertandingan di peringkat daerah. 

Kekalahan Iskandar ditangan Arif betul-betul menyakitkan apatah lagi tatkala melihat poster yang dihasilkan Arif benar-benar sama seperti kerja tangan Iskandar. Bezanya adalah hasil kerja Arif dihasilkan dalam skala yang lebih besar dari Iskandar. Tidak diduga yang kanak-kanak berumur 8 tahun sudah pandai menciplak hasil kerja orang lain. 

Impian Iskandar untuk mewakili sekolahnya bagi pertandingan melukis poster Antidadah peringkat daerah akhirnya tercapai pada tahun seterusnya. 3 tahun berturut-turut Iskandar mewakili sekolah untuk pertandingan peringkat daerah, namun, 3 tahun juga dirinya mempamerkan sikap dan hasil lukisan yang berbeza ketika pertandingan itu.

Perbezaan sikap dan hasil lukisan yang dihantar ketika pertandingan selama 3 tahun berturut-turut benar-benar memeningkan kepala Teacher Jayanti sebagai guru pengiring. 

Anak kecil ini kelihatannya seperti seorang kanak-kanak yang lemah dan bermasalah. Namun tiada siapa sedar bahawa anak kecil ini sebenarnya seorang yang bijak dan matang. Anak kecil ini sabar mengatur strategi untuk membolehkan dirinya memenangi pertandingan tersebut. 

Adakah strategi Iskandar berjaya akhirnya?

Disaat semua orang hampir berputus asa dengan Iskandar, hanya Teacher Jayanti yang masih percaya padanya. Adakah kepercayaan Teacher Jayanti itu akan membuah hasil? 
Atau mungkin ia hanyalah satu perbuatan yang sia-sia sahaja? 



Untuk sequel pula, pembaca dibawa ke zaman apabila Iskandar (Tomato) dan Ahmad telah tamat belajar dan meneruskan karier masing-masing. Iskandar masih bekerja di London dan Ahmad pula di Kuala Lumpur. Pada waktu ini, Ahmad datang bercuti di London dan seterusnya menziarahi sahabat baiknya, Iskandar. 

Pada hari terakhir percutian Ahmad di London, seperti yang dijanjikan, Iskandar akan menghantar sahabatnya ke airport, untuk penerbangan pulang ke Kuala Lumpur. 

Dan pada hari tersebut, Iskandar berpeluang membawa Ahmad menaiki keretanya iaitu kereta sport model Audi R8. 

Pada mulanya, Ahmad menyangka Iskandar sanggup berhabis untuk menyewa kereta sport tersebut demi menghantarnya ke airport. Namun, setelah melihat hasil kerja Iskandar yang telah dikomersialkan, barulah Ahmad sedar betapa rakan baiknya itu sangat berjaya. Bakat dan minat melukis Iskandar benar-benar memberi pulangan yang lumayan sehingga dia mampu membeli kereta tersebut dalam usia yang muda. 

Tidak berapa lama selepas itu, Iskandar mengambil keputusan untuk pulang ke Kuala Lumpur. Iskandar ingin bercuti panjang dari dunia architecture nya. Percutian untuk mencari dirinya kembali, percutian untuk membayar hutang masa dan perhatian kepada ahli keluarganya, percutian untuk memulihkan jiwanya. 

Iskandar juga membuka rahsia hubungannya dengan Yana kepada Ahmad. Yana adalah rakan yang menuntut di universiti yang sama dengan mereka, ketika waktu degree dahulu. Ternyata pendedahan tersebut memeranjatkan Ahmad kerana Yana datang dari keluarga yang berstatus tinggi. Latar belakang yang sangat berbeza dengan Iskandar. 

Adakah hubungan Iskandar dan Yana akan berjaya? 

Pada masa ini, hanya Ahmad seorang yang tahu siapa sebenarnya Iskandar dan pencapaiannya di London. Namun, adakah Iskandar telah bersedia dan sudi untuk berkongsi sisi sebenar dirinya dengan Yana? 



Untuk naskah kali ini, seperti biasa ia penuh dengan kejujuran dan emosi. Well done, Teme.. 

Honestly, kisah Iskandar ketika zaman persekolahannya berjaya membuatkan Patung Beruang mengalirkan air mata beberapa kali, huhu.. Kisah seorang anak yang sering menjadi mangsa keadaan, anak yang dibuli tanpa pembelaan namun hatinya sentiasa bersih dan tidak pernah berdendam. 

Iskandar beruntung kerana sentiasa mendapat sokongan dari keluarga, terutama ibunya. Ibu sangat sabar mendidiknya, dari segi akademik dan juga rohani. Ibunya sedar anak yang seorang ini sangat istimewa walaupun orang luar mungkin tidak mampu untuk menilainya. 

Patung Beruang juga suka dengan watak Teacher Jayanti. Seorang guru yang berusaha untuk membantu anak muridnya sehabis baik. Seorang guru yang tidak mudah berputus asa dengan anak muridnya walaupun disaat semua orang meminggirkan anak kecil ini. Seorang guru yang nampak permata yang belum digilap disaat orang lain nampak itu hanyalah seketul batu kerikil di tepi jalan. 

Ada satu lagi naskah dari Teme yang baru sahaja Patung Beruang habiskan pembacaan iaitu Signature Jalanan. Untuk naskah ini, Teme memaparkan tempoh masa yang berbeza dari 3 buah bukunya sebelum ini. Insya Allah, bila ada kesempatan nanti, Patung Beruang kongsikan disini ye. 

Kesimpulannya, membaca buku Teme ini, kalau tak rasa sebak atau tak mengalirkan air mata, memang tak sah lah. Penceritaan Teme sangat detail dan sampai ke jiwa pembaca. Dan mungkin inilah juga salah satu sebab kenapa karyanya mudah diterima oleh segenap lapisan pembaca. Terima kasih Teme sebab menghasilkan karya yang bagus....

Monday, May 20, 2019

Book Review: Pelukis Jalanan dan Arkitek Jalanan

Tajuk : 
1. Pelukis Jalanan 
2. Arkitek Jalanan 


Penulis: Teme Abdullah 



Kisah Patung Beruang: 

Sebenarnya, Patung Beruang selalu nampak naskah Pelukis Jalanan dan Arkitek Jalanan di kedai-kedai buku seperti Popular dan MPH. Dan juga sering terpandang yang kedua-dua naskah ini termasuk didalam kategori buku terlaris. Hati ini sering tertanya, sedap sangat ke naskah ini sehingga ia sentiasa menduduki carta di kedai-kedai buku? 



Pernah satu ketika tangan ini sudah memegang naskah Arkitek Jalanan. Sayangnya ketika itu naskah ini berbalut plastik jadi Patung Beruang tidak boleh melihat isi kandungannya. Hanya mampu membaca petikan yang tertulis di belakang buku. Oleh itu, Patung Beruang letak kembali naskah tersebut di rak jualan. Mungkin belum ada rezeki untuk Patung Beruang memilikinya ketika itu. 

Penghujung March hari tu, hati ini meronta-ronta untuk membeli buku. Walaupun sedar yang PBAKL 2019 akan tiba lagi beberapa minggu namun hati ini rasa seperti tidak sabar untuk menunggu. 

Akhirnya, Patung Beruang menuju ke Popular Jusco Equine pada petang Sabtu. Antara my favourite bookstore for short escape selain Bookxcess di Cyberjaya dan Amcorp Mall. 

Tiba di Popular, naskah pertama yang Patung Beruang nampak adalah Arkitek Jalanan. Masa tu, dah tak peduli, terus ambil dan masuk dalam bakul. Setelah hampir satu jam didalam Popular, Patung Beruang melangkah keluar dengan 3 buah buku tak silap. Alhamdulillah.

Masih segar dalam ingatan yang Patung Beruang mula membaca Arkitek Jalanan pada hari Ahad, di waktu pagi selepas sarapan. Duduk membaca tanpa sedar masa berjalan dan akhirnya, naskah tersebut habis beberapa jam selepas itu. Wow.....  


Menariknya Naskah Ini:
Pelukis Jalanan adalah buku pertama karya Teme Abdullah, dan sambungan kisahnya dapat diikuti dalam buku kedua iaitu Arkitek Jalanan. Patung Beruang pula telah terbeli dan terbaca buku kedua dahulu namun ia tidak langsung mencacatkan momentum Patung Beruang sebagai pembaca. 

Didalam Pelukis Jalanan, pembaca dibawa mengenali permulaan kisah kehidupan Teme Abdullah sebagai pelajar A Level. Teme adalah pelajar cemerlang dan hasilnya, setelah keputusan SPM diumumkan, Teme ditawarkan program persediaan untuk keluar negara, dengan tajaan sepenuhnya dari penaja. Teme dikehendaki menduduki A Level dan memperolehi keputusan 12 point untuk melayakkannya terbang ke luar negara, demi menyambung pelajaran ke peringkat ijazah. 

Ketika program A Level, Teme seakan-akan hilang focus terhadap pelajaran. Namun, 2 bulan sebelum peperiksaan, Teme tersedar tentang harapan keluarga yang diletakkan kepadanya. Maka dalam masa 2 bulan sebelum peperiksaan itulah, Teme berusaha kuat untuk menggantikan masa-masa yang terbuang selama ini. 

Akhirnya, keputusan A Level diumumkan. Teme memperolehi 11 point iaitu kurang 1 mata dari kelayakan yang ditetapkan oleh penaja untuk Teme terbang. Diri terasa sangat kecewa kerana merasakan yang harapan keluarga terhadapnya punah sekelip mata. Walaupun Teme sudah menerima tawaran dari universiti di United Kingdom (UK), ia tidak bermakna tanpa pembiayaan dari penaja. 

Teme bergelut sama ada untuk menyambung pengajian di universiti awam tempatan ataupun berhenti belajar dan seterusnya meneruskan perniagaannya, yang dimulakan sejak zaman persekolahan lagi. Jika ingin meneruskan pengajian di universiti awam tempatan, Teme hanya boleh menggunakan keputusan SPMnya saja. Ini kerana, A Level tidak diterima untuk kemasukan ke peringkat ijazah. Ini bermakna Teme kena bermula dari awal dan pengajian A Level nya selama 2 tahun hanya sia-sia. 

Selepas puas berfikir dan melihat sokongan yang diberikan oleh keluarga, Teme nekad untuk terbang ke UK, mendaftar di universiti dan memulakan pengajian walaupun tanpa ada penaja. Ketika itu duit yang ada ditangan hanya cukup untuk membeli tiket kapal terbang, membayar yuran pendaftaran universiti dan memulakan kehidupan di UK. 

Teme terbang ke UK seorang diri, ditemani dengan doa dan harapan dari keluarga. 

Di UK, Teme bertemu semula dengan Ahmad, rakan baiknya. Di universiti, Teme dan Ahmad sahaja pelajar Melayu yang mendaftar untuk jurusan architecture. Bermulalah kehidupan Teme disana sebagai pelajar tajaan sendiri. 

Pelbagai dugaan dan cabaran dihadapi Teme ketika disana. Masalah duit, kerenah tuan rumah sewanya, kesusahan Teme untuk seimbangkan masa antara belajar dan juga bekerja demi menyara diri sendiri dan juga membayar yuran pengajian, kerenah rakan sekelas yang mengkhianatinya ketika group assignment dan bermacam lagi. 

Ahmad tinggal di asrama kampus dan Teme pula terpaksa menyewa sebuah bilik kecil di sebuah rumah. Disebabkan kerenah tuan rumah yang sangat cerewet dengan pelbagai peraturan yang rigid, Teme lebih banyak menghabiskan masa di bilik Ahmad. Disitulah Teme mengulangkaji pelajaran, menyiapkan tugasan, ataupun berehat melepaskan lelah. 

Teme sangat berbakat dalam bidang lukisan. Hasil tangannya sering mendapat perhatian pensyarah dan rakan-rakan sepengajian. Selain itu, Teme juga menjadikan bakat melukisnya itu sebagai salah satu sumber pendapatannya. Teme akan bersiar-siar di kota London dan tatkala ternampak pemandangan yang menarik, dia akan berhenti dan melukis. Lukisan tersebut akan dijual samaada kepada pelancong ataupun orang tempatan. Itulah asal cerita bagaimana Teme disebut-sebut sebagai pelukis jalanan. 

Dalam masa yang sama, Teme juga membuat kerja-kerja melukis samaada untuk syarikat atau orang perseorangan. Teme juga pernah menjadi penyanyi buskers, menyertai kumpulan yang dianggotai oleh rakan sekelasnya. Semuanya dilakukan demi menampung pengajian dan kehidupannya di UK.

Sebagai kenang-kenangan, Teme akan mengambil gambar setiap lukisan yang dihasilkannya dan seterusnya upload di Instagram (IG). Tanpa diduga, lukisannya mendapat perhatian ramai samaada di Malaysia ataupun di UK. Followers IG nya bertambah dan namanya sering menjadi sebutan. Namun tiada siapa yang tahu siapa Teme Abdullah. Walaupun rakan sekelasnya menjadi salah seorang followers IG nya, mereka tidak sedar yang individu yang dikagumi kerana kehebatan karyanya itu, sebenarnya ada dihadapan mata mereka, yang digelar dengan nama Tomato....



Naskah Arkitek Jalanan pula menceritakan kisah Teme di tahun-tahun akhir pengajiannya di universiti. Ketika ini, Teme dan Ahmad sudah menyewa sebuah rumah di luar kampus. Rumah tersebut didiami oleh mereka berdua dan seorang pekerja warga asing. Di rumah ini, Teme dan Ahmad rasa lebih selesa untuk mereka belajar dan menyiapkan tugasan. 

Di tahun akhir ini Teme dan Ahmad berazam untuk berusaha sedaya upaya agar mereka dapat menamatkan pengajian dengan ijazah kelas pertama. Mereka menyimpan impian untuk bekerja di firma architecture yang ternama di UK, jika ada rezeki. 

Ketika ini Teme dan Ahmad sama-sama diterima masuk ke Studio 3, yang dikendalikan oleh Bruno dan Noel. Studio 3 yang dikendalikan oleh kedua-dua lecturer ini sering menjadi rebutan pelajar architecture kerana dianggap Studio terbaik yang ada di universiti tersebut. Maka, persaingan untuk memasuki Studio tersebut juga sangat sengit. 

Tambahan pula Noel juga menjawat jawatan penting di salah sebuah firma architecture ternama di UK. Oleh itu, setiap tahun pasti ada pelajar terbaik yang datang dari Studio 3 yang diterima bekerja di firma tersebut. 

Di Studio 3 ini juga Teme bertemu semula dengan Orange, pelajar yang mengkhianatinya ketika tahun pertama dahulu. Pengkhianatan Orange menyebabkan Teme hampir-hampir gagal ketika pengajian di Tahun Pertama dahulu.

Untuk kali ini, Teme lebih berhati-hati setiap kali berdepan dengan Orange. Bagi Orange pula, dia menyedari yang Teme adalah pelajar cemerlang dan sangat berbakat. Oleh itu, peluang Teme dilihat lebih cerah untuk memperolehi ijazah kelas pertama dan seterusnya menyertai firma architecture Noel. Maka Orange sering menggunakan taktik keji untuk menonjolkan dirinya didalam Studio sekaligus memancing perhatian Noel dan Bruno.

Di tahun terakhir ini, Teme bergelut antara pelajaran dan juga usahanya untuk menyiapkan buku terbaru. Teme sedar yang pihak penerbit dan peminatnya sangat tertunggu-tunggu buah tangan terbaru dari Teme. Namun, Teme tidak pasti adakah karya terbarunya ini tetap bagus dan boleh menandingi karyanya yang terdahulu. 

Dugaan paling besar buat Teme di tahun akhir pengajiannya adalah ketika detik-detik akhir beliau menyiapkan tugasan mega untuk dihantar kepada pensyarah. Dugaan yang benar-benar membuatkan Teme terduduk dan gugur airmatanya. 

Apakah dugaan tersebut?
Adakah Teme berjaya menamatkan pengajiannya bersama-sama dengan Ahmad?
Adakah mereka berdua dapat ijazah Kelas Pertama seperti apa yang diusahakan selama ini?


Oklah.. Patung Beruang tak nak kongsikan lebih-lebih disini. 
Kalau nak tahu juga, kenalah baca sendiri naskah ini ye...




Meneliti naskah pertama dan kedua karya Teme Abdullah ini seakan-akan seperti menonton filem kisah hidup beliau. Terasa seperti masa tidak bergerak walau sesaat. Patung Beruang larut didalam penceritaannya.

Kisah Teme adalah kisah yang sangat humble. Suka duka seorang lelaki, dalam mencari dirinya sendiri, dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai anak, pelajar, pelukis sambilan, pekerja sambilan, dan juga sebagai seorang Islam. 

Naskah ini penuh dengan kejujuran sehingga beberapa kali air mata ini gugur tatkala menatapnya. Kepahitan dan kesedihan yang dialami oleh Teme turut sama dirasai oleh pembaca. Jauh dari keluarga, persekitaran yang asing, budaya yang asing, hanya pada Allah tempat Teme meluahkan perasaan hatinya dan bebanan jiwanya. Hanya pada Allah, tempat Teme menggantungkan harapan. Hanya pada Allah, tempat Teme memohon belas ihsan. 

Oleh kerana penceritaan yang sangat detail, kita sebagai pembaca terasa seperti kita berada di waktu dan lokasi tersebut, menyaksikan peristiwa yang diceritakan. 

Teme sangat beruntung kerana mempunyai keluarga yang sentiasa menyokongnya walau apapun keadaannya. Ibu dan ayah yang sentiasa memberi kata-kata nasihat dan pujukan. Ahmad, rakan baik yang boleh dianggap sebagai sahabat sejati. Saling memberi dorongan dan kekuatan antara satu sama lain. Semoga persahabatan kalian kekal selamanya.


Kini, baru Patung Beruang faham mengapa kedua-dua naskah ini sering menduduki carta buku terlaris. Memang layak pun... 



p/s: Ketika PBAKL 2019 hari tu, Patung Beruang sempat membeli 2 naskah karya Teme Abdullah iaitu Pelukis Jalanan dan Impian Jalanan. 

Impian Jalanan lebih kepada prequel untuk 2 buah karya sebelum ini. Insya-Allah, jika ada kelapangan Patung Beruang akan kongsikan kisah naskah tersebut disini ye. 

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi, Bunny and Dak Yot...