Sunday, October 20, 2019

Book Review: Impian Jalanan

Tajuk : Impian Jalanan

Penulis : Teme Abdullah

Menariknya Naskah Ini: 

Ini adalah naskah ketiga karya Teme yang Patung Beruang miliki, selepas Pelukis Jalanan dan Arkitek Jalanan. Dua naskah yang terawal telah Patung Beruang kongsikan reviewnya disini

Untuk naskah Impian Jalanan ini, Teme membawa pembaca kepada prequel dan sequel dua naskah yang terdahulu. Cumanya, disini nama watak utama diubah  daripada Teme atau Tomato, kepada Iskandar. 

Dalam naskah ini, pembaca diperkenalkan dengan watak Iskandar, yang dilahirkan dalam keluarga yang sederhana. Anak bongsu dari 2 orang adik beradik, Iskandar sering mengimpikan untuk menjadi seorang yang bijak seperti kakaknya. Seawal usia 3 ke 4 tahun, kakaknya sudah mula pandai mengeja dan seterusnya dapat membaca dengan lancar ketika berumur akhir 4 tahun. 

Sayangnya Iskandar tidak mengikut jejak langkah kakaknya. Iskandar sering mengadu yang huruf tidak kelihatan jelas pada matanya. Selain itu, Iskandar juga sukar untuk mengenal huruf. Merumitkan keadaan, percakapannya pula tergagap-gagap. 

Bagi menyelesaikan kekangan yang dihadapinya, seawal usia 5 tahun, Iskandar telah memakai cermin mata. Bercermin mata, tergagap-gagap dan tidak pandai membaca, Iskandar sering diejek rakan sekolah sehingga menyebabkan dirinya rasa rendah diri yang amat. Kasihan anak kecil ini. 

Dalam kekurangan itu, Iskandar dikurniakan dengan bakat melukis yang sangat hebat. Melukis ibarat satu terapi buat dirinya. Disaat dirinya sedih, kecewa, segala perasaan terbuku dihati diluahkan diatas kertas. 

Sedari kecil, Iskandar telah belajar erti persahabatan, keikhlasan dan juga pengkhianatan. Terasa sakitnya hati apabila dirinya dikhianati oleh sahabat baiknya iaitu Arif ketika mereka sama-sama menyertai pertandingan melukis Poster Antidadah. Pengkhianatan tersebut menyebabkan Iskandar mendapat tempat kedua didalam pertandingan dan Arif pula memenangi tempat pertama. Kemenangan Arif menyebabkan dia dapat mewakili sekolah untuk pertandingan di peringkat daerah. 

Kekalahan Iskandar ditangan Arif betul-betul menyakitkan apatah lagi tatkala melihat poster yang dihasilkan Arif benar-benar sama seperti kerja tangan Iskandar. Bezanya adalah hasil kerja Arif dihasilkan dalam skala yang lebih besar dari Iskandar. Tidak diduga yang kanak-kanak berumur 8 tahun sudah pandai menciplak hasil kerja orang lain. 

Impian Iskandar untuk mewakili sekolahnya bagi pertandingan melukis poster Antidadah peringkat daerah akhirnya tercapai pada tahun seterusnya. 3 tahun berturut-turut Iskandar mewakili sekolah untuk pertandingan peringkat daerah, namun, 3 tahun juga dirinya mempamerkan sikap dan hasil lukisan yang berbeza ketika pertandingan itu.

Perbezaan sikap dan hasil lukisan yang dihantar ketika pertandingan selama 3 tahun berturut-turut benar-benar memeningkan kepala Teacher Jayanti sebagai guru pengiring. 

Anak kecil ini kelihatannya seperti seorang kanak-kanak yang lemah dan bermasalah. Namun tiada siapa sedar bahawa anak kecil ini sebenarnya seorang yang bijak dan matang. Anak kecil ini sabar mengatur strategi untuk membolehkan dirinya memenangi pertandingan tersebut. 

Adakah strategi Iskandar berjaya akhirnya?

Disaat semua orang hampir berputus asa dengan Iskandar, hanya Teacher Jayanti yang masih percaya padanya. Adakah kepercayaan Teacher Jayanti itu akan membuah hasil? 
Atau mungkin ia hanyalah satu perbuatan yang sia-sia sahaja? 



Untuk sequel pula, pembaca dibawa ke zaman apabila Iskandar (Tomato) dan Ahmad telah tamat belajar dan meneruskan karier masing-masing. Iskandar masih bekerja di London dan Ahmad pula di Kuala Lumpur. Pada waktu ini, Ahmad datang bercuti di London dan seterusnya menziarahi sahabat baiknya, Iskandar. 

Pada hari terakhir percutian Ahmad di London, seperti yang dijanjikan, Iskandar akan menghantar sahabatnya ke airport, untuk penerbangan pulang ke Kuala Lumpur. 

Dan pada hari tersebut, Iskandar berpeluang membawa Ahmad menaiki keretanya iaitu kereta sport model Audi R8. 

Pada mulanya, Ahmad menyangka Iskandar sanggup berhabis untuk menyewa kereta sport tersebut demi menghantarnya ke airport. Namun, setelah melihat hasil kerja Iskandar yang telah dikomersialkan, barulah Ahmad sedar betapa rakan baiknya itu sangat berjaya. Bakat dan minat melukis Iskandar benar-benar memberi pulangan yang lumayan sehingga dia mampu membeli kereta tersebut dalam usia yang muda. 

Tidak berapa lama selepas itu, Iskandar mengambil keputusan untuk pulang ke Kuala Lumpur. Iskandar ingin bercuti panjang dari dunia architecture nya. Percutian untuk mencari dirinya kembali, percutian untuk membayar hutang masa dan perhatian kepada ahli keluarganya, percutian untuk memulihkan jiwanya. 

Iskandar juga membuka rahsia hubungannya dengan Yana kepada Ahmad. Yana adalah rakan yang menuntut di universiti yang sama dengan mereka, ketika waktu degree dahulu. Ternyata pendedahan tersebut memeranjatkan Ahmad kerana Yana datang dari keluarga yang berstatus tinggi. Latar belakang yang sangat berbeza dengan Iskandar. 

Adakah hubungan Iskandar dan Yana akan berjaya? 

Pada masa ini, hanya Ahmad seorang yang tahu siapa sebenarnya Iskandar dan pencapaiannya di London. Namun, adakah Iskandar telah bersedia dan sudi untuk berkongsi sisi sebenar dirinya dengan Yana? 



Untuk naskah kali ini, seperti biasa ia penuh dengan kejujuran dan emosi. Well done, Teme.. 

Honestly, kisah Iskandar ketika zaman persekolahannya berjaya membuatkan Patung Beruang mengalirkan air mata beberapa kali, huhu.. Kisah seorang anak yang sering menjadi mangsa keadaan, anak yang dibuli tanpa pembelaan namun hatinya sentiasa bersih dan tidak pernah berdendam. 

Iskandar beruntung kerana sentiasa mendapat sokongan dari keluarga, terutama ibunya. Ibu sangat sabar mendidiknya, dari segi akademik dan juga rohani. Ibunya sedar anak yang seorang ini sangat istimewa walaupun orang luar mungkin tidak mampu untuk menilainya. 

Patung Beruang juga suka dengan watak Teacher Jayanti. Seorang guru yang berusaha untuk membantu anak muridnya sehabis baik. Seorang guru yang tidak mudah berputus asa dengan anak muridnya walaupun disaat semua orang meminggirkan anak kecil ini. Seorang guru yang nampak permata yang belum digilap disaat orang lain nampak itu hanyalah seketul batu kerikil di tepi jalan. 

Ada satu lagi naskah dari Teme yang baru sahaja Patung Beruang habiskan pembacaan iaitu Signature Jalanan. Untuk naskah ini, Teme memaparkan tempoh masa yang berbeza dari 3 buah bukunya sebelum ini. Insya Allah, bila ada kesempatan nanti, Patung Beruang kongsikan disini ye. 

Kesimpulannya, membaca buku Teme ini, kalau tak rasa sebak atau tak mengalirkan air mata, memang tak sah lah. Penceritaan Teme sangat detail dan sampai ke jiwa pembaca. Dan mungkin inilah juga salah satu sebab kenapa karyanya mudah diterima oleh segenap lapisan pembaca. Terima kasih Teme sebab menghasilkan karya yang bagus....

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...