Penulis: Teme Abdullah
Menariknya Naskah Ini:
Ini adalah naskah terbaru dalam siri Jalanan dari Teme Abdullah. Alhamdulillah, baru kini Patung Beruang berpeluang untuk meneliti naskah ini.
Catatan di book blurb Penulis Arkitek Jalanan berbunyi begini:
"Kalau aku jadi penulis, tak ke mana. Aku tak boleh sumbang apa-apa."
Akibat kekecewaan, Iskandar terus melupakan impiannya untuk menulis, hanya menumpukan perhatiaannya terhadap pengajian dalam bidang seni bina. Setelah berjaya menjadi arkitek di luar negara, Iskandar mengambil keputusan besar untuk pulang ke negara kelahirannya demi kecintaan kepada tanah air.
Namun, perjalanan baru Iskandar tidak semudah yang disangka. Dia harus bermula dari kosong. Tidak mengaku kalah, Iskandar cuba mencari jalan. Namun, satu demi satu ujian muncul sehingga terpaksa berhutang besar. Hidup Iskandar semakin tersepit.
"Ikiy ... Kalau kita asyik rasa kita mangsa keadaan, dan kalau kita asyik persoalkan kenapa semua jadi, kita akan zalimi diri kita sendiri."
Ini kisah Iskandar, mencuba berjalan semula, dan menyuburkan kembali impiannya....
Seperti biasa, tulisan Teme Abdullah ada daya penarik tersendiri buat pembaca. Seingat Patung Beruang, naskah ini dihabiskan kurang dari 48 jam, Alhamdulillah...
Antara perkara yang menarik perhatian Patung Beruang dalam naskah Penulis Arkitek Jalanan ini adalah Iskandar membuktikan bahawa jika kita seorang yang jujur dan ikhlas dalam bekerja, ia memberi kesan kepada pihak atasan dan majikan sehingga mereka menganggap kita aset yang sangat berharga dan sukar untuk dilepaskan.
Setelah Iskandar berhenti dari firma arkitek di London dan pulang ke Malaysia, pihak atasan mula mengetahui identiti sebenar Iskandar di Malaysia yang merupakan seorang pelukis dan penulis yang sangat hebat. Karyanya laris dipasaran dan memenangi banyak anugerah.
Oleh itu, tatkala mereka tahu Iskandar bergelut dengan isu kerjaya di Malaysia, mereka menawarkan peluang untuk Iskandar kembali berkhidmat di firma London. Menariknya, tawaran itu disertakan dengan kemudahan peralatan pejabat bagi membantu Iskandar untuk berkerja dengan lebih selesa walau apa pun keadaan kesihatannya, Iskandar boleh meneruskan minatnya dalam penulisan tanpa menggangu tugas hakikinya sebagai arkitek dan juga kemudahan kad kredit korporat untuk digunakan bagi membeli apa saja peralatan atau alat tulis yang diperlukan bagi kelancaran tugasnya.
Walau berlainan bangsa dan agama, kepercayaan yang diberikan majikan Iskandar di London sangat mengharukan.
Selain itu, Iskandar juga berdepan dengan kerenah birokrasi dan ketidakadilan pasaran kerja di Malaysia terhadap graduan samaada tempatan atau luar negara. Tidak kiralah sektor kerajaan ataupun swasta, ketidakadilan terhadap graduan terutama bidang teknikal seperti architecture dan engineering sangat ketara.
Lumrah majikan mahukan pekerja yang hebat dan cekap tetapi upah yang dibayar terlalu sedikit, tidak sepadan dengan gelaran professional. Memburukkan lagi keadaan apabila sesi temuduga dan penilaian bakal pekerja dilakukan semata-mata kerana mengikut prosedur walau hakikatnya, jawatan tersebut sudah dimiliki oleh individu tertentu. Seperti kata pepatah, "Is not about what you know, but who you know."
Dalam naskah ini, Iskandar ditemukan dengan seorang anak muda bernama Adam. Perkenalan bermula ketika Adam masih lagi bersekolah dan setiap hari Adam akan membantu ibunya di gerai makanan berdekatan dengan rumah sewa Iskandar. Adam adalah anak yang baik walaupun adakalanya terjebak juga dengan kenakalan remaja.
Berkat persahabatan dengan Iskandar, Adam mula berubah dan lebih mengutamakan pelajaran disamping berbakti kepada keluarga. Persahabatan Iskandar dan Adam berterusan walaupun setelah Iskandar berkhidmat semula di firma London.
Adam sangat menjaga rahsia dan identiti sebenar Iskandar. Kepercayaan Iskandar pada Adam sangat tinggi sehingga Adam menjadi orang tengah untuk Iskandar menyalurkan bantuan kewangan kepada mereka yang memerlukan di Malaysia.
Baiklah, Patung Beruang tak nak cerita lebih-lebih tentang naskah ini. Nanti spoiler alert pula. Seperti biasa, siri Jalanan tidak pernah mengecewakan. Membaca siri Jalanan ini seperti kita menonton filem berkenaan jalan hidup seorang anak muda bernama Iskandar, segala emosi suka duka dalam kehidupannya baik di Malaysia atau pun di UK.
"Setiap yang disangkakan jalan mati, boleh jadi pondok istirehat sebelum melompat lebih tinggi."
Harapnya, siri Jalanan ini ada sambungannya. Aamiin...
Terima kasih Teme untuk naskah yang menarik ini.
Notes:
Hari Jumaat ini bermulalah PBAKL 2024. Patung Beruang rasa tak sabar nak melawat deretan booth yang ada, menjelajah setiap dewan dan melihat pelbagai bahan bacaan yang menarik. Basically, Patung Beruang masih belum ada senarai buku yang hendak dibeli. Kita lihat saja apa yang menarik dan jika poket mengizinkan, kita beli lah ye.
Jujurnya, Patung Beruang ada banyak lagi buku-buku yang sudah dibeli tapi masih belum dibaca. Kebanyakkannya masih berbalut plastic seperti di kedai, huhu.
Semalam, dari ofis di Cyberjaya, Patung Beruang terus menuju ke MRT Taman Equine untuk catch MRT ke TRX. Dari awal sudah plan untuk melawat MPH di TRX yang baru 5 hari mula beroperasi. Seperti dijangka, bila sudah masuk dalam kedai buku, mesti Patung Beruang akan terbeli sekurang-kurangnya 1 buku, hehehe...
Harapnya Patung Beruang dapat selesaikan pembacaan semua buku-buku yang ada di rumah ini secepat mungkin. Doakan Patung Beruang ye...
No comments:
Post a Comment