Sunday, May 26, 2024

Book Review: Sehingga Yang Patah Tumbuh


Tajuk: Sehingga Yang Patah Tumbuh

Penulis: Aishah Madadiy

Menariknya Naskah Ini: 

Naskah ini Patung Beruang sudahkan pembacaanya pada tengahari tadi, Alhamdulillah. 

Pada masa ini, momentum membaca Patung Beruang masih tinggi. Makanya, kita layan saja selagi boleh. Ini peluang untuk Patung Beruang membaca sebanyak yang boleh kerana bilangan buku-buku yang sudah dibeli tetapi masih belum dibaca semakin menimbun, hehehe... 


Sehingga Yang Patah Tumbuh membawa pembaca untuk mengenali gadis muda bernama Nawal Hamdi. Gadis yatim yang sangat merindukan sosok allahyarhamah bondanya. 

Nawal merasakan kehidupan di Malaysia tiada apa untuknya selepas dikecewakan Wadi, lelaki yang sering ditemaninya dari zaman mereka belajar. Hakikatnya, Wadi bukan yang terbaik untuk Nawal kerana lelaki itu terlalu pengecut untuk memperjuangkan hubungan mereka walaupun dia sedar Nawal yang banyak  menyokongnya disaat-saat Wadi jatuh. 


Nawal bangkit dari kekecewaan dan nekad membawa diri ke London demi menjejaki kakaknya, Nadya. Nawal menggalas tanggungjawab yang besar untuk menunaikan janjinya pada Ayah dan Mak Cik Ramlah, membawa Nadya pulang ke rumah sebelum Ayah menutup mata. 

Sudah lima tahun Nadya menghilang tanpa khabar setelah berkahwin dengan lelaki pilihannya, Salim Abboudi, lelaki dari Timur Tengah. Khabar terakhir yang diterima Nawal adalah Nadya dan keluarga berada di Frankfurt, Germany. 


Di London, Nawal bertemu semula dengan sahabat baiknya, Shalin dan suami, Amshah. Mereka bertiga bersahabat semenjak dari zaman universiti di German. Kini, pasangan suami isteri ini selesa membina kerjaya di London. 


Di London juga Nawal berkenalan dengan Ali, pemuda Indonesia yang aktif dalam pertubuhan Islamic Relief. Pertubuhan yang banyak membantu komuniti Islam di bumi Ratu dan juga terlibat dalam misi kemanusiaan di Syria, bersama-sama dengan United Nations. 

Bersama-sama dengan Ali dan Shalin, Nawal memulakan pencarian Nadya. Destinasi pertama adalah ke Frankfurt bagi bertemu dengan Ammar, lelaki yang dikatakan kenalan Salim Abboudi. Menurut maklumat, mereka berdua sama-sama berkhidmat di Pertubuhan al-Maktoum. 

Namun, kehadiran Nawal dan Shalin yang pada mulanya diterima Ammar dengan hati terbuka, berubah laku sekelip mata tatkala Nawal menyebut tentang sumbangan 50 ribu Euro yang diterima Pertubuhan al-Maktoum dari sebuah syarikat kenalan Nawal dan Shalin. 

Beberapa hari selepas perjumpaan dengan Ammar, Nawal menerima email dari Ammar yang mengatakan khabar terakhir berkenaan Salim Abboudi dan keluarga adalah mereka telah berpindah ke Sheffield, England. 


Berpandukan pada alamat yang diberikan oleh Ammar, Nawal dan Ali menuju ke Sheffield bagi menjejak Nadya dan keluarga. Kehadiran mereka di Sheffield telah membuka rahsia gelap Salim Abboudi termasuk kekejaman yang dilakukannya terhadap Nadya dan anak perempuan mereka, Samah. 

Akhirnya Nawal berhasil menemui Nadya di Hospital Shrewsbury, sebuah pusat rehabilitasi buat pesakit mental yang tidak kritikal. Nadya dihantar ke hospital tersebut oleh majikannya selepas melihat keadaan wanita tersebut yang semakin tidak terurus selepas Salam Abboudi dan Samah meninggalkannya. 


Perjumpaan dengan Nadya memberi cahaya terhadap Nawal. Dia berjanji untuk mencari Samah dan membawa pulang pasangan ibu dan anak ini ke Malaysia, demi memenuhi hasrat ayah mereka, Hj Hamdi. Dalam usaha pencarian Samah sehingga ke Syria, Nawal berdepan dengan detik-detik cemas yang hampir meragut nyawanya ketika konvoi kemanusiaan mereka ditawan militan Syria. 



Naskah Sehingga Yang Patah Tumbuh ini gaya bahasanya ada lenggok Indonesia sedikit (mungkin perasaan Patung Beruang saja kot). Patung Beruang minta maaf jika tersilap. Logic juga kerana ingin disesuaikan dengan watak Ali, pemuda Indonesia yang setia bersama-sama Nawal dalam pencarian keluarganya, dan juga akhirnya berjaya mencuri hati gadis itu. 

Bagi Patung Beruang naskah ini lengkap rencahnya. Ada perasaan sedih, sayu dan sepi seorang anak dan adik yang merasakan dirinya keseorangan didalam keramaian, ada rasa kuatnya semangat dan tekad bagi menenuhi janji pada Ayah  tersayang, ada rasa sakitnya dikhinati, rasa gembira dan syukur ditemukan dengan sahabat-sahabat dan insan-insan yang baik dalam usaha pencarian ini. 


Oh ye, ada beberapa ayat yang Patung Beruang suka dari naskah ini seperti: 

  • Kadang-kadang kamu perlu berlagak macam tak punya hati. Atau kamu simpan hatimu di tempat lain. Dalam peti besi. Kemas-kemas. Supaya hatimu tidak mudah terdera oleh apa-apa pun. 
  • Setiap orang mampu menjadi selfish. Namun sesetengah orang memilih untuk tidak begitu kerana apalah makna kehidupan jika kamu tidak boleh ada untuk orang lain, menyumbang sehabis mampu dalam apa jua keadaan. 
  • Hargai kekosongan itu. Baru dapat dinikmati kebersamaan. 
  • Manusia yang percaya bahawa apa-apa yang dia peroleh ialah hasil daripada apa-apa yang dikerjakannya, akan menggantungkan rezeki pada usaha. Untuk itu, dia sering berasa lelah memikirkan setiap hal yang tidak dikerjakan. Sedangkan kepercayaannya kepada perihal rezeki seharusnya mendatangkan kedamaian pada hati dan seluruh jasad. 
  • Perasaan ini ibarat api, kalau marak, ia akan memakan diri. 
  • Tidak ada salahnya dengan harapan. Jika harapan ialah satu-satunya perkara indah yang masih tumbuh dalam hati orang yang sudah tidak punya apa-apa, biarkan saja. 



Naskah ini penuh dengan harapan. Harapan seorang Nawal untuk menyatukan semula keluarganya. Harapan seorang Haji Hamdi untuk menyambut kepulangan anak-anak perempuannya. Harapan seorang Ali untuk melindungi Nawal sepenuh jiwa dan raganya, dunia dan akhiratnya. Harapan seorang Nadya untuk kembali menjadi seorang ibu dan anak. Dan harapan seorang Samah untuk keluar dari neraka dunia.....

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...