Penulis: Mitch Albom
Menariknya Naskah Ini:
Untuk genre fiction berbahasa Inggeris, Mitch Albom adalah antara penulis kegemaran Patung Beruang selain Jeffrey Archer. Oleh itu, sedaya-upaya Patung Beruang berusaha untuk memiliki dan membaca semua buku tulisan Albom.
Gaya tulisan Albom ada soothing effect seperti mana jika Patung Beruang membaca tulisan Mizi Wahid.
Finding Chika sudah berada di pasaran sejak 2019 cuma baru sekarang Patung Beruang berpeluang untuk menghayatinya.
Naskah ini adalah kisah benar seorang gadis kecil bernama Chika Jeune yang merupakan seorang anak yatim dari rumah anak-anak yatim di Haiti yang dikendalikan oleh Mitch Albom dan isterinya, Janine.
Chika lahir 3 hari sebelum satu gempa bumi yang besar melanda Haiti pada tahun 2010. Ajaibnya, walaupun rumahnya ranap, bayi comel ini ditemui dalam keadaan selamat. Chika membesar dalam keluarga yang dhaif dan selepas ibunya meninggal dunia ketika melahirkan adik lelakinya, Chika dihantar ke The Have Faith Haiti Orphanage, yang terletak di Port Au Prince, ibu kota Haiti.
Di rumah anak-anak yatim ini, Chika dikelilingi rakan-rakan dan penjaga yang menyayanginya seperti keluarga sendiri. Sayangnya, ketika berumur 5 tahun, Chika disahkan mengidap ketumbuhan otak. Makanya, Albom dan Janine mengambil keputusan untuk membawa Chika ke Amerika untuk mendapatkan rawatan yang lebih baik dengan harapan, setelah sembuh, Chika akan dihantar pulang ke Haiti untuk bersatu semula dengan keluarganya.
Dalam masa 2 tahun, pasangan Albom dan Chika sentiasa berulang-alik antara rumah dan hospital sehingga Chika dikenali oleh hampir semua kakitangan di hospital tersebut. Dalam tempoh ini juga, trio ini menjadi satu keluarga kecil yang bahagia.
Chika adalah kanak-kanak pintar dan penuh dengan empati. Kehadirannya memberi dimensi baru pada pasangan Albom dan Janine, selain mengukuhkan lagi rumahtangga mereka. Albom yang sentiasa sibuk bekerja, mula belajar untuk menjadi seorang ayah dan suami yang prihatin dengan keperluan keluarga bukan saja dari segi material tetapi juga emosi dan mental.
Hari demi hari, keadaan kesihatan Chika semakin merosot. Keadaan ini memberi beban emosi yang berat pada pasangan Albom dan Janine. Mereka sedar, walau secanggih mana dunia perubatan di negara maju, mereka tetapi tidak mampu mengawal takdir Tuhan.
Kematian Chika pada 15 April 2017 telah meninggalkan kesan yang mendalam pada Albom dan Janine. Setiap hari Albom hanya duduk di ruang kerja di rumahnya, cuba untuk meluahkan segala perasaan yang terpendam namun gagal. Ingatannya sentiasa penuh dengan kenangan pada Chika. Segala perbualan mereka, telatah Chika yang suka mengusik dan menceriakan suasana serta ketabahan Chika dalam menyembunyikan kesakitannya, seolah segalanya baik-baik saja pada gadis kecil itu.
Naskah Finding Chika ini sangat meruntun perasaan.
Kisah tentang cinta, pengorbanan dan apa yang dimaksudkan dengan keluarga. Naskah yang ditulis berdasarkan kisah Albom sendiri, magisnya lain. Pembaca turut merasa segala kebimbangan, kerunsingan, kekalutan dan kesyukuran yang ada dalam jiwa Albom dan Janine. Setiap pagi, tatkala melihat Chika masih bernafas, mereka rasa sangat bersyukur kerana Tuhan masih meminjamkan Chika kepada mereka untuk 1 hari lagi. Rasa syukur yang tidak mampu digambarkan kerana mereka tidak pasti, adakah keadaannya masih sama pada keesokkan hari.
Berikut adalah beberapa petikan dari naskah ini yang Patung Beruang sangat suka:
- "There are many kinds of selfishness in this world, but the most selfish is hoarding time, because none of us know how much we have, and it is an affront to God to assume there will be more."
- "Dying is only one thing to be sad about, Mitch. Living unhappily is something else."
- "A child is both an anchor and a set of wings."
- "The most precious thing you can give someone is your time, Chika, because you can never get it back. When you don't think about getting it back, you've given it in love."
- "Families are like pieces of art, they can be made from many materials. Sometimes they are from birth, sometimes they are melded, sometimes they are merely time and circumstance mixing together, like eggs being scrambled in a Michigan kitchen. But no matter how a family comes together, and no matter how it comes apart, this is true and will always be true: you cannot lose a child. And we did not lose a child. We were given one. And she was glorious."
No comments:
Post a Comment