Saturday, June 8, 2024

Book Review: 270 Hari Perempuan Melayu di Afrika Sepanjang Pandemik


Tajuk: 270 Hari Perempuan Melayu di Afrika Sepanjang Pandemik

Penulis: Nora Jane Wahab 

Menariknya Naskah Ini: 

Ini adalah buku pertama dari PBAKL 2024 yang berjaya Patung Beruang selesaikan pembacaan, Alhamdulillah. 

Mengapa Patung Beruang pilih buku ini? 

Jujurnya, Patung Beruang pernah melihat Kiri mempromosikan buku ini di group Bibliophiles beberapa tahun dulu. Tetapi pada masa itu, belum tergerak hati untuk memilikinya. 


Sehinggalah ketika berkunjung ke PBAKL 2024 yang berlangsung pada minggu lepas, Patung Beruang berniat untuk mencari naskah kisah benar untuk lebih mengetahui perjalanan kehidupan insan di luar sana. 

Entah mengapa, terasa hidup ini agak stagnant dan memerlukan motivasi untuk kekal hidup, huhu. Ya, motivasi untuk kekal hidup. Jika tidak, rasa seperti jasad saja hidup namun jiwa sudah tiada. 

Bagaimana untuk mencari motivasi itu? Disebabkan Patung Beruang suka mengadap buku maka kita cubalah baca pengalaman atau kisah hidup insan lain. Mana tahu ada sesuatu yang boleh kita kutip dari pengalaman mereka. 


Siapakah Nora Jane Wahab ini? 

Beliau adalah professional dalam bidang oil & gas yang dihantar bertugas di Uganda pada Februari 2021. Majikan beliau berpengkalan di Abu Dhabi dan memang tertera di surat tawaran kerja yang beliau akan menjadi "pekerja nomad" iaitu ditugaskan di serata tempat berdasarkan keperluan. 

Diam tak diam, akhirnya beliau berada di bumi Afrika selama 270 hari. Selama itu, beliau telah menjelajah negara-negara benua Afrika seperti Uganda dan Sudan dalam suasana pandemik Covid-19 yang melanda dunia. 


Jujur Patung Beruang akui yang naskah travelog ini banyak membuka mata Patung Beruang berkenaan negara Uganda. Terlalu banyak fakta baru yang diperolehi dan ada kalanya bercanggah dengan sangkaan kita selama ini. 


Penduduk Uganda majoritinya beragama Kristian. Penganut Islam tidak sampai 20%. Tetapi toleransi agama disini sangat kuat. Adalah menjadi kebiasaan untuk penganut Kristian membantu menyusun sejadah untuk Muslim ketika solat Aidilfitri. Selain itu, masjid dijadikan sebagai pusat kegiatan masyarakat seperti  meraikan pelajar cemerlang. Oleh itu, tiada halangan untuk penganut agama lain memasuki masjid bagi sama-sama meraikan majlis tersebut. 

Menariknya, kerajaan disana mewajibkan semua bekalan daging yang dijual mestilah daging yang disembelih dengan cara Islam. Makanya, semua penduduk tanpa mengira anutan agama bebas untuk membeli daging halal tersebut tanpa rasa was-was. 


Uganda adalah negara yang kaya dengan hasil bumi. Tanahnya subur sehingga sayur-sayuran dan buah-buahan sangat segar dan organic. Sayur-sayuran dan buah-buahan ini dijual dengan harga yang murah. Lembu-lembu mereka juga berkembang biak menyebabkan bekalan daging dan produk tenusu mereka sangat banyak sehingga boleh dieksport ke luar negara. 

Oleh kerana makanan sihat dan organic sangat mudah didapati, rakyat Uganda mempunyai antibodi yang tinggi. Ditambah pula dengan kebanyakkan mereka tidak merokok kerana faktor kewangan dan rokok juga bukanlah budaya masyarakat mereka. Berjalan kaki pula adalah perkara biasa untuk rakyat Uganda. Disebabkan cara hidup dan corak pemakanan sihat, Covid-19 tidak memberi kesan kepada mereka. Mengikut statistic, kadar jangkitan dan kadar kematian Covid-19 di Uganda sangat rendah. 

Oh ye, perkara menarik lain di Uganda adalah maggi atau mee segera diharamkan disana kerana pakar pemakanan mereka mengatakan makanan tersebut mempunyai bahan-bahan yang tidak sihat dan membahayakan pengguna jika dimakan. Bagusnya.... 


Walaupun negara ini kaya dengan sumber, namun hasil sumber itu tidak diagihkan kepada rakyat secara adil. Kadar kemiskinan masih tinggi dan rakyat mereka berhempas-pulas bekerja untuk mengisi perut. Adalah normal untuk seorang penduduk melakukan 2 atau 3 pekerjaan. Kehidupan majoriti mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Semua ini berpunca dari gejala rasuah yang melanda pemimpin dan kerajaan mereka. Rasuah yang kronik sehingga rakyat terhimpit. 


Bahasa utama yang menjadi medium komunikasi rakyat Uganda adalah bahasa Inggeris. Makanya, jangan terperanjat jika dikampung-kampung kita melihat anak-anak kecil petah berbahasa Inggeris. Seperti bangsa lain, mereka juga mempunyai bahasa tempatan sendiri serta pelbagai dialek. Namun, untuk memudahkan komunikasi dan mencapai persefahaman semua rakyat berbilang suku kaum, kerajaan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi mereka.


Lumrahnya,naskah yang ditulis berdasarkan pengalaman sendiri ini, feel nya lain. Naskah ini mempunyai 416 muka surat namun Patung Beruang rasa ralit setiap kali membacanya kerana hati ini membuak-buak rasa ingin tahu apa yang akan berlaku seterusnya. 

Apa lagi yang ditempuh penulis? 

Apa lagi fakta baru yang penulis perolehi dan sudi berkongsi dengan pembaca?

Apa lagi keunikkan benua itu yang tidak terdapat disini? 


Banyak yang penulis kongsikan didalam naskah ini seperti: 

  • Bagaimana pembersihnya masyarakat disana walaupun mereka miskin. 
  • Bagaimana tradisi hantaran dari pengantin lelaki kepada pengantin perempuan. 
  • Sikap baik hati dan prihatin mereka terutama kepada orang luar. 
  • Kekaguman anak-anak kecil disana melihat rupa paras, warna kulit, dan rambut penulis yang dilihat sangat berbeza dengan mereka. 
  • Menu masakan utama kebanyakkan isi rumah disana. 
  • Kecantikan alam semulajadi di benua Afrika. 
  • Ketakutan rakyat biasa terhadap pasukan askar dan pelbagai lagi. 

Tapi maaflah, Patung Beruang tidak mampu untuk ceritakan disini.
Kalau nak tahu lebih lanjut, kenalah baca naskah ini. 

Yang pasti, usai membaca naskah ini, Patung Beruang rasa macam nak ambil cuti selama 1 ke 2 bulan dan pergi menjelajah Uganda, hehehe.. 
Teringin juga untuk melihat dengan mata sendiri dan merasa sendiri pengalaman tinggal disana, bergaul dengan masyarakat tempatan. 


Terima kasih penulis kerana sudi berkongsi kisah pengalaman selama 270 hari disana. Pengalaman yang sangat menarik dan berkongsi dengan pembaca fakta-fakta baru berkenaan benua Afrika. 

Semoga ada rezeki Patung Beruang menjejakkan kaki ke sana, Aamiin.... 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...