Tuesday, June 18, 2024

Book Review: Menemui Camellia di Tanah Lincoln


Tajuk: Menemui Camellia di Tanah Lincoln 

Penulis: Rosmieza Che Mat

Menariknya Naskah Ini: 

Naskah Menemui Camellia di Tanah Lincoln ini adalah buah tangan ke-2 dari PBAKL 2024. Patung Beruang berjaya sudahkan pembacaannya malam tadi, Alhamdulillah. 

Penulis bermurah hati untuk berkongsi pengalaman beliau dan keluarga sepanjang menetap di daerah Lincoln, Christchurch, New Zealand selama 5 tahun bermula September 2007. 

Kehadiran penulis ke New Zealand adalah bagi menemani suami yang ketika itu sedang melanjutkan pelajaran peringkat PhD disana. 

Terasa kehidupan ini berubah sepenuhnya. Dari seorang wanita bekerjaya dan berjawatan tinggi di Malaysia, kini berhijrah jauh meninggalkan tanah air, demi kejayaan suami. Wanita yang cekal ini hanya ditemani suami dan anak-anak, mengharungi segala pahit manis di perantauan. 

Demi meringankan beban kewangan keluarga, penulis bekerja sebagai cleaner di syarikat OCS Cleaning Services yang terletak kurang 5 minit dari rumah, jika berjalan kaki. 


Lumrah manusia, setelah bertahun-tahun berkerjaya hebat, duduk di kerusi empuk dan sering memberi arahan kepada pekerja bawahan, hati berbolak-balik tatkala memikirkan adakah bekerja sebagai cleaner ini satu keputusan yang tepat? 

Bagaimana persepsi pelajar Malaysia yang lain jika diketahui, isteri kepada  pensyarah senior di universiti ternama di Malaysia, bekerja sebagai tukang cuci di luar negara? 

Bagaimana pandangan orang tempatan terhadap orang asing yang bekerja disektor 3 D (dirty, dangerous & difficulty) ini? 


Walaupun begitu, penulis cekalkan juga hati untuk menjawat jawatan tukang cuci dengan niat membantu keluarga dan dalam masa sama, mohon agar Allah mencuci hatinya dan membentuk dirinya untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik. 


Ketika baru bermula, tempoh 2 jam bekerja itu terasa begitu lama dan panjang. Penat dan letihnya tidak mampu digambarkan. Urat dan anggota badan terasa lenguh dan berbisa.  Pekerjaan sebagai cleaner menuntut penulis mengangkat peralatan mencuci seperti mesin penyedut habuk, batang mop dan baldi berisi air yang berat keseluruhan hampir mencecah 10 kg. Selain itu, perlu juga mengangkat peralatan tersebut menaiki tangga menuju ruang pejabat yang lebih tinggi. 


Lama-kelamaan tubuh badan penulis dapat menyesuaikan diri dengan rutin pekerjaan baru ini. Disaat itu, penulis berazam untuk menjalankan tanggungjawab yang digalas dengan sehabis baik agar bukan saja mendapat imbuhan dunia tetapi di akhirat juga. 


Di tempat kerja, penulis dikeliling insan-insan yang baik walau berbeza bangsa dan pegangan agama. Alison W (atau mesra dipanggil Ali) adalah penyelia beliau. Wanita yang berusia hampir separuh abad ini sangat mesra dan menjaga kebajikkan anggota kerjanya. Bersama-samanya adalah Jacintha, anak gadisnya yang berumur 17 tahun. Gadis  muda ini telah bekerja secara rasmi dalam pasukan cleaner OCS sejak berumur 15 tahun. 

Penulis juga berdepan dengan kehilangan rakan sekerja apabila Mary meninggal dunia asbab kanser kolon tahap 4. Ali dan Jacintha adalah sahabat akrab Mary apatah lagi Ali dan Mary bersahabat sejak zaman sekolah. Mary hidup sendirian setelah suaminya meninggal dunia beberapa tahun lepas. Akrabnya Ali dan Mary sehingga kematian Mary memberi impak yang besar pada Ali. 



Naskah Menemui Camellia di Tanah Lincoln mengandungi 50 kisah yang dibahagikan kepada 5 bab iaitu: 

  • Bab 1: Aku Seorang "Cleaner"
  • Bab 2: Hadiah Berbalut Daripada Tuhan
  • Bab 3: Hidup Adalah Medan Ujian 
  • Bab 4: Universiti Kehidupan 
  • Bab 5: Travelog South Island 

Bagi Patung Beruang, naskah ini penuh dengan kejujuran penulis. Beliau tidak ragu-ragu mengungkapkan isi hati atau bisikan pada Tuhan, samada yang baik atau jelek, keterujaan atau ketakutan. Kejujuran itu bagai satu tamparan buat para pembaca kerana kita mungkin ada bisikan hati yang sama jika berada disituasi sebegitu. 

Namun, kejujuran itu juga yang mengikat pembaca untuk terus meneliti naskah ini sehingga selesai. Kita setia meneroka setiap perjalanan dan liku kehidupan yang dicoretkan diatas kertas dengan harapan kesudahan kisah kembara di tanah asing ini adalah penamat yang terbaik untuk penulis dan keluarga. 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...