Friday, June 28, 2024

Book Review: Sebelum Kopi Mendingin


Tajuk: Sebelum Kopi Mendingin

Penulis: Toshikazu Kawaguchi

Penterjemah: Azzah AR

Menariknya Naskah Ini: 

Naskah Sebelum Kopi Mendingin ini adalah terjemahan dari karya asal berbahasa Jepun yang bertajuk Coffee Ga Samenai Uchi Ni atau bahasa Inggeris nya adalah Before the Coffee Gets Cold

Blurb: 

Sebuah kafe kecil yang tersudut di lorong dalam kota besar Tokyo, yang sejak seratus tahun menyajikan kopi yang diseduh dengan teliti, dikhabarkan boleh membawa pelanggannya mengembara ke masa lalu. 


Namun peraturannya begitu banyak, sehinggakan tiada yang sanggup. Apalagi dengan syarat perlu kembali ke masa sekarang sebelum kopi mendingin. Sekejap benar, adakah berbaloi? 


Melainkan empat orang yang memiliki kekesalan besar dan terdesak untuk menyampaikan sesuatu kepada seseorang., walau sedar realiti sekarang tidak akan berubah hanya kerana tindakan mereka itu. 


Kisah-kisah indah yang menyentuh hati ini menimbulkan pertanyaan klise: apa yang anda mahu ubah jika diberi peluang kembali ke masa lalu? Lebih utama, siapa yang mahu anda temui, mungkin untuk kali terakhir? 


Kafe kecil yang bernama Funiculi Funicula terletak di aras bawah tanah. Kafe ini tidak berjendela dan kecerahannya hanya datang daripada lampu yang tergantung pada siling dan lampu dinding berdekatan pintu masuk. Didalam kafe ini ada tiga jam dinding antik yang besar disitu. Namun ketiga-tiganya menunjukkan waktu berbeza. 

Pada masa ini, terdapat 2 pengunjung tetap Funiculi Funicula iaitu seorang wanita bergaun putih lengan pendek yang asyik membaca buku. Wanita ini adalah hantu yang duduk diatas kerusi misteri yang boleh membawa pengunjung cafe merentas masa. Pengunjung tetap yang kedua pula adalah seorang lelaki yang sentiasa membuka majalah kembara sambil mencatat sesuatu di buku catatannya. 


Kisah pertama membawa pembaca mengenali watak Fumiko Kiyokawa, seorang gadis muda yang bijak dan cantik, bekerja di sebuah syarikat kesihatan. Fumiko bercinta dengan Goro Katada, seorang jurutera sistem. 

Percintaan Fumiko dan Goro terhenti di pertengahan jalan apabila Goro membuat keputusan untuk menerima tawaran kerja di Amerika. Perpisahan itu sangat menyakitkan hati Fumiko sehingga Fumiko memohon untuk kembali ke masa seminggu yang lepas, ketika pertemuan terakhir mereka. 

Fumiko sedar yang walaupun dia dapat kembali ke masa lalu, kenyataan yang Goro akan berpindah ke Amerika tetap tidak akan berubah. Oleh itu, apa tujuan sebenar perjalanan merentas masa Fumiko itu? 



Jujurnya, Patung Beruang suka dengan kesemua 4 kisah di dalam naskah ini. Naskah yang bertemakan kasih sayang dan kejujuran, sangat menyentuh hati. Kisah ke-2 tentang pasangan suami isteri Fusagi dan kisah ke-3 tentang hubungan adik beradik Yaeko dan Kumi agak menyedihkan. Tetapi, Patung Beruang tak naklah cerita disini. Kalau nak tahu, kenalah baca sendiri. 

Penterjemah naskah ini adalah Cik Puan Azzah AR. Beliau antara penulis kegemaran Patung Beruang setelah membaca karya beliau bertajuk Senaskah Hidup. Dan seperti yang dijangka, terjemahan Sebelum Kopi Mendingin ini sangat smooth, ayatnya cantik, sehingga pembaca dapat menjiwai karya ini dan menikmati estetika budaya dan cara hidup masyarakat Jepun. Alhamdulilah...  

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...