Penulis: F. Scott Fitzgerald
Penterjemah: Irni Fazrita Farid
Menariknya Naskah Ini:
Tuan Gatsby atau tajuk asalnya The Great Gatsby adalah karya agung abad ke-20. Naskah terjemahan ini diterbitkan oleh Biblio Press.
Mengambil latar belakang tahun 1920-an, naskah ini ditulis dari perspektif Nick Carraway, seorang anak muda yang menyewa sebuah banglo di Long Island, tempat di mana orang-orang kaya dunia baharu mempamerkan kemegahan mereka.
Dalam ramainya orang-orang kaya itu, terdapat sosok seorang lelaki misteri yang bernama Jay Gatsby. Lelaki misteri ini adalah self-made millionaire yang sangat mencintai Daisy Buchanan, gadis dari keluarga orang kaya dunia lama yang dikenalinya ketika zaman remaja.
Misterinya Jay Gatsby ini, beliau menganjurkan parti mewah saban malam untuk para tetamu yang tidak diundang. Latar belakangnya langsung tidak diketahui dan menimbulkan spekulasi di kalangan pengunjung istana agamnya. Dan tiada siapa yang mengetahui asal-usul dan masa silamnya.
Nick Carraway perlahan-lahan mengenali Gatsby dan mengetahui bahawa anjuran parti tidak berpenghujung itu semata-mata untuk menarik sebuah rumah di seberangnya. Kediaman mewah dari kelas orang kaya dunia lama.
Gatsby meminta Nick untuk membawanya bertemu dengan Daisy, yang sekarang ini sudah berkahwin dengan Tom Buchanan. Tidak berapa lama selepas Gatsby dan Daisy bertemu semula, kisah percintaan mereka diketahui oleh Tom.
Tom berasa sangat marah dan membocorkan rahsia yang kekayaan Gatsby adalah berpunca dari menjual arak secara haram. Ketika konflik semakin memuncak, Daisy memandu kereta Gatsby dan melanggar Myrtle Wilson, wanita simpanan Tom. Suami Myrtle yang berdendam dengan kematian isterinya, telah membunuh Gatsby sebelum mengambil nyawanya sendiri.
Tuan Gatsby ini bukan sekadar membawa tema cinta terlarang dan pengkhianatan, tetapi juga kritikan terhadap perlawanan kelas sosial yang berlaku dalam geopolitik Amerika Syarikat yang menjeritkan harapan "American Dream."
Seperti biasa, kualiti terjemahan Biblio Press tidak perlu dipertikaikan. Terjemahan yang sangat smooth sehingga naskah ini sampai ke hati pembaca. Konflik jiwa Gatsby yang dilihat sangat kosong walaupun kehidupannya dikelilingi dengan kekayaan yang luar biasa menerbitkan rasa simpati pembaca. Tetapi dalam masa sama, pembaca juga geram dengan sikap tidak matang Daisy yang menyebabkan segala-galanya huru-hara sehingga meragut nyawa Gatsby. Pada pendapat Patung Beruang, akhirnya Nick Carraway adalah satu-satunya watak yang rasional. Rasional pada tindak-tanduk dan juga percakapan...
No comments:
Post a Comment