Showing posts with label Ruhaini Matdarin. Show all posts
Showing posts with label Ruhaini Matdarin. Show all posts

Sunday, March 15, 2020

Book Review : Cerita Orang-Orang Sunyi

Tajuk : Cerita Orang-Orang Sunyi

Penulis : Ruhaini Matdarin

Menariknya Naskah Ini : 

Naskah ini Patung Beruang sudahkan pembacaannya ketika sedang menunggu dobi tengahari tadi. Ia adalah kumpulan 12 cerpen yang mengisahkan 3 buah keluarga yang berbeza tetapi saling berkait. 

Keluarga Pertama:
Cerpen pertama bertajuk Amy membawa pembaca mengenali watak seorang gadis yang baru sahaja kematian ayahnya, Si Petir atau nama sebenarnya adalah Abdul Basir. 

Amy adalah satu-satunya anak perempuan didalam keluarga. Namun, entah dimana silapnya, walaupun dirinya anak perempuan tunggal, Amy tidak pernah rasa dimanjakan oleh keluarga. Ayahnya seorang yang panas baran, pantang salah sikit pasti akan ditengking dan di kasari. Hanya pada nenek tempat Amy mengadu. Bagi Amy, hanya nenek sahaja yang memahami dirinya. 

Setelah nenek meninggal dunia, Amy semakin terasa yang rumahnya adalah sebuah neraka dunia. Amy berusaha untuk keluar dari rumah, walaupun akhirnya ayahnya, Si Petir tinggal berseorangan menghabiskan sisa-sisa hidup. 

Pada suatu petang, terjadi pertengkaran yang hebat antara Amy dan ayahnya. Pertengkaran yang bermula dari pertelingkahan lidah akhirnya berlarutan sehingga ke kekasaran fizikal dan juga senjata tajam. Puncanya kerana Amy tidak berpuas hati dengan tuduhan ayahnya yang menggelar dirinya anak puaka kerana menanam cita-cita hendak membunuh ayahnya. 

Pada mulanya, bukanlah soal Amy mahu membunuh hantu dalam diri ayahnya yang mencetuskan kemarahan Amy. Tetapi ia adalah kerana penilaian kasar lelaki itu tentang kehidupan peribadinya di Kuala Lumpur dan merasakan yang anak perempuan tunggalnya itu sudah tercemar. 

Mujur pergaduhan itu didengari Aini, jiran tetangga mereka. Aini lantas memanggil bapanya, Hamdan untuk meleraikan pergaduhan dua beranak itu. Pergaduhan tersebut memuncak apabila Amy mencapai cangkul dan Si Petir pula mengenggam erat parang Bajau di kedua-dua belah tangannya. Kedua-duanya saling menahan marah. 

Sejak petang itu, anak perempuan tunggalnya itu tidak lagi pulang ke rumah....

Kini, Si Petir sedang terbujur di ruang tamu, berdepan dengan sakaratul maut. Anak perempuan tunggalnya tiba di rumah setengah jam sebelum Si Petir menghembuskan nafas terakhir....


Keluarga Kedua: 
Aini bukanlah anak kesayangan Hamdan. Tetapi akhirnya, anak inilah yang setia tinggal berdua dengannya, selepas kematian isterinya. Sedangkan 3 orang anak yang lain, Ameena, Amran dan Ali sudah berjaya dan sibuk dengan kehidupan dan kerjaya mereka di bandar.  

Seperti orang tua yang lain, Hamdan juga tidak ketinggalan mengidap penyakit moden. Namun, bagi Hamdan, sakit atau sihat, kematian tetap akan datang. Maka, Hamdan membuat keputusan untuk membuat persiapan sebaik mungkin demi menghadapi kematiannya. 

Hamdan mula rapat dengan Malik, penjaga kubur di kampung mereka. Hamdan sudah melihat-lihat tapak yang boleh dijadikan pusaranya di kawasan kubur tersebut. Malik  dipertanggungjawabkan untuk menggali pusara tersebut dan memastikan ia sentiasa dalam keadaan yang elok dan bersedia untuk didiami jenazah Hamdan apabila sampai masanya. 

Pada mulanya Aini menganggap Hamdan hanya bergurau tatkala bercerita tentang persiapan kematiannya. Namun, apabila melihat kesungguhan Hamdan sehingga setiap hari melawat bakal rumah barunya (pusaranya), Aini menyedari Hamdan serius dengan ceritanya itu. 

Selain menyiapkan pusaranya, Hamdan juga menyediakan tempat mandi jenazah yang cantik di bahagian bawah rumahnya. Cantiknya kawasan mandi jenazah tersebut sehingga menimbulkan rasa kagum kepada kaum lelaki yang membantu memandikan jenazahnya pada hari kematiannya.

Urusan penyempurnaan jenazah seperti kain kafan, kain tutup keranda, bayaran saguhati kepada mereka yang terlibat dalam penyempurnaan jenazah dan pengembumiannya semuanya sudah dilunaskan terlebih dahulu oleh Hamdan. 

Ameena, anak perempuan sulung yang berjaya didalam dunia perniagaan tetapi kurang berjaya di alam rumahtangganya. Kesibukkan perniagaan menyebabkan Ameena jarang pulang ke rumah, namun digantikan dengan kiriman wang yang lumayan setiap bulan. 

Amran, anak lelaki sulung pula seorang yang tampan dan berjawatan tinggi dalam korporat. Sayangnya, Amran dibelenggu dengan masalah perempuan, judi dan hutang keliling pinggang. Hamdan sering bimbangkan Amran kerana merasakan hidup Amran sangat tidak terurus walaupun berjawatan tinggi. 

Ali, anak bongsu didalam keluarga mempunyai hati dan perasaan yang sangat halus. Ali dan Aini rapat sedari kecil. Namun, perhubungan kakak dan adik semakin renggang apabila Ali berhijrah ke bandar untuk menjadi seorang pencipta lagu. Kini Ali boleh berbangga dengan kejayaannya didalam dunia hiburan. Lagu-lagu ciptaannya banyak dinyanyikan samaada oleh penyanyi terkenal ataupun suam-suam kuku.

Kematian Hamdan meninggalkan kesan yang besar kepada Aini. Bertahun-tahun mereka tinggal berdua sahaja di rumah kampung tersebut. Bertahun-tahun Aini mengadap kerenah Hamdan sehingga sudah masak benar dengan perangai ayahnya itu.

Keadaan kesihatan Aini yang tidak menentu membimbangkan Hamdan mengenai bagaimana nasib anak perempuannya itu setelah kematiannya?Hamdan sering berpesan, Aini kena belajar hidup sendiri kerana jika ditakdirkan adik-beradik yang lain kurang mengambil peduli tentang dirinya selepas kematian Hamdan. Suatu pesanan yang ringkas namun menusuk hati gadis itu.

Kini jenazah Hamdan sedang terbujur kaku di ruang tamu. Kesemua anak-anak Hamdan pulang meratap kesedihan. Dari satu segi, Aini sangat sedih dengan pemergian ayahnya. Namun, dari segi yang lain, Aini berasa bahagia melihat mereka 4 beradik berkumpul di rumah. Suatu pemandangan yang sudah tidak dilihat sejak bertahun-tahun dahulu. Sayangnya, Aini terpaksa membayar harga yang mahal untuk melihat pemandangan tersebut, iaitu kematian ayahnya... 




Ok, untuk kisah Keluarga Ketiga, Patung Beruang tak mahu kongsikan disini. Tidak adil lah kalau semuanya ada disini, betul tak?

Meneliti naskah ini walaupun diluarnya tercatat kumpulan cerpen, tetapi boleh saja dikatakan ia adalah satu novel. Semua cerpen saling berkait antara satu sama lain. 

Seperti tajuknya, Cerita Orang-Orang Sunyi, naskah ini memperlihatkan pelbagai sisi kesunyian yang melanda seseorang itu. 

Kesunyian seorang bapa apabila isterinya meninggal dunia dan anak-anak pula bertebaran mengejar dunia di luar sana. 

Kesunyian seorang anak yang dambakan kasih sayang dan perhatian dari seorang bapa. Bukannya kemarahan, kata-kata kejian atau kekasaran. 

Kesunyian seorang adik atau kakak kepada adik-beradiknya yang lain. Mengapa ketika kecil, boleh hidup bersama, bermain dan tidur bersama, makan dan berbual bersama. Namun apabila dewasa, masing-masing membawa haluan sendiri seperti ikatan adik-beradik itu tidak pernah wujud didalam kamus hidup mereka?

Kesunyian seorang anak yang kematian ibunya, lantas menjadikannya anak yatim piatu. Ibunya dipusarakan di sebuah kampung yang asing, maka si anak nekad untuk berpindah ke kampung tersebut agar dapat sering menziarahi pusara ibu bagi melepaskan rindu. 

Kesunyian seorang anak yang dibuang sedari bayi, hidup berbapa angkatkan seorang lelaki tua. Menghabiskan zaman kanak-kanak, remaja, dewasa dan tuanya di tepi kawasan perkuburan, berbakti membantu mereka yang memerlukan. Berkerja sebagai penggali kubur, penjaga kubur dan hidup seadanya. Siangnya berpuasa dan malamnya beribadah, mengumpul bekal untuk dibawa pulang ke kampung Akhirat kelak.....

Thursday, October 20, 2016

Book Review: Anatomi Rupert

Tajuk: Anatomi Rupert

Penulis: Ruhaini Matdarin

Sinopsis Novel Ini:

Anatomi Rupert mengisahkan kehidupan masyarakat di Pekan Rupert, Sabah. Penulis memulakan karya ini dengan mengenalkan pembaca kepada Pak Ali. 

Pak Ali adalah seorang tukang gunting. Beliau mempunyai kedai gunting rambut yang terletak di tengah-tengah Pekan Rupert. Sebaris dengan kedainya adalah deretan kedai-kedai lama yang telah didirikan sejak puluhan tahun dahulu. 

Logiknya lokasi yang strategik boleh mendatangkan keuntungan kepada kedai gunting rambut Pak Ali. Namun, ia tidak berlaku. Ini adalah kerana kedai gunting rambutnya hanya menawarkan 2 jenis gaya potongan iaitu potongan rambut ala Hitler dan ala cendawan. Disebabkan itu, bilangan pelanggan yang datang ke kedai Pak Ali semakin hari semakin berkurangan. Manakan tidak, generasi muda mendambakan potongan ala K-Pop. Paling tidak pun, ala Justin Bieber. Akhirnya, mereka lebih selesa untuk pergi ke salon gunting rambut yang terdapat didalam kompleks membeli belah. Ada air-cond dan pelbagai gaya rambut ditawarkan juga. Perniagaan yang makin hari makin merosot menyebabkan keluarganya sering kali mendesak agar Pak Ali berhenti berniaga. Namun, desakan itu dipandang sepi kerana Pak Ali merasakan perniagaan itu sangat bermakna dalam sejarah hidupnya. 

Tok Mun pula adalah abang kepada Pak Ali. Seorang lelaki tua yang sangat uzur. Beliau terpaksa menggunakan tongkat dan alat bantu pendengaran serta kaca mata dalam menjalani kehidupan sehariannya. Walaupun sudah lanjut usia, Tok Mun bercita-cita untuk bertanding didalam pilihanraya. Dan jika beliau menang, beliau berhasrat untuk menukarkan nama Pekan "Rupert" kepada nama yang lebih bercirikan tempatan. Baginya, nama "Rupert" sangat berbau penjajah. 

Salim adalah pemuda yang datang merantau di Pekan Rupert. Beliau berasal dari kawasan pendalaman, beranggapan dengan berhijrah ke pekan luar, beliau akan mampu untuk mengubah ekonomi keluarganya. Namun, dengan pendapatan sebagai pembantu di kedai gunting rambut Pak Ali, tidak mampu menjadikan impian Salim itu satu kenyataan. Lantas, beliau nekad untuk kembali semula ke kampungnya dan mengusahakan tanah keluarga. Baginya, itu sahajalah jalan terbaik untuk beliau membuktikan kehebatan dirinya. 

Selain 3 watak ini, ada beberapa watak penting yang diketengahkan didalam novel ini iaitu Sumarni, Arif, Salihin dan Razak. 


Menariknya Novel Ini:

Anatomi Rupert memaparkan kehidupan masyarakat Pekan Rupert yang pelbagai ragam, baik lelaki atau wanita, tua atau muda. Ada yang bercita-cita tinggi tetapi malas, ada juga yang sudah diberi peluang untuk membuktikan diri namun disia-siakan, ada yang berusaha keras namun keadaan sekeliling tidak membantu dan ada juga yang berusaha keras dan berwawasan sehingga akhirnya mampu membuka mata masyarakat sekeliling. 

Membaca karya ini seperti kita melihat pelbagai tingkah-laku, pemikiran dan cara kehidupan masyarakat Melayu sebenarnya. 

Sumarni digambarkan sebagai seorang wanita, yang bergelar janda, merantau ke Pekan Rupert dengan niat mencari rezeki yang halal. Sebagai seorang peniaga yang bagus, Sumarni bijak mengambil peluang bagi membesarkan warung perniagaannya. 

Arif pula digambarkan sebagai seorang anak muda yang bercita-cita tinggi tetapi tidak nampak hala tuju. Malah, boleh juga dikatakan malas. Ingin menjadi kaya raya namun tidak sanggup bersusah payah. Namun, tatkala beliau dikhianati Razak, kawan baiknya dalam proses menjual makanan kesihatan, Arif mula sedar kelemahan dirinya. Pertelingkahan yang berlaku antaranya dan Razak menjadi titik tolak untuk Arif berubah. Beliau nekad menjadi nelayan, turun ke laut demi mencari rezeki yang halal. Dalam masa yang sama, Arif juga mula belajar meniaga hasil tangkapannya dari juragan kapal. Arif sedar, jika orang asing atau orang luar boleh berusaha keras sehingga dapat hidup dengan selesa, mengapa anak tempatan tidak boleh?

Salihin pula adalah anak Pak Ali. Seorang yang berpelajaran tinggi, usahawan berjaya dan mempunyai perancangan untuk memajukan Pekan Rupert. Salihin merasakan beliau mempunyai tanggungjawab yang besar bagi membantu anak-anak tempatan meningkatkan ekonomi masing-masing. 


Pada pendapat Patung Beruang, meneliti Anatomi Rupert ini adakalanya kita akan rasa sentap. Sentap kerana penulis menyentuh perkara yang sebenar. Mentaliti dan perilaku sebenar masyarakat Melayu. Pemalas, kuat berangan, tidak jujur, gemar tikam belakang, tidak suka melihat orang lebih dari dia dan macam-macam lagi perangai yang negatif. Namun itulah hakikatnya. Generasi muda Melayu sangat leka sehingga bangsa asing mengambil kesempatan dan akhirnya mereka lebih berjaya dari anak tempatan. Sedih namun itulah hakikatnya.

Namun, Patung Beruang yakin penulis ini mempunyai niat yang baik tatkala beliau menghasilkan karya ini. Satu karya yang bagus dan sangat berkualiti. Dan jujurnya, bila Patung Beruang mula membacanya, sukar untuk Patung Beruang lepaskan novel ini selagi tidak habis. Jalan cerita yang jelas, tidak membosankan dan gaya bahasa yang simple namun pembaca masih dapat menjiwainya. Hai.... betapa Patung Beruang rindu untuk membaca lebih banyak novel yang bagus seperti ini... 

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi, Bunny and Dak Yot...