Showing posts with label Norhafsah Hamid. Show all posts
Showing posts with label Norhafsah Hamid. Show all posts

Friday, February 4, 2022

Book Review : Will You Stay?


Tajuk : Will You Stay?

Penulis : Norhafsah Hamid

Menariknya Naskah Ini:

Nampaknya Patung Beruang masih tidak boleh berpisah dengan series Letters to God karya Norhafsah Hamid. Jumpa saja buku yang berkaitan terus tangan ini automatik capai buku tersebut di rak dan bawa ke kaunter bayaran. Adoiii... Sabar je lah.


Untuk Will You Stay? ini timeframe dia adalah beberapa tahun selepas Sarah dan rakan-rakannya habis belajar. Kali ini, watak utama dalam naskah ini adalah Amy, seorang doctor yang berumur 30 tahun. Amy adalah sahabat baik Sarah semenjak zaman sekolah lagi. Watak Amy diperkenalkan dalam buku pertama iaitu Letters to God. 

Amy dan Sarah kedua-duanya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di England cuma berlainan universiti dan jurusan. Sarah di Reading University, dalam jurusan undang-undang, Amy pula di Liverpool University dalam jurusan perubatan. Walaupun berbeza lokasi dan bidang pengajian, kedua-duanya masih lagi bersahabat baik sehinggalah tamat belajar. 

Sarah kini sudah pulang ke Malaysia, berkahwin dan mempunyai anak. Sedangkan Amy pula bertugas di Liverpool Hospital dan sedang menjalani latihan untuk menjadi pakar perubatan. 

Di Liverpool, Amy berkawan baik dengan Nieza dan juga Hasan. Ketiga-tiga mereka menuntut di universiti yang sama dan dalam jurusan yang sama. Dan kini, trio ini juga bertugas di hospital yang sama, dalam proses menjadi doctor pakar. 

Amy datang dari keluarga yang well educated. Semua adik-beradiknya sudah mendirikan rumahtangga kecuali dirinya. Oleh itu, Amy sering menjadi sasaran kemarahan ibunya disebabkan kedegilannya untuk meneruskan impiannya menjadi pakar perubatan. Sebenarnya hubungan Amy dan ibunya agak panas semenjak dahulu lagi. Sebab itulah, ketika zaman persekolahan, apabila Amy tertekan dengan ibunya, dia akan lari ke rumah Sarah dan berkongsi cerita dengan Sarah. Malah, ibu Sarah juga menganggap Amy seperti anaknya sendiri. 


Hasan pula datang dari family yang kaya-raya. Namun, kekayaan yang dimiliki keluarganya tidak membuatkan dirinya gelap mata dan hati. Hasan sentiasa merendah diri dan tidak gemar bercerita tentang keluarganya. Seperti yang sering Amy dan Nieza ungkapkan, kekayaan itu milik keluarganya. Maka, technically, Hasan tidak punya apa-apa. 


Hasan nekad untuk menjadi pakar oncologist apabila kembarnya, Husin meninggal dunia akibat barah otak. Ketika itu Hasan rasa helpless sangat kerana tidak dapat membantu untuk memulihkan penyakit Husin. Sejak itu Hasan bertekad untuk menjadi doctor agar dia dapat menyelamatkan ramai manusia dan mengelakkan keluarga lain merasa kehilangan seperti apa yang pernah dialaminya. 

Hasan mempunyai abang sepupu yang sangat rapat, bernama Rasyid. Rasyid adalah seorang peguam ternama di Malaysia dan pernah menuntut di Reading University sebagai pelajar PhD dalam jurusan undang-undang. Ketika di Reading, Rashid digilai oleh Linda namun hatinya terpaut pada Sarah. Linda menjadi cemburu sehingga sanggup memfitnah Sarah. Namun, akhirnya, Sarah menolak lamaran Rasyid kerana merasakan dirinya masih belum bersedia untuk berkahwin. Hakikatnya, jodoh Sarah dengan Jonah dan Linda juga bertemu jodoh dengan salah seorang graduan Reading University. Betapa perancangan Allah itu adalah yang terbaik. 


Untuk kali ini, bagi melepaskan tekanan kerja, Rasyid datang ke Liverpool untuk melawat Hasan. Kunjungan kali ini, Hasan memperkenalkan Rasyid dengan Nieza dan Amy. Persahabatan yang baru terjalin itu mudah mesra apatah lagi ibu Hasan sering bercerita tentang Amy dan Nieza dan menganggap kedua-dua gadis itu seperti anaknya sendiri. 

Tanpa diduga, memang ditakdirkan Allah yang Rasyid itu adalah jodoh Amy. Walaupun asalnya pilihan Amy ini ditentang hebat oleh ibunya sendiri, pendirian ibu itu berubah apabila mengetahui latar belakang dan kekayaan keluarga Rasyid. 

Perkahwinan pasangan ini berjalan lancar walaupun selepas habis tempoh berbulan madu, mereka terpisah demi mengejar tuntutan tanggungjawab kerjaya masing-masing. Rasyid di Kuala Lumpur dan Amy di Liverpool. Namun takdir Allah tiada siapa yang boleh menduga. Belum pun setahun usia perkahwinan mereka, rumahtangga mereka diuji apabila Rasyid disahkan mengidap barah otak. 

Rasyid kembali ke Liverpool demi mendapatkan pandangan kedua atau ketiga. Insan pertama yang ditemuinya tatkala tiba di Liverpool adalah Hasan. Keakraban dua lelaki ini seperti adik beradik. Dan kelayakan Hasan yang bakal bergelar pakar oncologist menguatkan lagi keyakinan Rasyid untuk menemui lelaki itu dan mendapatkan kepastian atas sakit yang ditanggungnya. 

Tatkala keputusan yang diterima adalah nyata, Rasyid nekad untuk tinggal di Liverpool dan mendapatkan rawatan yang sepatutnya. Pada mulanya Hasan ragu-ragu untuk merawatnya kerana bimbang dia akan mengulangi peritnya kehilangan ahli keluarga yang dikasihi tetapi dengan sokongan Nieza, Amy dan pakar perubatan di hospital, Hasan bangkit melawan keraguannya. 


Ujian kesihatan yang menimpa Rasyid digunakan sebaiknya oleh ibu Amy untuk memaksa Amy keluar dari perkahwinan tersebut. Bagi wanita itu, Amy hanya membuang masa mudanya dengan hidup bersama suami yang sakit dan bakal meninggal dunia pada bila-bila masa saja. 

Cukup kuatkah Amy untuk bertahan disamping Rasyid sedangkan dirinya juga berhak untuk bahagia? 




Naskah Will You Stay? ini masih mengekalkan tema Letters to God dimana latar ceritanya masih lagi di England, kukuhnya ikatan persahabatan dan kekeluargaan watak-watak didalamnya. 

Tetapi yang paling menarik sekali adalah ia membawa pembaca kepada kisah kehidupan manusia dimana adakalanya di pandangan mata kasar semuanya terlihat indah belaka. Hakikatnya, setiap orang tidak terlepas dari diuji. Ujian yang datang dalam pelbagai bentuk. Mungkin dari konflik keluarga, konflik dengan orang disekeliling, pelajaran dan pekerjaan yang sangat mencabar, godaan material dan maksiat di hadapan mata, kemiskinan atau kekayaan serta masalah kesihatan. 

Patung Beruang tidak pasti sama ada masih ada naskah lain selepas ini yang berkait dengan Letters to God series. Jika ada, Alhamdulillah. Jika tiada pun tiada masalah. Yang pasti, pembaca boleh saja menikmati Will You Stay? walaupun mereka tidak mengikuti Letters to God series. Jangan risau, pembaca tidak akan hilang arah, Insya Allah... 

Sunday, December 29, 2019

Book Review: Heaven Sent

Tajuk : Heaven Sent

Penulis : Norhafsah Hamid

Menariknya Naskah Ini : 

Naskah Heaven Sent ini Patung Beruang habis baca pada petang semalam. Thanks to Dilla sebab sudi pinjamkan buku ini pada Patung Beruang. 

Jika dibandingkan dengan Letters to God dan Rough Diamond, buku Heaven Sent ini agak sukar untuk dijumpai di kedai-kedai buku. Patung Beruang pun tidak pasti apa sebabnya. Mungkin kerana naskah ini diterbitkan oleh penerbit yang berbeza. 

Untuk kali ini, penulis membawa pembaca dengan lebih dekat tentang kehidupan Sarah di Reading University. Persahabatan Sarah dengan Gideon, Andy, Cynthia, Usman serta tidak dilupa juga Mat Bond dan Jaws. 

Sarah, si ulat buku ini gemar menghabiskan masa beliau di perpustakaan sehingga dia mempunyai favorite spot. Tempat yang sama yang akan didudukinya setiap kali dia berada di perpustakaan. 

Sarah sangat selesa dikelilingi dengan buku-buku dan sering tenggelam didalam bahan yang dibacanya. Sehingga tidak sedar apa yang berlaku disekelilingnya. 

Pertemuan yang pertama antara Sarah dan Jonah berlaku di perpustakaan tatkala Sarah menghadapi kesukaran untuk mengambil buku yang tersusun di rak buku yang tinggi. Simpati dengan kesukaran Sarah, Jonah telah membantunya untuk mengambil buku tersebut. Namun pertemuan yang pertama itu tidak berjalan lancar kerana Sarah menganggap Jonah adalah seorang kasanova apabila lelaki ini menyatakan hasrat untuk lebih mengenalinya. 

Jonah terperanjat dengan reaksi dingin Sarah. Inilah pertama kali seorang perempuan menolak pelawaannya malah menyindir pula sikap Jonah yang dilihat terlalu murah bagi Sarah. Jonah merasakan yang segala kelebihan yang dimilikinya samada rupa paras, sikapnya yang romantic dan bermulut manis seakan tidak berguna dihadapan Sarah. 

Setelah melalui beberapa episod penolakan dari Sarah, Jonah mula bertanya pada Jaws dan Mat Bond sebab mengapa Sarah bersikap sedemikian. Bagi menjawab persoalan Jonah itu, Mat Bond menerangkan kepadanya serba sedikit tentang Islam dan bagaimana Sarah berusaha keras untuk mempertahankan prinsipnya dan berusaha menjadi muslimah yang terbaik walaupun mereka semua berada di bumi asing, yang dikelilingi kehidupan bebas. 

Jonah mula membaca buku-buku berkaitan Islam dan mengikuti aktiviti keramaian yang berkaitan, bersama-sama dengan Jaws dan Mat Bond. Ketika Hari Raya Aidilfitri, Jonah menyedari yang Sarah tiada didalam keramaian tersebut. Akhirnya, ketiadaan Sarah di majlis tersebut terjawab apabila Mat Bond memberitahu yang Sarah menyambut Aidilfitri di London, bersama rakannya dari universiti lain. Dan pada hari itu juga Jonah mula mengetahui punca Sarah hanya bergaul dengan segelintir saja penuntut Malaysia di Reading, seperti Jaws dan Mat Bond sedangkan ada ramai lagi penuntut Malaysia yang lain, belajar di Reading ketika itu. 

Semakin Jonah belajar tentang Islam semakin beliau kagum dengan ketegasan Sarah dalam mempertahankan prinsipnya. Kini Jonah menyedari bahawa gadis lain yang dikenalinya termasuklah Linda jauh ke belakang berbanding Sarah. Ini menambahkan lagi perasaan tertariknya terhadap Sarah. Tetapi... Jonah sedar perasaan itu hanya kekal sebagai perasaan. Tidak akan mampu untuk diluahkan. Baginya, dirinya dan Sarah adalah dua manusia yang tidak mungkin akan bersatu sehingga bila-bila. 



Basically, untuk naskah Heaven Sent ini Patung Beruang sudah tahu endingnya kerana mereka berkongsi ending yang sama dengan Rough Diamond. Cuma dalam naskah kali ini penulis menceritakan dengan detail detik-detik pengakhirannya. 

Untuk kali ini, penulis menumpukan penceritaan kepada watak Sarah dan Jonah dari zaman mereka di Reading University sehinggalah mereka tamat belajar dan akhirnya sibuk dengan karier masing-masing. Cuma kagumnya adalah setelah bertahun-tahun mereka habis belajar, persahabatan yang terjalin tetap utuh, dan saling bertukar cerita walaupun mereka dipisahkan oleh benua yang berbeza. 

Patung Beruang baru saja miliki novel yang terbaru dalam sequel Letters to God, iaitu Dear God. Jika diteliti sinopsis di kulit belakang buku itu, seolahnya jalan ceritanya sama seperti Heaven Sent. Hm... pelik juga... 

Takpelah, biarlah Patung Beruang baca dulu naskah tersebut then baru boleh buat conclusion ye.. 

Thursday, November 21, 2019

Book Review: Rough Diamond

Tajuk : Rough Diamond

Penulis: Norhafsah Hamid

Menariknya Naskah Ini: 

Nampaknya beberapa minggu ini Patung Beruang tak sempat nak update Book Review disini. Sedangkan buku-buku yang habis dibaca, makin hari makin bertambah.

Maaflah ye. Beberapa minggu ini Patung Beruang sibuk dengan kerja, nak finalise audit report, siapkan Annual Audit Plan, prepare untuk Audit Committee Meeting. 

Weekend pula Patung Beruang sibuk dengan Kembang. Budak gemukss berkaki empat tu kurang sihat pula. Even dah bawa pergi jumpa vet, still kena pantau supaya dia makan ubat dan makan makanan dia. Doctor dah pesan, Kembang kena makan lebih sikit supaya berat dia kembali macam dulu. Kalau dia tak makan, lambatlah proses penyembuhan dia. Ini pun, Patung Beruang tak sempat lagi nak telefon rumah untuk tanya perkembangan dia. Harap-harap Kembang cepat sembuh seperti sediakala. Patung Beruang rindu nak bermain dan bermanja dengan dia macam dulu, huhu... 

Akhirnya, malam ini baru lah Patung Beruang dapat duduk bertenang untuk siapkan book review ini.. Finally.....

Sejak baca Letters to God, Patung Beruang dah mula suka dengan karya Norhafsah Hamid. Karya yang santai tapi sangat bermakna. Beliau memberi peluang kepada pembaca untuk menyelami watak-watak utama didalam naskah tersebut, menyelusuri perjalanan mereka mencari Tuhan. 

Rough Diamond ini adalah karya ketiga didalam siri Letters to God. Naskah Letters to God pernah Patung Beruang kongsikan disini. 

Kali ini, pembaca dibawa untuk mengenali watak Linda dengan lebih dekat. Permulaan cerita masih lagi di university, dimana Linda berkenalan dengan Sarah, Mat Bond, Jaws, Rashid dan lain-lain. Namun, di pertengahan cerita, segala-galanya berubah. Keadaan watak dan persekitaran cerita. Naskah ini diakhiri dengan episod selepas mereka tamat belajar dan mula membina kerjaya atau empayar masing-masing. 

Linda adalah anak tunggal, yang lahir dari keluarga elit. Perkahwinan campur kedua ibu bapanya, menyebabkan Linda mewarisi rupa paras yang sangat cantik dan otak yang sangat bijak. Sayangnya Linda kurang didikan agama. Cara hidup ibu bapanya, dirinya yang membesar dan bersekolah di London, pergaulan yang sangat bebas menyebabkan Linda terlupa yang dia adalah seorang Muslim sejak lahir. 

Sebagai cucu tunggal, Linda sangat disayangi oleh Gramps. Dalam diam, Gramps mula merancang untuk menjodohkan Linda dengan cucu rakan baiknya, Syed yang bernama Rasyid, yang menuntut di universiti yang sama dengan Linda.

Rasyid adalah seorang peguam yang mempunyai firma guamannya sendiri. Kedatangan Rasyid ke Reading University adalah untuk menyiapkan doctorate beliau didalam area Revenue Law. 

Rasyid dan Linda mula sedar niat orang tua mereka. Demi menghormati permintaan orang tua, mereka mula bersahabat. Tetapi ada sesuatu pada Linda yang membuatkan Rasyid ragu-ragu untuk membawa persahabatan mereka ke peringkat seterusnya. 

Didalam masa yang sama, Rasyid tertarik dengan Sarah kerana merasakan gadis ini berbeza berbanding pelajar perempuan yang lain. Keperibadian, kecerdikan dan ketegasan Sarah dalam menggalas tanggungjawab sebagai Muslim sangat mengagumkan Rasyid. 

Linda menyedari yang Rasyid tertarik dengan Sarah dan ini menambahkan lagi kemarahan dan kebenciannya terhadap gadis itu. Bagi Linda, Sarah adalah gadis yang kolot dan tidak layak untuk berdamping dengannya ataupun Rasyid. Linda harus bertindak segera bagi membunuh minat Rasyid terhadap Sarah.

Dalam masa sama, Linda masih berharap kepada Jonah. Baginya, lelaki mat saleh ini sangat menghormatinya sebagai seorang wanita. Kualiti yang sukar untuk dijumpai dikalangan kenalan lelaki Linda. 

Malangnya Jonah seakan melarikan diri dari Linda. Dan mula mengejar Sarah.

Kasihan Sarah. Dia tidak tahu dan tidak mengerti mengapa Rasyid dan Jonah berminat untuk mendekatinya. Adakah Sarah akan tetap tegas mempertahankan prinsipnya dihadapan kedua lelaki ini?
Atau mungkin Sarah juga akan mula berubah seperti segelintir penuntut wanita dari Malaysia di London itu? 

Sedangkan Linda semakin membenci Sarah. Memang tiada peluangkah untuk dua wanita Muslim ini melupakan persengketaan mereka dan seterusnya menjadi sahabat?

Adakah Linda berjaya mengikat Rasyid seperti yang dihajati oleh kedua keluarga mereka?
Atau mungkin Linda berjaya memiliki Jonah?

Siapa sebenarnya "rough diamond" yang dimaksudkan oleh penulis buku ini? Dan mengapa beliau digelar "rough diamond"? 

Persoalan-persoalan yang hanya terjawab dipenghujung naskah ini. 



Naskah ini menyedarkan kita yang Allah itu memang Maha Penyayang. Apapun yang kita buat, sebanyak mana pun maksiat yang kita lakukan, Allah tidak pernah berhenti menyayangi kita. Allah tidak pernah berhenti memberi rahmat kepada kita. 

Suatu hari, apabila Allah palingkan hati kita, dari yang kurang baik kepada lebih baik, atau mungkin dari yang baik kepada kurang baik, kita tidak akan mampu jangka apakah kesan dan kesudahannya. 

Oleh itu, jangan mudah mendabik dada dengan iman yang secebis ini. 
Ia boleh ditarik pada bila-bila masa saja. 
Tetapi jangan pula kita berputus asa untuk menjadi hamba-Nya yang terbaik. Selagi hayat masih ada, berusahalah, kerana Allah ingin melihat usaha hamba-Nya yang kerdil dan lemah ini.... 

Sunday, May 19, 2019

Book Review: Letters to God

Tajuk : Letters to God

Penulis : Norhafsah Hamid

Menariknya Naskah Ini: 
Naskah ini Patung Beruang beli hujung tahun lepas. Terjumpa secara tidak sengaja. Ketika itu, hajat dihati hendak mencari buku lain. Tidak mengapalah. Mungkin memang sudah rezeki Patung Beruang untuk memilikinya dan meneliti isi kandungan naskah ini. 

Letters to God membawa kita untuk mengenali, Sarah, seorang gadis muda yang sedang menuntut di universiti. Sarah secara asalnya adalah seorang introvert. Penulis membawa kita kepada liku-liku kehidupan Sarah di kampus dan cabaran yang dihadapinya dalam usaha untuk seimbangkan kehidupannya sebagai pelajar dan pencarian rohaninya. 

Naskah ini dimulakan dengan perbualan telefon antara Sarah dan rakan baiknya, Amy mengenai keputusan penempatan universiti mereka. Kedua-dua mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke United Kingdom cuma berlainan daerah dan universiti. 

Catatan pertama atau her first letter to God lebih kepada perasaan bimbangnya untuk memulakan pengajian dan kehidupan di tempat asing, jauh dari keluarga dan juga jauh dari Amy. Namun, Sarah berjanji yang beliau akan selalu menulis surat kepada Tuhan untuk meluahkan isi hatinya. 

Sarah ingin mempelajari Islam dengan lebih mendalam. Sebelum ini, beberapa kali beliau mengikut ibunya menghadiri kelas agama di Islamic Centre. Sayangnya, Sarah tidak dapat memberi sepenuh tumpuan ketika kelas sedang berjalan. Puncanya adalah kerana gaya penyampaian dan intonasi suara tenaga pengajar  yang sangat lemah-lembut sehingga seperti tidak bersemangat pula. Keadaan itu mendatangkan perasaan mengantuk kepada Sarah dan beliau berusaha untuk menahan diri dari tertidur didalam kelas. 

Namun, keadaan disini agak berbeza sedikit. Sarah berdepan dengan individu-individu yang mempunyai pengetahuan agama yang lebih mendalam, tetapi menunjukkan sikap kasar dan sombong diatas ilmu yang dimilikinya. Sarah terfikir, alangkah ruginya insan-insan sebegini, mempunyai ilmu namun tidak mengaplikasikannya didalam kehidupan mereka. 

Di asrama, rakan-rakan sering bertanya mengapa mereka tidak pernah melihat rambut Sarah. Adakah memang menjadi kewajipan wanita Islam untuk menutup rambut mereka sepanjang masa? 

Sarah berbesar hati untuk menerangkan tentang isu aurat kepada rakan-rakan asrama beliau. Bagi Sarah, ini juga satu usaha kecilnya untuk memberi pemahaman kepada mereka yang bukan Islam. Rakan-rakan Sarah mula lebih memahami agama Islam dan penganutnya. Walaupun mereka berlainan bangsa, agama dan negara asal, mereka saling menghormati antara satu sama lain dan ini menjadikan persahabatan mereka semakin erat.

Di kampus, Sarah dipertemukan dengan Linda. Linda juga bergama Islam dan berasal dari tempat yang sama dengan Sarah. Kehidupan Linda di sini sangat sosial dan Linda berbangga dengan kehidupannya. Linda menjadi sebutan para pelajar disini kerana kecantikkannya dan kehebatannya dalam berparti. 

Pada suatu hari, Linda dengan bangga menceritakan maksiat yang dilakukannya kepada rakan-rakan ketika sedang makan di cafe. Sarah merasa kurang senang kerana baginya mengapa kita hendak membuka aib sendiri sedangkan Allah sudah menutup aib kita. Disebabkan itu, Sarah menegur Linda secara baik. Malangnya Linda tidak dapat menerima teguran tersebut dan mula memburuk-burukkan Sarah. 

Islamic Centre yang terdapat di campus ini mengadakan kelas mengaji. Sarah bersemangat untuk menghadirinya. Tanpa diduga, pertama kali Sarah menghadiri kelas mengaji, beliau merasa rendah diri kerana menyedari bacaannya tidak selancar seperti pelajar yang lain. Dan Sarah terasa seperti banyak mata-mata yang memandangnya dengan rasa simpati. 

Nasib Sarah baik kerana seseorang memberitahunya mengenai kelas mengaji yang dibuka untuk mereka yang baru ingin belajar mengenali kalam Allah. Dan ternyata Sarah seronok menghadiri kelas tersebut walaupun baru pertama kali. Sarah mula nekad untuk belajar mendalami Al-Quran dengan lebih tekun dan menggali ilmu yang ada didalamnya. 



Naskah Letters to God ini sangat simple gaya penyampaiannya. Setiap bab itu adalah kandungan surat yang ditulis oleh Sarah kepada Tuhan. Setiap surat itu menceritakan apa yang dialami dan dirasai oleh Sarah. Adakalanya, kandungan surat itu lebih kepada kepada sesi meluah rasa antara seorang hamba dan Pemilik-nya. 

Selain itu, perkara yang buat Patung Beruang suka dengan naskah ini adalah setiap bab itu pasti ada petikan ayat Al-Quran yang simple namun sesuai dengan cerita disampaikan oleh Sarah. Dan petikan ayat Al-Quran tersebut juga menjentik hati kita tatkala kita mengalami situasi yang sama seperti Sarah. 

Watak Sarah digambarkan sebagai seorang gadis yang sedar kekurangan dirinya didalam ilmu agama namun masih berusaha untuk mencari ilmu walau apapun halangannya dan juga berusaha untuk menjadi muslimah yang terbaik. 

Namun tidak mudah untuk Sarah menjadi muslimah yang terbaik disini. Dirinya diuji dengan persekitaran yang tidak islamik, pergaulan bebas yang berada dihadapan mata, salah faham orang bukan Islam kepada Islam, kata-kata umpatan dan fitnah yang bertalu-talu datang dari orang lain yang cemburukannya dan pelbagai lagi ujian lain. Malah, ada antara ujian yang dihadapinya menyebabkan dirinya dipandang serong oleh pelajar lain. 

Sayangnya ending naskah ini agak tergantung. Tidak mengapalah, mungkin penulis mempunyai alasan sendiri mengapa kisah naskah ini habis sebegitu rupa. Jika buku ini ada sambungannya, semoga ada rezeki Patung Beruang untuk memilikinya. Aamiin...

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi, Bunny and Dak Yot...