Showing posts with label Letters to God series. Show all posts
Showing posts with label Letters to God series. Show all posts

Friday, February 4, 2022

Book Review : Will You Stay?


Tajuk : Will You Stay?

Penulis : Norhafsah Hamid

Menariknya Naskah Ini:

Nampaknya Patung Beruang masih tidak boleh berpisah dengan series Letters to God karya Norhafsah Hamid. Jumpa saja buku yang berkaitan terus tangan ini automatik capai buku tersebut di rak dan bawa ke kaunter bayaran. Adoiii... Sabar je lah.


Untuk Will You Stay? ini timeframe dia adalah beberapa tahun selepas Sarah dan rakan-rakannya habis belajar. Kali ini, watak utama dalam naskah ini adalah Amy, seorang doctor yang berumur 30 tahun. Amy adalah sahabat baik Sarah semenjak zaman sekolah lagi. Watak Amy diperkenalkan dalam buku pertama iaitu Letters to God. 

Amy dan Sarah kedua-duanya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di England cuma berlainan universiti dan jurusan. Sarah di Reading University, dalam jurusan undang-undang, Amy pula di Liverpool University dalam jurusan perubatan. Walaupun berbeza lokasi dan bidang pengajian, kedua-duanya masih lagi bersahabat baik sehinggalah tamat belajar. 

Sarah kini sudah pulang ke Malaysia, berkahwin dan mempunyai anak. Sedangkan Amy pula bertugas di Liverpool Hospital dan sedang menjalani latihan untuk menjadi pakar perubatan. 

Di Liverpool, Amy berkawan baik dengan Nieza dan juga Hasan. Ketiga-tiga mereka menuntut di universiti yang sama dan dalam jurusan yang sama. Dan kini, trio ini juga bertugas di hospital yang sama, dalam proses menjadi doctor pakar. 

Amy datang dari keluarga yang well educated. Semua adik-beradiknya sudah mendirikan rumahtangga kecuali dirinya. Oleh itu, Amy sering menjadi sasaran kemarahan ibunya disebabkan kedegilannya untuk meneruskan impiannya menjadi pakar perubatan. Sebenarnya hubungan Amy dan ibunya agak panas semenjak dahulu lagi. Sebab itulah, ketika zaman persekolahan, apabila Amy tertekan dengan ibunya, dia akan lari ke rumah Sarah dan berkongsi cerita dengan Sarah. Malah, ibu Sarah juga menganggap Amy seperti anaknya sendiri. 


Hasan pula datang dari family yang kaya-raya. Namun, kekayaan yang dimiliki keluarganya tidak membuatkan dirinya gelap mata dan hati. Hasan sentiasa merendah diri dan tidak gemar bercerita tentang keluarganya. Seperti yang sering Amy dan Nieza ungkapkan, kekayaan itu milik keluarganya. Maka, technically, Hasan tidak punya apa-apa. 


Hasan nekad untuk menjadi pakar oncologist apabila kembarnya, Husin meninggal dunia akibat barah otak. Ketika itu Hasan rasa helpless sangat kerana tidak dapat membantu untuk memulihkan penyakit Husin. Sejak itu Hasan bertekad untuk menjadi doctor agar dia dapat menyelamatkan ramai manusia dan mengelakkan keluarga lain merasa kehilangan seperti apa yang pernah dialaminya. 

Hasan mempunyai abang sepupu yang sangat rapat, bernama Rasyid. Rasyid adalah seorang peguam ternama di Malaysia dan pernah menuntut di Reading University sebagai pelajar PhD dalam jurusan undang-undang. Ketika di Reading, Rashid digilai oleh Linda namun hatinya terpaut pada Sarah. Linda menjadi cemburu sehingga sanggup memfitnah Sarah. Namun, akhirnya, Sarah menolak lamaran Rasyid kerana merasakan dirinya masih belum bersedia untuk berkahwin. Hakikatnya, jodoh Sarah dengan Jonah dan Linda juga bertemu jodoh dengan salah seorang graduan Reading University. Betapa perancangan Allah itu adalah yang terbaik. 


Untuk kali ini, bagi melepaskan tekanan kerja, Rasyid datang ke Liverpool untuk melawat Hasan. Kunjungan kali ini, Hasan memperkenalkan Rasyid dengan Nieza dan Amy. Persahabatan yang baru terjalin itu mudah mesra apatah lagi ibu Hasan sering bercerita tentang Amy dan Nieza dan menganggap kedua-dua gadis itu seperti anaknya sendiri. 

Tanpa diduga, memang ditakdirkan Allah yang Rasyid itu adalah jodoh Amy. Walaupun asalnya pilihan Amy ini ditentang hebat oleh ibunya sendiri, pendirian ibu itu berubah apabila mengetahui latar belakang dan kekayaan keluarga Rasyid. 

Perkahwinan pasangan ini berjalan lancar walaupun selepas habis tempoh berbulan madu, mereka terpisah demi mengejar tuntutan tanggungjawab kerjaya masing-masing. Rasyid di Kuala Lumpur dan Amy di Liverpool. Namun takdir Allah tiada siapa yang boleh menduga. Belum pun setahun usia perkahwinan mereka, rumahtangga mereka diuji apabila Rasyid disahkan mengidap barah otak. 

Rasyid kembali ke Liverpool demi mendapatkan pandangan kedua atau ketiga. Insan pertama yang ditemuinya tatkala tiba di Liverpool adalah Hasan. Keakraban dua lelaki ini seperti adik beradik. Dan kelayakan Hasan yang bakal bergelar pakar oncologist menguatkan lagi keyakinan Rasyid untuk menemui lelaki itu dan mendapatkan kepastian atas sakit yang ditanggungnya. 

Tatkala keputusan yang diterima adalah nyata, Rasyid nekad untuk tinggal di Liverpool dan mendapatkan rawatan yang sepatutnya. Pada mulanya Hasan ragu-ragu untuk merawatnya kerana bimbang dia akan mengulangi peritnya kehilangan ahli keluarga yang dikasihi tetapi dengan sokongan Nieza, Amy dan pakar perubatan di hospital, Hasan bangkit melawan keraguannya. 


Ujian kesihatan yang menimpa Rasyid digunakan sebaiknya oleh ibu Amy untuk memaksa Amy keluar dari perkahwinan tersebut. Bagi wanita itu, Amy hanya membuang masa mudanya dengan hidup bersama suami yang sakit dan bakal meninggal dunia pada bila-bila masa saja. 

Cukup kuatkah Amy untuk bertahan disamping Rasyid sedangkan dirinya juga berhak untuk bahagia? 




Naskah Will You Stay? ini masih mengekalkan tema Letters to God dimana latar ceritanya masih lagi di England, kukuhnya ikatan persahabatan dan kekeluargaan watak-watak didalamnya. 

Tetapi yang paling menarik sekali adalah ia membawa pembaca kepada kisah kehidupan manusia dimana adakalanya di pandangan mata kasar semuanya terlihat indah belaka. Hakikatnya, setiap orang tidak terlepas dari diuji. Ujian yang datang dalam pelbagai bentuk. Mungkin dari konflik keluarga, konflik dengan orang disekeliling, pelajaran dan pekerjaan yang sangat mencabar, godaan material dan maksiat di hadapan mata, kemiskinan atau kekayaan serta masalah kesihatan. 

Patung Beruang tidak pasti sama ada masih ada naskah lain selepas ini yang berkait dengan Letters to God series. Jika ada, Alhamdulillah. Jika tiada pun tiada masalah. Yang pasti, pembaca boleh saja menikmati Will You Stay? walaupun mereka tidak mengikuti Letters to God series. Jangan risau, pembaca tidak akan hilang arah, Insya Allah... 

Thursday, November 21, 2019

Book Review: Rough Diamond

Tajuk : Rough Diamond

Penulis: Norhafsah Hamid

Menariknya Naskah Ini: 

Nampaknya beberapa minggu ini Patung Beruang tak sempat nak update Book Review disini. Sedangkan buku-buku yang habis dibaca, makin hari makin bertambah.

Maaflah ye. Beberapa minggu ini Patung Beruang sibuk dengan kerja, nak finalise audit report, siapkan Annual Audit Plan, prepare untuk Audit Committee Meeting. 

Weekend pula Patung Beruang sibuk dengan Kembang. Budak gemukss berkaki empat tu kurang sihat pula. Even dah bawa pergi jumpa vet, still kena pantau supaya dia makan ubat dan makan makanan dia. Doctor dah pesan, Kembang kena makan lebih sikit supaya berat dia kembali macam dulu. Kalau dia tak makan, lambatlah proses penyembuhan dia. Ini pun, Patung Beruang tak sempat lagi nak telefon rumah untuk tanya perkembangan dia. Harap-harap Kembang cepat sembuh seperti sediakala. Patung Beruang rindu nak bermain dan bermanja dengan dia macam dulu, huhu... 

Akhirnya, malam ini baru lah Patung Beruang dapat duduk bertenang untuk siapkan book review ini.. Finally.....

Sejak baca Letters to God, Patung Beruang dah mula suka dengan karya Norhafsah Hamid. Karya yang santai tapi sangat bermakna. Beliau memberi peluang kepada pembaca untuk menyelami watak-watak utama didalam naskah tersebut, menyelusuri perjalanan mereka mencari Tuhan. 

Rough Diamond ini adalah karya ketiga didalam siri Letters to God. Naskah Letters to God pernah Patung Beruang kongsikan disini. 

Kali ini, pembaca dibawa untuk mengenali watak Linda dengan lebih dekat. Permulaan cerita masih lagi di university, dimana Linda berkenalan dengan Sarah, Mat Bond, Jaws, Rashid dan lain-lain. Namun, di pertengahan cerita, segala-galanya berubah. Keadaan watak dan persekitaran cerita. Naskah ini diakhiri dengan episod selepas mereka tamat belajar dan mula membina kerjaya atau empayar masing-masing. 

Linda adalah anak tunggal, yang lahir dari keluarga elit. Perkahwinan campur kedua ibu bapanya, menyebabkan Linda mewarisi rupa paras yang sangat cantik dan otak yang sangat bijak. Sayangnya Linda kurang didikan agama. Cara hidup ibu bapanya, dirinya yang membesar dan bersekolah di London, pergaulan yang sangat bebas menyebabkan Linda terlupa yang dia adalah seorang Muslim sejak lahir. 

Sebagai cucu tunggal, Linda sangat disayangi oleh Gramps. Dalam diam, Gramps mula merancang untuk menjodohkan Linda dengan cucu rakan baiknya, Syed yang bernama Rasyid, yang menuntut di universiti yang sama dengan Linda.

Rasyid adalah seorang peguam yang mempunyai firma guamannya sendiri. Kedatangan Rasyid ke Reading University adalah untuk menyiapkan doctorate beliau didalam area Revenue Law. 

Rasyid dan Linda mula sedar niat orang tua mereka. Demi menghormati permintaan orang tua, mereka mula bersahabat. Tetapi ada sesuatu pada Linda yang membuatkan Rasyid ragu-ragu untuk membawa persahabatan mereka ke peringkat seterusnya. 

Didalam masa yang sama, Rasyid tertarik dengan Sarah kerana merasakan gadis ini berbeza berbanding pelajar perempuan yang lain. Keperibadian, kecerdikan dan ketegasan Sarah dalam menggalas tanggungjawab sebagai Muslim sangat mengagumkan Rasyid. 

Linda menyedari yang Rasyid tertarik dengan Sarah dan ini menambahkan lagi kemarahan dan kebenciannya terhadap gadis itu. Bagi Linda, Sarah adalah gadis yang kolot dan tidak layak untuk berdamping dengannya ataupun Rasyid. Linda harus bertindak segera bagi membunuh minat Rasyid terhadap Sarah.

Dalam masa sama, Linda masih berharap kepada Jonah. Baginya, lelaki mat saleh ini sangat menghormatinya sebagai seorang wanita. Kualiti yang sukar untuk dijumpai dikalangan kenalan lelaki Linda. 

Malangnya Jonah seakan melarikan diri dari Linda. Dan mula mengejar Sarah.

Kasihan Sarah. Dia tidak tahu dan tidak mengerti mengapa Rasyid dan Jonah berminat untuk mendekatinya. Adakah Sarah akan tetap tegas mempertahankan prinsipnya dihadapan kedua lelaki ini?
Atau mungkin Sarah juga akan mula berubah seperti segelintir penuntut wanita dari Malaysia di London itu? 

Sedangkan Linda semakin membenci Sarah. Memang tiada peluangkah untuk dua wanita Muslim ini melupakan persengketaan mereka dan seterusnya menjadi sahabat?

Adakah Linda berjaya mengikat Rasyid seperti yang dihajati oleh kedua keluarga mereka?
Atau mungkin Linda berjaya memiliki Jonah?

Siapa sebenarnya "rough diamond" yang dimaksudkan oleh penulis buku ini? Dan mengapa beliau digelar "rough diamond"? 

Persoalan-persoalan yang hanya terjawab dipenghujung naskah ini. 



Naskah ini menyedarkan kita yang Allah itu memang Maha Penyayang. Apapun yang kita buat, sebanyak mana pun maksiat yang kita lakukan, Allah tidak pernah berhenti menyayangi kita. Allah tidak pernah berhenti memberi rahmat kepada kita. 

Suatu hari, apabila Allah palingkan hati kita, dari yang kurang baik kepada lebih baik, atau mungkin dari yang baik kepada kurang baik, kita tidak akan mampu jangka apakah kesan dan kesudahannya. 

Oleh itu, jangan mudah mendabik dada dengan iman yang secebis ini. 
Ia boleh ditarik pada bila-bila masa saja. 
Tetapi jangan pula kita berputus asa untuk menjadi hamba-Nya yang terbaik. Selagi hayat masih ada, berusahalah, kerana Allah ingin melihat usaha hamba-Nya yang kerdil dan lemah ini.... 

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi, Bunny and Dak Yot...