Saturday, November 6, 2021

Book Review : Wasiat Dari Langit Eropah


Tajuk : Wasiat Dari Langit Eropah 

Penulis : Dayana Chacho 

Menariknya Naskah Ini : 

Naskah ini Patung Beruang selesaikan pembacaannya petang semalam. Alhamdulillah... 

Tahun ini momentum pembacaan Patung Beruang sangat teruk. Momentum mencatat book review disini juga teruk. Harapnya dua bulan terakhir ini Patung Beruang dapat aktif kembali. Aktif membaca dan aktif berkongsi book review. Aamiin... 


Wasiat Dari Langit Eropah membawa pembaca kepada penulis muda, berusia 24 tahun bernama Anis Malisa. Seorang anak tunggal yang tinggal berdua dengan ibunya, Puan Rosminah Samsuddin. 

Anis terpilih untuk mengikuti program Kembara Penulis Muda ke Kota London, anjuran ITBM. Di dalam Kembara ini, Anis berkenalan dengan penulis muda yang lain seperti Ain Hana, Hisyam, Daniel dan Ranjit. 

Pelbagai kisah menarik dialami oleh para penulis muda ini sepanjang kembara mereka. Tidak lupa, mereka juga dibawa menjelajah tempat-tempat menarik di Kota London, serta di dedahkan dengan kehidupan seharian warga kota yang sentiasa sibuk ini. Semuanya demi memberi pengalaman baru agar dapat memberi inspirasi kepada mereka untuk menghasilkan karya yang lebih hebat. 

Lawatan ke National Gallery adalah antara lawatan yang sangat ditunggu-tunggu oleh Anis. Sebagai seorang pencinta seni, Anis sangat teruja menatap koleksi lukisan-lukisan yang dipamerkan di National Gallery itu. 

Sedang leka menikmati lukisan-lukisan karya hebat dari para pelukis, Anis terpaku dengan sebuah lukisan potret wajah seorang wanita bertudung dan di pangkuannya dilukis pula seorang bayi yang sedang digendong. Wajah wanita tersebut seperti wajah wanita campuran Asian. Entah mengapa, hati Anis tiba-tiba sayu dan hiba melihat kesedihan potret wajah wanita itu. Hati Anis kuar bergetar mengatakan wanita itu adalah wanita Melayu. Tandatangan di potret ini menyatakan pelukisnya bernama Abdullah alias Robert.

Pertemuan dengan potret wanita Melayu di National Gallery itu menimbulkan seribu persoalan di fikiran Anis. Malah, potret itu berada di dalam ingatannya berhari-hari. Tika malam pula, Anis akan diganggu dengan mimpi yang sama, berulang-ulang. Dan semuanya berkisar kepada pasangan suami isteri yang terpaksa berpisah kerana kejadian yang diluar kawalan mereka. 

Adakah wujud ikatan atau perkaitan antara lukisan tersebut dan Anis? 

Apa sebenarnya yang ingin Allah tunjukkan pada gadis ini tatkala dia diterima menyertai kembara jelajah ini? 


Naskah Wasiat Dari Langit Eropah ini adalah sebuah naskah yang ringan. Patung Beruang seronok menikmatinya terutama apabila penulis berkongsi pengalaman mereka melawat lokasi menarik di Kota London seperti: 

  • Hyde Park, tempat untuk berehat, berjalan-jalan menikmati alam sekitar dan juga untuk sesiapa yang ingin berucap didepan orang ramai; 
  • Bayswater,  tempat mencari souvernir yang murah-murah sehingga pelancong atau pengembara rambang mata; 
  • Whiteleys, pusat membeli-belah yang kedudukan tangga membelakangkan arah pintu masuk utama; 
  • Restoran "Tuk Din"; antara restoran yang terkenal di kalangan rakyat Malaysia yang berkunjung ke London; 
  • Pusat membeli-belah Primark; 
  • Tower Bridge, Eyes of London dan macam-macam lagi. 
Teringat pula ketika waktu Patung Beruang menjelajah di sana bersama keluarga pada tahun 2018. Menariknya travel di sana adalah pengangkutan awam yang sangat menyeluruh dan reliable. Kami hanya memandu dari homestay terus ke stesen tube terdekat, dan selepas itu kami menggunakan tube saja untuk berjalan seharian. Cuma bila kami berada di Lancaster,  barulah kami memandu kereta apabila hendak kemana-mana, walaupun untuk pergi makan atau dobi, hehe.. 


Selain dari perkongsian tempat-tempat menarik di sana, Patung Beruang juga tertarik dengan misteri potret lukisan Abdullah alias Robert. Bagaimana sebuah potret wanita Melayu boleh berada di ruang pameran National Gallery? Cuma pada pendapat Patung Beruang, pengakhiran kisah ini sedih.... 

"Orang yang suka merenung bintang akan akhirnya menemui bintang di dalam dirinya. Orang itu akan menemui cahaya bintang itu di dalam dirinya sebagaimana dia melihat cahaya bintang di dada langit."  - mukasurat 7

Sunday, October 10, 2021

Book Review: Bisik Pada Langit


Tajuk : Bisik Pada Langit 

Penulis : Siti Khadijah 

Menariknya Naskah Ini : 

Novel ini Patung Beruang selesaikan pembacaannya petang tadi. Alhamdulillah. 

Momentum membaca Patung Beruang tahun 2021 ini sangat teruk. Sukar sekali untuk habiskan sebuah buku, dan setelah habis, sukar pula untuk berkongsi book review disini. Jujurnya Patung Beruang rindu untuk duduk mengadap buku atau mencoret catatan di sini sebagai mengisi masa lapang. 

Puaslah berfikir, apakah puncanya jadi begini. Adakah disebabkan tekanan kerja yang melampau, beban kerja yang sentiasa membukit dan tidak pernah surut, keadaan diri yang terkurung disebabkan pandemik Covid-19 ini, atau tarikan Netflix yang terlalu kuat? Hm... entahlah... terlalu banyak faktor penyumbang sebenarnya. 

Baiklah.. kita tinggalkanlah sebentar isu momentum Patung Beruang ini ye. Kerana diri ini tidak yakin yang masalah momentum ini boleh selesai dalam waktu terdekat... 


Bisik Pada Langit, tajuknya sangat menarik. Ketika Patung Beruang ternampak naskah ini di Popular Aeon Equine Park, tangan terus mencapainya dan mula membaca baris-baris tulisan di kulit belakang. 

Siti Hajar binti Rosli, seorang gadis pintar yang sedang menuntut di jurusan ijazah kejuruteraan di sebuah universiti ternama di Australia. Pengajiannya disana ditanggung sepenuhnya oleh biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Siti Hajar adalah anak kedua dari 3 orang adik beradik. Mempunyai seorang abang bernama Zaidi dan seorang adik lelaki, Iqram.

Sebagai anak perempuan tunggal, Siti Hajar sangat dilindungi dan ditatang seperti minyak yang penuh oleh Wak Rosli dan isterinya Mak Nab. Namun, walau bagaimana kuatnya perasaan sayang dan melindungi, Wak Rosli tetap bertegas dengan Siti Hajar bagi memastikan anak gadisnya ini menjadi manusia dan anak yang baik. 

Sedar keadaan keluarganya yang miskin, Wak Rosli sangat mementingkan pelajaran anak-anaknya. Baginya, hanya pelajaran saja yang boleh mengubah nasib keluarga mereka. Sebagai orang kampung yang hanya membuat kerja-kerja kampung, Wak Rosli sedar kemiskinan keluarganya akan boleh menyebabkan masyarakat memandang hina pada mereka. 

Zaidi dan Siti Hajar cemerlang ketika alam persekolahan. Namun setelah tamat SPM, Zaidi melupakan cita-citanya untuk menyambung pelajaran dek kerana Wak Rosli sakit dan mereka sekeluarga hilang punca pendapatan. Zaidi mengorbankan impiannya demi memastikan keluarga mereka ada makanan setiap hari, serta Siti Hajar dan Iqram mampu meneruskan persekolahan mereka. Dengan sijil SPM yang ada, Zaidi diterima bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat contractor di pekan sana. 

Keputusan SPM yang sangat cemerlang melayakkan Siti Hajar untuk menerima biasiswa JPA dan tawaran belajar di Australia. Walau pada asalnya Wak Rosli berat untuk melepaskan satu-satunya anak perempuannya itu ke tempat orang, berkat pujukan Zaidi dan Mak Nab, dia merelakan pemergian Siti Hajar demi menuntut ilmu. 

Di Australia, selain menghadiri kuliah, Siti Hajar juga bekerja sambilan demi mencari duit tambahan. Impiannya hanya ada 2, untuk membantu dan mengubah nasib keluarga yang berada di Benut, Johor dan juga membeli motosikal idamannya dengan duit sendiri. Walau sibuk dengan kerja sambilan, Siti Hajar masih lagi berjaya mendapat keputusan cemerlang di setiap semester dan menjadi pelajar terbaik di jurusannya. 

Kini tinggal beberapa bulan saja lagi untuk Siti Hajar tamat pengajian dan pulang ke Malaysia. Rindu terhadap keluarga menggunung tinggi. Tanpa diduga, perancangan Allah mengatasi segalanya. Siti Hajar ditimpa kemalangan jalanraya dan kecederaan parah di kepalanya menyebabkan gadis ini berada di dalam keadaan koma selama berminggu-minggu. 

Kemalangan yang menimpa Siti Hajar benar-benar memeranjatkan keluarga di Benut. Wak Rosli berkeras untuk segera pergi mendapatkan anak gadisnya itu walaupun sedar jarak Australia dan Benut, Johor terlalu jauh, dan ditambah dengan keadaan keluarganya yang langsung tidak berkemampuan. Sifat panas baran dan tidak sabar Wak Rosli benar-benar menguji Mak Nab, Zaidi dan Iqram. Dalam sedih dan takut memikirkan keadaan Siti Hajar, mereka juga gerun dengan tutur kata dan tingkah laku Wak Rosli yang boleh berubah sekelip mata. 

Keadaan dan perkembangan Siti Hajar dihospital seringkali dimaklumkan oleh Irwan kepada Wak Rosli dan Zaidi. Kehadiran Irwan secara tiba-tiba dalam kehidupan keluarga mereka tidak disenangi oleh Wak Rosli. Tanpa pernah bersua muka dan mengenali secara peribadi, Wak Rosli membuat pelbagai telahan terhadap Irwan. Baginya apa yang berlaku pada Siti Hajar pasti disebabkan pengaruh Irwan. Siti Hajar anak yang baik. Siti Hajar tidak akan sekali-kali memalukan keluarga. 

Masihkah ada harapan untuk Siti Hajar pulang ke pangkuan keluarga? 

Atau mungkin hanya jasad sahaja yang pulang, mohon untuk disempurnakan dan disemadikan dengan tertib? 

Apa benar, hari yang paling gembira itu sebenarnya permulaan untuk sesuatu yang menyedihkan? 


Naskah Bisik Pada Langit ini sedap tetapi sedih. Ia kisah sebuah keluarga miskin, yang tinggal di kampung namun bertuah kerana mempunyai anak-anak yang baik dan bijak pandai. Anak-anak yang dikagumi oleh ibu bapa lain dek kerana kecemerlangan dalam akademik, kemahiran teknikal dan juga keperibadian yang sangat menyenangkan. Anak-anak muda yang tidak kekok untuk berjemaah dimasjid ketika Maghrib dan Isyak menjadi petunjuk betapa beruntungnya Wak Rosli dan Mak Nab sebagai ibu bapa. 

Watak Wak Rosli adalah watak tipikal seorang ayah yang sangat menyanyangi keluarganya namun tidak pandai untuk menzahirkan secara lisan atau pun perbuatan. Baginya, kasih sayang itu adalah apabila beliau berusaha keras untuk memastikan ada makanan diatas meja makan setiap hari dan melindungi keluarganya dari sebarang bahaya dan musibah walau sekecil-kecil gigitan nyamuk di waktu malam. 

Benarlah, ibu dan ayah itu terlalu banyak pengorbanan mereka demi membesarkan anak-anak dan memastikan mereka menjadi manusia yang berjaya. Kejayaan itu tidak semestinya diukur dari keputusan peperiksaan yang penuh dengan A atau kerjaya yang menjanjikan gaji yang lumayan. Apabila anak itu menjadi seorang manusia yang baik, hamba Allah yang beriman dan disenangi masyarakat, ia juga adalah suatu kejayaan bagi ibu bapa. 

Sebuah naskah kekeluargaan yang sangat merendah diri dan berpijak di realiti.... 

Thursday, August 12, 2021

Book Review : Embargo


Tajuk : Embargo 

Penulis : Zahari Affandi 

Menariknya Naskah Ini : 

Naskah ini Patung Beruang selesaikan pembacaannya pada hujung minggu lepas. Alhamdulillah. 

Embargo bermaksud perintah larangan atau sekatan. Jika dari sudut ekonomi, embargo mempunyai beberapa definisi khusus seperti: 

1. Perintah yang melarang kapal-kapal dari atau masuk ke pelabuhan. 

2. Larangan mengeksport dagangan ke sesebuah negara. 

3. Perintah, tindakan dan sebagainya yang menghentikan kegiatan perdagangan dengan sesebuah negara secara menyeluruh atau terbatas. 


Berbalik kepada naskah Embargo ini, pengertiannya lebih menyeluruh yang mencakupi peranan watak-watak yang ada ketika berdepan dengan sekatan, serangan, cubaan dan pergolakan dalam dunia politik, kehidupan beragama, bermasyarakat dan berkeluarga. 

Naskah Embargo ini mengisahkan Yang Berhormat Datuk Alang Bahadur yang gigih berusaha mempertahankan jawatannya sebagai Ahli Majlis Tertinggi sebuah parti politik terkemuka tanah air. 

Dalam usahanya untuk berbakti sehabis baik kepada masyarakat, Datuk Alang diuji dengan konflik keluarga, pengkhianatan dari orang kepercayaannya, serangan dari musuh politik serta juga penjenayah yang mengganggu keharmonian masyarakat dan pengundi di kawasannya. 

Dalam parti, Datuk Alang berdepan dengan pengikutnya yang suka mengambil kesempatan dan berperangai tin kosong. Kamal Intelek mengganggap dirinya sebagai orang kanan Datuk Alang. Namun, sikap, pemikiran dan pembawaan dirinya hanya menjadi kanser kepada kerjaya dan perjuangan politik Datuk Alang. Sikap Kamal Intelek yang suka mengampu dan pantas menyambar peluang untuk habuan dirinya sendiri menjengkelkan ramai pihak. 

Mujur Datuk Alang masih mempunyai orang kanan lain yang lebih berkualiti seperti Haji Badrul, Nawawi, Imam Haji Siraj dan juga generasi muda yang berpotensi menjadi pelapis pemimpin seperti Wan Muhammad. 

Kejayaan Datuk Alang memajukan Kubang Itik dari sebuah kampung kecil yang hanya ada pokok getah saja kepada pekan yang mampu menjana ekonomi sendiri menjadikan Datuk Alang adalah aset kepada penduduk dan pengundi disana. 

Kubang Itik bukan calang-calang kawasan Parlimen. Mempunyai kegiatan ekonomi yang rancak hasil dari aktiviti pertanian, penternakan, perusahaan kecil dan sederhana telah membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk tempatan sekaligus mengekang penghijrahan ramai anak muda ke luar bandar. Selain itu, kebajikan dan pendidikan masyarakat juga tidak dilupa. Koperasi yang ditubuhkan berjaya diuruskan dengan sebaik mungkin dan pulangannya dapat dinikmati oleh semua ahli yang berdaftar. Pendidikan anak-anak dari peringkat pra sekolah sehingga ke pendidikan menengah dan pengajian tinggi dititik beratkan. 

Lumrah kejayaan yang dikecapi pasti dicemburui oleh mereka yang tidak sehaluan. Kubang Itik diuji dengan aktiviti jenayah dan kegiatan haram yang melibatkan orang tempatan dan juga orang luar seperti Ali, Wahab dan Ah Tat. Jahatnya mereka bukan calang-calang sehingga melibatkan keganasan dan penggunaan senjata api. 

Dalam sibuk Datuk Alang menguruskan Kubang Itik dan kerjaya politik, anak lelakinya terpengaruh dengan fahaman pluralisme dan liberalisme. Pembabitan anak lelakinya itu seolah memberi durian runtuh kepada parti lain untuk menyerang Datuk Alang. Malah, satu-satunya anak perempuan Datuk Alang pula terlibat dengan gerakan militan Islamic State sehingga sanggup menggadaikan nyawa sendiri. 


Naskah Embargo ini pada pendapat Patung Beruang adalah sebuah naskah yang berpijak di bumi nyata. Selok belok politik tanah air, jatuh bangun ahli politik, permainan keji dan tikam-menikam yang ditulis menggambarkan situasi sebenar yang berlaku diluar sana. 

Watak Datuk Alang digambarkan sebagai seorang ahli politik yang baik dan berprinsip, yang menceburi dunia politik dengan niat untuk membantu rakyat. Niat itu dikotakan sehingga tiada alasan untuk rakyat menolak kepimpinannya. Namun, dalam hidup ini, tidak semuanya indah belaka. Walau Datuk Alang dilihat berjaya di kawasan Parlimennya, terselit kegagalan dalam pengurusan keluarga kecilnya sendiri. Kegagalan itu terlalu mahal maharnya sehingga merenggut kesihatan isteri tersayang. 

Jujurnya Patung Beruang benar-benar menikmati naskah ini. Kisah yang nyata dan momentum pembacaan juga laju. Tiada cerita yang  meleret-leret atau pun membosankan. Tahu-tahu saja sudah tamat naskah yang mempunyai 396 mukasurat ini. Alhamdulillah.... 

Sunday, August 1, 2021

Book Review : Di Atas Sayap-Sayap Malaikat


Tajuk : Di Atas Sayap-Sayap Malaikat 

Penulis : Hana Ilhami 

Menariknya Naskah Ini: 

Alhamdulillah, setelah beberapa bulan Patung Beruang tidak berkongsi book review, akhirnya malam ini barulah berjaya melawan rasa malas dan tidak bersemangat itu. Alhamdulillah.. 

Novel ini Patung Beruang selesaikan pembacaannya petang tadi, selepas 2 minggu mula membaca. 


Di Atas Sayap-Sayap Malaikat membawa pembaca kepada kisah Ustaz Naim, seorang tenaga pengajar merangkap ketua / pemimpin di Madrasah Darul Uloom Al-Haniffa. Madrasah ini terletak di Adliswil, sebuah pekan kecil yang tenang dan cantik di Switzerland. 

Ustaz Naim yang berasal dari Malaysia sanggup berhijrah ke Switzerland demi menegakkan syiar Islam. Pembelajaran di Darul Uloom sangat tenang sehinggalah beberapa keping nota dilekatkan di tembok batu di hadapan madrasah tersebut, mengandungi kata-kata yang kurang menyenangkan. 


Dalam masa yang sama, seorang gadis Yahudi bernama Miriam sering kali memerhatikan madrasah itu, para penuntutnya dan juga Ustaz Naim sendiri. Entah mengapa, terdapat tarikan yang kuat pada madrasah tersebut dan penghuninya yang menguatkan keinginan Miriam untuk mengenali mereka dengan lebih dekat. Akhirnya Miriam mengambil keputusan untuk mengunjungi madrasah tersebut untuk mempelajari seni khat dari Ustaz Naim dan dalam masa yang sama bertanyakan tentang Islam. 

Minat Miriam terhadap Darul Uloom ditentang keras oleh ibunya, Judith dan juga pengasuhnya Debbie. Judith yang berketurunan Yahudi merasakan orang Islam tidak layak untuk dibuat sahabat atau diterima didalam masyarakat kerana taraf mereka lebih rendah dan juga keganasan yang mereka lakukan. 

Judith terkesan apabila suaminya, Hermann seorang wartawan ternama di Jerman hilang tanpa dapat dikesan apabila beliau dihantar bertugas ke Fallujah, Iraq. Rakan sepejabat yang pergi bersama menyatakan Hermann menjadi mangsa pengeboman ketika mereka sedang bertugas dan akhirnya hilang tanpa dikesan. Ramai menyangka Hermann telah meninggal dunia di Iraq namun hati kecil Judith mengatakan sebaliknya. 

Demi mencari kebenaran mengenai Hermann, Judith sanggup berpindah-randah berdasarkan maklumat yang diterimanya.


Tindakan Judith menetap di Switzerland ketika ini adalah kerana dia mencari Nadine, seorang wanita Amerika yang berpindah ke sini demi mencari kehidupan yang lebih baik dan tenang. 

Nadine, anak sulung kepada Marcia dan Prebet Diego. Diego adalah seorang askar Amerika yang pernah dihantar bertugas di Iraq. Diego juga pernah berjumpa dan berinteraksi dengan Hermann ketika di Fallujah. Namun, kini Diego mengalami tekanan jiwa akibat trauma peperangan. Dan tekanan itu menyebabkan Diego menjadikan dadah sebagai rakan karibnya. Kehidupan Diego yang terumbang-ambing menyebabkan dia banyak berhutang dan  Nadine terpaksa bekerja keras untuk membayar hutang-hutang bapanya itu. 

Perkenalan Nadine dan Judith memberi kelebihan kewangan yang besar buat Nadine sehingga berjaya melangsaikan hutang-hutang bapanya. Namun, ia bukanlah percuma. Nadine diupah untuk menggoda Ustaz Naim dan memporak-perandakan Darul Uloom. Semuanya hanya untuk 1 tujuan, menyekat kebangkitan syiar Islam di bumi Swiss. 


Dalam masa yang sama, madrasah Darul Uloom juga diuji dengan kerenah penuntut yang seringkali mencabar kesabaran Ustaz Naim. Yusuof, anak remaja terbiar yang baru saja memeluk Islam. Tingkah laku dan percakapannya yang kasar dan semberono seringkali mengocak ketenangan Darul Uloom. Keadaan memuncak apabila Yusuof mencabar Ustaz Naim untuk beradu kekuatan dimana taruhannya adalah sangat mahal. Hakikatnya Yusuof mempunyai agendanya yang tersendiri. Kehadirannya ke Darul Uloom bukanlah semata-mata untuk menuntut ilmu seperti anak-anak lain. 

Noah, penuntut yang tertua di Darul Uloom mempunyai perwatakan yang serius dan digeruni oleh murid-murid lain. Namun, satu incident di bilik air menyebabkan Abu Hasif, penuntut cilik dan penyeri Darul Uloom menjadi sangat takut dengan Noah. 

Siapakah sebenarnya Noah dan Yusuof? 

Dan apakah sisi gelap yang cuba mereka sembunyikan dari pengetahuan Ustaz Naim dan para penghuni Darul Uloom? 


Bumi Switzerland yang cantik dan tenang berkocak seketika apabila adanya larangan berniqab di kalangan wanita Islam. Selain itu, pembunuhan adik Nadine iaitu Nicholas dan juga sahabat baik Nadine, Heidi telah membawa perubahan kepada diri gadis ini. Nadine mula mencari kebenaran diatas kematian dua orang insan rapatnya itu. 

Apakah yang berlaku sebenarnya? 

Mengapa mereka dibunuh? 

Apakah salah mereka? 

Adakah Nadine punca segala-galanya sehingga mengorbankan nyawa yang tidak berdosa? 


Pencarian Nadine itu menyebabkan dia menyedari dalang sebenarnya adalah seorang wanita yang tidak pernah disangkanya selama ini. Siapakah wanita itu? Apakah motif utama wanita tersebut? 


Jujurnya, naskah Di Atas Sayap-Sayap Malaikat ini berat. Berat dari segi fizikal (ia mempunyai 581 mukasurat) dan juga berat dari segi pengisiannya. Namun, walaupun naskah ini berat, momentum cerita sangat laju sehingga Patung Beruang tidak langsung rasa bosan ketika membaca. Seolah-olah seperti tenggelam di dalam cerita tersebut. 

Naskah ini membawa pembaca kepada suka-duka masyarakat Islam di luar negara yang berdepan dengan Islamophobia, sikap taksub membuta-tuli yang akhirnya membawa kepada permusuhan, ketidakadilan media dan pemimpin dalam menyalurkan maklumat kepada masyarakat serta agenda dan usaha pihak-pihak tertentu yang tidak senang dengan kebangkitan syiar Islam dan berusaha untuk menghapuskannya. Tidak dilupa, konsep jihad sebenar dalam Islam dan keganasan melampau dilakukan hanya dengan alasan jihad. 

Di akhir zaman ini, fitnah berleluasa sehingga sukar untuk kita mengetahui mana yang benar dan mana yang palsu. Kebiasaannya, yang palsu itu disogokkan berkali-kali sehingga tanpa sedar kita termakan dan terpedaya. 

Naskah yang sedap dan sangat berbaloi untuk dibaca oleh semua....

Friday, May 14, 2021

Book Review : Margaretta Gauthier

Tajuk : Margaretta Gauthier 

Penulis : Hamka 

Menariknya Naskah Ini : 

Ini adalah naskah terjemahan Buya Hamka yang sering Patung Beruang nampak iklannya di media sosial. Cuma baru awal tahun ini Patung Beruang berpeluang untuk memilikinya. 

Naskah ini mengambil masa lebih kurang 24 jam untuk Patung Beruang habiskan pembacaannya. Cuma, Patung Beruang ambil masa lama sangat untuk siapkan Book Review. Bukan tidak menarik tetapi Patung Beruang seperti hilang minat untuk membaca dan menulis.

Situasi pandemik kali ini benar-benar sangat mencabar mental Patung Beruang. Ditambah lagi dengan keadaan semasa syarikat. Tenaga fizikal, mental dan psikologi Patung Beruang seolah-olah habis disedut oleh syarikat, sehingga Patung Beruang rasa helpless. Bila di rumah, kalau tidak mengadap laptop atas urusan kerja, Patung Beruang hanya akan berbaring di atas katil sambil memeluk teddy bear. Ada 3 ekor teddy bear di atas katil itu. Pilih saja lah mana yang berkenan di hati. 

Hampir setiap malam Patung Beruang akan berkongsi cerita dengan Imran. Selang beberapa hari Patung Beruang akan telefon Ibu pula untuk meluah perasaan. Siap dengan package menangis lagi. Pergi kerja menangis, di tempat kerja menangis, balik kerja menangis, di rumah menangis, sedang solat menangis, sedang berdoa menangis, sedang baca Al-Quran pun menangis. Sangat melelahkan dan menyakitkan.... hm....


Baiklah, kita tinggalkan sebentar kisah Patung Beruang. Jom kembali ke karya Hamka ini. 


Margaretta Gauthier adalah karya terjemahan dari naskah asal yang ditulis pada tahun 1848 oleh Alexandre Dumas Junior, seorang penulis Perancis. Setelah itu, naskah ini diterjemahkan ke bahasa Arab oleh sasterawan Mesir bernama Mustafa Lutfi al-Manfaluti. 

Buya Hamka telah mengambil naskah terjemahan bahasa Arab yang telah diringkaskan dan disesuaikan dengan pembaca Muslim, untuk beliau terjemahkan ke bahasa Indonesia pula. 

Margaretta Gauthier adalah seorang wanita muda dan cantik yang hidup dalam kemiskinan. Sudah berusaha sehabis baik untuk mencari sesuap rezeki namun nasib tidak berpihak kepadanya. 

Kecantikkannya dicemburui oleh wanita lain dan digilai oleh para lelaki. Malangnya kecantikkan itu tidak mampu memberi pekerjaan halal kepada Margaretta. Akhirnya dia terpaksa menjual maruah dirinya demi mendapatkan secebis roti untuk mengalas perut dan sepasang kain untuk menutup tubuhnya. Margaretta sangat kecewa sehingga bersumpah untuk membenci lelaki. Lelaki yang dijadikan Tuhan dengan tanggungjawab untuk melindungi makhluk lain yang lebih lemah, rupa-rupanya tidak lah boleh diharap sepenuhnya. 

Setelah terjun ke lembah hina, kehidupan Margaretta berubah 180 darjah. Di kota Paris, dirinya dilimpahi dengan kemewahan, wang ringgit, perhiasan batu permata dan pakaian yang cantik. Makan minumnya di restoran mewah. Telinganya dihujani kata-kata manis dan pujian dari lelaki-lelaki hartawan. Walau tubuhnya disentuh berkali-kali, Margaretta nekad untuk tidak menyerahkan hati dan perasaannya kepada lelaki-lelaki itu. Baginya mereka itu tidak layak untuk dicintai dan menyintai. 

Kehidupan yang serba mewah dan gah dipandangan mata insan lain tidak mampu mengisi kekosongan hati dan jiwa Margaretta. Seringkali hatinya terusik tatkala melihat pekerja dan penjaga rumah agamnya itu bermesra bersama pasangan mereka. Walau mereka tidak sekaya Margaretta, tetapi keikhlasan kasih sayang mereka jelas terpancar. Sesuatu yang sehingga kini masih jauh dari jangkauan Margaretta. 

Kesunyian dan kekosongan jiwa Margaretta telah menjejaskan kesihatannya. Maka, atas nasihat mereka yang arif, Margaretta pun pergi ke kawasan peranginan untuk berehat dan mengubati jiwanya. Ketika di kawasan peranginan itu, Margaretta berkenalan dengan seorang lelaki tua bernama Hertog Mohan. Hertog melihat wajah Margaretta yang seakan-akan wajah anak perempuannya yang meninggal dunia akibat sakit. Lelaki tua ini sangat teruja dan merasakan Tuhan seolah-olah telah mengembalikan mendiang anak perempuan kesayangannya ke dunia ini. 

Ikatan persahabatan Hertog dan Margaretta seperti perhubungan seorang ayah dan anak perempuan. Mereka saling bertukar-tukar kisah kehidupan yang lebih banyak dukanya berbanding gembiranya. Baru beberapa hari, kesihatan Margaretta semakin pulih dan wajahnya semakin berseri-seri. 

Ketika Margaretta menyatakan hasratnya untuk pulang ke kota Paris, Hertog sangat sedih. Hertog sedar kepulangan Margaretta ke sana akan memutuskan persahabatan mereka dan Margaretta akan kembali ke kelompok sahabat-sahabatnya disana. 

Hertog mencadangkan agar Margaretta meninggalkan pekerjaan dan kehidupan hinanya itu. Hertog akan menyediakan sebuah kediaman di tempat yang terpencil untuk Margeratta dan pembantunya tinggal. Dan Hertog juga memberi wang belanja kepada Margaretta. Syaratnya hanya satu, terima kedatangan Hertog setiap kali lelaki tua itu rindukan mendiang anak perempuannya. 

Margaretta bersetuju dengan cadangan Hertog. Bermulah perubahan kehidupan Margaretta. Dirinya tidak lagi berpindah dari tangan satu lelaki kepada lelaki yang lain. Hidup yang lebih aman, jauh dari hiruk-pikuk manusia dan jauh juga dari maksiat. Kehidupan sehariannya banyak dihabiskan dengan membaca akhbar dan buku. 

Namun hidup tidak bererti jika tidak diuji. Margaretta diuji sekali lagi apabila hadirnya seorang lelaki bernama Armand. Seorang pemuda dari latar belakang keluarga yang baik-baik. 

Namun adakah Armand sama seperti lelaki-lelaki hartawan yang banyak mengelilingi Margaretta sebelum ini? 

Atau mungkin dirinya seikhlas Hertog yang mengharapkan secebis kasih sayang dari Margaretta sebelum matanya tertutup selama-lamanya? 


Naskah Margaretta Gauthier ini membawa pembaca kepada suka duka kehidupan seorang wanita yang seperti layang-layang yang terputus talinya. Rupa parasnya cantik, budi bahasanya tersusun namun ia terbang tanpa arah yang dituju. Hanya mengikut kemana angin membawanya. 

Kehidupan mewah hanyalah perhiasan pandangan semata-mata dan tidak dapat menutup kemiskinan jiwanya. 

Margaretta hanya ingin hidup bahagia. Bahagia yang mempunyai pelbagai definisi dalam kehidupan seorang manusia. Bahagia yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit dan batu permata. Tetapi sejarah silamnya menutup ruang dan peluang kebahagiaan buat wanita ini. 

"Dia takut akan jatuh cinta, tetapi dia tidak tahu bahawa 'takut akan jatuh cinta' itulah cinta!"  

Sunday, April 4, 2021

Book Review : Selamat Malam Tan Sri

 

 Tajuk : Selamat Malam Tan Sri

Penulis : Sri Diah

Menariknya Naskah Ini : 

Patung Beruang berjaya selesaikan naskah ini malam tadi, Alhamdulillah. Kenapa tiba-tiba hendak baca novel? Tajuk novel pula mengundang 1001 persoalan, huhu..

Novel ini Patung Beruang beli di Borders beberapa minggu lepas. Tajuknya memang nampak macam cerita-cerita yang entah apa-apa saja, tapi bila baca sinopsis di belakang, Patung Beruang tergerak hati untuk memilikinya. Ia tercatat yang novel ini berkisar kepada kehidupan 3 orang wanita yang mempunyai suka dukanya sendiri. Hm.. menarik.. 

Tan Sri Rahman Shah seorang ahli perniagaan yang berjaya dan namanya harum di kalangan masyarakat serta wartawan. Mempunyai isteri, Puan Sri Rosenita, serta anak tunggal, Saiful Azam, keluarga ini terlihat seperti sebuah keluarga yang sempurna. 

Namun, pada suatu hari, tersiar satu rencana di sebuah majalah wanita berkenaan kehidupan bekas ratu cantik bernama Netty Karmila. Walau tidak dinyatakan dengan jelas siapakah suami Netty Karmila, bebarapa keping gambar yang tersiar bersama-sama dengan rencana tersebut memberi bukti bahawa Netty Karmila adalah isteri kedua Tan Sri Rahman Shah. 

Pendedahan tersebut mengocak kehidupan dan rumahtangga Tan Sri dan kedua-dua isterinya. Tan Sri Rahman Shah berhasrat untuk bersemuka dengan wartawan yang membuat liputan rencana tersebut, Hanim Hanani.

Perkenalan dengan Hanim Hanani membuka lembaran baru bagi Tan Sri Rahman Shah. Wartawan muda itu lain dari kebanyakkan wartawan yang dikenalinya. Hanim Hanani jujur dan berprinsip dalam menjalankan tugasnya. Bukan semata-mata mengejar scoop sehingga menganiaya orang lain. 

Tertarik dengan keperibadian dan kecekapan tugas Hanim Hanani, Tan Sri Rahman Shah menawarkan jawatan Pegawai Perhubungan Media di syarikatnya kepada gadis ini. Hanim Hanani tersepit diantara minatnya didalam dunia kewartawanan dan juga tanggungjawabnya sebagai seorang anak yang menjadi harapan keluarga. Tawaran gaji yang lumayan membantu Hanim Hanani mengukuhkan status kewangan keluarganya di kampung.

Kerana kecewa dengan pendedahan perkahwinan antara Tan Sri Rahman Shah dan Netty Karmila di majalah, Puan Sri Rosenita mula banyak menghabiskan masanya di luar sehingga akhirnya terlibat dalam kemalangan jalan raya yang meragut nyawa pemandunya. Kemalangan itu membuatkan Puan Sri Rosenita berada dalam koma selama beberapa minggu. 

Kemalangan itu juga mengubahkan kehidupan keluarga Tan Sri Rahman secara total. Perkahwinannya dengan Netty Karmila mula dilanda badai, kepulangan Saiful Azam untuk menyatukan semula keluarga ini bermula dengan baik pada asalnya. Namun, selepas beberapa lama, wujud pula konflik antara Saiful Azam, ayahnya dan juga Hanim Hanani.


Naskah Selamat Malam Tan Sri ini memaparkan watak seorang wanita muda dan bujang, yang sangat berusaha keras meningkatkan kerjayanya dan dalam masa yang sama menggalas tanggungjawab yang besar terhadap keluarga di kampung. Watak Hanim Hanani bukanlah watak yang asing di bandar besar seperti Kuala Lumpur. Seorang gadis yang berdikari dan berusaha menjaga maruah diri sehabis baik. 

Dalam kesibukan dengan tugasan seharian dan tanggungjawab terhadap keluarga, tatkala perasaan cinta hadir di dalam hati Hanim Hanani, sedikit sebanyak ia menggangu fokus gadis ini. Perasaan cinta itu sangat halus dan ia hadir tanpa dipinta. Hadir sendiri tanpa kita sangka. Kehadirannya diluar kawalan kita, tetapi kita boleh menguruskan perasaan itu. Terpulanglah, sama ada untuk kita melayan rasa cinta itu sehingga melanggar batas agama dan adat ataupun kita berusaha mengawalnya tanpa menjatuhkan maruah sendiri. 

Puan Sri Rosenita adalah watak isteri orang kenamaan yang sering merasakan dirinya berada di puncak dunia. Perkahwinan suami dan madunya sangat menyakitkan hati dan dibalas dengan pemberontakkan. Namun, Allah itu Maha Penyayang. Dia masih memberi peluang kepada hamba-Nya untuk bertaubat selagi jasad masih bernyawa. Ujian yang menimpa membuka mata Puan Sri betapa dunia ini hanya pinjaman, dan Akhirat adalah destinasi utama kehidupan manusia. 

Netty Karmila berkorban kerjaya yang glamor demi kasih sayangnya pada Tan Sri Rahman Shah. Namun, darah mudanya membuatkan Netty hilang sabar ketika Tan Sri sedang dilanda musibah. Permohonan cerai yang difailkan di pejabat agama mengeruhkan lagi hubungan pasangan ini. Hakikatnya, baik suami atau isteri, masing-masing ada khilaf tersendiri, terlalu melayan ego dan perasaan sendiri. 

Bagi Hanim Hanani, rasa kasih, cinta dan tertarik hati pada Tan Sri Rahman Shah bukanlah dibuat-buat. Hanim Hanani sedar dia sedang berdepan dengan ujian yang berat. Perasaan terhadap lelaki yang menjadi milik wanita lain. Perasaan terhadap lelaki yang boleh dianggap ayah dek kerana perbezaan jarak usia...

 

Dalam leka Patung Beruang meneliti naskah ini, Patung Beruang tertarik dengan ending kisah ini. Endingnya bukanlah seperti yang Patung Beruang bayangkan. Ending naskah ini mengangkat tinggi martabat seorang wanita, samaada bergelar isteri ataupun yang masih belum berkahwin. Ending naskah ini juga menunjukkan seorang lelaki yang baik adalah lelaki yang rasional dan bertanggungjawab walaupun dalam hatinya penuh dengan perasaan cinta. Lelaki yang meletakkan rasa tanggungjawab itu lebih dari nafsu. 


Entah mengapa, Patung Beruang suka dengan watak Hanim Hanani. Keluarga dan kerjaya menjadi keutamaan. Namun, tatkala perasaan halus itu hadir mengetuk pintu hati, kita menerima dengan hati yang terbuka tanpa meletakkan jangkaan yang terlalu tinggi. Bimbang apabila jatuh terhempas, ia berderai sehingga tidak mampu untuk dicantum semula. 

Cukuplah jika berpeluang untuk bersua setiap hari atas urusan rasmi. Memadailah diberi peluang untuk saling mengenali dan berkerja bersama. Kerana sedar diri ini tidak layak untuk meminta lebih dari itu... 

Tuhan sudah lama mendidik hati ini yang cinta dan sayang itu tidak semestinya perlu memiliki. Adakalanya, melepaskannya adalah yang terbaik. Dan dengan saling menjaga dan melindungi sebaik mungkin, sudah cukup untuk menyatakan bahawa ada sesuatu yang terjalin diantara dua hati itu....  

Sunday, March 21, 2021

Book Review : Tell Tale


Tajuk : Tell Tale 

Penulis : Jeffrey Archer 

Menariknya Naskah Ini : 

Ini adalah buku terbaru yang Patung Beruang berjaya selesaikan pembacaan setelah bergelut dengan sindrom reader's block, bergelut dengan tugasan yang tidak berkesudahan walaupun ketika hujung minggu, sindrom kesedihan tidak dapat pulang ke rumah disebabkan MCO dan macam-macam lagilah.

Patung Beruang selesai membaca naskah ini hari Sabtu lepas. Namun setelah seminggu, barulah berpeluang untuk berkongsi disini. 


Tell Tale membawa pembaca mengembara ke 15 buah cerita pendek yang menarik dengan pelbagai rencah kehidupan serta plot twist yang tidak disangka-sangka. 

Antara cerita kegemaran Patung Beruang adalah The Senior Vice President. Dalam kisah ini, Arthur Dunbar adalah lelaki yang memegang jawatan Senior Vice President di National Bank of Toronto. Antara pelanggan utama bank yang diuruskan oleh Arthur adalah Mr. S. Machperson, seorang jutawan yang telah menjadi pelanggannya selama berpuluh-puluh tahun. 

Tiada yang aneh pada transaksi kewangan Mr Machperson. Bayaran perbelanjaan rumah seperti barang dapur, bil-bil utiliti, penyelenggaraan rumah yang semuanya dibayar menggunakan cheque, mempunyai jumlah yang konsisten setiap bulan. Pendapatan tahunan Mr. Machperson diperolehi dari keuntungan pelaburan yang juga diuruskan oleh Arthur. 

Anehnya walaupun menjadi pelanggan utama bank selama berpuluh-puluh tahun, Arthur tidak pernah bersua secara fizikal dengan Mr Machperson kerana semua komunikasi hanya melalui surat-menyurat sahaja. Dan sepanjang tempoh itu juga, tiada seorang pun individu dinamakan sebagai waris atau next of kin untuk Mr. Machperson. 

Pada suatu hari, barisan pengurusan National Bank of Toronto dikejutkan dengan arahan pertukaran dan persaraan beberapa pengurusan tertinggi termasuklah Arthur sendiri. Puas merayu namun rayuannya ditolak mentah-mentah. Arthur merasa tertekan memikirkan komitmen bulanannya sedangkan dirinya bakal kehilangan sumber pendapatan. 

Dalam masa yang sama, Arthur menyedari keanehan dalam pattern perbelanjaan bulanan Mr Machperson. Walaupun semua perbelanjaan dibayar dengan cheque dan dokuemen sokongan yang lengkap dihantar kepada bank, jumlah perbelanjaan bulanan menurun dari tahun sebelumnya. Perbelanjaan yang konsisten hanyalah bayaran upah kepada 2 orang gaji merangkap penjaga rumah Mr. Machperson iaitu Mr dan Mrs Laidlaw. 

Arthur tergerak hati untuk menyiasat keadaan Mr Machperson. Gerak hatinya mengatakan Mr Machperson sudah meninggal dunia namun kematiannya tidak dilapurkan kepada pihak berkuasa dan juga pihak bank. Oleh sebab itu, cheque perbelanjaan rumah masih keluar seperti biasa cuma dengan amount yang sangat sedikit. 

Namun, adakah benar gerak hati Arthur itu?

Atau mungkin ada sebab lain yang menyebabkan terdapat perubahan kepada trend perbelanjaan Mr Machperson? 

Adakah Arthur akan cuba mengambil kesempatan diatas kekayaan Mr Machperson demi menjamin pendapatan yang konsisten walaupun dipaksa bersara dari National Bank of Toronto? 


Who Killed the Mayor? membawa pembaca ke sebuah pekan kecil bernama Cortoglia yang mempunyai penduduk seramai 1,463 orang. Pada suatu hari, penduduk Cortoglia dikejutkan dengan kematian Mayor mereka yang bernama Dino Lombardi yang meninggal secara mengejut. 

Jujurnya, Lombardi bukanlah Mayor yang disenangi oleh penduduk Cortoglia. Selain dari tiada yang dimana asal usulnya, kehadirannya secara tiba-tiba dan merampas jawatan Mayor dari keluarga Farinelli, Lombardi juga terkenal dengan sikap menindasnya terhadap penduduk setempat termasuk golongan peniaga, pekerja, petani dan rakyat bawahan. 

Cara kematian Lombardi menimbulkan banyak spekulasi dan akhirnya pihak berkuasa menghantar Lieutenant Antonio Rossetti ke Cortoglia untuk menyiasat punca sebenar kematian Lombardi dan siapakah dalang disebalik kematiannya itu. 

Peliknya sepanjang penyiasatan dijalankan, hampir keseluruhan penduduk dewasa di Cortoglia membuat pengakuan kepada Rossetti yang mereka lah membunuh Lombardi. Ini sangat merunsingkan Rossetti.

Apakah yang berlaku sebenarnya kepada Lombardi dan penduduk Cortoglia sehingga ramai yang rela hati membuat pengakuan jenayah?

Jika benar Lombardi dibunuh, siapakah pembunuh sebenarnya? 



Baiklah, cukuplah Patung Beruang kongsikan 2 buah kisah saja di sini. Seperti biasa, Archer tidak pernah mengecewakan pembaca. Walaupun naskah ini adalah short stories, tetapi Patung Beruang tetap rasa puas sama seperti membaca novel. 

Terima kasih Archer for an awesome short stories.. 

Thursday, January 28, 2021

Book Review: How Are You?

Tajuk : How Are You?  Understanding the Silent Struggle of Stress, Anxiety, and Depression 

Penulis: 
1. Aiman Azlan
2. Aiman Amri 

Menariknya Naskah Ini: 
Ini adalah naskah kedua yang Patung Beruang selesaikan pembacaannya pada tahun 2021 ini. Alhamdulillah. Cuma Book Review nya saja yang terlambat, huhu..

Untuk kesekian kalinya Patung Beruang meneliti naskah berkenaan mental health. Semakin banyak Patung Beruang baca mengenai topik ini, semakin menarik pula rasanya. Rasa seperti banyak saja ilmu baru yang Patung Beruang perolehi berkenaan topik ini. 

Naskah ini terbahagi kepada 3 Bahagian iaitu Stress, Anxiety dan Depression. Setiap Bahagian ini penulis akan mengupas serba sedikit masalah ini, cara mengatasinya, mungkin bukan 100% tetapi boleh membantu melegakan, dan apa yang kita boleh lakukan jika insan terdekat kita atau insan yang kita kenal, berdepan dengan masalah ini. 

Stress boleh dikategorikan kepada 2 kategori iaitu stress yang bagus atau dipanggil eustress. Dan kategori kedua adalah stress yang memberi masalah dan dipanggil distress. 

Apa maksud eustress? 
Eustress adalah stress yang boleh mendatangkan kesan yang baik kepada kita dan kita boleh menanganinya agar tahap stress tersebut kembali normal. Eustress adalah stress atau tekanan yang kita perlukan untuk kita kekal hidup dan mempunyai kehidupan. Contohnya, stress untuk tamatkan pelajaran secepat mungkin agar kita boleh menyumbang semula kepada masyarakat. Atau stress untuk mengumpul duit deposit rumah baru agar keluarga kita dapat tinggal di kediaman yang lebih selesa. Ia adalah stress yang berbentuk positif. 

Maka, jika kita menghadapi eustress ini, jangan terlalu risau. Yang penting, kita berusaha sehabis baik untuk capai matlamat kita dan selepas itu, Insya-Allah, stress tersebut akan hilang. Ketika kita berada dalam keadaan eustress ini, kita biasanya sangat bermotivasi dan tingkat productivity kita berada di paras tinggi.

Namun, penting juga kita memantau kadar kesihatan mental kita walaupun kita berada dalam keadaan eustress. Ini kerana jika kita terlalu mendesak atau push diri sendiri, kita mungkin akan rasa sangat down jika apa yang diusahakan itu, hasilnya tidak seperti yang diharapkan. Mungkin boleh sampai ke tahap putus asa dan hilang semangat untuk hidup. Akhirnya eustress ini akan bertukar menjadi distress. 

Dalam hidup ini, manusia suka berlumba-lumba, suka bersaing sesama sendiri. Jika jiran sebelah beli kereta baru, kita juga hendak beli kereta baru. Jika orang taman sana melancong ke luar negara, kita juga hendak ke luar negara dan berusaha untuk ke destinasi yang lebih mahal darinya. Tanpa kita sedar, sikap berlumba-lumba ini menyebabkan hidup kita diselebungi dengan unneccesary stress. 

Sikap berusaha untuk jadi yang terbaik, untuk capai kehidupan yang lebih baik, untuk tingkatkan kualiti diri, itu semua bagus. Malah sangat dituntut. Tetapi betulkan niat dahulu. Saya hendak jadi kaya supaya saya boleh bantu keluarga. Supaya saya boleh bantu insan-insan yang memerlukan di luar sana. Saya hendak jadi ahli perniagaan yang berjaya supaya saya boleh berkongsi peluang pekerjaan dengan lebih ramai lagi anak muda yang berpotensi. Saya hendak jadi ketua jabatan supaya saya boleh bawa perubahan yang lebih positif kepad jabatan saya ini. Saya hendak melancong ke luar negara agar saya boleh belajar tentang budaya dan sejarah masyarakat di luar sana. 

Seperti yang Patung Beruang selalu sebut pada family dan rakan-rakan terdekat, hidup setiap dari kita ini seperti planet yang ada dalam Milky Way. Kita ada orbit masing-masing. Setiap planet tersebut berputar pada orbitnya tanpa perlu berlumba dengan planet disebelah atau planet lain dalam galaksi. Samalah dengan kita. Jalan cerita kehidupan sesama kita adalah berbeza. 

Ada orang dikurniakan jodoh yang cepat, Alhamdulillah. Ada orang sampai sekarang masih bersendirian, namun Allah rezeki kan dia dengan peluang berlajar setinggi boleh, Alhamdulillah. Ada orang tidak mampu mendaki tangga korporat namun Allah rezeki kan dia dengan pekerjaan yang fleksibel sehingga dia mampu untuk melawat ibu bapanya setiap hari tanpa gagal, Alhamdulillah. Ada orang tidak mampu menjejakkan kaki ke menara gading tetapi Allah rezeki kan dia dengan perniagaan yang berjaya sehingga dia mampu memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat dan ahli keluarga mereka, Alhamdulillah. 

Setiap apa yang kita hadapi itu ada hikmahnya. Sama ada secara nyata atau terlindung. Tidak kira sama ada kejayaan ataupun musibah, tetap ada cerita yang ingin Allah sampaikan. Tanpa kita sedar, ia membentuk diri kita untuk jadi lebih baik, lebih matang, lebih empathy, lebih realistik dan lebih bersyukur. 



Bagi Patung Beruang, naskah ini sangat menarik untuk diteliti agar kita lebih bersedia untuk menghadapi kehidupan yang serba mencabar ini. Bukanlah bermakna kita ini ada masalah mental, tetapi agar kita lebih bijak menguruskan emosi dan pemikiran kita. Siapa pun kita, apa pun latar belakang kita, setinggi mana pun kita belajar, atau sehebat mana pun kita di alam pekerjaan, kita masih tetap terdedah dengan stress, anxiety dan depression. Cuma antara kita sedar atau tidak saja.... 

Book Review : Detour

Tajuk : Detour

Penulis : Raudhatul Hifza

Menariknya Naskah Ini: 

Allah.. Lamanya Patung Beruang tidak update Book Review di sini. Walhal, kita baru saja bermula tahun 2021. Maaflah ye.. 

Ini adalah buku pertama yang Patung Beruang habiskan pada tahun 2021 ini. Alhamdulillah. 

Buku ini mengambil masa lebih kurang hampir 3 jam saja untuk diselesaikan. 

Jika penghujung tahun lepas Patung Beruang ada berkongsi tentang sebuah naskah bertajuk Hiatus, naskah Detour ini adalah cerita dari angle yang lain pula. 

Detour ini membawa pembaca kepada kisah Dr. Raudhatul Hifza, wanita dan penceramah yang digandingkan bersama-sama dengan Amir Talhah ketika sesi motivasi bersama para pelajar Malaysia di Russia. 

Sejujurnya, ini bukan kisah cinta. Jika pembaca inginkan kisah cinta seperti dongeng Cinderalla, atau seperti dalam filem-filem Hindustan, atau mungkin dalam siri-siri Kdrama, maaf.. naskah ini bukan untuk anda. 

Naskah ini memperihalkan kenyataan hidup seorang wanita berkerjaya, seorang doctor perubatan muda, yang sibuk dengan kes-kes perubatan tetapi masih mampu meluangkan sedikit masa untuk kerja-kerja dakwah, dan mempunyai impian untuk menjadi seorang isteri dan anak yang baik. Namun, lumrah alam, kita tidak akan dapat semua yang kita hajati. Begitulah juga dengan Dr. Raudhah. 

Seperti Amir Talhah, Dr Raudhah juga lahir dalam keluarga yang berpendidikan tinggi dan berada. Namun itu tidak menghalang dirinya untuk memilih Asyraf, pelajar Malaysia yang dikenalinya ketika menuntut di luar negara untuk menjadi pasangan hidupnya. Asyraf yang datang dari keluarga biasa-biasa, yang ibu bapanya menetap di perumahan kos rendah, dirasakan mampu membimbing Raudhah ke jalan kebenaran dek kerana perwatakan alim yang dibawanya. 

Tetapi rumahtangga yang dibina ibarat neraka dunia buat Raudhah. Dirinya digantung tidak bertali, diketepikan dan dianiaya oleh suami yang sepatutnya menjadi pelindung. 

Adakah terlalu mahal nilai bahagia buat insan bernama Raudhah? 

Perkenalan dengan Amir Talhah membuka satu lembaran baru dalam hidup Raudhah. Parut di tangan lelaki itu sangat dikenalinya. Parut yang sama, sering dilihat di kalangan para pesakitnya di hospital. Amir Talhah, zahirnya seperti memiliki segala-galanya. Namun, hatinya meronta meminta pertolongan dari insan yang sudi menghulurkan tangan. 

Raudhah hanya ingin membantu lelaki itu. Hanya ingin memberi harapan agar lelaki itu terus hidup. Terus melangkah dengan gagah di atas bumi Allah ini. Namun, adakah niatnya itu kesampaian??? 

Sunday, January 3, 2021

Di Pagi Hari, 2021

Assalamualaikum wbt,

Hari ke-3 di tahun 2021. Alhamdulillah...

 

Pagi Ahad ini, cuaca sangat sejuk. Walau jam sudah menunjukkan 7:30 am, kabus masih bertebaran diluar. Hujan renyai-renyai membawa angin yang dinginnya mencucuk ke tulang. 

Sudah 3 hari Patung Beruang tinggal bersendirian di rumah. Hari Jumaat tengahari, Iman pulang ke Melaka. Setelah selesai year end closing. 

Atas sebab-sebab tertentu, Patung Beruang tidak pulang ke Melaka minggu ini. Hari Khamis, dalam perjalanan pulang dari pejabat, Patung Beruang telefon rumah. Just to catch up anything happened during this week. Dapatlah lepaskan rindu pada parents walaupun sekejap. 

A lot of things happened terutama bila sudah hampir ke penghujung 2020. Nak bercerita pun tak tahu nak mula dari mana. 

Pagi ini seperti biasa,  Patung Beruang sudah ada di meja kerja seawal pagi. Menyiapkan tugasan pejabat walaupun hari ini hari Ahad, hehehe.. Cuaca yang menenangkan, pemandangan sejauh mata memandang, ditambah dengan suasana senyap sunyi buat Patung Beruang tenggelam dalam dunia sendiri. 

Apa jangkaan untuk tahun 2021? 

Sukar untuk Patung Beruang jawab soalan tersebut. 

Perancangannya banyak tetapi tidak pasti adakah ia akan menjadi kenyataan. 

Patung Beruang cuma berharap 2021 ini dapat membebaskan kita dari belenggu pandemik, kehidupan berjalan dengan normal, rezeki semakin melimpah-ruah, hati dan fikiran yang sentiasa tenang. 

Mengapa hati dan fikiran yang tenang? 

Bagi Patung Beruang, itulah kunci untuk diri ini terus melangkah ke hadapan. Apa pun ujian yang datang, berat manapun dugaannya, selagi hati dan fikiran ini tenang, Insya-Allah pasti boleh ditempuh dan ada jalan penyelesaiannya. 

Bila sudah umur begini, Patung Beruang sangat menghargai ketenangan. Ia juga adalah rezeki dari Allah swt. Ketenangan ini kita tidak nampak tetapi kita dapat rasa. Dan ia membawa aura yang positif bukan saja untuk kita tetapi juga orang di sekeliling kita. 

Tenang dengan percaturan kehidupan, tenang menghadapi kerenah dunia dan isi alam ini, tenang dalam mengumpul bekalan akhirat, tenang dalam usaha menjadi hamba-Nya yang terbaik. 

Oklah, pagi ini sebenarnya Patung Beruang terasa untuk mencoret sesuatu di sini sebagai permulaan catatan untuk tahun ini. Lebih kepada untuk dapatkan mood sebelum menyambung semula kerja-kerja pejabat yang terhenti ini. 

Ikut perancangan, Patung Beruang hendak selesaikan kerja-kerja ini secepat mungkin dan kemudian email pada COO. Lepas itu, Patung Beruang nak ke Cyberjaya sebentar, menikmati secawan kopi sambil membaca buku. Maklumlah, last Patung Beruang keluar rumah adalah pada hari Khamis hari itu. Maknanya hari ini adalah hari ke-3 Patung Beruang berkurung di rumah, hehehe.. 

Tetapi... dengan keadaan cuaca yang hujan dan sejuk ini, rasa macam malas pula nak keluar rumah. Plus, malam semalam Patung Beruang dah beli kopi tapi tak habis. Ada je lagi dalam peti sejuk itu. So, mungkin Patung Beruang hanya duduk dirumah juga hari ini sehingga ke penghujung hari. Esok saja lah baru keluar untuk ke pejabat, hehehe.....

Jomlah kita sambung buat kerja... 

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...