Tajuk : Selamat Malam Tan Sri
Penulis : Sri Diah
Menariknya Naskah Ini :
Patung Beruang berjaya selesaikan naskah ini malam tadi, Alhamdulillah. Kenapa tiba-tiba hendak baca novel? Tajuk novel pula mengundang 1001 persoalan, huhu..
Novel ini Patung Beruang beli di Borders beberapa minggu lepas. Tajuknya memang nampak macam cerita-cerita yang entah apa-apa saja, tapi bila baca sinopsis di belakang, Patung Beruang tergerak hati untuk memilikinya. Ia tercatat yang novel ini berkisar kepada kehidupan 3 orang wanita yang mempunyai suka dukanya sendiri. Hm.. menarik..
Tan Sri Rahman Shah seorang ahli perniagaan yang berjaya dan namanya harum di kalangan masyarakat serta wartawan. Mempunyai isteri, Puan Sri Rosenita, serta anak tunggal, Saiful Azam, keluarga ini terlihat seperti sebuah keluarga yang sempurna.
Namun, pada suatu hari, tersiar satu rencana di sebuah majalah wanita berkenaan kehidupan bekas ratu cantik bernama Netty Karmila. Walau tidak dinyatakan dengan jelas siapakah suami Netty Karmila, bebarapa keping gambar yang tersiar bersama-sama dengan rencana tersebut memberi bukti bahawa Netty Karmila adalah isteri kedua Tan Sri Rahman Shah.
Pendedahan tersebut mengocak kehidupan dan rumahtangga Tan Sri dan kedua-dua isterinya. Tan Sri Rahman Shah berhasrat untuk bersemuka dengan wartawan yang membuat liputan rencana tersebut, Hanim Hanani.
Perkenalan dengan Hanim Hanani membuka lembaran baru bagi Tan Sri Rahman Shah. Wartawan muda itu lain dari kebanyakkan wartawan yang dikenalinya. Hanim Hanani jujur dan berprinsip dalam menjalankan tugasnya. Bukan semata-mata mengejar scoop sehingga menganiaya orang lain.
Tertarik dengan keperibadian dan kecekapan tugas Hanim Hanani, Tan Sri Rahman Shah menawarkan jawatan Pegawai Perhubungan Media di syarikatnya kepada gadis ini. Hanim Hanani tersepit diantara minatnya didalam dunia kewartawanan dan juga tanggungjawabnya sebagai seorang anak yang menjadi harapan keluarga. Tawaran gaji yang lumayan membantu Hanim Hanani mengukuhkan status kewangan keluarganya di kampung.
Kerana kecewa dengan pendedahan perkahwinan antara Tan Sri Rahman Shah dan Netty Karmila di majalah, Puan Sri Rosenita mula banyak menghabiskan masanya di luar sehingga akhirnya terlibat dalam kemalangan jalan raya yang meragut nyawa pemandunya. Kemalangan itu membuatkan Puan Sri Rosenita berada dalam koma selama beberapa minggu.
Kemalangan itu juga mengubahkan kehidupan keluarga Tan Sri Rahman secara total. Perkahwinannya dengan Netty Karmila mula dilanda badai, kepulangan Saiful Azam untuk menyatukan semula keluarga ini bermula dengan baik pada asalnya. Namun, selepas beberapa lama, wujud pula konflik antara Saiful Azam, ayahnya dan juga Hanim Hanani.
Naskah Selamat Malam Tan Sri ini memaparkan watak seorang wanita muda dan bujang, yang sangat berusaha keras meningkatkan kerjayanya dan dalam masa yang sama menggalas tanggungjawab yang besar terhadap keluarga di kampung. Watak Hanim Hanani bukanlah watak yang asing di bandar besar seperti Kuala Lumpur. Seorang gadis yang berdikari dan berusaha menjaga maruah diri sehabis baik.
Dalam kesibukan dengan tugasan seharian dan tanggungjawab terhadap keluarga, tatkala perasaan cinta hadir di dalam hati Hanim Hanani, sedikit sebanyak ia menggangu fokus gadis ini. Perasaan cinta itu sangat halus dan ia hadir tanpa dipinta. Hadir sendiri tanpa kita sangka. Kehadirannya diluar kawalan kita, tetapi kita boleh menguruskan perasaan itu. Terpulanglah, sama ada untuk kita melayan rasa cinta itu sehingga melanggar batas agama dan adat ataupun kita berusaha mengawalnya tanpa menjatuhkan maruah sendiri.
Puan Sri Rosenita adalah watak isteri orang kenamaan yang sering merasakan dirinya berada di puncak dunia. Perkahwinan suami dan madunya sangat menyakitkan hati dan dibalas dengan pemberontakkan. Namun, Allah itu Maha Penyayang. Dia masih memberi peluang kepada hamba-Nya untuk bertaubat selagi jasad masih bernyawa. Ujian yang menimpa membuka mata Puan Sri betapa dunia ini hanya pinjaman, dan Akhirat adalah destinasi utama kehidupan manusia.
Netty Karmila berkorban kerjaya yang glamor demi kasih sayangnya pada Tan Sri Rahman Shah. Namun, darah mudanya membuatkan Netty hilang sabar ketika Tan Sri sedang dilanda musibah. Permohonan cerai yang difailkan di pejabat agama mengeruhkan lagi hubungan pasangan ini. Hakikatnya, baik suami atau isteri, masing-masing ada khilaf tersendiri, terlalu melayan ego dan perasaan sendiri.
Bagi Hanim Hanani, rasa kasih, cinta dan tertarik hati pada Tan Sri Rahman Shah bukanlah dibuat-buat. Hanim Hanani sedar dia sedang berdepan dengan ujian yang berat. Perasaan terhadap lelaki yang menjadi milik wanita lain. Perasaan terhadap lelaki yang boleh dianggap ayah dek kerana perbezaan jarak usia...
Dalam leka Patung Beruang meneliti naskah ini, Patung Beruang tertarik dengan ending kisah ini. Endingnya bukanlah seperti yang Patung Beruang bayangkan. Ending naskah ini mengangkat tinggi martabat seorang wanita, samaada bergelar isteri ataupun yang masih belum berkahwin. Ending naskah ini juga menunjukkan seorang lelaki yang baik adalah lelaki yang rasional dan bertanggungjawab walaupun dalam hatinya penuh dengan perasaan cinta. Lelaki yang meletakkan rasa tanggungjawab itu lebih dari nafsu.
Entah mengapa, Patung Beruang suka dengan watak Hanim Hanani. Keluarga dan kerjaya menjadi keutamaan. Namun, tatkala perasaan halus itu hadir mengetuk pintu hati, kita menerima dengan hati yang terbuka tanpa meletakkan jangkaan yang terlalu tinggi. Bimbang apabila jatuh terhempas, ia berderai sehingga tidak mampu untuk dicantum semula.
Cukuplah jika berpeluang untuk bersua setiap hari atas urusan rasmi. Memadailah diberi peluang untuk saling mengenali dan berkerja bersama. Kerana sedar diri ini tidak layak untuk meminta lebih dari itu...
Tuhan sudah lama mendidik hati ini yang cinta dan sayang itu tidak semestinya perlu memiliki. Adakalanya, melepaskannya adalah yang terbaik. Dan dengan saling menjaga dan melindungi sebaik mungkin, sudah cukup untuk menyatakan bahawa ada sesuatu yang terjalin diantara dua hati itu....
No comments:
Post a Comment