Tuesday, July 28, 2020

Book Review : The Spy

Tajuk : The Spy

Penulis : Paulo Coelho

Menariknya Naskah Ini : 

Naskah ini Patung Beruang selesaikan pembacaannya pada lunch hour siang tadi. Alhamdulillah.. 

The Spy ini mengisahkan seorang wanita yang bernama Zelle, Margaretha Geertruida atau nama komersilnya adalah Mata Hari yang dihukum tembak oleh askar Perancis atas dakwaan  menjadi pengintip untuk tentera German ketika Perang Dunia ke-2. 

Naskah yang diterjemahkan dari karya bahasa Portugal  ini dimulakan dengan babak hukuman tembak yang dijalankan keatas Mata Hari pada pukul 5 pagi, 15 October 1917 di Saint-Lazare. Penjara Saint-Lazare adalah sebuah penjara yang menempatkan banduan wanita di Paris. 

Bab seterusnya memaparkan isi kandungan surat dari Mata Hari kepada peguam belanya yang bernama Mr Clunet. Surat tersebut menceritakan kehidupan awal Mata Hari dari seorang gadis biasa yang mempunyai impian yang melangit sehinggalah detik-detik awal dia menjadi seorang penari, asal-usul nama Mata Hari, zaman kejatuhannya dan bagaimana dia terjebak ke dalam konflik tentera 2 buah kerajaan yang saling bermusuhan. 

Sedari awal Mata Hari merasakan dirinya tidak bersalah diatas pertuduhan yang dikenakan oleh tentera Perancis. Malah, dia juga menyatakan yang Mr Clunet juga sedar tentang tuduhan palsu tersebut namun masih tergamak membiarkan seorang wanita yang tidak berdosa ini dibunuh begitu saja. Seperti yang terkandung di dalam surat itu, tiada satu pun bukti kukuh yang boleh digunapakai oleh tentera Perancis untuk sabitkan kesalahan Mata Hari. Yang ada hanyalah dokumen-dokumen yang telah dipalsukan oleh pihak tentera untuk menyokong dakwaan mereka. 

Mata Hari berjumpa dengan bekas suaminya, Rudolf MacLeod apabila dia bertindak menjawab satu iklan di surat khabar. Iklan tersebut tertulis yang seorang tentera Belanda, yang sedang berkhidmat di Indonesia, sedang mencari bakal isteri untuk dikahwini dan seterusnya tinggal bersama di Indonesia. 

Mata Hari sudah tertarik hati ketika pertama kali berjumpa dengan Rudolf. Seperti diduga, pasangan ini berkahwin dan menetap di Indonesia. Perkahwinan ini membuahkan sepasang cahaya mata, seorang lelaki dan seorang perempuan. Sayangnya, anak lelaki mereka mati diusia kecil. Ada cakap-cakap mengatakan yang kanak-kanak lelaki malang itu diracun oleh pembantu rumah mereka sendiri. 

Perkahwinan Mata Hari dan Rudolf tidaklah bahagia seperti yang diharapkan. Sikap Rudolf yang kaki botol dan kaki perempuan membuatkan Mata Hari memendam rasa. Bagi mengubat jiwanya yang lara, Mata Hari belajar mengenai kebudayaan masyarakat Jawa termasuklah seni tarinya. 

Pasangan ini akhirnya bercerai dan Mata Hari membawa diri ke Paris. Anak perempuan mereka di jaga oleh Rudolf. Atau mungkin lebih tepat lagi, dilarikan oleh Rudolf. 

Keruntuhan rumahtangga, kehilangan satu-satunya anak yang masih hidup, ketiadaan sumber pendapatan tetap menyebabkan Mata Hari nekad untuk menjadi seorang penari elit. Wajah yang cantik ditambah dengan gerak tari yang eksotik menyebabkan namanya meniti di bibir-bibir lelaki golongan atasan. Kalangan lelaki yang didampingi Mata Hari terdiri dari ahli politik, ahli perniagaan, pegawai atasan kerajaan dan juga pegawai atasan tentera. 

Namun, kemasyuran Mata Hari mula jatuh apabila muncul penari lain yang lebih muda dan seksi darinya. Oleh itu, Mata Hari mula merancang untuk berpindah ke German bagi mengembangkan kariernya. 
Tetapi adakah itu adalah rancangan terbaik untuk kelangsungan kerjayanya? 
Atau mungkin ia hanyalah perangkap yang diaturkan oleh pihak tentera bagi menjadikan Mata Hari sebagai kambing hitam mereka? 



Kisah Mata Hari ini adalah berdasarkan kisah benar yang berlaku ketika zaman Perang Dunia ke-2. Cerita dan latar belakang digambarkan dengan cantik sekali. Malah, ada antara dialog-dialog dalam naskah ini juga penuh dengan falsafah bagi menggambarkan konflik diri, emosi dan psikologi yang dihadapi oleh Mata Hari. 

Antara petikan yang Patung Beruang suka adalah:
  • Flowers teach us that nothing is permanent: not their beauty, not even the fact that they will inevitably wilt, because they will still give new seeds. Remember this when you feel joy, pain, or sadness. Everything passes, grows old, dies, and is reborn. 
  • I was not asking to be happy; I was asking only to not be as unhappy and miserable as I felt. 
  • My tears did not come from my eyes, but from a deeper, darker place in my heart, telling me a story that I didn't even fully understands in a voice of its own. 
  • I was on a raft, sailing through total darkness, but there, far off on the horizon, was the glow of a lighthouse that would eventually lead me to dry land if the rough seas allowed, and if it was not already too late.
..................................................................................................................

Wednesday, July 15, 2020

Book Review : The Arrival

Tajuk : The Arrival

Penulis : Naim Tamdjis

Menariknya Naskah Ini : 

Antara page di FB yang Patung Beruang follow adalah page Mahakarya. Sebenarnya, page ini adalah kesinambungan dari page The Patriots

Kenapa Patung Beruang follow page tersebut? Kerana ada banyak cerita bersiri menarik yang dikongsikan di situ. Salah satunya adalah The Arrival.

The Arrival akan upload di page tersebut setiap Sabtu malam. Setiap minggu, akan ada 3 episod yang upload disana.  

Sejak episod pertama lagi, Patung Beruang sudah terpaku dengan karya ini. Setiap minggu tertunggu-tunggu apakah kesinambungannya. Sehinggalah episod ke 12 atau 13 tak silap, pihak admin membuat pengumuman yang The Arrival ini akan diterbitkan dalam bentuk buku. Wah... menariknya... 

Naskah The Arrival ini sampai ke tangan Patung Beruang pada hari Isnin, 13 Julai 2020. Malam itu terus Patung Beruang balut buku ini dan malam itu juga lah Patung Beruang mula membaca. Alhamdulillah, Patung Beruang berjaya selesaikan pembacaan naskah ini dalam masa 24 jam. 


The Arrival membawa pembaca tentang kemunculan seorang lelaki di tengah bandaraya Kuala Lumpur. Lelaki bernama Syeikh Mahadi ini mengaku kepada umum yang dia adalah Imam Mahadi yang disebut-sebut muncul pada akhir zaman. 

Kemunculan Syeikh Mahadi ini menimbulkan kucar-kacir terutama apabila dia secara terang-terang meminta agar Perdana Menteri, Tan Sri Jamalee meletak jawatan dengan alasan pemerintahan kerajaan pada waktu itu penuh dengan korupsi dan penyelewengan, serta gagal membela kebajikan rakyat seperti yang sepatutnya. 

Keengganan Tan Sri Jamalee untuk meletak jawatan telah mencetuskan kemarahan pengikut Syeikh Mahadi sehingga mengakibatkan berlakunya rusuhan dan keganasan. 

ASP Rahem, pegawai Polis Unit Khas IPK Kuala Lumpur ditugaskan untuk menahan Syeikh Mahadi. Ini bukanlah pertama kali ASP Rahem menerima tugasan berkenaan Syeikh Mahadi. Pertemuan antara keduanya telah berlangsung beberapa kali sebelum itu. 

Perawat Islam yang tiba-tiba muncul ini benar-benar mencabar kebijaksanaan pihak berkuasa. Pada awalnya, Sheikh Mahadi popular kerana kejayaannya mengubati pesakit termasuklah pesakit kanser dengan menggunakan kaedah rawatan Islam. 

Namun, popularitinya meningkat dengan mendadak apabila dia secara terbuka mengaku yang dirinya adalah Imam Mahadi. Susulan pengakuan tersebut, beberapa agen luar negara telah datang menyusup masuk ke Malaysia dengan tujuan untuk membunuhnya. Tetapi, belum sempat pembunuhan dijalankan, agen-agen perisik tersebut telah mati. Anehnya, apabila disiasat, tiada tanda-tanda pergelutan terjadi. Seolah-olah agen terlatih itu tidak sedar akan maut yang sedang menghampiri mereka. 

Dalam perlumbaan antara pihak berkuasa dan Syeikh Mahadi, banyak nyawa menjadi mangsa samaada terkorban ataupun cedera. Mangsa bukan saja terdiri dari orang awam yang tidak bersalah, namun termasuk juga ahli jemaah dan pengikut-pengikut Syeikh Mahadi serta anggota pihak berkuasa termasuklah Inspektor Farra, orang kanan ASP Rahem. 

Menambahkan lagi kerumitan, pengikut Syeikh Mahadi juga terdiri dari individu yang berada dalam pasukan Polis dan juga badan berkuasa lain sehingga segala strategi pihak berkuasa mudah saja dibocorkan kepadanya. Lebih menyakitkan, mereka ini ibarat gunting dalam lipatan terhadap anggota pasukan mereka sehingga tiada rasa bersalah pun apabila melihat anggota pasukan mereka mati atau cedera disebabkan kekacauan yang dibuat oleh Syeikh Mahadi dan para pengikutnya. 

Persoalannya, benarkan Syeikh Mahadi adalah insan yang ditunggu-tunggu bagi menyelamatkan umat manusia? 

Atau mungkin, dia hanyalah seorang penipu yang mengambil kesempatan diatas ketaksuban para pengikutnya.



Netflix pernah mainkan series yang bertajuk The Messiah. Tema dia sama juga tentang seorang lelaki yang mengaku dirinya sebagai Imam Mahadi. Lelaki tersebut ditunjukkan sebagai mempunyai kelebihan di luar batas normal seorang manusia. Dan dek kelebihan itulah, ramai orang mula terpengaruh dengannya sehingga bersetuju untuk menjadi pengikutnya. Apa ending cerita itu? Entahlah... Sebab ending untuk 1st Season, tergantung. Dan khabarnya Netflix akan siarkan Season 2 pula. Jadi, kita tunggu sajalah.

Bila Patung Beruang membaca naskah The Arrival ini, di pertengahan naskah  tiba-tiba Patung Beruang teringat sesuatu. Dalam The Messiah, ada satu babak ketika orang mempertikaikan kesahihan Messiah itu. Antara dialognya adalah lebih kurang begini, 
"Jika hendak tahu apa benar dia adalah Imam Mahadi, lihat cara kehidupannya. Adakah selari atau tidak dengan Islam." 

Walaupun The Arrival ini tidak berkait langsung dengan Netflix series The Messiah itu, tapi formula dalam dialog diatas boleh diguna pakai.... 

So, siapa sebenarnya Syeikh Mahadi tu? 
Jawapannya... 
Kenalah baca.... :) 

Sunday, July 12, 2020

Book Review : Selamat Tinggal Purnama, Strain Pertama & Strain Kedua

Tajuk : 
1. Selamat Tinggal Purnama : Strain Pertama
2. Selamat Tinggal Purnama : Strain Kedua


Penulis : Teme Abdullah 

Menariknya Naskah Ini: 
Hooray... Akhirnya Teme keluar buku baru. Alhamdulillah..... 

Oleh kerana kedua-dua buah buku ini berkait, maka, Patung Beruang tulis book review sekaligus ye.. 

Oh ye, kedua-dua buah buku ini Patung Beruang beli hari Sabtu lepas, 4 Julai 2020. Dan Patung Beruang mula membaca Strain Pertama pada hari Isnin atau Selasa malam tak silap. Akhirnya, semalam pagi baru Patung Beruang selesaikan pembacaan untuk kedua-dua buah buku ini. Alhamdulillah... 


Selamat Tinggal Purnama
membawa pembaca kepada kisah seorang penyanyi terkenal di Nusaraya yang bernama Latif Purnama. Latif adalah seorang anak yatim piatu yang dibesarkan di rumah anak-anak yatim. Latif tidak pernah mengenali ibu bapanya atau ahli keluarganya. Latif sebatang kara. 

Namun, Latif dikurniakan dengan satu bakat yang sangat unik, iaitu telinganya sangat peka dengan bunyi dan mempunyai bakat luar biasa dalam bidang nyanyian.

Latif bermula dengan bernyanyi di tepi-tepi jalan demi mengumpul kredit yang cukup agar dia dapat terus hidup di dunia. 

Lahir dan membesar sebagai manusia berkolar hitam membuatkan Latif sedar dia perlu memastikan kolar hitam itu bertukar sekurang-kurangnya ke warna kelabu sebelum Latif mencapai usia 25 tahun. Jika tidak tamatlah riwayat hidupnya di dunia itu. 

Rezeki Latif mencurah-curah di dalam bidang nyanyian. Dia dilamar syarikat rakaman Mawar Records. Lagu-lagu dan album yang diterbitkan oleh Mawar Records mendapat sambutan yang hangat bukan saja dari penduduk Nusaraya tetapi juga di peringkat antarabangsa. Latif Purnama adalah penyanyi terkenal yang diminati oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira umur, bangsa, latar belakang dan bahasa pertuturan. 

Dalam terkenalnya figura bernama Latif Purnama di mata masyarakat, dia masih lagi insan biasa yang merendah diri dan suka menghiburkan peminatnya. Latif dikelilingi oleh sahabat-sahabat yang rapat dengannya seperti Doctor Adda, Eric, Kapten Musa, Doctor Omar, wartawan hiburan bernama Kak Shelby dan juga pengawal peribadi yang setia iaitu Wak Entel. 

Ketika berada di puncak kejayaan, Latif mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Doctor Adda, seorang doctor perubatan yang mengenali Latif semenjak Latif masih di dunia busking lagi. Namun, perkahwinan Latif dan Doctor Adda rupanya tidak disenangi oleh Doctor Omar dan juga Sinar Mawar, pemilik Mawar Records. 

Doctor Adda mula terkena tempias dunia hiburan. Kehidupannya tiada lagi privacy seperti sebelumnya. Keguguran kandungan anak pertama mereka yang berlaku sejurus selepas konsert mega Latif Purnama benar-benar memberi tamparan yang besar kepada pasangan suami isteri ini. 

Selain itu, tembelang Doctor Omar atau nama sebenarnya Bella, seorang psychopath  yang berusaha keras untuk menghancurkan Latif mula terbongkar sedikit demi sedikit. Malangnya, Latif tidak menyedari tentang bahayanya psychopath yang berpura-pura menjadi sahabat baiknya itu. Maka, Latif berusaha untuk melindungi Omar atas alasan persahabatan walaupun perlindungan itu akhirnya memakan dirinya sendiri.

Tekanan yang dialami oleh Latif Purnama semakin memuncak. Pihak Mawar Records meletakkan syarat agar Latif menyiapkan albumnya dalam masa 1 bulan saja. Kehidupan peribadi Latif dan keluarga dicerobohi sesuka hati oleh masyarakat dan media. Latif terpaksa bergantung dengan bahan terlarang demi memastikan dia dapat bekerja sehabis baik demi memuaskan hati syarikat rakaman dan peminatnya. Latif mengorbankan prinsipnya demi menjaga dan melindungi keluarga kecilnya. 

Namun, adakah berbaloi pengorbanan Latif itu? 
Atau mungkin pengorbanan itu memakan diri Latif sendiri? 



Sudah lama Patung Beruang tidak menatap naskah Teme. Oleh itu, bila karya terbaru Teme berada di pasaran, Patung Beruang tidak melepaskan peluang untuk memilikinya. 

Seperti biasa, karya Teme "dibenarkan" untuk memotong giliran untuk dibaca. Beli hari Sabtu, hari Isnin atau Selasa malam Patung Beruang sudah mula membaca. Sedangkan banyak je lagi buku-buku yang sudah dibeli tapi masih belum dibaca. Hebat Teme... hehehe.. 

Honestly, naskah ini panjang tetapi tidak membosankan langsung. Strain Pertama lebih kepada pengenalan kepada watak Latif dan orang-orang terdekatnya. Serta cabaran yang dihadapi Latif sebelum dan setelah bergelar penyanyi terkenal. 

Strain Kedua pula lebih kepada kehidupan Latif selepas berumahtangga dengan Doctor Adda. Bagaimana susah payahnya Latif untuk melindungi keluarga tersayang. Dalam masa yang sama, konflik semakin memuncak antara Omar, Latif dan juga Mawar Records yang tidak pernah putus-putus memeras dan mengambil kesempatan ke atas kebaikkan Latif. Dalam Strain Kedua ini juga ditunjukkan bagaimana media dan masyarakat sangat sukar untuk berlaku adil terhadap artis. Fitnah bermaharajalela, kata-kata kutukan, sindiran dan cacian menjadi amalan. Sehingga mereka seolah-olah terlupa, Latif juga manusia seperti mereka, punya hati dan perasaan. 

Patung Beruang tertarik dengan catatan yang ditulis Teme di belakang kedua-dua naskah: 

Chester Bennington, Sulli, Avicii, Goo Hara, Robin Williams, Kim Jonghyun, Marilyn Monroe dan Kurt Cobain. Kesemua selebriti terkenal ini ada satu persamaan: Pengakhiran hidup yang tragis iaitu meragut nyawa dengan tangan sendiri. 

"Such a waste of talent, achievements, popularity and even wealth," bisik hati aku. 

Namun, aku tidak membuat konklusi. Aku cuba menyelami kehidupan mereka. Aku cuba fahami apa yang mereka lalui. Aku cuba fahami apa yang mereka lalui. Aku cuba melihat mental illness dari sudut yang berbeza; bukan semata-mata depresi. Lalu tanggapan aku berubah sepenuhnya. Maka, lahirlah buku ini.


Yes, naskah ini menceritakan penderitaan yang ditanggung seseorang, toxic nya persekitaran yang ada sehingga menjejaskan mental health nya. 

Jika pembaca merasakan cuma Latif Purnama saja yang berdepan dengan mental illness, jawapannya salah... Bagi pendapat Patung Beruang, selain Latif, Omar dan Mawar juga boleh dikatakan sakit mental. Personaliti yang kejam, tiada timbang rasa, tiada empati, selfish, segalanya nampak abnormal untuk seorang manusia yang normal. 

Bagi orang kebanyakkan, mental illness sering dikatakan berpunca sebab seseorang tersebut tidak tahan dengan tekanan, kurang pegangan agama, mental terlalu lembik atau 1001 sebab yang menyalahkan si pesakit. Tetapi kita terlupa, mungkin kita juga salah satu puncanya. Kata-kata kita, expectation kita, reaction kita, tindakan kita, semuanya boleh menjadi punca kepada mental illness orang lain. 

Seperti kata Sinar Bustamin, mantan Presiden Nusaraya, "Media sudah "membunuh" Latif ketika dia masih bernyawa. Dia dah tak ada kehidupan."  

Ending naskah ini??

Patung Beruang boleh katakan endingnya bijak dan tidak mustahil. Bukan ending yang cliche. 

Terima kasih Teme sebab hadiahkan karya yang sedap, matang dan berpijak di bumi nyata untuk pembaca. Semoga ada rezeki kami untuk menikmati lagi karya-karya terbaru Teme dimasa akan datang.... Aamiin.. 

Thursday, July 9, 2020

Rutin Yang Dirindukan

Assalamualaikum wbt..

Jumaat lepas, 3 Julai 2020, Patung Beruang pulang ke Melaka selepas waktu bekerja. Seronoknya dapat pulang ke rumah, Allah saja yang tahu. 

Minggu itu cuma Patung Beruang saja yang pulang. Iman ada training, Abang dan Kak Chik pula sibuk dengan kerja. Tidak mengapalah.. Nanti the following week, orang lain pula akan pulang. 

Seperti biasa, Patung Beruang duduk makan malam dengan parents. Sambil makan sambil bercerita. Dan cerita masih lagi bersambung walaupun selepas habis makan, dan juga selepas meja makan siap dibersihkan, hehehe.. 

Sebenarnya baru 2 minggu Patung Beruang tak jumpa parents, tapi perasaannya macam 2 tahun tak jumpa. Ada saja cerita yang nak dibualkan. Pasal kerja, isu semasa, ekonomi, politik dan juga kesesakan jalan raya di highway pada malam itu, hehehehe.. 

Esoknya, hujan turun sedari pagi lagi. Kebiasaannya, Patung Beruang tidak tidur lepas Subuh. Penat dan mengantuk macam mana pun, Patung Beruang akan cuba bertahan. 

Sedang elok duduk di balconi tingkat atas, menikmati hawa sejuk dan pemandangan hujan yang mendamaikan, tiba-tiba ayah datang dan ajak kami bersiap untuk jalan-jalan cari makan di Parit Jawa. Amboi.... jauh sungguh perjalanan. Sampai merentas negeri. 

Pagi itu, kami sekeluarga pun keluarlah ke Parit Jawa. Alhamdulillah, dapatlah makan asam pedas yang sedap di sana. Kami pulang semula ke rumah ketika pukul 12 tengahari. 

Selepas Zohor, Patung Beruang dan Ibu keluar. Destinasi kami adalah Jusco Ayer Keroh. Inilah pertama kali kami keluar berdua selepas beberapa bulan, huhuhu.. 

Di sana, seperti biasa, kami duduk minum-minum sambil berbual. Sudah lama sangat kami tak spend time berdua diluar seperti ini. Rasanya last kami keluar berdua ketika Hannah belum lahir. Sekarang Hannah dah berumur hampir 7 bulan.

Selepas puas duduk bersantai di restoran, kami naik ke tingkat atas, menuju ke Popular. Ini juga salah satu tempat yang kami rindukan, huhuhu.. 

Masing-masing leka membelek buku, dari satu rak ke satu rak. Banyak juga buku yang menarik sampai rambang mata dibuatnya. 

Dalam leka membelek tu, sempat juga Patung Beruang jadi paparazzi kejap. See.... seseorang sedang leka membelek buku yang menarik perhatian beliau.. 

Pengunjung ramai di Jusco Ayer Keroh sampai hampir penuh parking lot semua. Dan seperti biasa, Popular tetap lengang. Bersangka baik saja. Mungkin orang masih selesa membeli buku secara online.

Bagi Patung Beruang pula, seronok je suasana kedai buku lengang begitu. Selesa untuk membelek buku-buku dengan aman dan damai. Apakah hasilnya dari lawatan kami ke Popular pada hari itu?


Jeng jeng jeng... ini lah hasilnya... 
Patung Beruang beli 4 buah buku terus pada hari itu. 3 buah buku yang teratas adalah kepunyaan Patung Beruang, dan buku yang terakhir itu adalah ibu punya..

Hoooray...

Nikmatnya dapat membeli buku ini hanya bibliophile saja yang faham tau. Gembiranya seperti mendapat seguni emas..



Sebenarnya, inilah rutin bulanan kami selama ini. Sebelum kelahiran Hannah, sebelum Malaysia ada MCO. 

Keluar berdua, makan-makan or minum-minum while having girls talk, spend time di kedai buku, membelek dan membeli buku-buku terkini di pasaran, membeli-belah bersama.. Just two of us only. Dan jujurnya, ia bagaikan satu terapi untuk kami. 

Mungkin bagi orang lain, ia tiada makna. Yelah, apalah sangat aktiviti yang kami buat tu kan? And destinasi pun bukanlah jauh atau gah sangat. Setakat Jusco Ayer Keroh yang perjalanannya hanya 10 minit dari rumah. 

Tetapi untuk kami yang tinggal berasingan ini, yang hanya mampu bersua 2 atau 3 minggu sekali, ia adalah moment yang sangat berharga dan bermakna. We share our stories, laughing and crying together. 

Biasanya, ketika sedang memandu pulang ke Selangor, Patung Beruang sering berfikir sambil bila Allah rezeki kan kami untuk melakukan rutin ini? Mungkin sehingga minggu ini? Bulan ini? Tahun ini? Atau lagi 5 tahun? Atau 10 tahun? Entahlah...Hanya Allah saja yang tahu.

Kerana MCO kami tidak dapat bersua selama beberapa bulan. Dan kerana MCO juga rutin kami terhenti. Kini, kami dapat menyambung semula rutin kami seperti kebiasaannya... Alhamdulillah... Nikmat Allah yang mana lagi yang hendak kami dustakan? ...

Wednesday, July 8, 2020

Book Review : Terusir

Tajuk : Terusir 

Penulis : Hamka 

Menariknya Naskah Ini : 

Naskah ini Patung Beruang selesaikan pembacaan pada hari Sabtu lepas, ketika dalam kereta. Sebenarnya, ketika sedang jalan-jalan cari makan dengan parents, hehe.. 

Oleh sebab Patung Beruang duduk berseorangan di tempat duduk belakang, jadi Patung Beruang baca lah buku sementara kenderaan yang dinaiki sampai ke destinasi. Nerd sangat kan? hehehe... 

Terusir membawa pembaca kepada Mariah, seorang wanita anak yatim piatu yang bergelar isteri dan ibu. Perkahwinan Mariah dan Azhar tidak disenangi oleh keluarga Azhar disebabkan oleh perbezaan latar belakang dan status. 

Pada suatu hari, Mariah telah difitnah berlaku curang oleh keluarga mentuanya. Malangnya Azhar termakan fitnah tersebut dan terus menghalau Mariah keluar dari rumah dengan sehelai sepinggang. Selain itu, Azhar juga tergamak memisahkan Mariah dengan anak tunggal mereka, Sofyan. 

Puaslah Mariah merayu dan memujuk Azhar untuk bersatu semula. Berpucuk-pucuk surat dikirimkan Mariah namun tiada satupun dibalas Azhar. 

Hidup Mariah musnah sehingga akhirnya menyebabkan dia terjebak ke kancah pelacuran. 

Selepas berpuluh-puluh tahun, kini Azhar menyesali perbuatannya terhadap Mariah. Puas dicarinya wanita itu namun tidak ditemui. Dalam masa yang sama, Sofyan kini sudah dewasa dan berjaya menamatkan pengajian dalam jurusan undang-undang. Sofyan kini telah membuka firma guamannya sendiri. 

Tidak lama selepas itu, Sofyan menerima satu kes pembunuhan yang bakal dibicarakan di mahkamah. Demi menggalas tanggungjawab sebagai peguam bela, Sofyan berjumpa dengan anak guamannya bagi mengetahui sebab musabab berlakunya pembunuhan tersebut dengan lebih terperinci. Rupa-rupanya, anak guamannya adalah seorang wanita tua yang merupakan salah seorang pelacur di rumah pelacuran.

Pertama kali bertentang mata dengan Sofyan, wanita tersebut menyedari bahawa peguam bela muda ini adalah anaknya. Anak yang dikandungnya selama 9 bulan, kemudiannya dibesarkan sehingga berumur 4 atau 5 tahun, sebelum dirinya dipisahkan dengan anak kecil itu oleh suaminya, Azhar, hanya kerana racun fitnah. 

Bagi Sofyan pula, wanita tua ini sangat aneh. Perilaku dan tutur katanya seperti wanita yang datang dari keturunan yang baik-baik. Namun mengapa wanita ini tercampak ke lembah yang hina? Dan mengapa dia nekad untuk mencabut nyawa seorang lelaki lain, yang dikatanya akan merosakkan maruah orang-orang yang disayanginya? 



Seperti biasa, naskah tulisan Hamka sarat dengan emosi. Naskah Terusir ini juga tidak terkecuali. Penderitaan yang ditanggung Mariah selepas diusir keluar digambarkan dengan begitu teliti sehingga kita seperti ternampak-nampak kelibat dan air muka Mariah di hadapan mata. 

Dari satu segi, naskah ini menunjukkan betapa rapuhnya kaum wanita pada zaman itu. Ketiadaan kelulusan akademik dan latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan menyebabkan hidup mereka terumbang-ambing dan berakhir dengan kehancuran. 

Namun, dari satu segi yang lain, Hamka menunjukkan punca kehancuran hidup seorang wanita itu datangnya dari lelaki juga. Lelaki yang menyebabkan Mariah dihalau keluar, lelaki juga yang memisahkan kasih sayang seorang ibu kepada anaknya, lelaki juga yang mengambil kesempatan diatas segala titik peluh Mariah, dan lelaki jugalah yang berazam untuk menghancurkan keturunan Mariah sehingga dirinya digelar pembunuh.... Sedihnya.... 

Monday, July 6, 2020

Book Review : Jalan Sehala

Tajuk : Jalan Sehala

Penulis : Hasrizal Abdul Jamil

Menariknya Naskah Ini : 

Sudah lama Patung Beruang tidak meneliti naskah Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Jadi bila tiba-tiba beliau menghasilkan karya terbaru, teruslah Patung Beruang memburu di kedai buku. 

Jalan Sehala memaparkan 34 buah artikel kritis penulis terhadap pemanduan hidup seseorang manusia. Dalam kehidupan ini, mata dan akal harus sentiasa bekerjasama dalam meneliti setiap kejadian baik di hadapan, belakang, kiri dan kanan kehidupan, dan dalam masa yang sama kita tetap berusaha untuk focus dengan jalan hadapan. 

Tatkala mata ini mula meneliti naskah ini, di peringkat Mukadimah lagi Patung Beruang sudah tertarik hati. Manakan tidak, penulis bercerita bagaimana semakin meningkat usia beliau, pendengaran beliau semakin merosot. Bukanlah bermakna beliau menjadi pekak dan hilang pendengaran, tetapi lebih kepada beliau kurang peka dengan apa yang diperkatakan oleh masyarakat sekeliling. Selain itu, beliau juga menyedari yang berkata-kata pada zaman ini bukan lagi natijah fikiran, sebaliknya lebih kepada kurangnya berfikir sebelum menukil perkataan. 

Naskah ini bukanlah tulisan kosong semata-mata. Artikel yang terkandung didalamnya menceritakan pendapat dan pandangan kritis penulis, yang adakalanya bertentangan dengan majoriti. Namun, jika diteliti dengan lebih mendalam, apa yang ditulis itu benar walaupun amat pahit untuk ditelan. 

Artikel Berpelajaran Tidak Berpendidikan membawa kita kepada isu kegagalan sistem pendidikan kita dalam berfungsi melahirkan modal insan sebagaimana yang diharapkan oleh negara. Isu ini bukanlah isu baru kerana ia pernah dipaparkan dalam Buletin Utama ketika tahun 2009. Ya, sudah 10 tahun berlalu namun isu ini sepertinya masih jauh lagi jalan penyelesaiannya. 

Ramai bijak pandai sering merungut yang pelajar hari ini berpelajaran tetapi tidak berpendidikan. Manakan tidak, masyarakat mengukur kecemerlangan seseorang pelajar itu berdasarkan bilangan A yang terkumpul. Semakin banyak A yang tercatat di atas slip keputusan peperiksaan, semakin lebar senyuman ibu bapa dan para pendidik. 

Namun, adakah bilangan A itu penentu kepada kebolehan pelajar untuk survive dalam kehidupan? 
Adakah bilangan A itu menjadikan pelajar itu mempunyai critical thinking yang bagus? 
Atau mempunyai common sense yang bagus? 
Adakah bilangan A itu menjadikan pelajar tersebut insan yang merendah diri dan menghormati orang tua? 
Atau mungkin pelajar merasakan diri menongkat langit sehingga sombong dan terkurang ajar? 

Negara pernah diburukkan dengan kematian seorang pelajar perempuan berumur 12 tahun, yang membunuh diri kerana gagal mendapat A dalam semua subjek UPSR nya. 
Namun, adakah masyarakat mengambil iktibar di atas kematian pelajar ini?
Adakah sistem pendidikan dirombak bagi memberi pendedahan kepada pelajar bahawa bilangan A bukanlah segala-galanya dalam kehidupan? 
Adakah mentaliti ibu bapa dan pendidik berubah dan sedar bahawa modal insan bukanlah bertujuan untuk melahirkan pekerja semata-mata? 

Modal insan seharusnya berupaya melahirkan generasi muda yang boleh berfikir dan mencipta idea. Generasi muda yang masih kaya dengan adab dan budi bahasa walau dimana pun mereka dan dengan siapa juga mereka berkata-kata....



Jenayah Pedofilia: Sudah Bersedikah Kita? membawa pembaca kepada hakikat perbezaan mentaliti dan kebolehterimaan masyarakat di Malaysia dan luar negara dengan jenaya pedofilia. 

Masyarakat Malaysia pernah dikejutkan dengan kes seorang pelajar tajaan sebuah badan kerajaan yang dijatuhkan hukuman penjara di United Kingdom kerana mengaku bersalah atas jenayah memiliki, menghasilkan dan mengedar ribuan imej dan video lucah kanak-kanak. 

Tetapi, reaksi penaja di Malaysia selepas kes tersebut lebih mengejutkan. 
Penaja mengambil keputusan untuk memberi peluang kedua kepada pelajar tersebut dengan membenarkannya untuk menyambung pengajian di institusi milik penaja sekembalinya ke tanah air nanti. 
Sepertinya jenayah seksual kanak-kanak itu bukanlah satu perkara yang serius. Memperjudikan keselamatan kanak-kanak demi seorang pelajar pandai. 

Dalam kes jenayah pedolifia ini pemangsa tidak mengenal rupa dan status. Mungkin zahirnya seperti orang surau, orang alim,  golongan terpelajar, pemuda atau pelajar nerd, namun didalamnya mempunyai kecenderungan seksual yang mengerikan. Mereka ini mentalnya sakit. Lebih malang, kesakitan mental ini boleh ditutupi dengan gaya luaran mereka, sehingga mangsa serta penjaga mangsa tidak berupaya mengesan bahaya yang sedang menanti di hadapan mata. 

Bagaimana ibu bapa boleh melindungi anak-anak daripada pedofilia?? 

Antaranya adalah dengan membina kepercayaan hubungan ibu bapa dan anak-anak sehingga mereka menjadi lebih senang untuk bercerita dan mengadu apa saja dengan ibu bapa berbanding orang lain. Selain itu, ibu bapa juga boleh mendidik anak-anak agar tidak menyimpan sebarang rahsia antara anak dengan orang dewasa yang lain. 

Ibu bapa mestilah sentiasa peka dengan gerak tubuh anak-anak yang mungkin menunjukkan rasa gelisah atau tidak selesa. Anak kecil tidak pandai berbohong. Jadi apa yang mereka tunjukkan itulah rasa sebenar diri mereka.

Ada banyak lagi tips yang penulis kongsikan dalam naskah ini mengenai cara ibu bapa untuk melindungi anak-anak kecil yang tidak berdosa ini. Tidak adil rasanya untuk Patung Beruang kongsikan semuanya disini...


Tamatnya naskah ini mendatang satu kepuasan kepada Patung Beruang. 
Puas dengan topik dan kupasan yang ada didalamnya.
Puas apabila berpeluang berfikir sesuatu perkara dari sudut yang lain pula. 

Jujurnya, ia adalah naskah yang berisi dan bagus sebagai santapan minda. Semoga berjumpa lagi Ustaz dengan naskah yang lain pula... 

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...